:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, December 31, 2011

PSS Untuk PSS



1. Tahun 2012, PSS genap 8 tahun mewarnai dakwah di bumi Sabah, mengungguli pembangunan remaja dan pembentukan golongan muda Negeri Bawah Bayu. Kanak-kanak wajib diperintahkan untuk solat pada usia tujuh tahun, melalui proses pematangan dan berdikari selama tiga tahun sebelum dipukul jika meninggalkan solat semasa berusia sepuluh tahun. Justeru PSS ibarat melalui proses pematangan, supaya kelak tidak terpukul jika cuai melangkah pada perkara yang jelas tuntutannya.





2. Perkembangan PSS yang begitu pesat adalah dua kayu ukur yang sentiasa berulang dalam sejarah - bahawa manusia akan sentiasa pulang untuk mencari fitrahnya, dan kejatuhan organisasi biasanya berlaku tatkala berada di tempat yang tinggi; jatuh tidak berlaku di tanah landai.





3. Justeru penggerak sentiasa perlu diingatkan berkenaan bisnes yang mereka jalankan - di mana mereka adalah penjual, dan Allah serta masyarakat membeli – iaitu DAKWAH. Berdakwah harus dijalankan dengan keyakinan bahawa kita sedang mencari untung, bukan memberi untung.





4. Penggerak sentiasa perlu diingatkan bahawa the customer is always right, atau lebih tepat, the customer is always better than the seller. Ia dijalankan dengan kesedaran bahawa mereka yang kita dakwahkan adalah lebih mulia daripada kita – mereka melakukan dosa dalam keadaan tidak tahu dan mahu berubah, sedangkan kita dalam keadaan tahu, masih tidak mampu meninggalkan maksiat.





5. Abu Bakar As-Siddiq, sebaik-baik lelaki setelah para anbiya’, dalam khutbah pertama selepas dilantik menjadi khalifah, menyebut bahawa ‘aku diberi tanggungjawab memimpin kamu tetapi aku bukanlah yang terbaik di antara kamu’. Umar Al-Khattab, selalu dilihat oleh sahabat-sahabat lain menarik-narik janggutnya yang basah dengan airmata dan bercakap sendirian ‘Celakalah engkau Umar, ingatlah bahawa kalau engkau melakukan maksiat engkau juga akan dicampakkan ke dalam api neraka’.





6. Membaca respon adik-adik terhadap beberapa program mutakhir, menggambarkan suatu harapan dan sandaran yang cukup besar kepada abang-abang dan kakak-kakak penggerak, justeru mengkhianati kepercayaan tersebut adalah sebab terbesar yang akan menyebabkan mereka kembali kepada jalan gelap yang dilalui sebelumnya.





7. Penggerak tidak boleh lalai pada melazimi amalan asas seperti membaca Al-Quran, ma’thurat, zikir harian dan qiamullail kerana laluan untuk dakwah sampai ke hati, ialah dari bawah ke atas, lalu turun ke bawah semula. Dakwah bukan semata soal skil dan tarikan zahir, tetapi produk perlu melalui quality control oleh Allah sebelum dihantar kepada hati pembeli. Produk yang datang daripada hati yang kering, tidak bermutu dan biasanya dibuang oleh pembeli setelah waktu yang singkat. Hadis Nabi menyebut, banyak bercakap tanpa istighfar, mengeraskan hati.





8. Santuni selemah-lemah ahli, dan nilai kekuatan mereka untuk dibangunkan bagi membantu dakwah. Abdullah Ibn Ummi Maktum yang buta beberapa kali diwasiatkan oleh Rasulullah S.A.W untuk memangku ketiadaannya di Madinah, sedangkan pembesar Quraisy yang didakwah oleh Rasulullah S.A.W tatkala memasamkan muka kepada Abdullah (Surah ‘Abasa), antaranya Abu Jahal, menjadi penentang yang paling kuat.





9. Tenaga baru (dan lama) perlulah dibangunkan secara terancang dengan dua ciri pemimpin Islam – amin dan qawi. Mereka melengkapi diri sebagai mukmin dengan keperluan ilmu dan spiritual (amin), dan dilengkapkan dengan profesionalisme dan pengkhususan kepakaran (qawi). Para Nabi bukan sahaja sebaik-baik mukmin, tetapi jua pakar dalam bidang masing-masing. Nabi Adam adalah pakar pertanian, Nabi Idris pakar jahitan, Nabi Daud adalah pakar besi, Nabi Yusuf pakar pentadbiran dan ekonomi dan seterusnya.





10. Dunia adalah pinjaman dan jambatan ke akhirat. Pensil yang dipinjam wajib dipulangkan, begitu juga tangan, kaki, mata dan turun naik nafas. Jangan dilekakan oleh kehidupan yang sementara, dan jangan gopoh untuk menjadikan dakwah sebagai bahan niaga mendapatkan untung duniawi. Kelompok banyak, adalah kelompok yang tidak mampu membayar untuk diajar bagaimana berubah.





11. Dakwah adalah cinta, tetapi majoriti yang didakwah tidak akan jatuh cinta pandang pertama. Kita bermula sebagaimana mereka, justeru jangan lupakan cinta penggerak-penggerak yang dahulunya membentuk kita. Kalau dahulu mereka mudah berputus asa, boleh jadi kita masih terapung-apung dibuai leka.





12. Tanda pertama hari qiamat ialah wafatnya Rasulullah S.A.W 1423 tahun yang lepas. Qiamat sudah dekat, pilihlah kehidupan dengan bijak.





13. Perkongsian ini meliputi Kelab Remaja Ukhuwwah, adik-beradik baru dan lama, serta lain-lain penggerak dakwah di Sabah. Mudah-mudahan bingkisan ini, terlebih dahulu manfaatnya buat penulis, si anak dakwah di rantauan (andartau).




Teruskan berjuang, duhai mujahid setia!










Friday, November 11, 2011

111111 Dan Apa Selepas.

Menakjubkan bagaimana majoriti manusia yang datang daripada kepelbagaian bentuk dan latarbelakang yang berbeza, melalui kitaran hidup yang sama.

Tentunya sedikit sebanyak peranan ‘menyatukan’ ini dimainkan oleh beberapa faktor serupa yang dilalui semua - sistem pendidikan, kebiasaan dalam masyarakat dan media – lalu menjadikan kita berlumba ‘tanpa hujung’ untuk mendapatkan sesuatu yang sama. Kebahagiaan hidup melalui pembinaan keluarga yang sejahtera, kerja yang stabil dan kedudukan dalam masyarakat.

Belek-beleklah laman facebook kita, coraknya boleh dijangka.

Pelajar sekolah akan bercakap berkenaan tension menghadapi peperiksaan, pergolakan dengan rakan-rakan dan cinta. Menganjak dewasa, mereka bercerita tentang perkahwinan dan kerja, sedikit usia lagi, mula meletakkan gambar anak masing-masing di facebook, bulan demi bulan.

Motif saya bukan melabel itu dan ini salah, tetapi dukacita kitaran itu biasa dilazimi tanpa menyedari bahawa di sana ada NOKTAH yang tidak diketahui kunjung tibanya. Dan menyedari setiap detik bahawa noktah itu ADA dan di LUAR KUASA KITA, bukan perkara yang mudah dalam hanyut-tenggelam kesibukan dunia.

Dunia yang paling lama akan diharungi selama tambah tolak 70 tahun, melainkan yang dikurniakan usia yang berkat sehingga 103 tahun, seperti Anas bin Malik khadam Rasulullah S.A.W, guna mengabdi citanya kepada Allah, atau jahatnya dibalas legasi berkekalan seperti Firaun.

Daripada Ibnu Umar R.A berkata, ‘Rasulullah S.A.W memegang kedua bahuku lalu berkata, “Hiduplah di dunia seolah-olah engkau orang asing, atau musafir di jalanan”.

Justeru Rasulullah S.A.W mengajar kita untuk hidup di dunia seperti orang asing yang mahu cepat pulang, atau musafir di jalanan yang hanya membawa dan mengutip sekadar keperluannya, lalu yang selebihnya dilaburkan untuk ke negara abadi.

Untuk apa harta yang dikumpul dan bahagia yang sementara, kalau di sana menjadi punca dibeban dan dipukul, lalu selamanya merana?

Saya bersyukur kerana saya dibesarkan di dalam tarbiyyah Islam. Ketika kecil kami selalu mengintai dari atas tangga melihat pasangan suami-isteri bergaduh di bawah. Menjadi saksi anak lelaki yang meninggalkan rumah dan memfitnah dipaksa kerja oleh ibu dan ayah. Menjadi sepi apabila ibu dan ayah sering kali tiada di rumah.

Suami-isteri itu di antara sekalian banyak yang datang meminta nasihat dan didamaikan oleh ibu dan ayah saya. Anak lelaki itu pelajar muallaf daripada Sabah yang cuba diselamatkan daripada kembali ke jalan lama. Dan sepi itu, mengajar kami bahawa memilih di antara keluarga dan perjuangan bukan mudah, tetapi kedudukan Allah di tempat teratas tidak boleh terkalah.

Maka kami memahami bahawa kehidupan ini bukan untuk kami, tetapi untuk yang di atas, dan yang di bawah. Terima kasih, ibu dan ayah.

Lantaran itu saya merancang kehidupan. Pahala merancang (niat) itu satu, pahala setelah dapat melaksanakannya sepuluh sehingga tujuh ratus kali ganda. Dan tidak ada batasnya (Hadis Qudsi).

Empat tahun daripada sekarang, setelah tamat di Maahad Dawli di bidang syariah, saya merancang untuk ke Pondok Modern Gontor Darussalam Indonesia selama setahun bagi mendalami sistem; satu-satunya perkara yang masih menghalang langkah saya setelah batasan di sudut ilmu di atasi dengan mendapatkan anak-anak kunci di sini. Kemudian saya akan pulang berkhidmat di Sabah, bumi yang mengajar saya erti dakwah, dengan membangunkan samada SRI Al-Hafiz di Sepanggar atau Pondok Fi Zilalil Quran di Kota Belud. Fokus saya akan tertumpu pada pembangunan anak-anak yatim dan muallaf - saya lebih optimis untuk membentuk generasi baru daripada membetulkan generasi lama - dan pada masa sama melatih sekumpulan anak muda yang mampu menggalas kerja-kerja yang dimulakan.

Kemungkinan saya akan memilih untuk berkhidmat di Palestin di penghujung usia, atau menjadi khadam di Jami’ Umawi di Syria, menunggu turunnya Nabi Isa di kaki Menara Putih.

Oh, di celahan itu, saya akan berumah-tangga.

Saya juga pernah terfikir untuk hidup seperti Justin Bieber dan Bill Gates - glamor dan seronok dan kaya dan digila- tetapi hakikatnya, memulakan kehidupan semula setelah berada di sepertiga usia, menjadikan saya berasa tua dan hidup terlalu singkat untuk disalah guna. Ada rezki dan rahmat, semua itu akan dinikmati di SANA.

Hari ini (waktu Malaysia) umur saya menganjak setahun lebih tua. Terima kasih kepada keluarga dan sahabat-sahabat, yang sentiasa berkongsi pandangan, pengalaman, rasa dan harta, lalu membantu saya menjadi seadanya pada hari ini. I could have turned out worse.

Alfatihah untuk saya.

Monday, November 7, 2011

Korban Manusia

Khutbah Hari Raya Aidil Adha hari ini menyentuh tentang darah yang ditumpahkan.

Ada darah yang tumpah kerana taat kepada Allah, sebagaimana darah kibash yang disembelih oleh Nabi Ibrahim, menggantikan batang tengkuk Nabi Ismail. Rentetan peristiwa tersebut menjadi tuntutan ibadah hari ini - manifestasi pengorbanan hamba yang taat kepada Tuhannya.

Di balik itu ada juga darah yang tumpah secara haram, sebagaimana tumpahnya darah Habil di tangan Qabil akibat hasad dengki dan cintakan dunia.

Darah Muslim haram ditumpahkan tanpa datangnya tiga sebab. Penzina yang sudah berkahwin, bunuh balas dan murtad.

Khatib menutup khutbah dengan melaknat pertumpahan darah haram di sini. Hari ini sahaja, demonstrasi selepas solat hari raya sekitar Syria memakan 23 orang korban.

Dalam suka-riang tua dan muda memestakan ibadah korban di tanahair, jangan lupa di tempat-tempat lain, korbannya ialah manusia di tangan manusia. Muslim di tangan 'Muslim'.

Dalam sibuk ketawa, berhentilah seminit dua memanjatkan doa buat mereka. Kerana sampai masanya, mereka akan bertanya.

"Di mana kalian yang mengaku saudara-saudara Muslimku?"

Alfatihah.

video

Saturday, November 5, 2011

Berkorban Usia di Sekolah Tercinta

Diberitahu bahawa hayat kami di Syam berbaki dua minggu, kami belajar untuk menghargai.

Kami menghargai masa yang ada dengan mengikuti kelas-kelas pengajian formal dan khususi yang padat setiap hari, hampir menyamai bilangan kelas Imam Nawawi walaupun dedikasinya masih belum dapat dituruti.

Kami menghargai detik-detik terakhir bersuka-duka bersama sahabat-sahabat di sini.

Kami menghargai kelas pengajian formal pada sebelah petang seolah-olah ini sahaja ilmu bumi Syam yang berbaki untuk kami.

Kami menghargai setiap senyuman kanak-kanak arab yang terlukis di wajah setiap kali disua gula-gula atau coklat. Subhanallah, kalau kami mulakan sebegini sejak awal sampai dahulu, setahun sudah memadai untuk pulang melipat kuda hasil tinggalan penjajah di Malaysia.

Camni punya kiut, boleh ke tak hargai?

Tetapi itu cerita lama, dua minggu lepas. Rupanya Allah masih mahu mengurniakan kami peluang nafas panjang; walaupun persetujuan mendapatkan visa pelajar masih tergantung, dengan usaha keras pihak kedutaan, sekurangnya mudir maahad telah perkenan menjamin posisi kami - kami tidak perlu keluar seperti diarahkan Cabang Aman di sini. Lalu kami meneruskan pembelajaran, dan tenggelam semula ke ruang selesa. Beruk oh Beruk.

Lebih bermakna, adalah anugerah yang diberikan kepada kami untuk menuntut di Maahad Dawli, Bab Soghir. Terletak di kawasan permakaman ahlul bait dan para sahabat dan awliya’, termasuk Saidina Bilal bin Rabah dan Ibnu Asakir, berkat dan rahmatnya memayungi kira-kira separuh ribu pelajar di sana.

Cabaran terbesar, ialah belajar memahami dan meraikan aneka budaya dan bahasa, pekerti dan cara sekitar 70 warganegara yang membentuk masyarakat di Dawli.

Minggu-minggu pertama, pelajar-pelajar dari negara-negara ‘tan’ cukup mengancam kesabaran. Tajikstan, Uzbekistan, Dagestan,Kazakhstan...

Dalam keadaan hyperaktif mereka bertelingkah pendapat dengan ustaz, dalam keadaan normal mereka akan bertanya setiap soalan yang terlintas di kepala, dan dalam keadaan bosan, mereka berborak sesama mereka. Mereka datang dari puluhan negara berbeza, tetapi bahasa Rusia menyatukan mereka membentuk kelompok terbesar di Dawli.

Mujur sahaja saya cepat belajar – if you can’t go against them, go with them. Kini saya duduk di sebelah pelajar Dagestan, sedang mempelajari bahasa Rusia dan memasak ayam kari, ayam kurma dan agar-agar untuk diberi kepada mereka dua kali seminggu. Hasilnya? Cubalah.

Beza sistem pendidikan di sini, dan di Malaysia, paling ketara kelihatan pada sikap dan kesungguhan guru-guru yang mengajar. Tanpa menafikan kewujudan guru-guru seumpamanya di dalam negara, kemahuan yang ditunjukkan oleh pengajar di sini cukup mengagumkan.

Saya sering dikejutkan melihat ustaz di dalam kelas beralih tersenyum pada kemuncak kemarahan di dalam kelas, misalnya ketika dicadangkan oleh pelajar untuk ditukarkan dengan ustaz lain kerana ‘tidak pandai mengajar’. Barangkali kalau berlaku pada saya, sudah ada pelajar yang mati dihenyak kerusi.

Ustaz-ustaz juga adalah role-model kehidupan yang zuhud dan sederhana, mengajar dengan prinsip ‘dilalatul hal aqwa min dilalatul aqwal’ - 'pedoman peribadi lebih besar daripada pedoman kata-kata'. Kepakaran mereka dalam bidang ilmu masing-masing juga bukan alang-alang. Muwajjih kami, yang kerjanya menyemak kehadiran pelajar setiap hari, adalah pemegang Dr Falsafah dalam bidang Al-Quran. Ya, tukang semak kehadiran.

Kami memohon doa diberi istiqamah mengorbankan usia meneruskan pembelajaran di sini.


Antara subjek paling menarik, English.
Kalau klik gambar ni, dan tengok video di bawah boleh tengok betapa power kaedah cikgu ni mengajar English kepada orang asing.

Kompleks sekolah dilengkapi asrama yang khabarnya
disumbangkan oleh seorang Jepun Muslim.

video

Kegiatan pelajar di waktu rehat. Yang pakai baju biru, pegang tali skipping idola saya,
sebab ayah dia Melayu dan mak dia Itali :)

video

Kaedah pembelajaran Inggeris guru Arab.

Baru ni cari anak angkat.
Jumpa seorang budak Tan, Abbas yang ada mak tapi boleh diangkat.

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua guru-guru khususnya yang pernah mengajar saya. Kesungguhan kalian, mengertikan nilai pengorbanan tanpa ada tolok-bandingnya. Mudah-mudahan kalian tidak putus-asa menyebarkan ilmu, dan kami suatu hari kelak, akan menuruti kalian.

Friday, November 4, 2011

Lubnan In Colours

Beberapa gambar yang sempat diambil semasa terkandas di Lubnan baru ni (tetapi tidak sempat disusun).


Kota Beirut dipenuhi graffiti yang indah.


Batu Rawsha yang terkenal di tengah lautan.


Tempat kami menginap di antara dua sempadan (dalam rostrum masjid).


Don't Be Judgemental.


Save Your Planet. Embrace Life.


Kedai bundle berdekatan Kedutaan Kuwait tempat kami membeli persalinan.


Love Your Soul.


Antara yang menarik di Lubnan - dapat tengok laut selepas
10 bulan rindu, tengok orang memancing.


Makam Rafik Hariri, mantan Perdana Menteri Lubnan yang dikatakan dibunuh Hizbullah.
Bapa kepada Perdana Menteri sekarang, Saad Hariri.


Jami' Rafik Hariri dilindungi awan.


Perbezaan dua darjat, apartment kaya yang sedang dibina terrace garden..


..dan pekerja-pekerjanya yang tidur beratapkan langit.

Lubnan bukan sebaik-baik tempat untuk diziarahi, tetapi setiap tempat punya nilai pengajaran tersendiri. Khususnya Lubnan.

Bila nak ada rezki jalan ke Rusia pula..

Motivasi Srikandi : 10 Minit Bersama Ummu 'Akif

Guest Post : Sumber blog adinda Nur Al-Farhain Kamaruzaman.

Sayap kiri Sheikh Mahdi 'Akif, mesra dipanggil dengan Ummu 'Akif

Alhamdulillah dengan izin-NYA, pada tarikh2 November 2011, saya sempat mencuri peluang untuk bertemu dengan isteri mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr Mahdi Akif. Saya menemani ayah yang ditugaskan membawa beliau dan suaminya dari KLIA ke Universiti Kebangsaan Malaysia untuk memberi ‘talk’ berkaitan revolusi Mesir yang berlaku.

Berikut merupakan sedikit perkongsian hasil daripada temu bual kira-kira 10 minit.


Saya : Apakah peranan yang dimainkan oleh golongan wanita dalam revolusi Mesir yang berlaku ??

Ummu ‘Akif : Antara peranan yang dimainkan oleh wanita ketika revolusi Mesir adalah mereka sama-sama ‘turun padang’ di medan tahrir. Mereka memberikan sokongan material dan spiritual. Malah mereka bertindak seperti Asma’ Abu Bakar ketika berlakunya peristiwa hijrah ; membawa makanan untuk para suami dan kaum keluarga yang berhimpun di sana. Selain itu, wanita juga turut sama berkumpul dan menjadi baris kedua di medan tahrir, mereka sama-sama siang dan malam menyatakan bantahan pada kekejaman dan menuntut regim Husni Mubarak meletak jawatan. Antara peranan penting yang lain dimainkan oleh wanita juga, adalah mereka bertindak membersihkan kawasan sekitar tahrir daripada sampah sarap dan kekotoran.


Saya : Bagaimana Sheikh Mahdi ‘Akif membahagikan masa antara tugasnya sebagai seorang murabbi dan tugasnya sebagai seorang suami dan ayah?

Ummu ‘Akif : Subhanallah, dicelah-celah kesibukan menjalan tugas dan amanahnya sheikh masih memperuntukkan masa sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk bersama-sama keluarganya. Malah masih sempat duduk semeja makan bersama-sama keluarga. Sheikh juga tidak lupa mentarbiyah anak-anak malah bukan sahaja saya, tetapi sheikh juga mentarbiyah dan mengambil berat keluarga saya (Ummu ‘Akif). Apa yang penting dan perlu diingat bukanlah kuantiti masa yang diperuntukkan tetapi adalah kualiti waktu sheikh bersama-sama anaknya.


Saya : Ceritakan sedikit pengalaman sheikh yang dipenjarakan selama berpuluh tahun.

Ummu ‘Akif : Ketika itu aku belum lagi berkahwin dengan sheikh. Sheikh pada asalnya dihukum gantung tetapi alhamdulillah dengan izin-NYA , hukuman beliau diringankan menjadi penjara.


Saya : Apa nasihat dan pesanan Ummu ‘Akif pada isteri-isteri pejuang Islam??

Ummu ‘Akif : Pertamanya, pastikan kita semua bersatu hati supaya kekuatan menjadi milik kita. Keduanya, jagalah ukhuwah sesama kalian. Kami para isteri pejuang sentiasa berhubungan dan bertanya khabar antara satu sama lain. Ini penting agar kita tidak rasa bersendirian dan merasai kebersamaan dalam perjuangan ini. Kami merasai kekuatan ukhuwah yang didasari akidah malah kadangkala ia lebih kuat daripada ikatan darah. Perkara yang menjadi program wajib juga adalah perjumpaan bulanan seperti usrah,daurah dan lain-lain. Selain itu, ringankan tulang dan jangan lokek memberi pertolongan antara satu sama lain. Aku dan kamu semua dihubungkan dengan satu ikatan akidah yang SATU iaitu mentauhidkan ALLAH. Moga kita senantiasa melakukan apa jua IKHLAS semata-mata kerana ALLAH Taala.

Di akhir pertemuan, saya meminta Ummu 'Akif menulis sedikit azimat dan kata-kata nasihat untuk tatapan kita bersama.

Sebuah bingkisan doa & pesanan yang ringkas & padat. Amin !!

Itulah sedikit sebanyak perkara yang dapat dikongsikan untuk tatapan bersama. Walaupun mungkin banyak yang diperkatakan sudah diketahui, tapi roh dan perasaannya berbeza apabila ia keluar secara langsung daripada isteri seorang murabbi. Salam ukhuwah fillah. Moga Allah merahmati anda, saya, mereka dan seluruh pejuang agama Islam di atas muka bumi ini. Saya hadiahkan doa di bawah buat semua para pembaca :

Bismillahirrahmanirrahim

Ya ALLAH,

Sesungguhnya Engkau tahu

Bahawa hati ini telah berpadu

Berhimpun dalam naungan cinta-Mu

Bertemu dalam ketaatan

Bersatu dalam perjuangan

Menegakkan syariat dalam kehidupan

Rapatkan lah dada kami

Dengan karunia iman

Dan indahnya tawakal pada-Mu

Hidupkan dengan ma’rifatMu

Matikan dalam syahid di jalanMu

Engkaulah pelindung dan pembela

Amin Ya Rabbal ‘Alamin

p/s nurilhakim : Asalnya saya meminta penulis bertanyakan tentang poligami di kalangan pejuang-pejuang Islam dan manfaatnya kepada perjuangan tetapi soalan tersebut tidak sempat dilemparkan :(

Saturday, October 8, 2011

Ashabul Hudud Part 2

Dua Ashabul Hudud (Penghuni Sempadan) menikmati teh di sempadan Lubnan.

Watak-Watak Kecil Yang Bernilai Besar

2-5/10/2011

4 hari berlalu tanpa banyak beza. Hari-hari diisi dengan penantian, bertafakkur dan tidur, berpusing-pusing di Hamra’ dan Souq Bundle berdekatan Kedutaan Kuwait, menziarahi kedai buku, membaca, penantian, bertafakkur dan tidur. Lubnan banyak diwarnai peristiwa penting kepada rantau ini, antaranya Perang Saudara 1975-1990, pembunuhan pelarian Palestin Shabra-Shatila 1982, pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri 2005 dan serangan Israel ‘untuk menghapuskan Hizbullah’ tahun 2006 [40 000LL tambang, buku, makan].

Banyak watak yang mengisi hari-hari ini, dan masing-masing meninggalkan nilai pengajaran kepada hari yang akan datang.

Dua ahli Malaysian Battalion (MaBatt) yang menjaga sempadan selatan Lubnan-Israel dalam misi bersama United Nations, Encik Sulaiman dan Encik Pasli, singgah di kedutaan, dan bukan sahaja menghidang 1001 pengalaman, juadah nasi himpit dan serunding, tapi turut menghulur duit belanja 'tanda ingatan'. Encik Sulaiman merupakan lepasan Maahad Muhammadi Lelaki, Kelantan, sementara Encik Pasli alumni di SAMT Batu 38, Sabak Bernam, sebelum kedua-duanya menyertai tentera. Takdirnya, mereka antara yang tiang kehidupan beragama di dalam batalion mereka.

Kakak cleaner daripada Sri Lanka, yang mampu berbahasa Inggeris dan Arab dengan lancar setelah dua tahun bekerja di Lubnan, menjadi tempat bersembang petang.

Encik Azman, second-in-charge di kedutaan, yang baru dua bulan bertugas di sana, sentiasa bertanya khabar, malah menghulurkan stok mee segera, sardin, biskut dan lain-lain agar kami tidak perlu berpuasa setiap hari.

Cik Rosnah, Encik Mohd Noor, Encik Muhammad bodyguard kedutaan, Cik Manal di kaunter, Encik Usman ‘handyman’ yang tidak putus menyuntik semangat ‘Allah Karim’ ke dalam diri kami; kesemua mereka sekurang-kurangnya bertanya khabar dan menjalankan tugas cuba membantu kami.

Yang saya tidak berkesempatan bertentang mata walaupun sekali ialah TYT Duta sendiri (dua orang kawan saya sempat terserempak dengan beliau sekali). Saya jangkakan beliau teramat sibuk dan tak sempat untuk menjeling nasib kami bertiga. Sukacita, pada hari terakhir, pegawai beliau sempat menyampaikan pesan bahawa beliau teramat mengambil berat apa yang berlaku terhadap kami, sebelum memaklumkan bahawa beliau tidak lagi membenarkan kami tinggal di kedutaan kerana mempunyai security-risk yang tinggi.


Spesies Arab Tidak Boleh Digantung Harap

6/10/2011

11.00am :

Setelah 6 hari kami dibawa ke Kedutaan Syria di Beirut untuk mengambil visa masuk ke Syria. Menjangkakan ditemani pegawai kedutaan Malaysia tetapi hampa. Rupanya penantian 6 hari itu menanti pemandu kedutaan cukup lapang untuk membawa kami. Kedutaan Syria memaklumkan bahawa rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk masuk ke Syria. Sekali lagi kami menjadi mangsa kedunguan sistem.

Menghubungi Kedutaan Malaysia di Syria, yang ternyata lebih bersungguh-sungguh untuk membantu. Alhamdulillah, Encik Hussin, pegawai kedutaan di Syria mempunyai urusan di Beirut keesokannya, dan kami dibenarkan menumpang beliau pulang.


Diagnosis Tempoh Hayat

7/10/2010

4.30pm :

Perjalanan ke sempadan Syria petang itu umpama perjalanan pesakit barah ke hospital untuk mengetahui berapa hari lagi berbaki untuk hidup. Jalan yang sesak menyebabkan kami sampai 4 jam lebih lewat daripada jangkaan.

9.00pm :

Tiba di sempadan Syria. Pemandu kedutaan mengambil semua pasport dan masuk ke pejabat imigresen. Agak lama menunggu, beliau keluar dan memaklumkan bahawa bos imigresen ingin berjumpa kami bertiga.

Ternyata diagnosis jangka hayat kami benar. Kami hanya diberi masa dua minggu untuk hidup. Menghidupkan hati dan akal dalam barakah bumi Syam, sebelum diarahkan keluar melalui lapangan terbang.

Sungguh saya tidak pernah menemui kelompok yang lebih benci kepada penuntut ilmu syariah berbanding makhluk-makhluk ini. Mujur segala maki-hamun, qunut nazilah dan sumpah seranah tenggelam dalam teguran Allah melalui mulut imam solat Jumaat esoknya :

Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya (Al-Anfaal : 30)

Ternyata, 144 jam, 2150 Lera Syria dan 113 000 Lera Lubnan kemudian, Allah memberikan kami pinjaman 2 minggu sahaja lagi untuk berada di Syam, kalau segala bentuk rundingan yang akan dibuat dalam tempoh tersebut gagal.

Musafir, membawa kita mengenali sahabat di waktu susah dan senang, dan mengenali diri sendiri samada menyusah atau menyenangkan orang lain.

Ujian, datang untuk menilai tahap kesabaran dan kesungguhan meletakkan keyakinan pada Allah.

Bumi, boleh dibatasi oleh garisan sempadan dan peraturan manusia yang berlaku bongkak dan merasai dirinya tuan, tetapi hakikatnya, bukan sahaja kawasan di antara dua garis sempadan dipanggil no man’s land.

Kerana sesungguhnya, seluruh bumi, adalah bumi Allah, Allah’s Land, dan kita hanyalah penumpang sementara.

Jazakallahu Khair, kepada semua yang mendoakan.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan