:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Friday, December 25, 2009

KRU KM ; Islam di Hatiku

KRU KM bersama barisan fasilitator

Kota Marudu mempunyai 13 masjid dan 32 surau berbanding 90 gereja, belum di ambil kira masjid dan surau yang berfungsi atau mati. Islam menyusup masuk ke pelusuk desa dan pedalaman, tidak sempat melekat roh dan izzahnya sebelum direnjat semula oleh kelompok sebelah sana. Gemilang sejarah perjuangan Shariff Osman sekitar tahun 1900 membebaskan 'Bandau' dari cengkaman penjajah tidak diwarisi semangatnya oleh penduduk Islam tempatan. Hanya di sini-sana, kedengaran kisah-kisah tokoh yang berhempas-pulas di tempat sendiri memastikan Islam terus mendapat tempat biarpun yang menjadi inspirasi hanyalah pahala yang tidak kelihatan oleh mata kasar insani.

Keadaan tersebut akan berubah. Dan masanya bukan esok atau lusa, jauh sekali tahun hadapan atau seabad yang akan datang. Masanya ialah sekarang, hari ini. 2 hari berkampung di Kota Marudu ditemani oleh pejuang-pejuang dari kalangan anak muda, PSS berjaya menubuhkan Kelab Remaja Ukhuwwah Kota Marudu (KRUKM) generasi yang pertama. Mereka menanam keazaman seteguh berdirinya kota pertahanan Shariff Osman, bahawa Islam akan kembali dipasakkan id ginawo tulun-tulun Kota Marudu ngawi, insyaAllah!

Murabbi dua zaman - Ustaz Abdul Mutalib dan Saudara Zulhilmey Makmud

Ziarah ukhwah oleh peserta muslimat


Ziarah ke rumah muallaf yang cacat penglihatan

Friday, December 18, 2009

Bagaimana Menyentuh Hati - Hadiah Maal Hijrah

Salam maal hijrah, hadiah buat teman-teman di jalanNya, kaedah dan sentuhan untuk sang hati yang mahu kekal istiqamah, Bagaimana Menyentuh Hati oleh Syaikhuna Abbas As-Sisi. Dapatkan di ruang Bahan Ilmiah, kotak Ilmuwan.

Tugas seorang da'i seperti tugas seorang pengajar dan dokter yang akan
memberikan ubat sesuai dengan penyakit yang diderita oleh pesakitnya. Tidak
masuk akal kalau semua pesakit diberi ubat yang sama, kerana penyakit mereka tentu
berbeza-beza satu sama lain.

Pengajar dan doktor adalah da'i yang paling berjaya, jika mereka bersedia
melakukan pekerjaan itu dengan didasari keimanan kepada Allah dan untuk
menegakkan agama-Nya. Didasari oleh alasan inilah, para misionaris dalam
memerangi dunia Islam memusatkan perhatian mereka pada universiti-universiti
dan rumah sakit-rumah sakit, serta menyalurkan berbagai bentuk bantuan.

Tugas pengajar adalah menghayati hati dan pola pemikiran siswa, lalu
membimbing mereka sedikit demi sedikit, sehingga tujuan yang hendak dicapai dapat
terlaksana, sedangkan tugas doktor adalah menghapus penderitaan pesakit dengan
kata-kata yang dipenuhi keimanan dan memberikan ubat yang sesuai.

(Petikan kitab)

Yang membaca tidak akan mendapat manfaat. Hanyalah yang mengamalkan akan beroleh sesuatu. Selamat beramal.


KRU Kundasang - Alasu Mengganti Lesu

Semangat tanganak Kg. Himbaan

15-16 Disember lepas mengukir kenangan terindah sepanjang berdakwah mendekati masyarakat Dusun, apabila lemah-lembut dan baik budi mereka diadun dengan semangat pahlawan yang sedia menyusur urat nadi untuk menggantikan sogit dakwah di bumi Kundasang dengan kealasuan cahaya Islam. Program bertumpu 'Islam Id Ginawo 09' yang dilaksanakan di Masjid Kundasang seusai menziarahi adik-adik yang bersunat di Rumah Putera Harapan, Ranau dan mengajar penduduk Kg. Himbaan di Bundu Tuhan membelek Bible berjaya melahirkan sekumpulan tanganak wagu sebagai penggerak saf hadapan memulakan aksi di bumi Kundasang.

Dalam masa sehari semalam, dibekali dengan keperluan dakwah dan dihalakan ke arah matlamat yang betul, serta diterjunkan ke lapangan sebenar dakwah, anak-anak muda ini menanamkan tekad menghapuskan logop (kaki botol) sedaya mungkin, menyantuni golongan fakir dan yatim, selain mengatasi masalah generasi muda yang kada ma'an (tiada kerja/menganggur) dan direncam oleh 1001 budaya kuning lain.

Berdoa sebelum turun ke lapangan

Menyampaikan sumbangan dan tazkirah kepada yang memerlukan

Mempromosi Istak sebagai alternatif muntokou di pekan Kundasang.
Hasilnya 4 kedai bersetuju menjual Istak sebagai alternatif arak.

Hasil perbincangan - masalah dan cara penyelesaian

Dengan semangat Maal Hijrah lahirnya KRU Kundasang, yang diberi julukan Kesatria Dakwah 01 (KD 01), untuk bersama-sama dengan ketumbukan remaja yang sedar di tempat-tempat lain, menjunjung Islam dan memimpin hari esok.

Selamat maju jaya, wahai kesatria!

Monday, December 7, 2009

Ratusan Dapat Manfaat Kempen Beras PSS

Sejak sebulan Kempen 1 Keluarga 1 Kampit Beras PSS dilancarkan, ratusan individu kurang berkemampuan, golongan muallaf dan fakir miskin telah mendapat manfaat daripadanya. Program kemuncak Korban Sayang telah dilaksanakan meliputi daerah daerah Tambunan, Keningau dan Ranau sepanjang Hari Raya Aidil Adha selain sumbangan awal beras di kawasan Kota Kinabalu, Inanam dan Tuaran,

Keluarga Afendi Raihan di Kg. Log Poring, Sepanggar

Keluarga Azmi 13 beradik di Kg. Poring-Poring, Inanam

4 Keluarga Muallaf di Kg. Monsok, Tambunan

Keluarga Rizi di Kg. Binuwou Tengah, Sook

Keluarga Biah di Kg. Kemburongoh, Ranau


Sempat bertemu adik-adik di Rumah Putera Harapan, Ranau

Terima kasih kepada semua penyumbang dan penggerak persatuan. Selagi kalian semua ada untuk mereka sentiasa ada pelangi pada esok hari. Semoga kalian dimurahkan rezeki dan hidup kalian diberkati. Amin.

Thursday, November 26, 2009

Innalillah Adik Ivan


Sebelum ini wajah Adik Ivan menjadi ikon perangsang untuk umat yang prihatin menderma kepada Tabung Harapan PSS bagi program Lawatan Berkala Hospital. Kini tidak lagi. Setelah hampir dua tahun susuk tubuh yang tabah ini dikenali dan disantuni oleh ahli-ahli PSS, beliau akhirnya tidak dapat diselamatkan dan menghembuskan nafas yang terakhir sekitar bulan Oktober yang lepas. Kisah beliau boleh dibaca di sini. Al-Fatihah.

Hasrat asal kami menceria dan diceriakan oleh Adik Faizul yang kami kunjungi di Hospital Kota Belud lewat Sabtu tanggal 21hb November yang lepas sedikit tercalar bila dikhabarkan dengan berita tersebut oleh ibu Faizul. Berakhirnya perjuangan 2 tahun Ivan berhempas-pulas dengan kematian, dan sang ibu berkampung di hospital, tekad dan yakin dengan masa hadapan yang cerah untuk sang anak berakhir dengan sebuah kepahitan. Semoga mereka sekeluarga diberi ketabahan. Adik Ivan id ginawo sogigisom.

Teman sebelah bilik Ivan, Faizul yang beransur pulih di Hospital Likas lalu dipindahkan ke Hospital Kota Belud masih bernafas menggunakan mesin dan memerlukan tiupan motivasi berterusan supaya yakin untuk bernafas sendiri. Kegilaannya yang terkini ialah menonton DVD dan telatahnya berceloteh tidak ubah seperti dahulu. Beliau gembira menerima kehadiran kami dan bertanyakan seribu satu soalan berkaitan armor car yang kami bawa untuknya. Mujur sahaja teman serombongan kami termasuk ahli PALAPES pada petang itu. Kuatkan tekad, semoga Faizul cepat sembuh.

(gambar akan dimasukkan kemudian)

Friday, October 23, 2009

Kempen "1Keluarga 1Kampit Beras"


Salurkan sumbangan anda ke akaun:

CIMB : 12180099132527
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman)

atau hubungi 0198110964 untuk menghantar beras terus ke tempat kami / diambil beras dari tempat anda. Minta dimaklumkan sebarang sumbangan. Terima kasih.

Monday, October 12, 2009

RUMAH TERBUKA PSS-KRU

RUMAH TERBUKA PSS-KRU DAN PROGRAM SINARAN ROHANI

Tarikh : 17 Oktober 2009
Tempat : Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu
Masa : 8.00 pagi

SEMUA DIJEMPUT HADIR, SILA BAWA BERSAMA SEDIKIT MAKANAN, HIDANGAN 'POT-LUCK'

Tuisyen Rakyat PSS

Tanggal 6-8 Oktober yang lepas, sebermula cuti PMR yang lepas melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan 1 dan 2, Persatuan Siswazah Sabah Kota Kinabalu berjaya melancarkan kelas rintis Tuisyen Rakyat PSS melibatkan 10 orang pelajar Tingkatan 1 SMK Likas. 10 orang pelajar tersebut mengikuti kelas tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Agama Islam, Sains dan Matematik dengan dibimbing oleh 2 orang guru sukarela. Kelas tuisyen tersebut diadakan di pusat operasi PSS di Kampung Likas dan menelan belanja sekitar RM300.00 untuk kos makanan, bahan dan pengangkutan pelajar.

Tuisyen Rakyat PSS mempunyai orientasi untuk mengembangkan minat belajar dan memupuk nilai cintakan ilmu sejak dari kecil lagi. Walaupun kelas dianjurkan tanpa mengenakan sebarang yuran, pelajar dididik dengan rasa tanggungjawab sejak awal kelas supaya tidak terdetik niat untuk membazirkan masa dan tenaga diri mereka selain tenaga pengajar.

Seorang peserta Tuisyen Rakyat, Saudara Rezuan Rosli yang berasal dari Kampung Binowou Tengah, Sook ketika ditanya pendapatnya berhubung kelas tersebut menjawab, "Ini pertama kali saya mengikuti kelas tuisyen di mana saya dikehendaki memasak sendiri makanan, dan menyedia dan mengemas sendiri tempat tidur. Tidur di tempat tuisyen itu sudah suatu kelainan, tetapi apabila kami dibawa mandi air terjun pada hari kedua, saya berani katakan Tuisyen Rakyat ini nyata berbeza!"

Tuisyen Rakyat yang dibuat ala Kem Motivasi ini selain menekankan aspek akademik dan kecergasan badan, sama sekali tidak mengabaikan aspek rohani pelajar. Malah, pelajar diwajibkan untuk solat secara berjamaah selain diajar dengan zikir-zikir harian yang sepatutnya menjadi kelaziman pelajar Muslim. Lebih daripada itu, Tuisyen Rakyat mensasarkan pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk dipilih sebagai peserta.

Timbalan Presiden PSS yang mencetuskan program tersebut ketika dihubungi mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan untuk memastikan ia dapat diteruskan pada masa hadapan, selain menyeru supaya tenaga ahli persatuan di tempat-tempat lain digembleng dengan semaksima mungkin bagi menjayakan Tuisyen Rakyat di serata pelusuk negeri.

"Amanah mendidik ini adalah beban ke atas setiap individu tidak kira samada ilmu mereka banyak atau sedikit, mereka berharta atau tidak, atau mereka berkecimpung di dalam bidang pendidikan atau apa-apa bidang sekalipun. Mahu atau tidak yang menjadi persoalan," ujar beliau mengakhiri perbualan.

Saturday, September 19, 2009

Seru PSS; Robahlah Rayamu!

Program XPDC Ukhuwwah Ramadhan.
Mengajar di SMK Likas.
Laptop dan kamera dicuri.
Pulang ke kampung halaman.

Itu semua alasan laman ini mula bersawang. Alasan yang entah lulus oleh perhitungan Allah atau tidak. Itupun kalau laman ini punya nilai dakwah.Wallahua'lam.

XPDC Ukhuwwah Ramadhan mencapai 75% sasaran. Kampung Monsok, Binowou Tengah dan Himbaan berjaya diterjah dalam masa 4 hari yang padat. Seterusnya Kampung Kionsom Kecil, Kanibongan dan Saab berjaya ditembusi. Sementara Kampung Kobuni, Nunuk Ragang dan Luanti diserahkan kepada rakan-rakan NGO yang lain. Tinggallah Kampung Estet Tenghilan dan Topokon yang akan dikunjungi sebagai sebahagian daripada program raya pula. Kampung-kampung ini tidak boleh diabaikan. Di Topokon terdapat dua kes aqidah perlu dibantu, begitu juga masalah muallaf di Kampung Estet Tenghilan.

Semalam Azmi, abang sulung daripada 5 beradik di Rumah Anak Yatim Tambunan menghubungi. Beliau punya masalah untuk pulang beraya. Mujur sahaja tambangnya untuk pulang 5 beradik mencukupi. Begitu juga adik-beradik Firdaus seramai 6 orang. Pastinya raya ini mereka menantikan kunjungan abang-abang dan kakak-kakak PSS di Kampung Kemborongoh, Ranau. Dan pastinya mereka mengharapkan kunjungan itu tidak dengan tangan kosong.

Minggu lepas sehari sebelum pulang ke semenanjung saya sempat bertanyakan keadaan hidup beberapa orang pelajar yang tinggal di asrama, terdiri daripada pelajar miskin dan anak yatim. Salah seorang daripada mereka, Adik Sufry, mempunyai 8 beradik, bapanya tidak bekerja kerana sakit teruk dan ibunya yang terpaksa membanting tulang sebagai tukang sapu dengan gaji RM400 sebulan. RM400 untuk 10 beranak sebulan. Sufry hanya mendapat duit poket RM10 sebulan daripada ibunya. Rupanya rata-rata pelajar di situ hidup dalam keadaan sama. Baju mereka yang kelihatan tidak kemas dan selalu tidak dimasukkan ke dalam seluar bukan kerana mereka samseng, tetapi kerana baju tersebut telah dipakai begitu lama, sehingga sudah kecil dan susah hendak dimasukkan. Usah bertanya tentang baju raya; sepasang baju melayu khas yang disimpan di dalam almari di rumah dan hanya digunakan ketika raya, begitulah takrif baju raya baru bagi mereka. Mujur sahaja ada insan-insan budiman yang sudi menghulurkan wang, membolehkan 5 daripada mereka merasa memakai baju dan kopiah baru tahun ini.

Hakikatnya, raya telah terlalu lama disalahertikan. Kewajipan membeli berpasang-pasang baju baru, menukar langsir, mengecat rumah dan menambah garaj telah menyebabkan 'maraton memberi' yang telah dibiasakan di bulan Ramadhan terhenti dengan mengejut, menjadi 'maraton membazir dan membeli'. Begitu juga anak-anak yang dibiasakan menagih duit raya dan melantak juadah raya sebagai tanda balas dendam berpuasa selama sebulan. Hairankah jika anak-anak merengek kerana baju raya hanya sepasang dan kuih raya hanya dua tiga jenis? Mampukah mereka menghayati kehidupan golongan kurang berkemampuan sebagaimana yang dituntut oleh Ramadhan? Berikan mereka wang poket RM10 sebulan dan tunggu apa kata mereka. Sedangkan sambutan Eid Fitri, yang bermaksud kembali kepada fitrah itu seharusnya menjadi pecutan permulaan kepada hidup yang lebih bersederhana, dengan keazaman membantu mereka yang kesusahan dan meringankan beban yang kekurangan.

JOM!!
Jadikan raya pada tahun ini lebih baik daripada sebelumnya..

*PSS mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk lebihan atau serdak kuih raya untuk dibawa ke kampung-kampung muallaf, lebihan baju raya buat menutup aurat penduduk miskin yang tidak berpakaian dan baki batu-bata yang telah anda gunakan untuk membesarkan rumah untuk membina rumah bagi mereka yang hidup berbumbungkan langit di Negeri Bawah Bayu ini. PSS juga menerima sumbangan duit raya daripada baki bonus raya yang tidak digunakan atau sisa duit RM1 yang telah ditukar tetapi tidak sempat diagihkan kepada saudara-mara. Sebarang maklumat bolehlah menghubungi Saudara Nadir di 0198110964. Terima kasih.

Monday, August 10, 2009

Jelajah Ukhuwwah Ramadhan PSS


Ramadhan ini Persatuan Siswazah Sabah berhasrat mengadakan jelajah ukhuwwah ke 11 kampung muallaf di sekitar Pantai Barat Sabah. Jelajah ini akan mensasarkan 3 kriteria kampung;

1. Kampung yang pernah diziarahi atau menjadi tempat program PSS dan lain-lain organisasi di dalam Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN),

2. Kampung yang pernah dijejaki oleh PSS untuk menyelesaikan masalah aqidah dan pengabaian Islam oleh penduduk setempat, dan

3. Kampung-kampung angkat PSS yang sedang dibangunkan.

Jelajah dengan perancangan aktiviti Program Pengukuhan Solat untuk pelajar sekolah dan remaja, Ceramah Kesedaran Ramadhan untuk dewasa, Ceramah Kekeluargaan Umum, Ziarah Mahabbah Saudara Baru dan Penyampaian Sumbangan serta Gotong-Royong Ifthar dan Qiam akan meletakkan objektif-objektif berikut untuk dicapai di setiap kampung;

1. Peningkatan kesedaran menunaikan solat di kalangan remaja dan pelajar sekolah, dengan menguasai pergerakan asas solat dan 70% bacaan dalam solat,

2. Penghayatan erti berpuasa dan amalan sunat di bulan Ramadhan, dan penerapan Islam sebagai budaya pengurusan atau management tool untuk keluarga,

3. Rehabilitasi semangat saudara baru untuk mengamalkan agama Islam dengan penerapan semangat kasih-sayang umat sejagat.

Program akan berjalan dengan kekuatan pasukan seramai 10-15 orang dan dalam tempoh selama satu hari satu malam di setiap kampung, dan memerlukan biaya minimum sekitar RM600.00 untuk setiap kampung.

PSS mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan kewangan, pakaian terpakai dan barang makanan bagi tujuan menjayakan agenda besar tersebut. Mari beramal di bulan Ramadhan. Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di 0198110964. Syukran.

RAY Tambunan; Kasih Dicari Sayang Diburu

Ziarah kali pertama. Bergambar bersama sebahagian penghuni RAY Tambunan.

Dalam tempoh sebulan tiga kali kami menziarahi RAY Tambunan. Kali pertama setelah selesai Program Pemantapan Solat di SMK Nambayan, Tambunan pada 12 Julai 2009, kali kedua bersama Azhan Atan pada 25 Julai 2009 dan kali terakhir pada 1-2 Ogos 2009 bila kami berkampung di sana bersama Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Sabah dalam Program Pemantapan Aqidah. RAY Tambunan menempatkan 150 orang penghuni Muslim, 70 lelaki dan 80 perempuan yang berusia daripada 7 tahun sehinggalah 19 tahun. Ia dikelola oleh JHEAINS dan selain anak yatim, turut menerima kemasukan anak-anak yang miskin, anak-anak peninggalan ahli keluarga yang murtad dan yang bercerai.

Kali pertama bertujuan untuk meraikan hasrat Cikgu Jamil supaya kami menziarahi keluarga Ven, atau Win 5 beradik yang ditempatkan di situ. Kami disambut oleh Azmi, Khairul, Hasan, Alif dan Azura. Mereka berlima berasal daripada Kg. Poring-Poring, Inanam dan telah beberapa bulan tinggal di sana. Hasan baru dua bulan masuk setelah dilepaskan semula oleh keluarga angkatnya.

Berasal daripada keluarga muallaf yang susah dengan 13 adik-beradik, Cikgu Jamil di bawah PUM mengambil inisiatif menempatkan mereka di situ. Mereka adalah anak ke-8 hingga ke-12 dalam keluarga, dan bapa mereka telah meninggal dunia sekitar 2 tahun yang lepas. Seperti rata-rata keluarga muallaf Dusun lain yang memeluk Islam kerana perkahwinan, keluarga mereka tidak pernah didedahkan dengan ilmu Islam, sehinggakan 2 daripada kakak mereka telah berkahwin dengan non-muslim.

Pada pertemuan kali kedua, saya berbual dengan Azmi, abang sulung di situ yang berumur 14 tahun dan bertanyakan keperluan mereka lima beradik. Dia seorang yang cukup bertanggungjawab dan kerap dapat dilihat bergurau bersama adik-adiknya yang lain. Beliau menyatakan bahawa segala keperluannya telah cukup, tetapi setelah didesak beberapa kali, mengakui bahawa beg sekolahnya telah koyak dan beliau terpaksa meminjam beg sekolah kawan untuk ke sekolah. Saya menjanjikannya beg sekolah baru dan meninggalkan pesan supaya beliau menjaga adik-adiknya dengan baik, selain menyatakan akan menyampaikan salamnya kepada ibu di rumah. Beliau mengangguk dan menggenggam tangan saya erat seolah tidak mahu dilepaskan.

Program Pemantapan Aqidah minggu berikutnya membolehkan kami mengenali penghuni RAY Tambunan dengan lebih dekat memandangkan RAY adalah tempat berlangsungnya program untuk golongan dewasa, sedangkan pelajar sekolah dikumpulkan di SMK Tambunan. Kami sempat menganjurkan satu slot program bersama penghuni RAY; saya sempat menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada Azmi, dan selain itu, kami bertemu pula dengan keluarga Auntie Maineh Radin, atau Liaina. Beliau datang membeli buku motivasi untuk anak-anaknya di gerai buku kami, dan mendengar pelat Dusunnya, saya mula menemuramah.

Rupanya Auntie Liaina mempunyai ENAM orang anak di RAY Tambunan! Mohd Firdaus-16, Mohd Fahmi-14, Nurain Hajratul Aswani-13, Mohd Faridzuan-12, Nurul Rabiatul Adawiyah-11 dan Nurain Nahdatul Syuhada-10, telah menetap di sana selama beberapa tahun, lebih ramai dan lebih lama daripada keluarga Azmi Ven. Berasal daripada Kg. Kemborongoh, Ranau, Auntie Liaina akan datang setiap sebulan atau dua bulan sekali dengan bas ke RAY Tambunan untuk menziarahi anak-anaknya. Setiap kali datang, dia akan menumpang di asrama selama 3-4 hari supaya dapat lama bersama anak-anaknya, menunggu keseorangan ketika anak-anaknya ke sekolah dan menghitung waktu yang tinggal sebelum terpaksa pulang ke kampung. Apakan tidak, keenam-enam anak itulah cahaya matanya yang ada, dan semuanya terpaksa ditinggalkan kepada budi orang kerana beliau tidak mampu menyara mereka.

Sebahagian keluarga Auntie Liaina. Berbaju jingga ialah Auntie Liaina, biru belang putih Adik Firdaus dan baju kurung merah, Adik Rabiatul.

Bapa mereka meninggalkan mereka pada usia Firduas 7 tahun, dan sejak itu, Auntie Liaina menampung kehidupan dengan menoreh getah, menanam dan melakukan kerja-kerja kampung yang lain. Kami spontan menghulurkan sumbangan kepada beliau dan dengan terharu, beliau menjemput kami ke rumahnya pada hari raya nanti. Apabila saya bertanya kemudiannya kepada Adik Rabiatul berhubung punca mereka tidak boleh balik berpuasa seminggu dua bersama ibu di rumah, jawapannya mudah,

"Ustaz, kalau balik masa puasa, takde dah la duit untuk balik masa raya."

Saya tersentak. "Duit untuk balik raya macam mana?"

"Kami dah kumpul daripada dulu lagi. Kalau ada tetamu datang, bagi duit, kami simpanlah untuk buat tambang nanti.."

Saya tidak tergamak untuk bertanya samada duit tambangnya telah cukup untuk pulang, atau dari mana beliau akan mencari duit untuk membeli baju raya. Itu akan dibincangkan dengan ibunya.

Saya memohon kepada mana-mana individu yang berkelapangan untuk menziarahi dua keluarga ini, dan lain-lain penghuni RAY Tambunan. Mungkin secara material mereka agak selesa, tetapi dari sudut pengisian rohani yang tersusun, pembangunan sahsiah dan kasih-sayang daripada masyarakat luar yang prihatin, mereka masih memerlukan tangan-tangan yang sudi menghulur.

Penghuni RAY Tambunan mendengar kuliah maghrib yang disampaikan Ustaz Mukhtar.

Mereka akan seronok setiap kali menerima kunjungan orang luar, walaupun bukan daripada ahli keluarga mereka.

Tahniah kepada pengurusan RAY Tambunan, khususnya guru-guru pembimbing kerana tidak mengenal erti penat lelah mendidik anak bangsa.

penggerak program Pemantapan Aqidah bersama sebahagian pengurusan RAY Tambunan. Dari kiri Ustaz Mazri, Ustaz Idris, Ustaz Hatta, Haji Ayub, Ustaz Saifuddin dan beberapa orang pembimbing guru muslimat.

Friday, August 7, 2009

UMS Beli FFM-22, Jual H1N1


Saya terkejut apabila dimaklumkan awal pagi tadi bahawa mesyuarat pengurusan semalam memutuskan bahawa UMS tidak akan dikuarantin. Sesi pengkuliahan akan berjalan seperti biasa dan program-program yang telah dirancang akan berjalan seperti yang dirancang. Barangkali jumlah 4 kes tidak cukup untuk menakutkan pentadbiran. Hairannya, tempat-tempat lain, seperti Sekolah Agama Menengah Inanam (SEMAI), yang ketara mempunyai pentadbiran yang lebih bijak, awal-awal mengkuarantin sekolah daripada dimasuki oleh orang luar walaupun belum ada kes yang dilaporkan.

Saya percaya keputusan yang dicapai semalam bukanlah keputusan sebulat suara, kerana desas-desus mengatakan bahawa ada pihak yang mempertikaikan tahap keselamatan dan langkah kurang bijak mengumpulkan mahasiswa UMS dengan pihak luar secara beramai-ramai dalam tempat tertutup seperti pada Malam Anugerah FFM-22. Pada saya, saya yakin Malam Anugerah tersebut merupakan antara titik pertimbangan yang besar kenapa UMS tidak boleh ditutup. Seperti yang disebut Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim, dalam sidang media FFM-22 di Novotel 1Borneo baru-baru ini, "Kita berbangga setelah menunggu hampir 21 tahun, Sabah menjadi tuan rumah bagi acara ini". Mustahil mudah-mudah sahaja acara gilang-gemilang tersebut hendak dibatalkan dengan sebab ancaman wabak H1N1?

Maka pilihan yang dibuat ialah membelakangkan kepentingan ramai, khususnya kelompok warga kampus yang kurang bijak menghadiri acara tersebut, dan menyerahkan segalanya kepada takdir. Kita tidak pasti samada H1N1 akan semakin merebak di kampus setelah acara tersebut, tetapi yang kita pasti ialah amaran Allah supaya jangan menjebakkan diri di dalam perkara-perkara bodoh;
Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dengan tangan-tangan kamu sendiri, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. (Al-Baqarah,195)

UMS telah mengambil keputusan membeli FFM-22, dan menjual H1N1. Maka jika berlaku apa-apa masalah di kemudian hari, 'kotoh'.

Thursday, August 6, 2009

PSS Kecam Penganjur FFM-22


5 Ogos 2009 - Persatuan Siswazah Sabah mengecam pihak penganjur Festival Filem Malaysia Ke-22, apabila mereka masih lagi berniat mengadakan Malam Anugerah FFM-22 itu di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah tanggal 8 Ogos ini, walaupun kampus tersebut telah mula diancam wabak selsema babi (H1N1).


Presiden Persatuan Siswazah Sabah, Saudara Bunyamin Bakri, apabila dihubungi menegaskan, hasrat penganjur untuk tidak membatalkan acara tersebut, seolah-olah bertolak-tali dengan peringatan yang diturunkan oleh Allah dalam bentuk wabak selsema babi. “Sejarah menukilkan kisah penghapusan sesuatu kaum atau bangsa secara keseluruhan dengan sebab keingkaran mereka untuk tunduk kepada Allah, sebagaimana penghapusan Kaum Tsamud di zaman Nabi Shalih dengan ditelan oleh bumi, tentera Firaun yang ditenggelamkan oleh Laut Merah di zaman Nabi Musa dan lain-lain kisah pengajaran.” Beliau menambah dengan nada sinis, “Barangkali dengan sebab umat Nabi Muhammad ini diberi kelebihan oleh Allah iaitu tidak dihapuskan secara sekaligus, mereka menganggap kuasa Allah telah mula weak kerana Ribut Greg 1999, tsunami 2006 dan terkini selsema babi ini hanya memusnahkan atau menimpa segelintir sahaja manusia.”


Beliau turut menyatakan kekesalan apabila mendapat laporan bahawa gejala Kristianisasi telah mula menular semula di dalam kampus, selain penggunaan institusi pengajian tinggi sebagai tempat pelaksanaan Persidangan UMNO Sepanggar tanggal 2 Ogos yang lalu yang terang-terang mencabuli akta dan peraturan Universiti. Akhirnya beliau menyatakan hasrat menghantar memorandum kepada Naib Canselor UMS, Kolonel Prof. Datuk Dr Kamaruzaman Haji Ampon dan mengatur pertemuan dengan beliau secepat mungkin bagi membincangkan isu-isu tersebut.


FFM-22 telah bermula sejak 3 Ogos di Sabah, dan antara aktiviti yang dijalankan adalah bengkel penerbitan video, bengkel penulisan skrip, bengkel lakonan, sesi bertemu bintang legenda serta tayangan filem percuma bermula 6 Ogos sehingga 8 Ogos di GSC 1Borneo dan GSC Kilan, Kota Kinabalu, Sabah. Keputusan samada Malam Anugerah Festivel Filem Malaysia ke-22 yang dijangka akan dihadiri oleh 600 penggiat seni tanahair, dan mengedar 5000 tiket percuma kepada orang awam, mahasiswa dan sebagainya akan ditentukan petang esok melalui pengumuman samada UMS terpaksa dikuarantin berikutan beberapa kes yang telah dikenalpasti menjangkiti warga kampus.


PSS optimis pihak pentadbiran UMS akan mengambil keputusan yang betul dan mendahulukan mahasiswa sebagai rakyat di Universiti, bertepatan dengan slogan 1Malaysia yang sering ditonjolkan mutakhir ini, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan