:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Wednesday, August 10, 2011

Semoga Engkau Kami Kenang

Petang tadi saya menangis dalam mimpi. Saya menangis bersama beberapa orang sahabat ketika sedang membaca Al-Quran, tetapi dukacita bukan kerana membaca Al-Quran. Kami sedang duduk di ruang solat sebuah masjid, sebelum bersetuju untuk berpindah masuk ke bilik rehat di masjid tersebut memandangkan tangisan kami menarik perhatian jamaah lain.

Masuk ke bilik tersebut, suasana yang tadinya hening tiba-tiba menjadi gamat. Dia dan dia bermain dan gelak ketawa, bergurau-senda entah kenapa. Saya menjadi bingung, lalu terjaga.

Mimpi itu bermain-main seketika di dalam pemikiran, lalu saya menangkap, ia terjemah daripada apa yang sedang saya fikirkan sebelum terlelap.

Berita pemergian sahabat usrah, Saudara Zahid bin Syafie Zuhur tadi dalam kemalangan jalan raya pagi tadi di Terengganu cukup mengejutkan. Beliau meninggal di tempat kejadian. Walaupun baru seketika mengenalinya, dan jarang sekali bertemu di luar daripada usrah, saya cukup ingat sosok tubuh kecil itu. Saya ingat beliau, khususnya pada perkongsian kisah-kisah pejuang agama yang berkorban dan syahid di jalanNya. Lontaran perkongsiannya keras dan bersemangat, mengenangkan yang mendengar bahawa beliau anak didik Tuan Guru Haji Abdul Hadi, lepasan Darul Quran Rusila. Akhirnya beliau mengikut jejak tokoh-tokoh yang selalu diceritakannya.

Yang mengejutkan saya juga, betapa berita itu zahirnya diterima oleh semua. Masih ramai yang bertanya apa menu berbuka. Masih ramai yang menghantar lawak jenaka. Masih ramai yang mengajak bercerita dan berkongsi kisah alpa. Berita ini bukan berita puluhan Arab yang mati dalam demonstrasi ditembak tentera kerajaan sendiri setiap hari. Berita ini berita kematian seorang sahabat yang telah berjanji setia dengan darah dan aqidah untuk hidup dan mati di jalan dan hadaf yang sama. Betul kata orang, banyak sangat berlaku kepelikan dan kematian di akhir zaman, menjadikan ia biasa, menumpulkan deria dan rasa.

Saya ingat ketika di sekolah dulu, setiap malam Jumaat saya akan memberi amaran kepada penghuni asrama yang malas-malas untuk duduk bersama membaca Yaasin di surau sekolah. Saya sebutkan "Kalau kamu malas membaca Yaasin pada hari ini, nanti orang lain akan malas membacakan Yaasin untuk kamu ketika kamu mati esok lusa. Allah Maha Adil". Hari ini, saya takut jika saya menerima berita kematian dengan bersahaja, mati saya kelak juga sekadar angin lalu. Pilunya tidak sempat meninggalkan bekas berparut pada hati yang mendengar. Khabarnya tidak memberi nafas segar pada jiwa yang berjuang.

Kalaupun yang pergi tidak dirasai sebagai adik dan abang kita, sekurangnya ambillah iktibar daripada kisah Nabi berdukacita atas pemergian Khadijah dan Abu Talib. Sedih baginda bukan kerana mereka isteri dan pakcik tercinta, tetapi sedih baginda kerana hilang dua permata berharga dalam jalan dakwahnya yang masih panjang.

Dan pemergian engkau wahai adikku Zahid, juga adalah kehilangan permata berharga. Doakan hati kami dibuka untuk merasainya. Al-Fatihah.

Kalau dapat diputarkan masa, saya akan mengambil semula gambar ini dengan sempurna. Gambar kabur+separuh Zahid (paling kiri, berbaju merah) di dalam program ifthar jamai'e usrah kami pertengahan tahun ini.

5 comments:

Latifah said...

Al-Fatihah.
Innalillah hi wa inna ilaihirajiun.
Semakin ramai insan-insan yang mencintai Allah dipanggil pulang. Giliran kita? Entah bila dan bagaimana. Semoga apabila tiba saat itu, kalimah Syahadah menjadi ucapan terakhir kita saat diri dipanggil pulang kepada-Nya.

nadiah said...

Al-Fatihah
Takziah..
Dgn mengingat mati kita akan lebih dekat dgn Allah..
InshaAllah

Muhammad Warouq bin Qamar said...

zaman sekarang ni orang baik-baik memang dipanggil Allah lebih cepat. semua yang pergi awal dan muda aku tengok perwatakannya baik, warak, disenangi. semoga Allah memanggil kita sebagai orang yang baik juga. amin

inksensei said...

Innalillahiwainna ilaihi rojiun.

Sewaktu sahabat-sahabat kita dipanggil Allah sdg mereka sdg berada di dalam perjuangan, bagaimana dgn kita sendiri kelak?

Sewaktu sahabat-sahabat kita mgkin sdg berehat di alam barzakh menanti istana yang abadi, bagaimana dengan kita sendiri kelak?

Atau kita lebih banyak ketawa & berehat & merasa semua itu adalah biasa-biasa & kita gembira berada dalam 'safe mode'.

Terimakasih bro kerana sering mengingatkan orang tua yg sering lupa.

Pada yang membaca, mari kita sama-sama doakan sahabat kita ini diberikan yang terbaik oleh Allah, diberikan apa yang diimpikannya.

Bismillahirahmanirahim...

nurilhakim said...

Salam ingat mati semua.

Latifah,Nadiah.

Amin ya rabb. Terus mendoakan orang mukmin, moga doa kita akan kembali sampai kepada kita.

Warouq,

Ada betulnya kata-kata tu. Doa tu menakutkan. Alih bahasanya berbunyi, Ya Allah panggillah kami cepat. Moga kita bersedia, lambat atau cepat.

Abg Nasirin,

Mudah-mudahan, tua atau muda, kita sentiasa beringat. Alfatihah.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan