:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Showing posts with label ku milik rakyat. Show all posts
Showing posts with label ku milik rakyat. Show all posts

Wednesday, September 21, 2011

Dalam Imbauan

Beberapa koleksi video program dalam simpanan guna mengimbau masa lalu dan mencipta masa depan.


Mengajar kanak-kanak Kristian di Kg. Undup Bangau, Kudat menyanyi lagu nasyid Jam Tujuh sebelum dihidangkan dengan persembahan silap mata oleh Saudara Arif Ainuddin. Program Jejak Muallaf 2010 di Kudat bersama ISEUMS.




Saudara Fadlan memimpin adik-adik daripada Tambunan dalam modul Cina Buta, Program KEMUDI 2010 di Tambunan.


Sebahagian adik-adik yang terpilih daripada Tambunan dibawa ke Kota Kinabalu bagi membeli baju raya dan lain-lain kelengkapan raya sedang santai di Tanjung Lipat.



Peserta Kem Amal 2010 daripada seluruh Pantai Barat yang membentuk Briged Amal Pantai Barat menyanyikan Lagu Tema Amal di Tambunan.



Pelajar SK Kinasaraban menyanyikan lagu sekolah selepas tamat sesi motivasi bersama Persatuan Siswazah Sabah.



Modul Ukhuwwah bersama adik-adik di Rumah Anak Yatim Tambunan dalam ziarah kali akhir usai program KEMUDI 2010.



Adik-adik di SK Nuriyyah, Sungai Udang, Melaka bermuhasabah dalam sesi motivasi peperiksaan di sana hujung tahun 2010.

Teruskan Berprogram! :)

Thursday, July 15, 2010

KRU - 'DIA Dalam Cahaya'

Sudah bertahun-tahun DIA hidup sebegitu. Rumahnya tidak pernah mendapat elektrik. Mandi teraba-raba mencari sabun, masak menggunakan kayu api, tidur dalam kepanasan dan belajar menggunakan cahaya suram daripada lilin. Nasibnya tidak pernah diendahkan. Khabarnya jarang sekali ada yang bertanya. Bukan tidak ada yang peduli, tetapi DIA berat untuk berkongsi. DIA janggal menyusahkan orang lain. Ah, biarlah! DIA sudah serasi berkawan dengan malam. DIA sudah lali berbasah peluh di atas tilam. DIA sudah sebati bertemankan cahaya suram. DIA sudah biasa hidup dalam kelam...

Mujur nasibnya tidak kekal begitu. Mujur ramai yang terketuk hati. Mujur ramai yang masih sudi menghulur simpati. Mujur ramai yang masih mengerti. Malam itu, 13 Julai 2010, rumahnya disimbahi kerahan ukhuwwah sahabat-sahabat yang mahu terus memberi...

Set generator yang dihadiahkan kepada DIA,
hasil sumbangan penggerak-penggerak kempen Sinar 4 Sahabat

Terima kasih, KRU di pelosok negeri. Ponsikou, penyumbang-penyumbang kempen Sinar 4 Sahabat. Magsukul, hamba-hamba Allah yang masih sudi berkongsi. Syukran, insan-insan yang sanggup berbudi. Kalian pembukti, ukhuwwah Islam tempatnya di hati!

DIA, kau mendukung amanah kami membebaskan keluargamu dari belenggu itu! Mudah-mudahan kau istiqamah.

Tangki Air yang dihadiahkan kepada Surau Al-Aqsa, Kampung Kobuni Inanam
hasil titik-peluh KRU Tuaran & KRU Penampang dalam kempen 'Jom Remaja' Mei lepas.

Masih ada dua ahli KRU yang dikesan memerlukan bantuan generator. PSS menunggu maklumat dari kawasan-kawasan untuk menyalurkan bantuan kepada ahli yang memerlukan, dan meneguhkan tekad memelihara kebajikan penggerak-penggerak persatuan.


Sebutir Pasir

Aku bermula sebutir pasir
Terdampar di pantai kehidupan
Ditiup angin berterbangan
Dihembus ke kiri ke kiri
Dihembus ke kanan ku ke kanan

Tika ini
Hidupku tidak pernah sepi dari noda dan dosa
Tidak pernah sepi dari leka dan alpa
Lemas dalam jurang-jurang durjana
Tersasar jauh dari hakikat hamba

Suatu hari
Aku disapa Sang Pengembara
Aku diangkut ke medan mulia
Dibelai dakwah
Diusap tarbiyyah

Diriku diadun dengan airmata takwa
Disebati dengan tanah dan lumpur perjuangan pusaka

Lalu aku semakin teguh
Ditiang oleh aqidah
Disimen oleh ukhuwwah
Diteduh oleh atap mahabbah
Disusun dan diatur menjadi bangunan teguh yang tak bisa roboh
Tegak dan kukuh

Masa terus berlalu
Bangunan kian usang disalut debu
Di tapak kukuh mula tampak retak dan rekah
Debu putus asa dan marah
Retak oleh tarbiyyah ruhiyyah
Rekah oleh lemahnya thaqafah

Duhai pasir
Kau kini bukan lagi sebutir
Kau tidak boleh mengalah
Disisimu akan ada teman-teman yang sama melangkah
Yang sama bercita menuju mardhatillah

Duhai pasir
Jika kau hendakkan istiqamah
Jangan kau turuti nafsu serakah
Jika kau mahu kekal di jalan ini
Jangan kau cari cinta duniawi
Jika kau dambakan damai abadi
Jangan kau bergantung pada kasih insani

Carilah Ilahi

(nurilhakim, 5 September 2008)


Tahniah, Kelab Remaja Ukhuwwah. Perjuangan baru bermula. Teruskan melangkah..

Friday, July 31, 2009

Harapan Ramadhan - Raihan

'Rumah' Raihan. 4 keping papan lapis yang menutupi satu ruang tidur-makan-masak-berehat.

Hanya bermain yang Fendi pandai. Bagaimanakah nasibnya 3,4 tahun akan datang?

Melangkah keluar daripada Masjid Negeri dengan tersenyum. "Ini kali pertama saya memasuki masjid dan menunaikan solat sejak tahun 2003 saya memeluk Islam."


Petang itu kami sekali lagi ke rumah Saudara Raihan di Kampung Log Poring, Sepanggar. Pertemuan kali pertama bertujuan membawa sedikit sumbangan sambil bertanya khabar, mendambakan kunjungan kali kedua. Saudara Raihan perlukan bantuan untuk mengurus surat beranak anaknya. Sebelum ini dia hanya tunduk pada cakap-cakap orang bahawa untuk mengurus surat beranak anak-anak begitu susah. Tetapi setelah isterinya meninggal dunia bulan Mei yang lepas, dia nekad untuk memastikan masa depan anak-anaknya, Fendi, 4 tahun dan Ariana, 2 tahun, cerah.


Zam-zam Cola Merah menuju ke Wisma MUIS. Kami telah mengatur temujanji dengan Ustaz Ridhuan, Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan JHEAINS untuk bertanyakan prosedur paling mudah mengurus kesulitan Raihan. Nyata sekali prosedur tidak semudah yang disangka. 'Kawan' yang membantu mengurus perkahwinan Raihan pada tahun 2004 yang lepas tidak dapat dikesan. Perkahwinan yang tidak dihadiri oleh wali daripada pihak perempuan diragui. Kami bertemu Ustaz Ridhuan semula. Dia menggeleng kepala. Kami diminta membuat surat akuan sumpah butiran perkahwinan. Kaki menapak ke Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di tingkat bawah MUIS, bertemu Haji Adenan, yang bertugas di pejabat tersebut. Bertubi-tubi dia menyoal Raihan. Kamu kahwin ke, akad nikah ke ijab kabul? Raihan yang memeluk Islam pada tahun 2003 dan langsung tidak pernah diajar tentang Islam terbeliak biji mata. Dan terus membela diri. Lalu disanggah oleh Haji Adenan. Kamu belum berkahwin, dakwanya. Kami yang cuba membela dilontarkan dengan ancaman daripada Al-Quran. 'Wailullil mukazzibin', sebut Haji Adenan. 'Celaka besarlah bagi mereka yang berdusta'. Aduh. Akhirnya Haji Adenan meminta supaya kami ke JPN membuat pengakuan bahawa Fendi dan Ariana adalah anak sah Raihan, tetapi bukan melalui perkahwinan yang sah. Kami meminta diri.

Raihan bingung. Kejujurannya dipertikaikan. Kami memujuk dan mengajaknya ke kedai buku berhampiran. Katanya, dia bersungguh-sungguh mahu belajar menunaikan solat tetapi tiada yang dapat mengajar. Kami membelikannya beberapa bahan bacaan ringan dan berjanji membantu sedaya mungkin. Dia mengangguk.

Dia bimbangkan nasib anak-anaknya dalam keadaan dia tidak berwang. Dia bimbangkan anak-anaknya yang sentiasa diminta untuk dibela oleh saudara-saudaranya yang bukan Islam. Malah dia pernah ditawarkan RM2000 untuk Ariana. Dia bimbangkan keadaan rumahnya yang bergoyang kuat apabila ditiup ribut, dan risaukan abangnya yang juga beragama Islam, tetapi hidup bersama seorang lagi abangnya yang bukan beragama Islam, dan bimbangkan keadaan mereka yang membiarkan anjing keluar masuk rumah. Dia bimbangkan masa depan anak-anaknya jika dia hilang hak penjagaan. Dia lebih bimbang lagi jika aqidah anak-anaknya terancam.


Akhir sekali kami mempelawa Raihan makan di sebuah restoran. Dia enggan memesan makanan. Ujarnya, ini kali pertama dia menemui orang Islam sebaik ini sejak dia mula memeluk agama Islam. Orang Islam yang prihatin akan nasibnya dan bersungguh-sungguh cuba membantunya. Kami meyakinkan dia bahawa masih ramai umat Islam di luar sana yang ingin membantu beliau tetapi tidak mendapat maklumat. Kami meyakinkan dia bahawa jika mengetahui apa yang berlaku terhadap dirinya dan anak-anaknya, pasti ramai yang akan membantu. Dia yakin dengan kata-kata kami. Dia yakin dengan anda. Dia yakin bahawa anda akan membantu menunaikan sebuah harapan menjelang Ramadhan. Harapan Ramadhan Raihan.

Raihan

Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Thursday, July 30, 2009

Diari Seminggu PSS

Ziarah Azhan-Akhwan ke Kg. Luanti, Ranau ( 23-24 Julai 2009 )

Akhwan dan Azhan bersama Abg Iddin, Pengerusi JKKK Kg. Luanti

Antara aktiviti menggamit perhatian, Santai-Santai Roti Canai Akhwan dan isteri (lagi)

Azhan menghiburkan penduduk dengan nyanyian live. Paling kiri ialah Ketua Kampung, yang dipanggil Ibu.

Makan Malam Yayasan Amal (24 Julai 2009)

Nazrey Raihan menyumbang satu meja pada malam itu. Hasil kutipan pada malam itu akan digunakan untuk membeli 'water gravity pump' untuk dipasang di beberapa kampung di Keningau.

Qiamullail Bulanan KRU Kota Kinabalu (24-25 Julai 2009)


Antara peserta muslimin yang hadir. Qiamullail pada kali ini memecah tembok usia-sentimen Sabahan yang wujud di Masjid Jamek, Kg Likas sebelumnya.

Peserta muslimat dan sebahagian penduduk mendengar intipati forum yang disampaikan oleh Ustaz Nahar Matamin, Ustaz Bungsu Aziz dan dikelola oleh Saudara Renifezri Mohamed.

Azhan Atan di SMK Tambunan-RAY Tambunan ( 25 Julai 2009 )

Bos Syarikat Jalur Setia, Encik Najami atau mesra dengan panggilan Abe Mi menyampaikan sumbangan kepada anak yatim.

Penghuni RAY Tambunan seramai 150 orang mendengar motivasi yang disampaikan oleh Azhan Atan.

Kem Remaja Islam (KRIS) SMK Kanibongan, Pitas ( 23-26 Julai 2009 )


Program diadakan di Kem Rela Tuaran. Ucapan menyentuh hati oleh Ustaz Norazam dan sesi salam wida' menyebabkan pelajar muslimin turut menangis teresak-esak.

Kampung Kanibongan, Pitas antara sasaran lawatan Ramadhan PSS.

Qiamullail Bulanan KRU Tuaran (25-26 Julai 2009)


Program Titian Kasih II Kg. Estet Tenghilan (26 Julai 2009)

Tahlil Doa Selamat Ulangtahun Kelahiran dan Rumah Baru Kg. Kionsom Kecil (26 Julai 2009)


Ulangtahun kelahiran Fendi yang ke-11

Antara yang bermasyarakat - dari kiri Irham, Azizul Julirin dan Nije. Paling kiri ialah orang kuat kampung, Uncle Muhsin.

Tahniah pada semua penggerak PSS. Beramallah kerana Allah nescaya kan kekal di jalanNya, InsyaAllah.. ;)

Friday, July 3, 2009

Dari Sipitang ke Kionsom Kecil

"Mogihum oku tanak Dusun," bisik hati kecil Azizul, lalu diaminkan semua pembaca. Beliau mengajarkan saya satu tips berguna malam itu. "Lekapkan telinga anak yang menangis pada jantung, dia akan tenang mendengar degupannya."

Tanggal 31 Mei 2009, belum selesai Kem Remaja Islam Sipitang, kami terpaksa bergegas pulang. Janji yang telah dilafazkan kepada masyarakat yang mengharap tidak boleh disia-siakan. Siap menghantar penumpang yang lain, kami keluar semula menuju destinasi seterusnya - Kampung Kionsom Kecil. Tidak ramai yang berkelapangan. Andaian dapat membawa bersama sekurang-kurangnya 5 orang meleset. Hari itu saya hanya ditemani oleh Ustaz Azizul Julirin.

Sangkaan kami hanya seorang bayi yang akan dikorbankan malam itu. Rupa-rupanya orang kampung mengambil peluang dengan kehadiran Ustaz Azizul ke situ. Tiga bayi menunggu untuk dicukur dan ditahnik. Pengalaman pertama ini tentu membuka laluan untuk menjadi pendamping masyarakat yang lebih berani.

Keberanian tercabar. Selain bahan-bahan yang 'agak' biasa digunakan seperti kelapa muda dan daun sirih, tuan rumah mengeluarkan sepinggan beras dan sekotak rokok. Mujur sahaja Ustaz Hafizullah awal-awal telah berpesan supaya hanya melaksanakan bercukur dengan kaedah biasa dengan mengabaikan lain-lain 'objek ganjil'. Dan mujur sahaja 'tanak wagu' yang menemani pada malam itu biasa melihat orang bercukur. Saya hanya pernah berkenalan dengan gunting, air zamzam dan kurma sahaja dalam upacara sebegini.

Pendakwah di Sabah begitu sinonim dengan gerakerja masuk kampung. Selain dengan cara masuk secara formal melalui kertas kerja dan tawaran program, ramai juga yang cuba mendekati masyarakat dengan cara melazimi surau atau masjid setempat. Kaedah kedua ini memerlukan istiqamah dan kreativiti yang lebih. Bilangan jamaah yang bermula dengan 2,3 orang tidak boleh dibiarkan kekal sebegitu walaupun setelah berminggu-minggu merapati masyarakat. Pendakwah harus bijak memenangi hati masyarakat atau jamaah sedia ada untuk memastikan dakwah menjangkaui ruang lingkup lebih besar. Kanak-kanak dan remaja misalnya mudah tertarik dengan kuliah yang diiringi tayangan multimedia, sedangkan orang tua lebih suka dibawa bercerita tentang masalah kampung selepas daripada kuliah.

Yang ingin ditegaskan ialah betapa gerakerja dakwah secara turun padang ini harus menjunjung falsafah yang diturunkan oleh Ustaz Azizul riwayat gurunya, 'people do not care how much you know until they know how much you care'. Pasang orang kuat di kampung tersebut, dan jelaskan kepadanya bahawa anda bukan sahaja ingin datang berlagak pandai agama setiap minggu dengan memberikan kuliah, tetapi anda juga berminat membacakan yasin dalam majlis tahlil yang diadakan untuk penduduk yang meninggal dunia, anda juga akan gembira sekiranya dapat berarak bersama pengantin yang berkahwin di kampung tersebut dan anda akan berbesar hati untuk meraikan kelahiran 'orang baru' di kampung dalam majlis bercukur dan seumpamanya. Atau lebih baik lagi, sekiranya anda mencari jodoh di kampung tersebut dan terus menetap di sana...


Thursday, May 28, 2009

Program 'Mipanau-Panau hiti Ranau 1'


Saya tidak mampu menceritakan segala yang telah berlaku sepanjang sehari setengah Program 'Mipanau-Panau hiti Ranau' berjalan, bermula 26-27 Mei 2009, tetapi sebaik tiba di Hotel Azzam Tokei Ikan BertaQwa (hotel 5 bintang, home-service 5 bintang, entertainer 5 bintang, PERCUMA!) di Lembah Permai, Kundasang sekitar jam 2.30 pagi itu, hati saya berdebar menanti hari esok. Kerana esok, langkah pertama yang sungguh-sungguh akan diambil untuk menawan bumi 'semangat konorohingan', tapak berdiri megahnya Kinabalu menaungi rakyat yang bertapa di kakinya. Suatu hari nanti Hotel Azzam akan tercatat dalam sejarah, sebagai tempat persinggahan pertama dan tempat terawal yang memayungi 4 orang pejuang gigih yang membawa visi dan misi besar langsung merobah lanskap pemikiran dan halatuju pemikiran generasi baru Ranahon.

26 Mei 2009

Masa

Perkara

1.00 pagi – 2.30 pagi

- Bertolak ke Kundasang

- Tiba di Lembah Permai, Kudasang

7.00 pagi – 8.00 pagi

- Bertolak ke SMK Bundu Tuhan

- Persiapan Tempat Program

8.00 pagi - 8.25 pagi

- Pendaftaran Peserta

8.30 pagi – 10.00 pagi

- Ceramah 1

: “Aku Muslim Ori, Bukan Fotokopi!” (Muslim)

: “Akhlaqku Menawan Kalbu” (Bukan Muslim)

10.00 pagi - 10.30 pagi

- Rehat / Minum Pagi

10.30 pagi – 12.00 tengahari

- Ceramah 2

: “Aku Cemerlang Bah!”

12.30 tengahari – 2.00 petang

- Solat Zuhur

- Makan Tengahari

- Bertolak ke SMA Al-Irsyadiah, Marakau

2.00 petang – 4.00 petang

- Tiba di SMA Al-Irsyadiah, Marakau

- Persiapan Tempat Program

- Ceramah 3

: “Aku dan Masa Depan Islam”

4.00 petang – 5.00 petang

- Bertolak ke Rumah Putera Harapan, Ranau

5.00 petang - 6.00 petang

- Tiba di Rumah Putera Harapan, Ranau

- Makan Malam

6.00 petang - 8.30 malam

- Solat Maghrib

- Ceramah 4

: ‘’Beruntungkah Aku? – Pengembaraan Seorang Tanak Wagu”

- Solat Isya’

8.15 malam - 10.00 malam

- Ta’aruf ; Siapakah Aku?

- Ceramah 5

: ‘Aku Muslim Ori Bukan Fotokopi!’

- Brainstorming

: ‘Aku dan Islam – Hari Ini dan Esok’

- Bahtera Mimpi

27 Mei 2009

4.00 pagi – 6.30 pagi

- Qiyamullail

- Solat Subuh

- Ceramah 6

: “Islam, Muhang Oku Dika!”

6.30 pagi – 8.00 pagi

- Sarapan Pagi

- Bertolak ke SMK (A) Mohamad Ali Ranau

9.00 pagi – 9.30 pagi

- Tiba di SMK (A) Mohamad Ali Ranau

- Persiapan Tempat Program

9.30 pagi – 10.00 pagi

- Brainstorming

: “Ranau dan Islam”

10.15 pagi - 12.00 tengahari

- Ceramah 7

: “Pelajar Islam; Cabaran dan Tanggungjawab”

2.15 petang

- Solat Zuhur

- Bertolak Pulang ke Kota Kinabalu


Ketua entertainer Hotel Azzam, Hilmi - PJ28


Pemandangan lembah yang permai dari jendela Hotel Azzam


Ceramah 2 "Aku Cemerlang Bah!" yang disampaikan oleh Saudara Fanshuri


Bergambar di depan lencana SMA Al-Irsyadiah, Marakau


Sebahagian daripada 138 orang pelajar SMA Al-Irsyadiah, Marakau


Ice-Breaking di Rumah Putera Harapan, Ranau


Senaman pagi adik Hadi - 'Senyum Paksa'


Bergambar di hadapan RPH sebelum mereka ke sekolah


Destinasi terakhir, SMKA Mohd Ali Ranau (SEMEKAR)


Di depan Masjid Al-Bukhari, SEMEKAR.
Antara sekolah tercantik di dunia(tanpa ragu)!


Minami, kenderaan rasmi 'Mipanau-Panau hiti Ranau 1'.
Ponsikow togumu Bro Nasirin!

Jutaan terima kasih kepada barisan pendidik dan pentadbir SMK Bundu Tuhan, Bundu Tuhan, SMA Al-Irsyadiah, Kampung Marakau, Rumah Putera Harapan (khususnya Ustaz Sabri) dan SEMEKAR yang memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang program, adik-adik peserta dan ahli KRU Ranau, seruan untuk bersama-sama kita ubah Sabah, sahabat-sahabat daripada Persatuan Pelajar Islam Ranau (PPIR), semoga dapat bekerjasama di masa hadapan, dan yang terutama untuk sahabat-sahabat penganjur, team profesional PSS - Azizul Julirin, yang walaupun hanya bersama dalam satu slot membekalkan kami dengan motivasi untuk sampai ke penghujung program, Fanshuri Badaruddin, yang mengejutkan abang dengan kemampuan bercakap tentang kecemerlangan akademik dan Jubair Juhinin, ex-SEMEKAR, ex-KML, bakal Sains Marin UMS dan pejuang sepenuh masa Islam di Kundasang. Semoga kerjasama dan komitmen semua pihak mendapat keredhaan Allah dan menjadi titik permulaan yang baik untuk membangunkan Sabah. Semoga berjumpa lagi di 'Mipanau-Panau hiti Ranau 2', InsyaAllah :)

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan