:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, September 19, 2009

Seru PSS; Robahlah Rayamu!

Program XPDC Ukhuwwah Ramadhan.
Mengajar di SMK Likas.
Laptop dan kamera dicuri.
Pulang ke kampung halaman.

Itu semua alasan laman ini mula bersawang. Alasan yang entah lulus oleh perhitungan Allah atau tidak. Itupun kalau laman ini punya nilai dakwah.Wallahua'lam.

XPDC Ukhuwwah Ramadhan mencapai 75% sasaran. Kampung Monsok, Binowou Tengah dan Himbaan berjaya diterjah dalam masa 4 hari yang padat. Seterusnya Kampung Kionsom Kecil, Kanibongan dan Saab berjaya ditembusi. Sementara Kampung Kobuni, Nunuk Ragang dan Luanti diserahkan kepada rakan-rakan NGO yang lain. Tinggallah Kampung Estet Tenghilan dan Topokon yang akan dikunjungi sebagai sebahagian daripada program raya pula. Kampung-kampung ini tidak boleh diabaikan. Di Topokon terdapat dua kes aqidah perlu dibantu, begitu juga masalah muallaf di Kampung Estet Tenghilan.

Semalam Azmi, abang sulung daripada 5 beradik di Rumah Anak Yatim Tambunan menghubungi. Beliau punya masalah untuk pulang beraya. Mujur sahaja tambangnya untuk pulang 5 beradik mencukupi. Begitu juga adik-beradik Firdaus seramai 6 orang. Pastinya raya ini mereka menantikan kunjungan abang-abang dan kakak-kakak PSS di Kampung Kemborongoh, Ranau. Dan pastinya mereka mengharapkan kunjungan itu tidak dengan tangan kosong.

Minggu lepas sehari sebelum pulang ke semenanjung saya sempat bertanyakan keadaan hidup beberapa orang pelajar yang tinggal di asrama, terdiri daripada pelajar miskin dan anak yatim. Salah seorang daripada mereka, Adik Sufry, mempunyai 8 beradik, bapanya tidak bekerja kerana sakit teruk dan ibunya yang terpaksa membanting tulang sebagai tukang sapu dengan gaji RM400 sebulan. RM400 untuk 10 beranak sebulan. Sufry hanya mendapat duit poket RM10 sebulan daripada ibunya. Rupanya rata-rata pelajar di situ hidup dalam keadaan sama. Baju mereka yang kelihatan tidak kemas dan selalu tidak dimasukkan ke dalam seluar bukan kerana mereka samseng, tetapi kerana baju tersebut telah dipakai begitu lama, sehingga sudah kecil dan susah hendak dimasukkan. Usah bertanya tentang baju raya; sepasang baju melayu khas yang disimpan di dalam almari di rumah dan hanya digunakan ketika raya, begitulah takrif baju raya baru bagi mereka. Mujur sahaja ada insan-insan budiman yang sudi menghulurkan wang, membolehkan 5 daripada mereka merasa memakai baju dan kopiah baru tahun ini.

Hakikatnya, raya telah terlalu lama disalahertikan. Kewajipan membeli berpasang-pasang baju baru, menukar langsir, mengecat rumah dan menambah garaj telah menyebabkan 'maraton memberi' yang telah dibiasakan di bulan Ramadhan terhenti dengan mengejut, menjadi 'maraton membazir dan membeli'. Begitu juga anak-anak yang dibiasakan menagih duit raya dan melantak juadah raya sebagai tanda balas dendam berpuasa selama sebulan. Hairankah jika anak-anak merengek kerana baju raya hanya sepasang dan kuih raya hanya dua tiga jenis? Mampukah mereka menghayati kehidupan golongan kurang berkemampuan sebagaimana yang dituntut oleh Ramadhan? Berikan mereka wang poket RM10 sebulan dan tunggu apa kata mereka. Sedangkan sambutan Eid Fitri, yang bermaksud kembali kepada fitrah itu seharusnya menjadi pecutan permulaan kepada hidup yang lebih bersederhana, dengan keazaman membantu mereka yang kesusahan dan meringankan beban yang kekurangan.

JOM!!
Jadikan raya pada tahun ini lebih baik daripada sebelumnya..

*PSS mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk lebihan atau serdak kuih raya untuk dibawa ke kampung-kampung muallaf, lebihan baju raya buat menutup aurat penduduk miskin yang tidak berpakaian dan baki batu-bata yang telah anda gunakan untuk membesarkan rumah untuk membina rumah bagi mereka yang hidup berbumbungkan langit di Negeri Bawah Bayu ini. PSS juga menerima sumbangan duit raya daripada baki bonus raya yang tidak digunakan atau sisa duit RM1 yang telah ditukar tetapi tidak sempat diagihkan kepada saudara-mara. Sebarang maklumat bolehlah menghubungi Saudara Nadir di 0198110964. Terima kasih.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan