:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Friday, July 31, 2009

Harapan Ramadhan - Raihan

'Rumah' Raihan. 4 keping papan lapis yang menutupi satu ruang tidur-makan-masak-berehat.

Hanya bermain yang Fendi pandai. Bagaimanakah nasibnya 3,4 tahun akan datang?

Melangkah keluar daripada Masjid Negeri dengan tersenyum. "Ini kali pertama saya memasuki masjid dan menunaikan solat sejak tahun 2003 saya memeluk Islam."


Petang itu kami sekali lagi ke rumah Saudara Raihan di Kampung Log Poring, Sepanggar. Pertemuan kali pertama bertujuan membawa sedikit sumbangan sambil bertanya khabar, mendambakan kunjungan kali kedua. Saudara Raihan perlukan bantuan untuk mengurus surat beranak anaknya. Sebelum ini dia hanya tunduk pada cakap-cakap orang bahawa untuk mengurus surat beranak anak-anak begitu susah. Tetapi setelah isterinya meninggal dunia bulan Mei yang lepas, dia nekad untuk memastikan masa depan anak-anaknya, Fendi, 4 tahun dan Ariana, 2 tahun, cerah.


Zam-zam Cola Merah menuju ke Wisma MUIS. Kami telah mengatur temujanji dengan Ustaz Ridhuan, Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan JHEAINS untuk bertanyakan prosedur paling mudah mengurus kesulitan Raihan. Nyata sekali prosedur tidak semudah yang disangka. 'Kawan' yang membantu mengurus perkahwinan Raihan pada tahun 2004 yang lepas tidak dapat dikesan. Perkahwinan yang tidak dihadiri oleh wali daripada pihak perempuan diragui. Kami bertemu Ustaz Ridhuan semula. Dia menggeleng kepala. Kami diminta membuat surat akuan sumpah butiran perkahwinan. Kaki menapak ke Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di tingkat bawah MUIS, bertemu Haji Adenan, yang bertugas di pejabat tersebut. Bertubi-tubi dia menyoal Raihan. Kamu kahwin ke, akad nikah ke ijab kabul? Raihan yang memeluk Islam pada tahun 2003 dan langsung tidak pernah diajar tentang Islam terbeliak biji mata. Dan terus membela diri. Lalu disanggah oleh Haji Adenan. Kamu belum berkahwin, dakwanya. Kami yang cuba membela dilontarkan dengan ancaman daripada Al-Quran. 'Wailullil mukazzibin', sebut Haji Adenan. 'Celaka besarlah bagi mereka yang berdusta'. Aduh. Akhirnya Haji Adenan meminta supaya kami ke JPN membuat pengakuan bahawa Fendi dan Ariana adalah anak sah Raihan, tetapi bukan melalui perkahwinan yang sah. Kami meminta diri.

Raihan bingung. Kejujurannya dipertikaikan. Kami memujuk dan mengajaknya ke kedai buku berhampiran. Katanya, dia bersungguh-sungguh mahu belajar menunaikan solat tetapi tiada yang dapat mengajar. Kami membelikannya beberapa bahan bacaan ringan dan berjanji membantu sedaya mungkin. Dia mengangguk.

Dia bimbangkan nasib anak-anaknya dalam keadaan dia tidak berwang. Dia bimbangkan anak-anaknya yang sentiasa diminta untuk dibela oleh saudara-saudaranya yang bukan Islam. Malah dia pernah ditawarkan RM2000 untuk Ariana. Dia bimbangkan keadaan rumahnya yang bergoyang kuat apabila ditiup ribut, dan risaukan abangnya yang juga beragama Islam, tetapi hidup bersama seorang lagi abangnya yang bukan beragama Islam, dan bimbangkan keadaan mereka yang membiarkan anjing keluar masuk rumah. Dia bimbangkan masa depan anak-anaknya jika dia hilang hak penjagaan. Dia lebih bimbang lagi jika aqidah anak-anaknya terancam.


Akhir sekali kami mempelawa Raihan makan di sebuah restoran. Dia enggan memesan makanan. Ujarnya, ini kali pertama dia menemui orang Islam sebaik ini sejak dia mula memeluk agama Islam. Orang Islam yang prihatin akan nasibnya dan bersungguh-sungguh cuba membantunya. Kami meyakinkan dia bahawa masih ramai umat Islam di luar sana yang ingin membantu beliau tetapi tidak mendapat maklumat. Kami meyakinkan dia bahawa jika mengetahui apa yang berlaku terhadap dirinya dan anak-anaknya, pasti ramai yang akan membantu. Dia yakin dengan kata-kata kami. Dia yakin dengan anda. Dia yakin bahawa anda akan membantu menunaikan sebuah harapan menjelang Ramadhan. Harapan Ramadhan Raihan.

Raihan

Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

3 comments:

Anonymous said...

Allahuakbar..

zaman mahasiswa abang benar-benar terisi..

moga Allah membrikan manfaat dan juga membantu raihan..

NIVYANFAZZA said...

Gerak kerja dakwah yang saudara lakukan amat saya hargai, sekurang-kurangnya masih wujud insan yang peka pada yang alpa dan memerlukan...teruskan dakwah anda, Allah sentiasa bersama kita.....InsyaAllah

Anonymous said...

Sedihnya.. teruskan perjuangan.. doa rabithah untuk semua yang berada di jalan yang sama.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan