Zaman-zaman jadi motivator dulu saya suka sampaikan satu cerita kepada peserta. Cerita tentang seekor beruk, yang tinggal di atas sebatang dahan. Beruk tersebut kerjanya menggenggam erat dahan tersebut, takut-takut jatuh. Lagi kuat badai yang datang, lagi kemas genggamannya. Begitulah dia bertahan sampai suatu hari, angin tidak bertiup kencang, tapi menghembus lembut, sepoi-sepoi bahasa. Si Beruk menutup mata, melayan sapaan manja angin di pipinya, terhuyung-hayang mengikut tiupan angin, lalu genggamannya di dahan terlepas. Si beruk jatuh terhempas ke bumi, otaknya pecah lalu tamatlah riwayatnya.
Kehadiran saya sejam setengah lebih awal daripada sepatutnya disambut sekitar 6000 orang jemaah. Jami’ Rifaie memang juara dalam menghimpunkan jemaah pada malam 27 Ramadhan. Dihidupkan suatu masa dahulu oleh allahyarham Syeikh Karim Rifai’e dan diteruskan oleh anaknya Syeikh Usamah Rifai’e, kedua-duanya terkenal thabat menentang kezaliman dan kebobrokan rejim hafiz al- assad, ayah kepada presiden sekarang, bashar al-assad.
Program yang dimulakan dengan bacaan Hizib Nasr, lalu diteruskan dengan Hizib Nawawi, menggetarkan jiwa bagi yang menghayati makna bacaannya, lalu esak tangis dan rintihan merayu bantuan Allah berlanjutan ke solat sunat tahajjud dan qunut nazilah. Tangisnya ada melodi, naik ketika imam mendoakan kesejahteraan rakyat dan bumi Syam yang telah didoakan sebelumnya oleh Nabi, dan semakin naik apabila didoakan kebinasaan ke atas musuh-musuh Syam dan Islam.
Usai solat, makanan sahur diedarkan. Beberapa sahabat lain yang terlihat kelibat saya menghampiri, lalu kami duduk di balik tiang jami’, membancuh minuman dan mula menjamah.
Baru segelas air dihabiskan, laungan takbir dan slogan-slogan anti-kerajaan tiba-tiba memecah kesunyian. Keadaan mula menjadi hiruk-pikuk. Yang berani berlari ke belakang jami’, menyertai demonstrasi yang telah tercetus. Yang terkejut berlari ke arah syeikh, berharap-harap mungkin mendapat perlindungan. Yang tenang meneruskan menjamah sahur. Memang demontrasi telah dijangka. Sebab itu Syeikh menamatkan qiamullail awal dan melarang jemaah menunggu hingga ke Subuh. Selepas sahur, terus balik, pesannya. Mereka menamakan malam ini Lail Suqutul bashar – Malam Kejatuhan bashar. Anjing kerajaan pun beratus-ratus ekor sudah menunggu di luar sejak tarawih lagi.
Saya berpesan kepada beberapa orang sahabat untuk menjaga beg saya, sebelum saya bergerak ke belakang jami’ untuk meninjau keadaan. Belum sempat sampai, demonstran berlari masuk semula ke dalam jami’. Bunyi tembakan kedengaran. Demonstran dan anjing berbalas-balas membaling apa sahaja yang boleh dicapai tangan. Senjata paling bisa, minuman botol kaca yang disediakan sebagai santapan sahur. Keadaan makin kritikal.
Saya bergegas balik ke tempat asal untuk mendapatkan sahabat-sahabat, mahu bertanya pendapat apa yang patut dilakukan. Hampa. Beg saya duduk tersengih seorang diri di sebelah makanan yang belum terusik. Wajah Malaysia satu pun sudah tidak kelihatan.
Pertama kali momok-momok ukhuwwah melibatkan ahli seusrah dan setamrin menghantui saya ialah pada demonstrasi petroleum terakhir di KLCC tahun 2007. Ketika FRU menyerang saat itu, sahabat-sahabat yang lain lari meninggalkan diri dipijak, ditackle dan digari. Tapi sekurangnya mereka menunggu sepanjang separuh hari saya dilokap dan tak putus bertanya khabar. Episod kali ini, entah mereka tahu atau tidak saya berada dalam lokap atau sedang menulis dari alam kubur, kerana sampai sekarang mereka belum bertanya khabar. Unik.
Seorang pakcik mula menghalau saya keluar daripada jami’ untuk menyelamatkan diri. Saya bergerak ke pintu depan, tetapi tembakan yang dilepaskan memaksa kelompok kami berundur. Pakcik tadi lalu menyuruh ke pintu belakang. Di luar. berkaki ayam, tertunduk-tunduk mengelak hujan kaca, rupanya jalan tersebut tidak selamat dan turut dikepung anjing yang menghayun bebas belantan. Saya berlari menyusup di celah kepungan, lalu BAMM!! Sedas pukulan padu belantan sesat hinggap di belakang badan. Kalau terkena tulang boleh retak. Kalau terkena kepala boleh pecah. Mujur hanya badan yang menjadi mangsa.
Kelihatan seorang demonstran tersungkur di kaki sekumpulan anjing, dipukul tanpa belas kasihan, merayu-rayu dimaafkan. Saya tidak dapat membayangkan betapa azab apa yang sedang dilaluinya.
Bebas daripada kepungan, makin jauh meninggalkan jami’, saya berhenti. Memandang ke belakang. Gambarannya seolah medan perang. Jerit-pekik manusia bertakbir dalam ketakutan. Darah membasahi lantai jami'. Tembakan bertubi-tubi. Apa nasib mereka yang ditinggalkan??? Yang ditumbuk lunyai dan dipijak tendang?? Yang dihempuk kaca dan dihentam belantan? Yang diheret ke markas anjing berdekatan? FRU mula menyerang masuk jami’ dari tingkat atas- rehal, rak dan penutup bekas minuman menjadi perisai para demonstran.
Terkesima. Apakah saya sedang membelakangi medan pertempuran? Apakah nilai tangisan dalam qunut nazilah yang baru sekejap tadi diaminkan? Apakah retorik mahu syahid seperti ahli Badar di bulan Ramadhan? Apakah tahap sebenar iman?
Ampunkan saya duhai Rasulullah, kerana membiarkan umatmu ditebas dan diinjak seperti lipas. Ampunkan saya duhai ahli Syam yang hak mereka dikebas. Ampunkan saya duhai anak-anak Palestin yang tanah mereka dirampas. Ampunkan saya duhai umat Islam yang sedang tidak putus ditindas.
Bisa pukulan belantan bukan pun berbekas. Selipar yang hilang bukan dibuat daripada emas. Tapi ternyata di depan ujian yang kalian hadapi setiap hari, saya bacul dan tumpas.
Si Beruk itu menggambarkan keadaan umat Islam sekarang. Apabila diuji, mereka akan menggenggam erat-erat kepada Islam yang ada di hati mereka, memohon sungguh-sungguh kepada Allah menyelesaikan itu dan ini, beribadah khusyuk-khusyuk agar doanya makbul. Tetapi dalam keadaan nyaman di zon selesa, mereka lalai lalu culas dalam melaksanakan tuntutan agama. Maka hancur-berderailah Islam yang dilepas dan terhempas.
Kamu hanya akan mengetahui tahap iman kamu, bilamana kamu teruji. Kamu dan saya. Kerana yang tidak melaluinya, tidak akan pernah merasainya. Ya Allah, engkau telah mencampakkan bacul dan takut ke dalam hatiku. Janganlah bersamanya kau campakkan perasaan tidak peduli.
Saya menuntut kalian pembaca supaya mendoakan ahli Syam yang telah ditangkap dan kemungkinan besar sedang diseksa-siasat. Mendoakan syeikh yang terlantar di hospital. Mendoakan umat, yang kerana cintakan dunia, dan takutkan mati, sebagaimana yang saya baru rasai, takut untuk bangkit membantu saudara-saudara mereka.
Cukuplah menjadi beruk, jangan jadi beruk yang tidak ada rasa peduli.
4.00pagi,
27 Ramadhan,
Bait Setinggan, Medan, Syria.
7 comments:
inalillah..selalu bersama sheikh abu yasin abu yasin di sini utk pengajian sheikh usamah lepas subuh :( moga Allah aturkan yang terbaik
Allah.
Moga selamat ahli syam dan sekaliannya.
Allah... Speechless sudah mahu apa bersuara.
masyaallah...rasa seperti diri ini selalu berektorik.
Salam Abdullah,
Amin Ya Rabb. Doakan banyak, syeikh.
Syazwan,
Sedih kan. Kronologi sedih yg masih belum terubat, mula daripada hak ahli Syam yang ternoda > masjid yg diceroboh > syeikh yg dipukul dan ditahan > kami yg seperti x mampu buat apa2 :(
kickstarter,
Sama2 kita mengenali realiti dan membumikan teori.
Salam.
Sayu je Anis baca. How scary it would be in that situation... Now I understand what u mean..
Sedih kan,lepas dah dapat segala motivation dan kekuatan tu masih juga takut berdepan musuh. Lemahnya iman :(
beruntung akh pernh ksna mrasa sndiri erti pjuangan fizikl utk bkorbn hrta dn nyawa dmi agma. wlaupun pluang syhid dpan mata dtngglkn, xberti ia suatu jnyah atau kjhtan krna skrang tiupan khbr dr syria ke alam tsebar luas mnguatkn smngat kami utk terus bdoa utk saudra dsna. syukrn ats pkongsian. smoga rhmat Allah utk kita semua. wallahu'alam.
Post a Comment