:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Showing posts with label mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label mahasiswa. Show all posts

Tuesday, April 7, 2009

Mahasiswa Berbisa - Katak, Tebuan atau Umang-Umang?


Jumaat malam yang lepas saya berbesar hati dijemput sebagai salah seorang ahli panel Diskusi Ilmiah @ AB anjuran JAKMAS Kolej Kediaman Anugerah Bestari, UMS. Tajuk yang diberikan, 'Mahasiswa Kita Tidak Berbisa'. Duduk sepentas dengan saya ialah mantan YDP Kolej Kediaman AB, Saudara Yusuf [link], yang saya acah-acah sebagai bakal Sasterawan Negara, dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan aktivis mahasiswa, Saudara Hasraa, yang memegang portfolio sebagai Exco Kepimpinan dan Latihan. Pendebat Universiti, Saudara Jass mengemudi majlis pada malam tersebut.

Saya tidak berhajat mengulas satu-persatu persoalan yang dibincangkan, tetapi berhajat besar membawa mahasiswa meletakkan diri sendiri di dalam salah satu kelompok 'mahasiswa berbisa' yang saya definisikan dalam pusingan pertama forum tersebut. Bagi memudahkan pemahaman pendengar, saya menggunakan tiga spesies haiwan sebagai analogi.

1. Katak

Katak yang dikisahkan ini bukan sebarang katak. Tetapi katak ini ialah spesies yang menyerupai katak berbisa untuk menakutkan musuh, walaupun hakikatnya ia tidak berbisa. Katak ini juga kuat memekik dan berbunyi. Ramai mahasiswa tergolong di dalam kelompok ini; kuat berbunyi, tidak berbisa.

2. Penyengat


Penyengat tidak dinafikan sememangnya berbisa. Malangnya penyengat hanya menyengat bila diancam. Tanpa diganggu, ia tidak memberi kesan kepada makhluq lain yang berada di sekelilingnya. Saya mengkategorikan majoriti pimpinan mahasiswa di dalam kelompok ini.


3. Umang-umang
(terima kasih Rimbawan Beriman yang memberitahu saya nama makhluq ini di dalam BM)

Umang-umang adalah spesies hidupan air. Ia mempunyai tentakel yang beracun dan melambai-lambai menunggu pemangsa. Sebaik sahaja pemangsa melintas, tentakel yang berbisa akan melumpuhkannya dan dihadam sebagai makanan. Umang-umang, menyengat untuk makanannya, justeru untuk kemandirian spesiesnya.

Mahasiswa berbisa yang hendak kita bentuk ialah mahasiswa spesies umang-umang. Tidak cukup seseorang mahasiswa hanya bersuara bila diganggu atau bila kepentingannya sahaja terancam. Suara mahasiswa adalah suara rakyat. Tidak memadai mahasiswa hanya bersuara untuk dirinya sendiri. Amat malang jika pembentukan mahasiswa di kampus tidak lebih daripada pembentukan kanak-kanak tadika, yang hanya mampu mengadu pensil dicuri dan dikejar anjing kepada cikgu.

Mahasiswa mempunyai kuasa, dan fungsi pimpinan mahasiswa ialah mencari jalan memperkasakan mentaliti dan keupayaan mahasiswa menyedari dan menggunakan kuasanya untuk melakukan perubahan. Pimpinan mahasiswa bukan objek untuk ditunggangi oleh masyarakat kampus guna menyelesaikan maslah yang dihadapi. Mahasiswa dilatih di universiti menjadi wakil rakyat bukannya rakyat yang bergantung kepada wakil rakyat. Dilatih supaya apabila keluar ke tengah masyarakat dituruti bukan menuruti. Memimpin bukan dipimpin. Mempengaruhi bukan dipengaruhi. Maka peranan mereka yang bertanggungjawab harus diteliti supaya mampu menyengat di luar kampus.

Akhir sekali untuk mahasiswa yang dimomokkan oleh perasaan takut dek himpitan AUKU, sekatan kerajaan dan HEP, media dan kesempitan waktu sehingga menjadi alasan tidak dapat beraksi di lapangan umat, saya menghadiahkan kisah ketua kampung orang asli;

Ada sekali tu ketua kampung orang asli telah dihadiahkan jam dinding oleh pihak tentera kerana menolong mereka dalam operasi. Alangkah bangganya ketua orang asli tersebut bila jam tersebut di gantungkan di depan pintu rumahnya dan orang kampung sering datang melihat jam tersebut seolah-olah barang hiasan kerana mereka pada masa tu tak tahu bagaimana menggunakan jam untuk melihat waktu.

Suatu hari anak ketua kampung tersebut memberitahunya yang jarum jam tu telah berhenti bergerak. Masa tu punyalah ramai anak buah dia kat halaman rumah sedang melihat jam tersebut.

Maka ketua kampung tu pun konon nak tunjuk terrorlah lalu dia pun menurunkan jam tersebut dari tempat penggantungan dan membelek-belek jam tersebut depan belakang. Beliau ternampak tempat bateri jam tersebut dan telah dengan tidak sengaja terkuis bateri itu terkeluar dari tempatnya.

Entah macam mana ada pulak bangkai seekor lipas di celah-celah tempat bateri tu... beliau pun dengan bangganya memberitahu kepada anak-anak buahnya.

"OOOO... patutlah tak jalan drebarnya mati tersepittttt... .!!"

Yang membelenggu pemikiran ialah diri sendiri yang tak mahu belajar dan tak ingin mencuba. Tidak ada kuasa yang mampu menghalang jiwa dan hati yang celik dan kemahuan yang tinggi. Dan tidak ada kemahuan yang lebih hebat daripada kemahuan seorang mahasiswa yang ingin melihat perubahan dalam masyarakatnya.

Apapun, yang menguja saya ialah apabila saya mengakhiri dengan 'yang paling susah untuk berbisa ialah mengambil langkah pertama. Sekarang di bahu saya ada 5 buah kampung sedang menunggu anda, siapa yang bersedia berkhidmat sila berikan nama kepada pelaksana DIMAN', seramai 20 orang mahasiswa menawarkan diri merintis jalan menjadi umang-umang.


Dirgahayu Sabah, tanah juangku!


p/s: Terima kasih banyak juga pada sifu dakwah fardhiyyah yang menghidupkan semula nafas perjuangan abang di Sabah pada malam tersebut ;)

Tuesday, December 30, 2008

Jasad Ma'al Hijrah, Roh New Year


Azam berterusan jarang memberi kesan kerana lafaz kata mudah dihamburkan berbanding menggerakkan anggota untuk bertindak. Sedangkan iman itu membawa makna lafaz dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota. Nescaya azam yang berteraskan iman mesti disusuli tindakan. Apapun, ana bukan jenis suka memasang azam bila tiba tahun baru. Ana lebih suka memasang pelan pembangunan diri setiap kali Allah melontarkan musyahadah untuk mengenal makrifatnya. Peluang yang selalu datang dan selalu perlu disambut. Peluang yang selalu tidak digapai kerana hadirnya tidak disedari. Nikmat-nikmat yang berlalu bak semilir. Tidak cukup untuk menggoyangkan pepohon syukur yang renek. Cukup setakat itu. Ruang ini ana hasratkan sebenarnya untuk melontarkan beberapa perubahan yang perlu digerakkan bagi meraikan hati-hati dan jiwa-jiwa yang sedang ‘marak’ oleh semangat Ma’al Hijrah. Semangat yang samada pada jasad atau menyelami roh pejuang-pejuang agamaNya.



1. Think Global, Act Glocal


Nasihat yang selalu dilontarkan oleh Abang Pai kepada Abang Zulhilmey. Abang Zulhilmey seseorang yang berwawasan besar, cita-citanya setinggi langit dan harapannya melewati lautan. Sifat yang sukar dicari dalam penggerak di kampus. Jarang sekali idea pembangunan dapat merentasi sempadan Universiti, tidak kira siapa yang menganjurkan program. Program-program di luar pun setakat program-program berbentuk tompok-tompok yang mengisi ruang cuti dan masa senggang. Mahasiswa perlu istiqamah membawa mesej perubahan ke tengah masyarakat. Mahasiswa perlu giat dan aktif menjenguk perihal dan keadaan rakyat. Mahasiswa perlu proaktif membantu marhaen menyelesaikan masalah setempat. Bukan susah bertemu ketua kampung yang jalan di kampung mereka rosak, bertanyakan keadaan lalu menulis surat kepada wakil rakyat bertanyakan sebab-musabab, atau warkah kepada JKR meminta dibuat sesuatu. Tidak perlu institusi segah MPP berarak dengan rombongan dan baju korporat. Tidak perlu kertas kerja yang kompleks dan berjela-jela memohon duit untuk makanan. Yang diperlukan hanyalah sekelumit rasa ambil berat, secubit perngorbanan dan kemampuan membaca dan menulis. Jangan hanya mendampingi rakyat untuk berseronok dijadikan keluarga angkat, tetapi membiarkan mereka mengesat sendiri airmata kehidupan. Ambillah pengajaran daripada kempen Barack Obama, yang bercita-cita menghidupkan semula ‘The American Dream’, dan jadikan ia ‘Sabahan Dream’.



2. Yang Perlu Dibangunkan itu Anak Tempatan


Sebanyak sedikit pengalaman membentuk pelapis, ana akhirnya menyimpulkan bahawa yang perlu dibangunkan itu anak setempat. Jiwa-jiwa yang perlu diisi dengan cahaya iman dan akal yang perlu dipenuhi dengan hidup mati perjuangan itu anak-anak yang berada di sekolah-sekolah dan di kampung-kampung. Hidupkan usrah sekolah dan imarahkan surau-surau kampung dengan kuliah dan tazkirah. Kerana mereka ini yang akan mampu bergerak dengan kekuatan setempat untuk membawa perubahan secara total dan serius kepada bumi Sabah. Latihlah anak tempatan di kampus, nescaya mereka akan pulang ke kampung masing-masing – samada terus berjuang atau kerana sudah biasa dipantau, akan selesa dengan hidup yang fana. Hendak diharap mengisi surau dengan majlis ilmu? Jarang. Hendak disuruh turun padang membantu menghidupkan usrah remaja? Kurang. Hendak dijadikan role model oleh masyarakat kerana mampu memandikan mayat, memimpin tahlil, malah istiqamah mengajar alif ba ta? Gersang dan kontang. Kalau adapun serakannya terlalu luas, sukar menimbulkan kesan berpusat. Membentuk hati yang bersih dan fikrah yang kosong lebih berkesan, walaupun jalannya jauh lebih panjang dan sukar. Ana yakin itu jalan yang Cikgu Nasir pilih untuk membentuk pendukung syiar di Tawau dan hasilnya? Tawau itu Kelantan yang subur dengan agama. Apapun pusat ledakan itu mesti pada sumber dan sumber itu di Kota Kinabalu. Kota Kinabalu yang sepatutnya lebih hebat kerana sarat dengan pejuang-pejuang yang hebat ditarbiyah di gedung ilmu. Kemahuan? Kesediaan? Setakat ini masih gersang dan kontang.


3. Ukhwah Bunga Plastik

Menghadiri program ana lebih suka memerhati gelagat peserta. Lagipun senyap itu mengurangkan dosa. Sedangkan memerhati, berfikir dan belajar itu membawa kepada sedar dan sabar. Di dalam program semua boleh tergelak sama, bergaul mesra. Ukhwah terbentuk katanya. Tetapi muslimat-muslimat ini juga kerana kesilapan yang dilakukan muslimat lain akan memulau sahabat mereka sekian lama. Muslimin-muslimin ini juga yang dalam nada gurau boleh melemparkan tuduhan homoseksual ‘man-to-man’ kepada sahabat seperjuangan. Atau salah seorang daripada insan misteri ini yang tergamak menjatuhkan maruah dan memalukan sahabat mereka melalui alam maya hanya kerana sahabat tersebut dianugerahkan rasa cinta dan tersilap rentak. Lebih sedih lagi apabila ada yang sendirian menanggung masalah diri dan keluarga, hanya bercerita kepada sebahagian untuk melepaskan duka, tidak dapat mencari penawar kerana keyakinan kepada sahabat belum jazam. Tidak menghairankan. Kerana program dan gerakerja hanya mampu mebentuk keserasian. Ia jauh sekali membentuk ukhwah. Keserasian itu membentuk diri mengikut rentak rakan sekerja supaya kerja menjadi lancar. Bekerja dengan orang yang kuat mengutuk, maka diri dibentuk menjadi orang berjiwa besar. Bekerja dengan orang yang lambat, maka diri dipaksa mengambil alih tugas. Maka kerja akan beres, dan segalanya tampak cantik. Sedangkan ukhwah itu mengajar membentuk diri dengan acuan Islam dan kasih-sayang yang tidak mengenal wajah. Persis sahabat yang menahan badan Nabi daripada terkena panah. Ibarat Ansar yang menolong makhluq asing para mujahidin. Ana melontarkan keluhan daripada sahabat yang masih mencari, samada yang jauh atau dekat, diluah secara tidak sengaja atau dengan tak semena-mena. Unutk ana, tidak ada apa-apa masalah. Ana setelah sekian lama ditimpa masalah jiwa, telah menumpai penawarnya. Dan penawarnya ada dua. Yang pertama, jangan bertakung tapi biarkan mengalir. Yang kedua, jadilah yang terbaik, tidak ada pilihan lain.
'Jadikan Ma'al Hijrah Bukan New Year'

Wednesday, November 19, 2008

Cuti Untuk Islam!!



nurilhakim mengucapkan selamat bercuti kepada semua pengunjung yang telah tamat peperiksaan dan sedang bercuti. Semoga cuti dapat diisi dengan bermanfaat. Berikut beberapa cadangan untuk mengisi hari-hari lapang, atau cadangan gerakerja untuk mereka yang masih termangu-mangu mencari halatuju, khususnya yang berada di Sabah atau tidak pulang ke kampung halaman di Sarawak atau semenanjung:

1. Hadir ke program ceramah Syeikh Yusuf Estes [link]
2. Ikut Program Youth Summer Camp 2008 [link]
3. Ikut Jelajah Korban Yayasan Amal [link]
4. Menjadi sukarelawan persatuan muallaf SAHABAT - Ustaz Firdaus 0128283423
5. Menjadi sekretariat Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Sabah - Che'gu Jamil 0138517282
6. Menjadi sukarelawan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) [link]

*akan di'update' dari masa ke semasa. Maklumat lanjut atas permintaan.

Ziarah Kebakaran di Pulau Gaya






Tanggal 13 November ana dan sahabat bersama dengan abang-abang senior telah menggerakkan satu misi ke Pulau Gaya untuk melawat mangsa kebakaran di salah satu perkampungan Luk Rai (Blok D) dalam kawasan Pulau Gaya. Pada awalnya ana tidak bercadang untuk ke Pulau Gaya kerana memikirkan tugasan sebagai YDP kolej yang mungkin 'on call' pada bila-bila masa sahaja. Terasa terdetik pula di hati untuk sampai di sana ditambah dengan perasaan ingin tahu dalam diri ana mungkin, ada sesuatu dari Allah s.w.t. mahu kongsikan kepada ana sebagai seorang pengabdi kepada Illahi.

Kami seramai 8 orang mewakili sukarelawan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) memulakan perjalanan dari UMS jam 2.30 petang dengan menaiki bas dengan hati yang terbuka bersama akhi Nadir dan akhi Faiz dengan beberapa sahabat-sahabat yang lain yang tiba lebih awal di Masjid (bersebelahan Pasar Filipin) sebelum ke jeti khas di belakang Pasar Besar Kota Kinabalu. Sebelum bertolak dengan menaiki bot kami solat Asar terlebih dahulu.

Dipendekkan cerita kami tiba di Pulau Gaya tepat jam 4.25 petang. Pada asalnya kami sepatutnya tiba terus ke Kampung Luk Rai dengan bot tetapi disebabkan oleh masalah komunikasi yang timbul kami tiba di jeti SK Pulau Gaya dan terpaksa berjalan kaki ke Kampung Luk Rai. Kami lalui dugaan dan cabaran tersebut dengan sabar dan tabah. Bak kata orang bila lagi mungkin inilah medan ujian yang terbaik untuk mahasiswa. Sepanjang laluan ke Kampung LUk Rai dari usia kanak-kanak sehinggalah ke dewasa kami temui dan kami sapa dan raikan. Kelihatan kegembiraan sang kecil melompat-lompat riang bermandi air laut.

Laluan untuk sampai ke Kampung Luk Rai dipandu arah oleh seorang adik yang menawarkan diri menjadi penunjuk arah. Tempat tujuan adalah rumah ketua kampung Lok Rai Encik Jari Hafiz. Harapan utama yang disuarakan oleh Encik Jari agar kesusahan mereka dapat didengar oleh pihak atasan dengan disusulkan bantuan selanjutnya. Bantuan dari kerajaan telah diterima pada awalnya dan mereka masih lagi memerlukan bantuan yang seterusnya untuk membangunkan kembali rumah yang musnah. Dalam kebakaran tersebut lebih 400 penghuni kawasan yang mewakili 43 keluarga hilang tempat tinggal.

Hasrat kami untuk berkhemah di sana tidak kesampaian kerana melalui keputusan musyawarah kami putuskan untuk terus pulang ke Kota Kinabalu disebabkan ancaman masalah keselamatan. Alhamdulillah masih terdapat bot yang boleh membawa kami balik ke Kota Kinabalu. Kami tiba di jeti Kota Kinabalu sekitar jam 6.18 petang.

Daripada ana mungkin pembaca sekalian yang tidak bersama kami melawat kampung Lok Rai tidak merasai penderitaan dan menyelami kesusahan yang dihadapi oleh mereka. Ana tulis perkara ini adalah untuk kita sentiasa bersyukur dengan Allah s.w.t. dengan nikmat kita sebagai seorang mahasiswa. Kita sering kali dibayangi dengan masalah makanan mahal, anjing, bas dan sebagainya tetapi harus kita ingat yang kita sebenarnya mahasiswa yang menjadi tunggak harapan agama dan masyarakat.

Sahabat sekalian coretan ini bukan bertujuan untuk ana lari dari tanggunggjawab ana sebagai YDP Kolej tetapi adalah untuk kita sentiasa meletakkan kesyukuran kita di atas nikmat yang kita perolehi daripada Allah s.w.t agar tidak leka dengan kesenangan yang kita perolehi itu. Wallahua'alam.

Diambil dan diolah dari : kraiians118.blogspot.com

ProM Bentuk Kabinet di UNIMAS

KOTA SAMARAHAN - Ahli Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS telah membentuk kabinet beberapa hari yang lepas.Pro Mahasiswa yang memenangi 7 daripada 12 kerusi dilihat mendominasi kabinet MPP UNIMAS.

Namun begitu kombinasi antara ahli MPP Pro Mahasiswa dan Aspirasi adalah lebih sekata dan demoktratik berbanding di kampus UPSI yang nyata didominasi oleh MPP Kualiti.

Berikut adalah senarai penuh ahli MPP UNIMAS.


Mohd Norhayatudin Bin Mohd Yaacob (Pro M)
YANG DIPERTUA


Visnu@Mohd Azlan Bin Hussein
NAIB YANG DIPERTUA


Sh. Yong Sofia Binti Omar Salleh (Pro M)
SETIAUSAHA AGUNG


Teoh Lip Ki
BENDAHARI KEHORMAT


Bismi Syaifullah Bin Ishak (Pro M)
EXCO PROTOKOL & PEMBANGUNAN


Abang Akhmas Bin Abang Bunsu (Pro M)
EXCO SUKAN & REKREASI


Alexcis Teo Nyelang
EXCO AKADEMIK & KERJAYA


Suhaimi Bin Samsudin (Pro M)
EXCO KEMUDAHAN & KESELAMATAN


Razuan Bin Samsudin (Pro M)
EXCO ADUAN & KEBAJIKAN


Frannelya Ak Franchis
ECXO PERHUBUNGAN AWAM & ANTARABANGSA


Fadilah Husna Binti Baadin
EXCO PERPADUAN, KESENIAN & KEBUDAYAAN


Farahiyah Binti Muhd Fakhruddin (Pro M)
EXCO PUBLISITI & INFORMASI


Dalam diam UNIMAS Kota Samarahan juga dilanda badai. Sungguh tak disangka. Tahniah semua penggalas amanah baru!!


sumber : mahasiswakini.com/archives/545

Wednesday, November 12, 2008

Jom Berprogram!!

Program Cuti Sekolah

1. Ziarah Pulau Gaya

- Ziarah kesan kebakaran di Pulau Gaya, kehidupan masyarakat atas air dan taman marin Tunku Abdul Rahman

Tarikh : 13 November 2008
Masa : 2pm

No. Utk Dihubungi : Nadir – 0198110964


2. ‘The Power of Giving’ PASTI Kinarut

- Berprogram bersama adik-adik sekolah rendah di Pasti Kinarut selama 2 hari. Belajar aqidah bersama ahli silap mata, erti kehidupan dengan penglipur lara dan fardhu ain bersama raja multimedia. Daftarkan anak anda, atau daftar sebagai pelaksana

Tarikh : 18-19 November 2008
No. Utk Dihubungi : Arif – 0166249322


3. Youth Summer Camp

– Anjuran PSS. Rujuk kembarasanghamba.blogspot.com atau tanaksada.blogspot.com

Tarikh : 12-14 Disember 2008
No. Utk Dihubungi : Zulhelmey – 013-7143840


4. Jelajah Korban Yayasan Amal

- Laksanakan ibadah korban bersama skuad korban Yayasan Amal di kampung-kampung terpilih seluruh Sabah. Ikuti mana-mana fasa atau ikuti ibadah korban

Fasa 1
Tarikh : 4-6 Disember 2008
Tempat : KK-Luanti

Fasa 2
Tarikh : 6-10 Disember 2008
Tempat : Nunuk Ragang

Fasa 3
Tarikh : 11-13 Disember 2008
Tempat : Pitas


No. Utk Dihubungi : Saifuddin – 0135305244 (Awam)
Kasman 0148655663 (Kampus)

'Jangan biarkan sehari berlalu tanpa berfikir untuk Islam..Allahyarham Ustaz Fadzil Noor'

Thursday, November 6, 2008

MATTA - Pengenalan

Saya pernah membentangkan tentang gejala yang saya nampak wujud di dalam ahli-ahli gerakan Islam di mana-mana kampus, samada sehingga menyebabkan perjuangan terhenti atau melambatkan gerakan dakwah itu sendiri. Awalnya ahli-ahli gerakan Islam ini saya ibaratkan sebagai pelayar sampan yang berada di sebatang sungai yang mengalir perlahan, hanya duduk dan tidak mengayuh, bertindak apabila perlu sahaja. Begitu keadaannya di dunia realiti, golongan ini lebih cenderung membiarkan diri mereka hanyut dek air dan menunggu untuk sampai ke destinasi, tanpa berusaha untuk mengayuh supaya cepat sampai, atau sampai dalam keadaan yang lebih baik dan selamat, walaupun pendayung telah ada di tangan. Mahasiswa Islam pada hari ini tidak berani atau tidak tahu mencipta suasana atau berpencak di gelanggang sendiri, malah ,mengarahkan tindak-tanduk dan halatuju gerakan berdasarkan kepada pembacaan suasana semasa, samada suasana politik, keadaan masyarakat atau suasana yang dibentuk oleh individu-individu berpengaruh di luar kampus. Maka mahasiswa ini samada terus hanyut dan sampai ke destinasi lama setelah orang lain sampai, atau karam di perjalanan oleh rintangan-rintangan yang melanda. Rintangan ini pula, saya ibaratkan sebagai batu-batu yang berada di tengah-tengah sungai, yang mana akan menyebabkan perahu tersebut terhempas dan tenggelam, atau melambatkan perjalanan sang pelayar. Batu penghalang tersebut saya ringkaskan sebagai MATA, atau MATTA. Ingin berkongsi dengan lebih lanjut? Ikuti siri-siri perbincangan MATTA yang akan datang..

Sunday, November 2, 2008

Lawatan SK Pekan Nabawan






Semalam, 2hb November 2008 UMS dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari SK Pekan, Nabawan. Rombongan mereka sekitar 50 orang, yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Agama Islam dan guru-guru pengiring, disambut oleh Exco Kerohanian dan Sahsiah sesi baru, Saudara Nor Syabri Mat Nor, yang kebetulan telah diminta menjadi tuan rumah untuk lawatan tersebut. Lawatan tersebut asalnya diatur apabila saya bertemu Cikgu Khairul, yang menguruskan lawatan ketika beraya di Nabawan baru-baru ini. Tujuan lawatan - memberi suntikan motivasi kepada pelajar-pelajar SK Pekan yang istiqamah menghadiri kelas agama yang tidak diwajibkan pada sesi petang. Tahniah guru-duru SK Pekan, khusunya Cikgu Khairul atas usaha mengikat anak-anak ini dengan Islam. Program bermula jam 9pagi, dengan sesi motivasi oleh Saudara Mursidi Amat di Masjid UMS, lawatan ke muzium UMS, akuarium, dewan kuliah pusat dan berakhir di masjid semula sekitar jam 1 tengahari dengan makan tengahari. Kami mengalu-alukan kehadiran SK Pekan untuk bertandang lagi ke UMS, kalau sudi.



Saturday, October 25, 2008

Kesal Forum Bicara Siswa RTM1 sekat kebebasan bersuara

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Hrkh) - Sebahagian mahasiswa yang mengikuti Forum Bicara Siswa yang disiarkan menerusi saluran RTM1 bertajuk "AUKU: Apa Masalahnya?" melahirkan rasa kecewa apabila dihalang daripada mengemukakan soalan dan menyampaikan pandangan dalam forum tersebut.

"Saya tampil mempersoal Perkara 15 dan 16 AUKU, tetapi dihalang oleh pihak 'tertentu' ketika sesi Q&A (soal-jawab) dibuka. Walhal, pihak-pihak lain dibenarkan menyampaikan pandangan mereka," jelas Que Lin, 24.

Beliau yang juga ahli Student Progressive Front (SPF) memaklumkan bahawa beliau ingin bertanya mengenai AUKU yang bertentangan dengan hak kebebasan bersuara, berhimpun, berpersatuan, kesamarataaan di sisi berdasarkan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan serta ketinggian perlembagaan menurut Artikel 4, dan beberapa perkara lagi kepada ahli panel Dr Yusri.

Beliau yang juga Sukarelawan Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA) juga memaklumkan bahawa beberapa staff Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan beberapa figur utama Aspirasi mengancam teman-temannya dengan mengambil gambar secara paksaan; hanya kerana mereka memakai baju-T DEMA.

Menurut web pro-mahasiswa USM, Yang Dipertua MPP USM, Muhammad Sukri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Che Mat secara emosional menyelar pemimpin-pemimpin ProM USM kerana tidak tampil berdebat supaya AUKU ini dimansuhkan.

Pengerusi ProM USM ketika dihubungi dan diminta mengulas insiden tersebut, secara sinis berkata, "Orang-orang 'tertentu' yang biasa (berlatih) bersilat sorang-sorang (seorang diri) di dalam gelanggangnya ... selalunya memang syok sendiri dan berasa diri terlalu kuat.

"Biasalah, kerana yang ditumbuk dan tendang (beradu intelektual) oleh mereka adalah angin atau bayang-bayangnya sendiribukan pesaing yang sebenar."

Adi Syahid juga mengalu-alukan seluruh mahasiswa USM dan pemimpin-pemimpin Aspirasi sendiri untuk turut serta dalam Forum Terbuka Generasi Baru dan Masa Depan Malaysia pada Khamis depan.

Seorang mahasiswa Cina lain, Chua Thea Leng, 22 menjelaskan bahawa forum tersebut tidak membahaskan AUKU secara holistik, lebih partisan pada pihak-pihak 'tertentu'.

Beliau juga melahirkan rasa kehairanan tentang sikap penganjur rancangan forum tersebut yang membuka sesi soal-jawab hanya kepada pihak-pihak 'tertentu' sahaja.

Tambahnya, forum tersebut dianggap olehnya tidak dimaklumkan pada peringkat awal kerana tiada publisiti terbuka, seperti aktiviti-aktiviti rasmi lain Universiti.

Beliau sendiri mendapat sms kira-kira jam 7.40 malam semalam dari individu yang tidak dikenali dan mengarahkannya wajib menyertai forum tersebut.

Selain Che Mat, panel forum 'berat sebelah' tersebut turut disertai oleh anggota MPP UUM, Raihanah; dan Timbalan Dekan Perakaunan, Perniagaan dan Pengurusan, Dr Yusserrie Zainuddin.

Dr Yusserrie dalam satu penjelasannya turut menyatakan AUKU tidak ada masalah dari segi undang-undang, hak asasi manusia dan universiti sendiri.

Beliau juga banyak menjelaskan keadilan hak dalam Perkara 15 dan 16 AUKU tersebut menurut disiplin undang-undang yang dipelajarinya.

Perkara 15 AUKU umumnya menjelaskan tentang larangan mahasiswa dan pertubuhan mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti luar walaupun aktiviti tersebut yang sah dan selari dengan jaminan hak bersuara, berhimpun dan berpersatuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 16 AUKU umumnya menjelaskan tentang supreme power, walaupun kuasa ini acapkali disalahgunakan oleh pihak-pihak 'tertentu' sehingga meninggalkan liabili negatif kepada NC yang adil; demi menekan aktivis-aktivis mahasiswa yang lantang dalam Universiti.

Forum tersebut bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir sekitar jam 10.30 malam semalam.

Pelajar yang hadir menganggap program tersebut sebagai medium merehatkan minda mereka dalam musim peperiksaan akhir semester ini.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan