:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Showing posts with label muallaf. Show all posts
Showing posts with label muallaf. Show all posts

Monday, October 25, 2010

Bila Khatan Jadi Beban


"Kalau masuk Islam,kena potong tu bawah!" lawak yang sering dibuat oleh penceramah yang bercakap tentang pendekatan dakwah kepada bukan Islam, khususnya yang baru mahu memeluk Islam, dan biasanya diiringi dengan tegahan membuat kenyataan sedemikian, agar madhu'u tidak lari. Selama ini saya hanya memikirkan ia sebagai suatu gurauan, tetapi minggu lepas, terbukti ia bukan sekadar itu.

Kami sedang duduk di hadapan pegawai JHEAINS yang agak berumur. Semua dokumen telah tersedia untuk mengislamkan Christopher, seorang kenalan dari kampung Log Poring. Bersama saya ketika itu ialah abangnya yang sudah memeluk Islam 12 tahun lepas, beserta Timbalan Pengerusi ISEUMS, Saudara Asyraf yang menemani. Ustaz di hadapan telahpun memberikan sedikit pengenalan, bertanyakan tujuan menganut Islam dan sebagainya. Christopher membetulkan duduk, bersedia untuk melafazkan akad memeluk agam Islam. Tak semena-mena, ustaz JHEAINS tersebut membuat lawak terakhir sebelum mengajarkan dua kalimah syahadah,

"Kalau masuk Islam ni tu kepala bawah kena potong tau, bagi dia berbentuk-bentuk sikit."

Saya, Asyraf dan abang kepada Christopher, James ketawa berderai, cuba meringankan suasana. Tapi Christopher kelihatan kaget. Daripada kaget bertukar cemas. Setelah diam beberapa ketika dia memandang saya.

"Sunat tu wajib ke Ustaz?"

"Ya," saya menjawab ringkas. Christopher mula tak senang duduk. Dia memandang ke kiri dan kanan. Ustaz JHEAINS pun kelihatan terpinga-pinga. Tak sangka lawaknya akan meninggalkan kesan sebegitu kepada saudara yang baru hendak memeluk Islam. Christopher memandang saya semula.

"Ustaz, saya rasa kena bagi masa dengan saya seminggu dulu untuk berfikir."

Astaghfirullahala'azim. Kami beristighfar panjang.

"Takkan gara-gara itu saja kamu mahu tangguhkan masuk Islam? Sunat tu tak sakit pun, macam kena gigit semut ja," ustaz JHEAINS memujuk.

"Potong tu untuk kesihatan juga, kulit bahagian depan ja, bukan potong semua sampai habis," Asyraf meningkah.

"Kamu masuklah Islam dulu, kalau bertangguh nanti mati, tak sempat masuk Islam, macam mana?" saya berhujah.

"Nokuro ko? Au oku ngarati kau ti. Kada begitu!" abangnya memangkah.

Tetapi puas kami memujuk, Christopher tetap dengan pendiriannya. Dia tetap tidak mahu mengucapkan dua kalimah syahadah. Daripada satu alsan muncul alasan yang lain, sehinggalah akhirnya kami terpaksa akur dengan kehendaknya. Pulang dengan agak kecewa.

Mudah-mudahan hatinya akan terbuka juga nanti, dan mudah-mudahan para pendakwah akan lebih menjaga apa yang keluar daripada mulut kita!

Teringat Ustaz Nasaruddin Hassan bercerita perihal pendekatan dakwah penceramah tersohor Terengganu, Ustaz Azhar Idrus, bila dia ditanya oleh seorang mat rempit, adakah boleh dia membawa makwanya naik motor, merempit bersama-sama dengannya. Ustaz Azhar menjawab boleh, lalu seluruh audiens tercengang, kecuali mat rempit tersebut yang tersenyum lebar. Lalu Ustaz Azhar menambah,

"Tapi ada satu syarat. Syaratnya, bapak makwa kamu kena letak kat tengah-tengah seat tu, antara kamu dengan dia!" Audiens ketawa, termasuk mat rempit tersebut. Ustaz Nasaruddin mengulas,

Skil mengajar yang halus, mencapai matlamat dan dapat diterima semua pihak. Sebab tu, kuliah dia ribuan orang datang. Dan sebab tu juga, Facebook Ustaz Azhar lagi ramai fans dari saya!

Sunday, October 17, 2010

Biar Hidup Menderita, Asalkan Melayan Tuhan..

Berikut adalah sebahagian catatan pengembaraan PSS sepanjang Ramadhan yang lepas :

Program Jejak Muallaf dan Fakir Miskin Ramadhan siri 2 yang lepas di daerah Ranau menemukan kami dengan Kak Sarimah, yang asalnya didekati melalui anaknya Siraj, seorang pelajar Darjah Enam di SK Tampios. Siraj ketika itu sedang berteleku di balik dinding, baru dimarahi oleh ibunya kerana tidak bersama-sama berbuka puasa di surau. Saya menyapa dan dalam nada gurau, menyatakan hasrat kami menjadikan keluarganya sebagai keluarga angkat, cepat-cepat sebelum pembahagian dibuat oleh Ustaz Akhwan yang mengetuai rombongan Yayasan Amal. Siraj tersenyum lantas mendapatkan ibunya dan dengan serius, memujuk ibunya untuk membenarkan kami bermalam di rumahnya. Ibunya akur, dan dari situ bermulah bibit perkenalan kami dengan Kak Sarimah.

Kak Sarimah yang sentiasa tersenyum.

Malam itu kami bercerita panjang. Sejarah Kampung Tampios, Kampung Bito'on dan Kampung Nunuk Ragang di sebelahnya telah lama bermain di telinga. Tetapi alhamdulillah, baru kali ini kaki berjaya dijejakkan ke sini. Kak Sarimah mula membuka kisah hidupnya.

Tak disangka, auntie bertudung labuh ini asalnya adalah seorang pemimpin gereja SIB. Lebih dahsyat, setelah berkahwin selama dua tahun setengah dengan suaminya, seorang Murut India dan memeluk agama Islam, dia masih lagi pergi ke gereja, solat dengan cara Kristian malah mendakyah orang ramai mengikuti agamanya. Sampailah suatu malam, bila Allah memberikannya hidayah melalui mimpi, dalam bentuk saudara rapatnya yang paling kuat Kristian datang memberikan nasihat, dia terkejut dan berazam untuk bersungguh-sungguh mempelajari dan menyebarkan agama Islam, sehingga berjaya mengislamkan beberapa orang di sekelilingnya. Lalu dia menceritakan pengalamannya berdakyah ketika zaman SIB dahulu, bagaimana mereka sanggup berjalan kaki masuk ke kampung-kampung selama 8,9 jam menempuh hujan, panas, lapar dan dahaga demi menyampaikan ajaran SIB. Pegangan dan prinsip yang dipegang cukup mudah - 'biar hidup menderita asalkan melayan Tuhan'.

Siraj tersenyum mendengar celoteh Cikgu Johari yang
mengendalikan slot games pagi itu.

Siraj yang sejak tadi mendengar dengan khusyu' ibunya bercerita tiba-tiba terlentok tidur. Kak Sarimah mengusap kepala anaknya lembut. ''Masa kak mula-mula masuk Islam dulu, dia ni dengan kakaknya selalu kena pukul di kepala oleh pakciknya. Pakciknya selalu tanya soalan pelik-pelik untuk bagi dia takut dengan Islam. Tapi sekarang, kakak dia belajar di sekolah agama, dia yang tanya balik dengan pakcik dia pasal kekeliruan dalam agama Kristian. Kak Sarimah ketawa kecil. Kemudian menyambung cerita;

Di rumah sebelah ni ada seorang makcik. Dia muda sikit dari akak, dan dulu dia slalu marah kakak masa kakak dalam SIB,ugut kakak akan masuk neraka. Dia tu kira kuat Islam la. Maklumlah, bekas pelajar 5 tahun di SMU Tambunan. Tapi sekarang dah terbalik. Dia dah murtad dan jadi pemimpin gereja SIB. Kakak pula yang dakwahkan dia!

Astaghfirullah. Kami tersentap. Kalau pelajar sekolah agama 5 tahun pun boleh murtad, apa nasib pelajar-pelajar sekolah biasa? Esoknya kami berprogram di SK Tampios, sebelum meninggalkan kampung tersebut, serta janji akan membawa ahli-ahli PSS muslimat menuntut ilmu dakwah secara praktikal dengan Kak Sarimah. Mampukah kalian mengalahkan semangat dan kesungguhan seorang muallaf yang tidak pernah diusrah, ditamrin dan diprogramkan melainkan oleh 'tarbiyyah' SIB?

Friday, July 31, 2009

Harapan Ramadhan - Raihan

'Rumah' Raihan. 4 keping papan lapis yang menutupi satu ruang tidur-makan-masak-berehat.

Hanya bermain yang Fendi pandai. Bagaimanakah nasibnya 3,4 tahun akan datang?

Melangkah keluar daripada Masjid Negeri dengan tersenyum. "Ini kali pertama saya memasuki masjid dan menunaikan solat sejak tahun 2003 saya memeluk Islam."


Petang itu kami sekali lagi ke rumah Saudara Raihan di Kampung Log Poring, Sepanggar. Pertemuan kali pertama bertujuan membawa sedikit sumbangan sambil bertanya khabar, mendambakan kunjungan kali kedua. Saudara Raihan perlukan bantuan untuk mengurus surat beranak anaknya. Sebelum ini dia hanya tunduk pada cakap-cakap orang bahawa untuk mengurus surat beranak anak-anak begitu susah. Tetapi setelah isterinya meninggal dunia bulan Mei yang lepas, dia nekad untuk memastikan masa depan anak-anaknya, Fendi, 4 tahun dan Ariana, 2 tahun, cerah.


Zam-zam Cola Merah menuju ke Wisma MUIS. Kami telah mengatur temujanji dengan Ustaz Ridhuan, Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan JHEAINS untuk bertanyakan prosedur paling mudah mengurus kesulitan Raihan. Nyata sekali prosedur tidak semudah yang disangka. 'Kawan' yang membantu mengurus perkahwinan Raihan pada tahun 2004 yang lepas tidak dapat dikesan. Perkahwinan yang tidak dihadiri oleh wali daripada pihak perempuan diragui. Kami bertemu Ustaz Ridhuan semula. Dia menggeleng kepala. Kami diminta membuat surat akuan sumpah butiran perkahwinan. Kaki menapak ke Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di tingkat bawah MUIS, bertemu Haji Adenan, yang bertugas di pejabat tersebut. Bertubi-tubi dia menyoal Raihan. Kamu kahwin ke, akad nikah ke ijab kabul? Raihan yang memeluk Islam pada tahun 2003 dan langsung tidak pernah diajar tentang Islam terbeliak biji mata. Dan terus membela diri. Lalu disanggah oleh Haji Adenan. Kamu belum berkahwin, dakwanya. Kami yang cuba membela dilontarkan dengan ancaman daripada Al-Quran. 'Wailullil mukazzibin', sebut Haji Adenan. 'Celaka besarlah bagi mereka yang berdusta'. Aduh. Akhirnya Haji Adenan meminta supaya kami ke JPN membuat pengakuan bahawa Fendi dan Ariana adalah anak sah Raihan, tetapi bukan melalui perkahwinan yang sah. Kami meminta diri.

Raihan bingung. Kejujurannya dipertikaikan. Kami memujuk dan mengajaknya ke kedai buku berhampiran. Katanya, dia bersungguh-sungguh mahu belajar menunaikan solat tetapi tiada yang dapat mengajar. Kami membelikannya beberapa bahan bacaan ringan dan berjanji membantu sedaya mungkin. Dia mengangguk.

Dia bimbangkan nasib anak-anaknya dalam keadaan dia tidak berwang. Dia bimbangkan anak-anaknya yang sentiasa diminta untuk dibela oleh saudara-saudaranya yang bukan Islam. Malah dia pernah ditawarkan RM2000 untuk Ariana. Dia bimbangkan keadaan rumahnya yang bergoyang kuat apabila ditiup ribut, dan risaukan abangnya yang juga beragama Islam, tetapi hidup bersama seorang lagi abangnya yang bukan beragama Islam, dan bimbangkan keadaan mereka yang membiarkan anjing keluar masuk rumah. Dia bimbangkan masa depan anak-anaknya jika dia hilang hak penjagaan. Dia lebih bimbang lagi jika aqidah anak-anaknya terancam.


Akhir sekali kami mempelawa Raihan makan di sebuah restoran. Dia enggan memesan makanan. Ujarnya, ini kali pertama dia menemui orang Islam sebaik ini sejak dia mula memeluk agama Islam. Orang Islam yang prihatin akan nasibnya dan bersungguh-sungguh cuba membantunya. Kami meyakinkan dia bahawa masih ramai umat Islam di luar sana yang ingin membantu beliau tetapi tidak mendapat maklumat. Kami meyakinkan dia bahawa jika mengetahui apa yang berlaku terhadap dirinya dan anak-anaknya, pasti ramai yang akan membantu. Dia yakin dengan kata-kata kami. Dia yakin dengan anda. Dia yakin bahawa anda akan membantu menunaikan sebuah harapan menjelang Ramadhan. Harapan Ramadhan Raihan.

Raihan

Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan