:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, January 28, 2012

Daripada Sham Kepada Alam

Ini adalah kisah kesempitan hidup penuntut ilmu ajanib (bukan Arab) di bumi Syam, yang bermula sebelum mereka menjejakkan kaki ke sini lagi, dan bertambah buruk akibat tempias Arab Spring. Ini adalah coretan tentang bagaimana saya dan anda boleh membantu mereka.

Kaleidoskop kehidupan saya sejak kecil, sering diwarnai oleh gelap sengsara akibat kemiskinan dan kesusahan hidup kelompok yang kais pagi dan petang mereka kurang membuahkan hasil.

Daripada anak jiran apartment di kota Edinburgh, yang acapkali mengetuk pintu merayu pelat ‘tam-tam (something) to eat’, armalah dan anak yatim di Bangi, muallaf dan fakir di pedalaman Sabah membawa ke peminta sedekah dan anak-anak kecil yang terpaksa bekerja menjual stoking dan mainan di pinggir-pinggir kesibukan bumi berkat Dimashq, saya pasrah untuk terus bergelut memastikan mereka hidup, atau hidup bergelut bersama mereka.

Semenjak kecil juga, kita didedahkan dengan jerih-perih umat Islam di Palestin, Chechnya, Bosnia dan Thailand angkara penindasan musuh Islam ke atas majoriti yang lemah dan pecah, selain ‘mangsa kemarau’ yang berpanjangan di Somalia dan Indonesia, malah berkongsi cerita dan pengalaman dengan pelajar-pelajar Maahad Dawli tempat saya menuntut, yang datang daripada pelosok dunia; Rusia ke Australia, China ke India, membuka mata kepada bahana besar yang jarang sampai kepada telinga awam, khususnya kancah ummah di negara-negara majoriti Islam ‘jajahan takluk’ rejim komunis negara Stalin.

Kesemuanya lalu membuahkan hasrat mendalam untuk menjadi sebahagian solusi penderitaan ‘antarabangsa’ ini.

Jalan apakah yang lebih baik untuk meruntuhkan tembok kuasa kezaliman sejagat dan ketidakupayaan umat ini melainkan dengan menyebarkan kefahaman Islam yang sempurna dan adil untuk semua melalui agen-agen pendakwah yang sempurna fikrahnya? Bukankah Rom dan Parsi, yang persis Amerika dan Rusia pada hari ini tunduk di bawah lembayung syumul Islam era Khilafah dahulu? Tidakkah barakah limpahan zakat dan sedekah membanjiri Baitul Mal zaman Umar Abdul Aziz sehinggakan menteri-menterinya terpaksa bermusafir jauh untuk mencari penerima?

Yakinkah bahawa sejarah mampu berulang dan diulang di tangan kita?

Dengan pasak-pasak kepastian ini, tanggal 25 Januari 2012, genap setahun berkelana di bumi Syam, saya mengambil peluang yang terbuka. Hasil perbincangan dengan beberapa orang sahabat, kami menubuhkan Rabithah Tullab Ad-Dawli (Ikatan Pelajar Antarabangsa) yang berpusat di Dimashq, dengan moto “Daripada Sham Kepada Alam”.

Dengan teras utama menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang memerlukan biaya kewangan, selain membina jaringan masa depan bakal-bakal ulama’ seluruh dunia, khususnya yang menuntut di ‘Kolej Antarabangsa’ ini, kami memulakan langkah dengan melantik beberapa orang pelajar Dagestan, Uzbekistan, Kyrgyz, Shishan (Chechnya), Tajikistan, China dan Indonesia mewakili pelajar negara masing-masing mencari kelompok yang berhajat.

Setakat hari ini, empat orang individu daripada Dagestan, Kyrgyz, Indonesia dan Shishan telah dikenalpasti malah mula menerima bantuan bulanan yang semampunya daripada Rabithah.

Jumlah bantuannya tidak besar, tetapi cukup untuk suara hati yang menyatakan bahawa ‘kami adalah saudaramu dan kami peduli’ sampai kepada mereka.

Jumlahnya tidak besar, tetapi cukup untuk mendorong semangat mereka bersungguh-sungguh di dalam pengajian sehingga tamat, lalu pulang berkhidmat menyebarkan agama kepada masyarakat masing-masing.

Jumlahnya tidak besar, tetapi cukup untuk mereka kenangkan kelak tatkala telah bergelar qadhi dan mufti, panglima mujahidin dan pendaulat ad-din, bahawa mereka pernah dan masih merupakan sebahagian daripada jaringan dan ikatan antarabangsa yang mengejar matlamat sama.

Jumlahnya tidak besar, tetapi cukup, mudah-mudahan, untuk melepaskan diri yang berusaha daripada soal-siasat Allah tentang manifestasi peduli terhadap saudara seagama, dengan menyukai dan mendapatkan untuknya, apa yang disukai oleh diri sendiri.

Kapal yang baru, lazimnya akan diterajang badai lautan sebelum dapat sampai ke daratan. Apapun, sekurangnya kami telah mula melangkah, daripada menjadi kelasi peringkat negara, beranjak menjadi nakhoda peringkat antarabangsa.

Tetapi dengan sumbangan pendayung dan layar, perjalanan panjang ini pastinya akan lebih mudah. Dan pendayung dan layar itulah, yang kami dambakan daripada anda.

Apakah kira-kira nilai pada harta dunia, tatkala lazat makanan berlebihan tidak sampai sehari akan menjadi bahan buangan, tatkala kemewahan rumah, kereta dan perhiasan tidak dapat dibawa bersama ke kuburan dan tatkala seronok yang tidak berkekalan, untuk kehidupan akhirat tidak menjadi bekalan?

Siapakah yang lebih dungu daripada yang mengorbankan abadi, semata-mata untuk 60 atau 70 tahun yang pasti berakhir mati?

Sultan Zainal Abidin, setiap kali pintu rumahnya diketuk oleh orang berhajat, akan menyambutnya dengan berkata, “ Selamat datang wahai yang akan memikul untukku bekalan ke akhirat.” Malah Nabi Muhammad S.A.W bersabda, tidak berkurang harta dengan bersedekah.

Lalu hari ini, kami mengetuk pintu rumah anda. Adakah anda akan menyambut?

Komen dan cadangan anda sumber semangat, copy dan paste ke blog anda menyebar manfaat dan sumbangan material anda, mudah-mudahan dihitung kelak sebagai asbab khilafah kembali tersemat.

Bismillah, aku memulakan hari ini dengan kebaikan..

Ali Manabov (Dagestan) bersama Ismail (Amerika) dan Khidr Mohd (Australia) bergambar di hdapan replika Kaabah, simbol kesatuan umat Islam.

Saya bergambar bersama Ahmad (Shishan) usai sesi persekolahan.

Abdul Qadir, Izzatullah, Abdullah dan seorang lagi sahabat mereka daripada Kyrgyz bergambar di bawah pelangi - merekalah bakal penyinar masa depan umat Islam Kyrgyz dan Uzbekistan.

Buat masa ini, segala bantuan berbentuk kewangan boleh disalurkan kepada akaun Maybank Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, pengasas Rabithah, dengan makluman. Dengan sebab-sebab keselamatan, kehadiran Rabithah dan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan belum boleh dilaksanakan secara formal di bawah naungan Kerajaan Syria.

No Akaun : 162263440765

Facebook : nurilhakim hakim


5 comments:

Anonymous said...

teruskn usAHA MEMBANTU BANG NADIR..insya allah..xda hartapun doa kmi smua mengiringi..

che said...

Salam- tahniah di atas usaha Ustaz Nadir dan kawan2. Semoga ada di kalangan kita yg sentiasa terdorong untuk menyumbang. Che dan abi mendoakan keberkatan dan dipermudahkan semua urusan. Insya Allah walaupun sedikit akan dipercukupkan kerana ada keberkatan.

nurilhakim said...

Salam anonymous.Syukran doanya. Dimana langit meneduh di situ manusia menuduh.

Menuduh yang kita tak buat apa-apa untuk bantu mereka kelak di depan Allah sedangkan kita mampu.Doakan lagi :)

nurilhakim said...

Salam bonda dan ayahanda.

Kawan-kawan faham bahasa Rusia je,kena terjemah kalau nak sampaikan tahniah pada mereka :)

Kiamat makin dekat,makin susah nak berbakti.Dulu dengan blog boleh dapat sumbangan sekitar rm500 satu hari.Tapi makin penghujung makin susah nak dapat bantuan.

Tapi takpe,berkat doa che dan abi,harta kita (baca:abi) cukup untuk bagi makan dunia,insyaallah.

Doakan.

fadzilah said...

Salam, saya baru je tahu pasal usaha tuan ini. Pada mulanya ada terbaca info di facebook tentang usaha untuk menyediakan kemudahan solat untuk bulan Ramadhan di Gaza. Apabila saya mula cuba mendapatkan alamt emel tuan, saya telah dibawa sampai ke sini. tahniah, atas usaha yang tuan laksanakan..insya ALLAH ada rezeki tambahan dari ALLAH saya akan menyumbang sekadar yang mampu.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan