:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Showing posts with label kader2 dakwah. Show all posts
Showing posts with label kader2 dakwah. Show all posts

Tuesday, December 28, 2010

Dakwah Tahu @ Dakwah Melulu?

Saya sempat bertanya pada Syeikh Nuruddin Al-Banjari dalam ceramah perdana yang diadakan di Surau An-Nur Bandar Baru Bangi beberapa hari lepas. Beliau membicarakan sepotong doa yang sentiasa diulangi oleh Baginda Rasulullah S.A.W, yang memohon daripada Allah supaya hidup manusia diterangi nur pada pendengaran, penglihatan, atas dan bawah, kiri dan kanan serta di dalam hati. Beliau menekankan aspek peri-pentingnya nur tersebut menaungi kehidupan umat akhir zaman, lagi dan lagi. Justeru di sesi soal jawab, saya mengambil peluang bertanya, apakah nur yang baginda maksudkan? Beliau menjawab, taqwa, ilmu dan iman. Apabila ditanya lanjut, apa pula nur yang paling ampuh melahirkan ikhlas dan meruntuhkan ta'ajub dalam berdakwah, beliau menjawab pasti, laluannya ialah dengan ilmu.

Justeru saya berasa penasaran, melihatkan budaya ilmu yang seakan-akan sudah tidak subur di dalam kehidupan insan mengaku dai'e pada hari ini. Datangkanlah alasan apa sekalipun, sibuk, tidak punya masa, malas atau tiada bahan, saya optimis segala kemungkinan bisa diatasi kalau hati berkata mahu. Apa beza Ali bermain bola di padang kampungnya dan Park Ji Sung bermain di Old Trafford? Apa beza Mak Leha menjual nasi lemak di Batu Sapi dan Donald Trump menjual hartanah di New York? Apa pula beza penulis picisan di blog ini dengan penulis-penulis hebat seperti Stephen Covey dan Buya Hamka? Selain pengalaman dan kemahuan yang tinggi, bezanya tentu sekali ilmu!

Dakwah bukan medan menyalurkan apa yang
kita dapat kepada orang seterusnya.

Pelik bagaimana kita mampu membentangkan hujah dan menghambur fikrah kepada madhu'u tanpa terlebih dahulu membedah intipati dakwah yang disampaikan, atau sekurangnya melakukan keduanya secara beriringan. Persisnya seperti Ji Sung yang mengajar orang bermain bola tanpa mengetahui cara mengambil sepakan sudut. Hairan bagaimana kita mengomel tidak punya bahan, tetapi untuk menggali khazanah cinta, sanggup meminta rakan menerbangkan buku Bercinta Sampai Ke Syurga dan Tentang Cinta jauh dari seberang. Ibarat Mak Leha yang mengadu tidak punya santan tapi mengimport daun pisang dari Samarinda. Musykil kabir bagaimana kita mengeluh tidak punya masa, tapi berkesempatan membelek DSLR sendiri atau DSLR rakan berjam-jam dan belajar menggunakannya. Tidak ubah seperti penulis blog yang mengambil masa berjam-jam menghias dan mencantikkan blog, tanpa mengorbankan masa untuk belajar bagaimana memperbaiki tulisannya.

Saya berpendirian proses menyelami dan membetulkan hati-hati manusia merupakan tugas paling sukar di dunia. Maka sekiranya memasak nasi lemak, menyepak bola dan menulis blog pun perlukan pengorbanan masa dan perburuan ilmu, berdakwah apatah lagi. Jangan saja menguasai maksud dan praktikal simplistik Islam, malah kaji dan terokai perkembangannya zaman ke zaman. Jangan saja cakap berdegar-degar hendak mengembalikan semula khalifah, malah selidiki bentuk dan idealisme mendirikannya semula pada abad ini, jangan hanya bercakap sini dan sana menjanjikan syurga, tapi ambillah ruang menyelami psikologi hati dan pemikiran manusia, lantas mendampinginya dan mengembalikannya langsung kepada fitrah kejadiannya.

Lebih daripada itu, dakwah bukan medan membodohkan
orang lain dengan benda yang kita tidak tahu!

Saya tertarik dengan cerita Ustaz Hasrizal dalam kuliahnya minggu lepas, berkenaan sebuah kuiz yang diadakan di kuliahnya di UIA. Pensyarahnya memberikan para pelajar sebuah peta Timur Tengah untuk dilabel, dan terbukti sebahagian besar pelajar mendapat kosong untuk kuiz itu. Saya mengambil peluang melakukan yang sama. Soalan saya mudah, wahai yang mengaku pembela dan pencinta syuhada di Palestin, yang tiap kali mengambil ibrah dari pertumpahan darah di sana dan menayangkan video-video intifadha...di manakah Palestin? 1-10?

Jika anda melabelkan mana-mana tempat di antara 1-10 sebagai Palestin, nah, selak semula omong-omongmu berhubung Palestin. Atau kalau itu terlalu sukar, cuba pula tunjukkan, di mana kedudukan Makkah dan Madinah dari sirah Madinah yang dipetik sehari-harian dan dibentangkan kepada madhu'u, malah tempat berdiri kiblat yang dihadap setiap lima kali sehari?

Tepuk dada, dan penuhi ia dengan ilmu dakwah yang berguna...

(Saya merendah diri memohon pembaca mencadangkan buku-buku dan bahan bacaan yang perlu untuk setiap dai'e, selain buku-buku konvensional yang sering diterokai. Untuk permulaan, saya mencadangkan buku warisan turun-temurun, 'How To Win Friends and Influence People' - Dale Carnegie.)

Monday, October 25, 2010

Bila Khatan Jadi Beban


"Kalau masuk Islam,kena potong tu bawah!" lawak yang sering dibuat oleh penceramah yang bercakap tentang pendekatan dakwah kepada bukan Islam, khususnya yang baru mahu memeluk Islam, dan biasanya diiringi dengan tegahan membuat kenyataan sedemikian, agar madhu'u tidak lari. Selama ini saya hanya memikirkan ia sebagai suatu gurauan, tetapi minggu lepas, terbukti ia bukan sekadar itu.

Kami sedang duduk di hadapan pegawai JHEAINS yang agak berumur. Semua dokumen telah tersedia untuk mengislamkan Christopher, seorang kenalan dari kampung Log Poring. Bersama saya ketika itu ialah abangnya yang sudah memeluk Islam 12 tahun lepas, beserta Timbalan Pengerusi ISEUMS, Saudara Asyraf yang menemani. Ustaz di hadapan telahpun memberikan sedikit pengenalan, bertanyakan tujuan menganut Islam dan sebagainya. Christopher membetulkan duduk, bersedia untuk melafazkan akad memeluk agam Islam. Tak semena-mena, ustaz JHEAINS tersebut membuat lawak terakhir sebelum mengajarkan dua kalimah syahadah,

"Kalau masuk Islam ni tu kepala bawah kena potong tau, bagi dia berbentuk-bentuk sikit."

Saya, Asyraf dan abang kepada Christopher, James ketawa berderai, cuba meringankan suasana. Tapi Christopher kelihatan kaget. Daripada kaget bertukar cemas. Setelah diam beberapa ketika dia memandang saya.

"Sunat tu wajib ke Ustaz?"

"Ya," saya menjawab ringkas. Christopher mula tak senang duduk. Dia memandang ke kiri dan kanan. Ustaz JHEAINS pun kelihatan terpinga-pinga. Tak sangka lawaknya akan meninggalkan kesan sebegitu kepada saudara yang baru hendak memeluk Islam. Christopher memandang saya semula.

"Ustaz, saya rasa kena bagi masa dengan saya seminggu dulu untuk berfikir."

Astaghfirullahala'azim. Kami beristighfar panjang.

"Takkan gara-gara itu saja kamu mahu tangguhkan masuk Islam? Sunat tu tak sakit pun, macam kena gigit semut ja," ustaz JHEAINS memujuk.

"Potong tu untuk kesihatan juga, kulit bahagian depan ja, bukan potong semua sampai habis," Asyraf meningkah.

"Kamu masuklah Islam dulu, kalau bertangguh nanti mati, tak sempat masuk Islam, macam mana?" saya berhujah.

"Nokuro ko? Au oku ngarati kau ti. Kada begitu!" abangnya memangkah.

Tetapi puas kami memujuk, Christopher tetap dengan pendiriannya. Dia tetap tidak mahu mengucapkan dua kalimah syahadah. Daripada satu alsan muncul alasan yang lain, sehinggalah akhirnya kami terpaksa akur dengan kehendaknya. Pulang dengan agak kecewa.

Mudah-mudahan hatinya akan terbuka juga nanti, dan mudah-mudahan para pendakwah akan lebih menjaga apa yang keluar daripada mulut kita!

Teringat Ustaz Nasaruddin Hassan bercerita perihal pendekatan dakwah penceramah tersohor Terengganu, Ustaz Azhar Idrus, bila dia ditanya oleh seorang mat rempit, adakah boleh dia membawa makwanya naik motor, merempit bersama-sama dengannya. Ustaz Azhar menjawab boleh, lalu seluruh audiens tercengang, kecuali mat rempit tersebut yang tersenyum lebar. Lalu Ustaz Azhar menambah,

"Tapi ada satu syarat. Syaratnya, bapak makwa kamu kena letak kat tengah-tengah seat tu, antara kamu dengan dia!" Audiens ketawa, termasuk mat rempit tersebut. Ustaz Nasaruddin mengulas,

Skil mengajar yang halus, mencapai matlamat dan dapat diterima semua pihak. Sebab tu, kuliah dia ribuan orang datang. Dan sebab tu juga, Facebook Ustaz Azhar lagi ramai fans dari saya!

Monday, August 10, 2009

Jelajah Ukhuwwah Ramadhan PSS


Ramadhan ini Persatuan Siswazah Sabah berhasrat mengadakan jelajah ukhuwwah ke 11 kampung muallaf di sekitar Pantai Barat Sabah. Jelajah ini akan mensasarkan 3 kriteria kampung;

1. Kampung yang pernah diziarahi atau menjadi tempat program PSS dan lain-lain organisasi di dalam Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN),

2. Kampung yang pernah dijejaki oleh PSS untuk menyelesaikan masalah aqidah dan pengabaian Islam oleh penduduk setempat, dan

3. Kampung-kampung angkat PSS yang sedang dibangunkan.

Jelajah dengan perancangan aktiviti Program Pengukuhan Solat untuk pelajar sekolah dan remaja, Ceramah Kesedaran Ramadhan untuk dewasa, Ceramah Kekeluargaan Umum, Ziarah Mahabbah Saudara Baru dan Penyampaian Sumbangan serta Gotong-Royong Ifthar dan Qiam akan meletakkan objektif-objektif berikut untuk dicapai di setiap kampung;

1. Peningkatan kesedaran menunaikan solat di kalangan remaja dan pelajar sekolah, dengan menguasai pergerakan asas solat dan 70% bacaan dalam solat,

2. Penghayatan erti berpuasa dan amalan sunat di bulan Ramadhan, dan penerapan Islam sebagai budaya pengurusan atau management tool untuk keluarga,

3. Rehabilitasi semangat saudara baru untuk mengamalkan agama Islam dengan penerapan semangat kasih-sayang umat sejagat.

Program akan berjalan dengan kekuatan pasukan seramai 10-15 orang dan dalam tempoh selama satu hari satu malam di setiap kampung, dan memerlukan biaya minimum sekitar RM600.00 untuk setiap kampung.

PSS mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan kewangan, pakaian terpakai dan barang makanan bagi tujuan menjayakan agenda besar tersebut. Mari beramal di bulan Ramadhan. Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di 0198110964. Syukran.

Thursday, May 28, 2009

Program 'Mipanau-Panau hiti Ranau 1'


Saya tidak mampu menceritakan segala yang telah berlaku sepanjang sehari setengah Program 'Mipanau-Panau hiti Ranau' berjalan, bermula 26-27 Mei 2009, tetapi sebaik tiba di Hotel Azzam Tokei Ikan BertaQwa (hotel 5 bintang, home-service 5 bintang, entertainer 5 bintang, PERCUMA!) di Lembah Permai, Kundasang sekitar jam 2.30 pagi itu, hati saya berdebar menanti hari esok. Kerana esok, langkah pertama yang sungguh-sungguh akan diambil untuk menawan bumi 'semangat konorohingan', tapak berdiri megahnya Kinabalu menaungi rakyat yang bertapa di kakinya. Suatu hari nanti Hotel Azzam akan tercatat dalam sejarah, sebagai tempat persinggahan pertama dan tempat terawal yang memayungi 4 orang pejuang gigih yang membawa visi dan misi besar langsung merobah lanskap pemikiran dan halatuju pemikiran generasi baru Ranahon.

26 Mei 2009

Masa

Perkara

1.00 pagi – 2.30 pagi

- Bertolak ke Kundasang

- Tiba di Lembah Permai, Kudasang

7.00 pagi – 8.00 pagi

- Bertolak ke SMK Bundu Tuhan

- Persiapan Tempat Program

8.00 pagi - 8.25 pagi

- Pendaftaran Peserta

8.30 pagi – 10.00 pagi

- Ceramah 1

: “Aku Muslim Ori, Bukan Fotokopi!” (Muslim)

: “Akhlaqku Menawan Kalbu” (Bukan Muslim)

10.00 pagi - 10.30 pagi

- Rehat / Minum Pagi

10.30 pagi – 12.00 tengahari

- Ceramah 2

: “Aku Cemerlang Bah!”

12.30 tengahari – 2.00 petang

- Solat Zuhur

- Makan Tengahari

- Bertolak ke SMA Al-Irsyadiah, Marakau

2.00 petang – 4.00 petang

- Tiba di SMA Al-Irsyadiah, Marakau

- Persiapan Tempat Program

- Ceramah 3

: “Aku dan Masa Depan Islam”

4.00 petang – 5.00 petang

- Bertolak ke Rumah Putera Harapan, Ranau

5.00 petang - 6.00 petang

- Tiba di Rumah Putera Harapan, Ranau

- Makan Malam

6.00 petang - 8.30 malam

- Solat Maghrib

- Ceramah 4

: ‘’Beruntungkah Aku? – Pengembaraan Seorang Tanak Wagu”

- Solat Isya’

8.15 malam - 10.00 malam

- Ta’aruf ; Siapakah Aku?

- Ceramah 5

: ‘Aku Muslim Ori Bukan Fotokopi!’

- Brainstorming

: ‘Aku dan Islam – Hari Ini dan Esok’

- Bahtera Mimpi

27 Mei 2009

4.00 pagi – 6.30 pagi

- Qiyamullail

- Solat Subuh

- Ceramah 6

: “Islam, Muhang Oku Dika!”

6.30 pagi – 8.00 pagi

- Sarapan Pagi

- Bertolak ke SMK (A) Mohamad Ali Ranau

9.00 pagi – 9.30 pagi

- Tiba di SMK (A) Mohamad Ali Ranau

- Persiapan Tempat Program

9.30 pagi – 10.00 pagi

- Brainstorming

: “Ranau dan Islam”

10.15 pagi - 12.00 tengahari

- Ceramah 7

: “Pelajar Islam; Cabaran dan Tanggungjawab”

2.15 petang

- Solat Zuhur

- Bertolak Pulang ke Kota Kinabalu


Ketua entertainer Hotel Azzam, Hilmi - PJ28


Pemandangan lembah yang permai dari jendela Hotel Azzam


Ceramah 2 "Aku Cemerlang Bah!" yang disampaikan oleh Saudara Fanshuri


Bergambar di depan lencana SMA Al-Irsyadiah, Marakau


Sebahagian daripada 138 orang pelajar SMA Al-Irsyadiah, Marakau


Ice-Breaking di Rumah Putera Harapan, Ranau


Senaman pagi adik Hadi - 'Senyum Paksa'


Bergambar di hadapan RPH sebelum mereka ke sekolah


Destinasi terakhir, SMKA Mohd Ali Ranau (SEMEKAR)


Di depan Masjid Al-Bukhari, SEMEKAR.
Antara sekolah tercantik di dunia(tanpa ragu)!


Minami, kenderaan rasmi 'Mipanau-Panau hiti Ranau 1'.
Ponsikow togumu Bro Nasirin!

Jutaan terima kasih kepada barisan pendidik dan pentadbir SMK Bundu Tuhan, Bundu Tuhan, SMA Al-Irsyadiah, Kampung Marakau, Rumah Putera Harapan (khususnya Ustaz Sabri) dan SEMEKAR yang memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang program, adik-adik peserta dan ahli KRU Ranau, seruan untuk bersama-sama kita ubah Sabah, sahabat-sahabat daripada Persatuan Pelajar Islam Ranau (PPIR), semoga dapat bekerjasama di masa hadapan, dan yang terutama untuk sahabat-sahabat penganjur, team profesional PSS - Azizul Julirin, yang walaupun hanya bersama dalam satu slot membekalkan kami dengan motivasi untuk sampai ke penghujung program, Fanshuri Badaruddin, yang mengejutkan abang dengan kemampuan bercakap tentang kecemerlangan akademik dan Jubair Juhinin, ex-SEMEKAR, ex-KML, bakal Sains Marin UMS dan pejuang sepenuh masa Islam di Kundasang. Semoga kerjasama dan komitmen semua pihak mendapat keredhaan Allah dan menjadi titik permulaan yang baik untuk membangunkan Sabah. Semoga berjumpa lagi di 'Mipanau-Panau hiti Ranau 2', InsyaAllah :)

Friday, May 22, 2009

PSS: 'Islam Akan Bersinar Semula Di Kionsom Kecil'

Setelah merancang dengan panjang lebar dan mencari ruang waktu untuk diisi, akhirnya pasukan penyelamat aqidah daripada Persatuan Siswazah Sabah berjaya juga memulakan kelas Fardhu Ain dan asas Islam di Kampung Kionsom Kecil. Dua biji motor yang membawa empat orang ahli persatuan membelah pekat malam, mendaki curam tajam, meredah semak-samun dan melintas babi jinak di dalam kandang akhirnya tiba di hujung persimpangan, tempat berdiri kukuh Kampung Kionsom Kecil, sekukuh dan seteguh pegangan Islam penduduknya biarpun belum terisi oleh manisnya iman dan lazatnya ibadah. Seperti kelaziman, kehadiran kami disambut oleh kanak-kanak yang muncul entah dari mana, membingitkan suasana malam. Kami dibawa ke rumah Ismail, yang dalam perbincangan awal telah dicadangkan untuk menjadi pusat pembelajaran sementara.

Surau dan pusat pembelajaran sementara di
Kampung Kionsom Kecil

Sekitar 20 orang penduduk tua dan muda yang berkumpul dihidangkan dahulu dengan cambah minda tentang keperluan mengamalkan Islam dan memastikan ahli keluarga turut hidup dalam Islam, seterusnya diadakan sesi suaikenal ringkas dan kelas pengenalan asas Islam. Walaubagaimanapun, kumpulan kanak-kanak kecil telah melangkah lebih cepat sehinggakan mampu mempelajari pergerakan solat dan mengenali huruf dalam satu malam. Sungguh anak-anak kecil ini punya potensi besar, cuma yang menjadi persoalan adalah samada peluang dibuka atau tidak untuk mereka. Malam itu ahli-ahli PSS berkampung di rumah tersebut, menanti mentari terbit buat menyuluh jalan pulang.

Kesungguhan dan keinginan anak-anak kampung mempelajari tentang Islam.
Seluar pendek bukan faktor penghalang!

Seorang ahli PSS mengambil tugas memperkenalkan
huruf kepada kanak-kanak perempuan.

PSS sangat mengharapkan perhatian dan keprihatinan pihak-pihak berwajib seperti JHEAINS, USIA dan lain-lain organisasi Islam, selain menyeru umat Islam lainnya untuk sama-sama membantu anak-anak kecil ini, selain generasi remaja dan tua kampung untuk mencari erti kehidupan beragama yang sebenar.

Semoga kehadiran 2 rais dan pimpinan ini akan lebih membuka mata ahli kampus
untuk menyantuni masalah masyarakat
selain menghimpit diri dengan permasalahan di kampus.

Untuk permulaan ini, kami memerlukan sumbangan berbentuk kewangan atau bahan untuk beberapa kelengkapan P&P seperti berikut:

15 buah Iqra' (RM4.50 x 15) = RM 67.50
10 buah buku asas Fardhu Ain (RM10.00 x 10) = RM 100.00
20 buah buku asas kaedah solat (RM5.00 x 20) = RM 100.00
15 helai telekung (RM25.00 x 15) = RM 375.00
10 helai sejadah (RM10.00 x 10) = RM 100.00

JUMLAH = RM 742.50

Jumlah yang tidak besar tetapi sukar dicari tanpa sumbangan 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit' semua pihak. Syukran jazilan.

Thursday, January 8, 2009

Panduan Usrah Sekolah 4 Dummies


Panduan Usrah Sekolah


Pengenalan

Sekali lagi sesi persekolahan bermula. Sekolah-sekolah yang lazimnya subur sebagai ladang ternak tuai generasi baru pendukung nusa bangsa hidup dengan kehadiran peladang-peladang samada, Peladang Tanpa Izin atau Peladang Berdaftar. Lubuk-lubuk emas menjadi tumpuan. Satu atau dua terlepas ke tangan peladang yang menabur benih tumbuhan lain. Kadang-kadang menjadi kemuncup dan kadang-kadang menjadi beringin tempat tumpang memanjat untuk mendapatkan nur Ilahi.

Maka berduyun-duyun juga soalan datang menanyakan itu dan ini, ada yang relevan dan ada yang memelikkan. Apapun, penulis menghasilkan kertas kerja ringkas ini buat panduan mereka yang baru berhasrat menabur benih di bumi baru, atau menabur benih tetapi hasilnya lemah dan layu;



Cara Masuk


Adapun cara masuk ke sekolah itu ada dua jalan, yang pertama dipanggil jalan depan, dan yang kedua jalan belakang,



1. Jalan Depan

Jalan depan ini didapati dengan cara berurusan dengan pihak sekolah secara formal, samada dengan kertas kerja, menggunakan platform rasmi atau stand ‘follow-up’ kepada program-program yang pernah dianjurkan di sekolah tersebut seperti Kem Remaja Islam dan sebagainya.


2. Jalan Belakang

Jalan belakang lebih mudah dilaksanakan tetapi lebih berisiko, dan tidak terlalu berprotokol. Ia didapati dengan cara berhubung dengan ustaz atau ustazah yang dikenali dan seladang dengan anda di mana-mana sekolah, dan pertemuan dengan anak buah diatur oleh orang tengah tersebut. Satu lagi cara ialah dengan melepak di surau-surau sekolah pada waktu solat, dan mengatur pertemuan dengan anak buah yang berhamburan di segenap ruang surau. Adapun cara ini lebih cenderung digunakan oleh peladang dari ladang yang tidak mempunyai personal influence atau networking yang baik. Ia juga hanya boleh digunakan di sekolah-sekolah yang agak terbuka.



Marhalah Anak Usrah


Marhalah anak usrah di sekolah terbahagi kepada lima, yang mana ia afdhal diikuti mengikut urutan, dan bergerak menaiki marhalah seterusnya mengikut kesesuaian masa dan potensi anak usrah:


1. Marhalah Makan

Mulakan mendekati anak buah anda dengan membawa sedikit buah tangan berupa makanan seperti sanggar, keropok lekor dan makanan ringan. Ia khususnya berkesan dalam mendekati anak buah dari sekolah berasrama. Lebih daripada itu, ia menepati hadis Nabi yang menggalakkan bertukar-tukar hadiah sebagai cara mengikat kasih-sayang.


2. Marhalah Bahan

Apabila anak buah mula seronok dengan kehadiran anda, mulakan memberi mereka bahan-bahan yang menarik. Bahan-bahan boleh jadi risalah yang dihasilkan oleh kampus atau bahan-bahan lain yang dihasilkan sendiri. Biarkan bahan simple dan menarik, tidak perlu panjang dan sentuh isu-isu yang melibatkan mereka seperti isu cinta, pengurusan masa dan sebagainya.


3. Marhalah Kawan

Lama-kelamaan anak buah akan mula mempercayai naqib dan berkongsi kehidupan dan masalahnya dengan naqib. Ketika ini, naqib dan anak buah terikat sebagai kawan. Di marhalah ini, banyakkan bergerak ke arah dakwah fardhiyyah ke atas anak buah yang tampak berpotensi untuk dikembangkan.


4. Marhalah Kefahaman

Di peringkat ini, anak buah akan menghadiri usrah atas dasar kefahaman akan perlunya mereka membekalkan diri dengan kefahaman asas Islam, dan kehendak kepada peningkatan diri dan amal.


5. Marhalah Perkaderan

Marhalah ini adalah tahap tertinggi, di mana anak buah melepasi semua marhalah dan masak untuk terjun ke lapangan dakwah yang sebenar, membentuk kumpulan dakwah bersama naqib untuk mengembangkan Islam ke lain-lain ladang.


Kaedah Pembawaan


Kaedah perjalanan usrah di sekolah sangat fleksibel, tetapi memerlukan kreativiti dan persediaan yang baik daripada naqib. Pelajar sekolah lazimnya meminati penerangan dalam bentuk aktiviti atau bergerak. Misalnya, jika anda menggunakan buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, gunakan modul Kambing, Tali dan Pokok untuk menerangkan bab aqidah, dengan meminta anak buah menyediakan kertas dan pen, melukis gambar berkenaan sebelum meminta penerangan. Atau untuk menerangkan bab kewajipan berkeluarga mengikut Islam dan menjaga keluarga daripada azab, lakukan aktiviti di luar, minta anak buah melukis gambar orang-orang yang paling disayangi, kemudian bakar lukisan mereka satu demi satu. Ini tentu meninggalkan impak yang mendalam ke atas mereka dan penerangan tentang perlunya menghiasi keluarga dengan Islam akan lebih mudah dihadam. Paling penting, jadikan kupasan anda tentang apa-apa tajuk berbentuk semasa dan santai, dan jangan sesekali mengadakan usrah dalam bentuk talaqqi kitab.


Peringatan Penting


1. Ikatan yang paling ampuh mengikat anak buah dengan naqib ialah kasih-sayang. Sentiasa dekati mereka dengan sentuhan, ikat mereka dengan senyum dan salam, berhubung dengan mereka pada waktu cuti. Seperti yang biasa kita dengar, The golden rule is, “People do not care how much you know until they know how much you care,”. Kita menuju untuk mengikat mereka dengan aqidah, tetapi ia tentu mengambil masa.

2. Lazimi menggunakan pendapat yang berat untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh anak usrah. Misalnya, gunakan pendapat merokok adalah haram apabila ditanya hukum merokok, dan pakai pendapat bercinta adalah haram. Dekati anak buah secara individu untuk memberikan penjelasan terhadap pendapat yang lebih ringan.



Penutup


Panduan yang dikemukakan adalah berdasarkan waqi’ di Sabah. Walaubagaimanapun, ia tentunya tidak boleh dipakai seratus peratus tanpa diubah suai. Kertas kerja yang paling baik untuk para nuqaba’ ialah pengalaman, jadi jangan teragak-agak untuk mula mencuba. Tunjukkan teladan yang baik di mana sahaja, samada di depan anak buah atau tidak, ia pasti akan memberi kesan pada penyampaian. Hiasi peribadi dengan akhlaq mulia, dan perteguhkan kata-kata dan nasihat yang dilontarkan dengan qiamullail. Bagi yang berminat untuk mencuba bakat dalam sektor perladangan ini, bolehlah berhubung dengan penulis.


Selamat Berusrah!

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan