:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Thursday, July 12, 2012

Kembara Khilafah (4)

Fasa ketiga Kembara Khilafah, tanpa syak adalah fasa terpenting. Proses membuka jalan dan rangkaian, membina hubungan untuk persediaan post-revolusi Syria, berkongsi pengalaman dan pandangan di konferens dan muktamar, dalam ligat menguasai bahasa kelima, bahasa Turki selepas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Russia sedang ditatih hanya memungkinkan catatan kali ini dicoret formal dengan menyingkirkan serba-serbi yang tidak berapa penting.

Manis pahit, masam tawar lebih layak diberi tempat dalam perkongsian mata bertemu mata, insyaAllah.

Jami’yyah At-Tadhomun As-Suriyyah (Suriyeder)

Demonstrasi di hadapan Kedutaan Rusia di Istiklal Street, Taksim.

Urusan ‘kerja’ pertama di Istanbul melibatkan pertemuan dengan penggerak-penggerak NGO Jam’iyyah At-Tadhomun As-Suriyyah atau The Syrian Solidarity Association yang ditubuhkan setelah api revolusi tercetus di Syria awal tahun lepas. Alternatif tersebut dipilih setelah lawatan ke IHH gagal membuahkan hasil memuaskan, memandangkan IHH tidak mempunyai ‘voluntary system’ yang berterusan dan hanya menghubungi sukarelawan apabila khidmat mereka diperlukan.

Beberapa kali pertemuan dengan koordinator Suriyeder selain membincangkan kempen kerjasama yang dapat dilaksanakan secara kolektif, turut melibatkan perkongsian pengalaman beberapa orang wakil dari Serbia dalam usaha mereka menggerakkan massa dalam Orange Revolution 2004 (kalau tidak silap) untuk diolah dan diaplikasi oleh penggerak revolusi di Syria, khususnya daripada aspek sinergi kerja dan saling-kait antara watak-watak yang menggerakkan bahagian-bahagian tertentu massa.

Bab-I Alem

Pejabat Bab-i Alem di Fatih.

Setelah usaha mencari maahad Quran yang membenarkan pelajarnya keluar-masuk kurang berjaya, pilihan melengkapkan matlamat kedua kembara, mempelajari Bahasa Turki, terpaksa dipilih. Bab-I Alem, sebuah NGO berpusat di Fatih yang menaungi pelajar-pelajar antarabangsa di Istanbul, khususnya Saudara Abdurrahman Sheker yang bertanggungjawab ke atas pelajar-pelajar Asia, tidak berlengah memberikan khidmat. 

Latihan komunikasi di Kelas Bahasa Turki Bab-i Alem.

Setelah menawarkan penginapan percuma di asrama Bab-I Alem, saya ditawarkan juga untuk mengikuti Black Sea Cruise ke sepuluh destinasi di Turki (yang terpaksa ditolak kerana menerima kunjungan ikhwah dari UK) dan kelas bahasa Turki, kedua-duanya secara percuma! Allahu rabbi. Maka nikmat manakah yang kamu dustakan?

Muktamar Umat Islam Menyokong Rakyat Syria

Para ulama' dan cendekiawan dunia Islam bergambar usai persembahan nasyid.

Barangkali secara peribadi antara program terpenting yang sempat diikuti di sini, khususnya melalui ‘agenda-agenda’ tidak formal. Keluar masuk ke program - anjuran International Muslim Scholars Association pimpinan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi - kerana mengejar kelas, memungkinkan saya melontarkan satu sahaja pandangan yang melibatkan rakyat Malaysia secara khusus, memandangkan resolusi lainnya menunggu dicatur autoriti yang lebih besar. 

Dalam muktamar, beberapa kali dibangkitkan tentang respon dan sokongan hambar masyarakat Malaysia dan Indonesia (Asia secara am) terhadap luka berdarah rakyat Syria. Diulang-ulang gesaan supaya hebahan maklumat yang lebih sempurna tentang apa yang sedang berlaku di Syria disampaikan kepada ‘negara islam contoh’ ini agar mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Melalui pemerhatian dan eksperimen-eksperimen kecil, saya secara peribadi tidak memandang isu ‘tidak peduli’ ini sebagai masalah hebahan maklumat. Masalahnya ialah ‘their concern goes as far as the likes and shares on facebook,’ sedangkan segelintir yang betul-betul peduli, lebih suka menjebakkan diri dalam perbincangan ‘apakah ini agenda Amerika?’

 Cikgu Husin dan Ustaz Syeikh Abdul Kadir di hadapan Makam Eyup Sultan 
(Abu Ayyub Al-Ansari RA)

Di sebalik senyuman. Anak-anak Turki dipakaikan pakaian Sultan 
dan dibawa menziarahi makam Abu Ayub sebagai adat sebelum dikhatankan!

Selain tajdid sikap dan adab yang diperolehi secara langsung melalui muamalah dengan ulama’-ulama besar yang telah diiktiraf sumbangan mereka di pentas dunia, misalnya Syeikh Ali Sobuni dalam keilmuan dan Syeikh Raid Soleh dalam usaha pembebasan Al-Quds, peluang menetap semalaman bersama rombongan yang mewakili PAS terdiri daripada Ustaz Nasharuddin Mat Isa (yang pulang lebih awal), Cikgu Hussin Ismail Presiden Yayasan Amal, Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joffree dan Ustaz Zaharuddin menantu Tok Guru Haji Hadi, mencerna idea dan gagasan pemikiran baru seputar isu dakwah untuk bukan Islam, pengurusan kerja serta hubungan kerja sesama gerakan Islam lain di pentas nasional dan antarabangsa.

Ada rezki, kembara seterusnya adalah ke Mogadishu, Somalia.

Jualan Amal Bab-I Alem

Charity Fair Bab-i Alem di Eminonu Square

Buat kali pertama sejak ditubuhkan, Bab-I Alem mengadakan bazaar jualan amal atau Charity Bazaar bagi mengumpul dana pengurusan dan kebajikan 300 pelajar di bawah naungannya yang datang daripada 91 negara berbeza. Usaha dan keringat pelajar-pelajar Bab-I Alem khususnya mereka yang tinggal di asrama dikerah untuk menjayakan bazaar yang bertempat di Dataran Eminonu.

Konsep bazaar amal ialah menjual barang-barang tabarru’ daripada orang ramai dan syarikat-syarikat tempatan kepada orang awam dan pelancong-pelancong.

Peluang digunakan untuk kami pelajar baru bermanja-manja menggunakan bahasa Turki berkomunikasi dengan pembeli.

Himpunan Belia ke-8 anjuran Kesatuan NGO-NGO Islam Antarabangsa

Akh Naveed Ashraf sedang bercakap mewakili United Kingdom.

Himpunan belia kali ini memfokuskan perbincangan kepada media baru khususnya media sosial, kesannya kepada generasi muda, pendedahan tentang implikasi media ke atas Revolusi Arab, kebebasan (atau sekatan) media di negara-negara Caucas dan lain-lain, serta perbincangan membangunkan kerjasama antara negara untuk mencetuskan fenomena baru ‘islamic media’. Program ini masih berjalan dan insyaAllah akan selesai pada hari ini, dengan lawatan ke Ibu Pejabat AK Party dan SalamWorld.

Menghimpun longgokan perkongsian dan maklumat tidak susah, tetapi yang membezakan antara dua manusia ialah interpretasi input kepada output. Mudah-mudahan hasil fasa kembara ini, akan dapat diterjemahkan kelak dalam penjelajahan membina Malaysia Baru.

Sehari dua lagi, insyaAllah saya akan bertolak ke Antakya sebelum pulang ke Syria melepaskan rindu kepada anak-anak didik bumi Syam.

No comments:

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan