:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Friday, April 29, 2011

Warkah Sang Perindu


Sebahagian keluarga Sabah. Dengan cameraman sekali.

Keluarga yang paling dekat di hati saya adalah keluarga saya dalam perjuangan. Saya hanya dapat berasa damai ketika dikelilingi mereka yang sama-sama berada di dalam perjuangan. Saya tidak dapat lupa lelahnya malam-malam yang dilalui mengatur dan membuat persiapan akhir melaksanakan program-program penyerapan Islam ke sekeliling di SAMBEST dan PASUM. Saya tidak dapat lupa hangatnya saya disambut oleh sahabat-sahabat UM ketika dibebaskan daripada lokap penjara Puduraya kerana terlibat dalam demonstrasi akhir protes harga minyak. Saya tidak dapat lupa gigihnya keluarga ini bersama-sama merentas lautan, sungai dan gunung-ganang tanpa dibatasi sempadan waktu untuk sampai ke program-program di pelusuk bumi Sabah. Saya tidak lupa bagaimana perjalanan saya dibesarkan semenjak di UK, diheret ke winter gathering di Glasgow dan Manchester, malah diajar dan dididik secara tidak langsung supaya meletakkan keluarga kedua ini di tempat pertama. Malah, harapan paling besar saya kepada keluarga sedarah daging ialah membayangkan kami duduk semeja, membarisi posisi panel forum membentangkan ilmu kepada masyarakat. Atau seorang guru, lepasan mahasiswa syariah Jordan, lepasan undang-undang UIA, santri Gontor dan anak-anak didik negeri Cik Siti Wan Kembang duduk bersama membahaskan modul-modul pembangunan remaja. Atau seorang bakal isteri yang mampu berpidato mengerah tenaga rakyat menyelamatkan suami yang telah dizalimi dan disumbat ke dalam penjara. Lalu semuanya, keluarga darah daging dan keluarga perjuangan, mati di jalan Allah, dalam kehidupan yang pertama.

Katakanlah, "Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik. (At-Taubah : 24)

Pokoknya, penulisan ini dasarnya ialah kasih-sayang mendalam yang menenangkan setiap hati dan mendamaikan setiap jiwa yang disentuh semilirnya, walaupun sekilas mampu melukakan.


Dakwah di Bawah Bayu

Setiap kali ditanya mengapa Islam masih belum menang di Sabah, saya tegas dengan jawapan yang sama, iaitu kita belum layak menang. Kita belum cukup sungguh-sungguh bekerja. Kita masih ragu-ragu dalam berkorban. Kita masih sayangkan dunia. Saya menolak alasan ancaman Kristian di sini terlalu kuat. Saya menolak alasan bumi ini terlalu luas. Saya menolak alasan pejuangnya terlalu sedikit. Menyelusur sejarah AKP yang mampu memenangi hati rakyat Turki yang lebih teruk dihentam sekular dalam masa yang singkat, malah PKS di Indonesia yang bertatih kemudian berlari dalam masa beberapa tahun, saya merasakan kita perlu banyak bermuhasabah. Bermula dengan muhasabah terhadap amalan harian, bermula dengan tahap pengorbanan, bermula dengan kesungguhan. Bermula dengan diri sendiri.

“Kita perlu banyak bersyukur kerana di Malaysia hanya ada satu parti yang memperjuangkan Islam, berbeza dengan Indonesia. Dengan tahap gerakerja tarbiyyah dan dakwah kita di sini, untuk menang satu kerusi pun di Indonesia sudah dikira sangat bernasib baik” – Komentar di Saifulislam.com

Menghayati Warcraft dalam Kehidupan

Bermain
Warcraft atau apa-apa permainan lainnya, matlamat sepanjang permainan ialah mengumpul harta dan pengalaman untuk digunakan bagi meningkatkan potensi diri berhadapan dengan musuh. Tidak ada guna harta yang dikumpul berkepuk-kepuk tanpa dibelanja. Lebih daripada itu, setiap watak dianugerahkan dengan kebolehan masing-masing yang tidak ada pada watak lain. Betapa beruntungnya apabila kita mampu menilai kehidupan sebagaimana Grom Hellscream atau Uther The Lightbringer. Segala kekuatan dan kepakaran, kemewahan dan pengalaman yang dikumpulkan sepanjang perjalanan hayat, hadafnya ialah untuk digunakan menumpaskan musuh. Maha rugilah untuk diri mereka sendiri orang-orang yang mengumpulkan harta berkepuk-kepuk, sayang untuk dibelanjakan ke jalan perjuangan. Maha tertipulah orang yang tidak pernah memonteng usrah CNI dan liqa’ HPA tetapi sentiasa bertangguh untuk menghadiri program tarbiyyah jemaah. Maha kelirulah pejuang yang melihat kehidupan dunianya sebagai jalan panjang, dengan lupa kepada jambatan siratal mustaqim di penghujung menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Mendengar keluhan beberapa sahabat yang dipaksa bekerja semakin gigih akhir-akhir ini, saya terpinga. Nikmat apakah yang lebih besar boleh didustakan daripada nikmat peluang melangkah semakin dekat dan dekat kepada syurga?

Saudara Grom Hellscream yang jelas dengan matlamat hidupnya.

“ Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kepada kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan daripada mereka, sebagai bunga kehidupan dunia, agar Kami uji mereka dengan (kesenangan) itu. Kurnia Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal.” ( Taha : 131 )


Merancang Secara Makro, Melaksanakan Secara Mikro

Meneliti perancangan Yahudi menakluk dunia, kita terpegun betapa jauhnya mereka menyusun strategi dan melaksanakannya, dengan matlamat akhir menyambut kedatangan Dajjal menyesatkan manusia. Lalu kita bertanya, jika kemenangan Islam menjadi
end in mind, sejauh manakah kita merancang dan mempersiapkan diri untuknya? Cukupkah sekadar meletakkan garis panduan untuk 5 tahun, VMO satu tahun malah hanya program tiga hari pada minggu hadapan untuk memenangkan Islam. Bagaimanakah pula kita melaksanakannya, adakah sekadar melepaskan batuk di tangga atau hangat-hangat tahi ayam? Sungguh saya tidak pernah mendengar peribahasa Inggeris Kristian berbunyi like coughing on the stairs atau as warm as chicken’s shit (dengan izin). Mereka merancang dengan mati sebagai end in mind, dan melaksanakan secara tekun dan terperinci.

Berkembang hidung pulang ke rumah lewat malam kerana menghadiri mesyuarat ‘perancangan gerakerja Islam’ tidak betul kalau punca mesyuarat lewat habis ialah agenda yang tidak dirancang lebih awal dan ahli mesyuarat yang lewat hadir. Melakukan semua kerja dan terbaring lemah kerana bertanggungjawab mengatur semua program Islam tidak kena kalau silapnya ialah kerja yang tidak didelegasi dan kepercayaan tidak diberikan kepada anak buah. Programkan hidup. Hidup untuk Islam bukanlah selama tempoh KRIS atau Bengkel Pilihanraya semata-mata. Malah kehidupan keseluruhannya adalah program yang perlu diatur dan disusun secara baik dan terperinci. Bukankah jarak kita dengan syurga-neraka hanyalah sekecil sebutir zarah?

“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya.” ( Al-Zalzalah : 7-8 )


Kenapa Bukan Saya?

Bangsa Melayu suka bertanya soalan yang salah. Kenapa Hudhud yang dipilih untuk sampaikan berita kepada Nabi Sulaiman, bukan burung helang, raja segala burung? Zulqarnain tu
Alexander The Great ke bukan? Dajjal tu Amerika ke memang makhluq asing? Bertanya soalan yang salah banyak membawa fokus lari kepada persoalan picisan yang tidak mendokong intipati mesej. Terlupa peranan Hudhud yang melambangkan peranan ahli-ahli penyokong. Terlupa contoh Zulqarnain sebagai pemerintah yang universal dan jauh daripada bersifat sebagai penakluk. Terlupa tuntutan yang lebih utama, yakni mempersiapkan diri menghadapi Dajjal. Mengalu-alukan adik-adik pejuang menyambung menuntut ilmu agama di Syria, saya terkejut mendengar desas-desus ‘kenapa dia yang diajak, ada apa-apa ke?”, walaupun jemputan tersebut terbuka kepada semua sejak saya tercetus untuk datang ke sini. Lalu terlepas perhatian terhadap contoh pengorbanan seorang adik pejuang yang sanggup mengorbankan cita-cita asalnya untuk masa depan Sabah.

Saya lali mendengar celoteh sahabat-sahabat mengagumi tokoh-tokoh perjuangan di Sabah. “Hebat dia, dengan
Ford Ranger dia keliling satu Sabah, semua kerja dia buat.” “Dia kahwin anak murid dia, berapa tahun dah tak balik kampung, sibuk bangunkan budak-budak sekolah.” “Hebat dia, mati ramai orang pergi tengok, mati dalam perjuangan, tak sempat nak bertanding.” “Kalau ada sepuluh orang macam dia, menang dah kat Sabah ni.” Saya tertanya, apa hebatnya ‘dia’ yang kita tidak mampu buat? Apa yang ‘dia’ ada tetapi tidak ada pada kita? Robotkah? Malaikatkah? Kebalkah? Berhentilah menolak orang lain ke hadapan, tetapi tolaklah diri sendiri terlebih dahulu. Berhentilah menghabiskan air liur menilai orang lain, tetapi nilaikan kedudukan dan tuntutan ke atas diri sendiri terlebih dahulu. Bukankah kita berbangga mengaku sebagai pejuang? Janganlah terus meLAYU.

Jangan jadi macam ayam. Dahlah penakut, pemalas pulak tu.

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada yang menunggu-nunggu, dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya .” ( Al-Ahzab : 23 )

Saya telah mendapatkan persetujuan daripada ibubapa untuk kembali berkhidmat di Sabah setelah menghapuskan semua halangan dakwah ke atas diri saya di Syria Bumi Berdoa. Teringat kata-kata seorang
mentor yang berjanji akan memotong jarinya jika saya kembali ke Sabah setelah tamat belajar, saya sangat ternanti-nanti hari itu.

Hargailah nikmat jarimu yang masih ada! ('',)

Adik-Adik dan Abang-Abangku, Selamat Bermuktamar…

9 comments:

Anonymous said...

alhamdulillah.

you are always a good writer.

I wonder, of being JPA scholar, I forsake such experience.
Of studying abroad, I forsake such service.

Pray that I will be polished much in US.

Nik Nurulsyuhada' Binti Ismail said...

alhamdulillah..bagus perkongsian ni..sbgai muhasabah diri utk terus dan terus melaksanakn kerja2 Islam...

tawawi said...

Wooh,Best ini post!

Anonymous said...

Saya tertanya, apa hebatnya ‘dia’ yang kita tidak mampu buat? Apa yang ‘dia’ ada tetapi tidak ada pada kita? Robotkah? Malaikatkah? Kebalkah? Berhentilah menolak orang lain ke hadapan, tetapi tolaklah diri sendiri terlebih dahulu. Berhentilah menghabiskan air liur menilai orang lain, tetapi nilaikan kedudukan dan tuntutan ke atas diri sendiri terlebih dahulu. Bukankah kita berbangga mengaku sebagai pejuang? Janganlah terus meLAYU...

bersyukur bukan orang meLAYU..kui3..apalagi..mari bertindak..jgn baca jak..

nurilhakim said...

salam all,

syazwan-pple identify with what you write when their hearts speak alike.write about things close to all,n make it simple.of course u'll turn out to be great.pple wif eyes n heart open never have problems to achieve greatness.especially in d land of opportunity :)

nik,tawawi-good luck membangunkn bumi msing2,mudah2an jiwa n hati2 kita bersih dri penghalang2 langkah pertama.

anonymous-kamu tia mngaku mlayu ka?dusun kio?atau padaidi'?tgk 'jak' tu mcm org sabah jak.. :)

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
mujahidah said...

syukran atas peringatannya...terasa semakin brsmngt utk trus brjuang..Insya-Allah.

Zaiem Al-Hilmee said...

haha.. abisla abg burhan. Sama-sama kita lihat..

nurilhakim said...

Afwan.setiap perkongsian, ada nilainya di sisi Tuhan.

Jom2..kita tggu saat itu,zaiem :)

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan