:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Showing posts with label petikan isu. Show all posts
Showing posts with label petikan isu. Show all posts

Monday, April 19, 2010

Afiq dan Afieqah

Selesai program Study Group dan Sambutan Hari Lahir KRU Penampang (KRUP), PSS meneruskan perjalanan menziarahi keluarga adik Afiq dan Afieqah di Kampung Kivatu. Ziarah tersebut adalah hasrat Cikgu Jamil, bekas setiausaha Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Urusetia Sabah yang pernah menguruskan kes keluarga Afiq. Turut serta ialah beberapa orang ahli KRUP, wakil Jawatankuasa KRU KK, Saudara Hannafi Muktah dan Haji Ahmad, orang lama Kampung Kivatu yang banyak membantu menghubungkan keluarga Afiq dengan pihak PUM sebelumnya. Adik Afiq tinggal bersama ibu, adik perempuan, datuk serta neneknya sejak ibunya diceraikan oleh bapa beliau pada tahun 2002. Ibunya, Puan Ruzana Abdullah@Rowena Chin, berbangsa Sino Kadazan, memeluk Islam sejak tahun 1996 apabila berkahwin dengan suaminya, seorang Muslim berbangsa Brunei.

Ahli KRU Penampang yang baru pertama kali dibawa menyelami
susah-payah kehidupan masyarakat di sekeliling mereka.

Tindakan suaminya melepaskan tanggungjawab memberikan nafkah kepada keluarga menyebabkan Puan Ruzana mengambil keputusan bekerja bagi menyara Afiq dan adiknya Afieqah, sehinggalah beliau disahkan menghidap penyakit Giant Cell Tumor pada tahun 2004. Pada tahun sama, beliau terpaksa diterbangkan ke Kuching bagi menjalani pembedahan di kaki kiri, sebelum kaki kirinya dipotong pada tahun 2006 kerana gagal diselamatkan.

Kini Puan Ruzana dan dua anaknya tinggal bersama-sama ibu dan bapanya yang beragama Kristian, dan bergantung kepada keduanya untuk menyara kehidupan mereka bertiga. Kedua ibubapanya yang telah uzur membanting tulang empat kerat mencari rezeki bagi memastikan mereka mendapat sesuap nasi setiap hari. Bekas suaminya yang dipercayai berada di Labuan, tidak dapat dihubungi sehingga kini. Dalam pertemuan ringkas tersebut, PSS sempat menyampaikan sedikit sumbangan untuk keluarga Puan Ruzana. Lebih mengharukan, Puan Ruzana sempat meluahkan hasrat supaya Afiq dan Afiqah dibawa mengikuti program keagamaan yang dianjurkan PSS, selain diajarkan cara solat dan membaca Al-Quran.

Puan Ruzana, Afiq dan Afiqah menerima sedikit sumbangan
yang disampaikan Saudara Hannafi Muktah.

Nenek Afiq (paling kanan) tumpang gembira dengan sumbangan yang disampaikan.
Beliau yang kini terpaksa bekerja menyara mereka semua.
"Ini anak bongsu saya," ujar beliau tidak mahu melepaskan tangan Saudara Hannafi.

Ini adalah kes kedua seumpamanya diuruskan PSS, di mana lelaki Muslim yang tidak bertanggungjawab mengambil isteri daripada kalangan non-Muslim, dibawa menganut Islam tetapi ditinggalkan di pertengahan jalan tanpa bimbingan dan rasa bersalah. PSS mendoakan supaya golongan ini dibuka pintu hatinya untuk kembali bertaubat, sebelum menemui pengadilan dan azab Allah di hari akhirat kelak. PSS mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan untuk keluarga Afiq dan ibunya yang sedang mencari biaya untuk kaki palsu berharga RM20,000.oo, dan mendoakan agar Puan Ruzana sekeluarga kekal di dalam agama Islam walaupun terpaksa bergantung harap kepada ahli keluarga yang belum beragama Islam , dan hidup dalam suasana bukan Islam demi meneruskan kehidupan.

Wednesday, April 14, 2010

'Kg. Bakau - Sejarah Kg. Suluk Berulang Lagi'

Penulis bersama-sama beberapa orang rakan pernah turun menyantuni masyarakat Kg. Suluk di Likas kira-kira dua tahun dahulu apabila rumah mereka dirobohkan. Ketika itu penulis menjadi Exco Kerohanian dan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar UMS, sekaligus Pengerusi Ikatan Sahabat EKSAH UMS. Asalnya tinjauan yang dilakukan bertujuan untuk bertemu orang kampung dan bertanyakan khabar mereka, memandangkan 'kemusnahan' secara tiba-tiba terhadap tempat tinggal mereka dapat dilihat dengan jelas bilamana penulis melepasi bulatan Yayasan Sabah ke Kota Kinabalu. Tetapi apabila melihat keadaan penduduk yang terbiar, dan tiada pilihan selain bertahan di balik runtuhan rumah masing-masing untuk berlindung daripada panas dan hujan, penulis tidak sampai hati membiarkan mereka bersendirian. Justeru meskipun tanpa restu pihak universiti yang bimbangkan keselamatan kami, bantuan dan sumbangan dikumpulkan melalui semua saluran yang ada, dan syukur alhamdulillah, penduduk di sana sekurang-kurangnya mendapat bekalan makanan dan pakaian untuk beberapa hari.

Sejarah Kg. Suluk berulang lagi. Sejak 12hb April 2010, perobohan rumah penduduk bermula pula di Kg. Bakau. Penulis difahamkan tujuannya ialah untuk menghapuskan perumahan setinggan PTI dan imej kampung tersebut yang kotor, tetapi pelik bunyinya kerana majoriti penduduk merupakan pengundi berdaftar, dan merupakan pengundi tegar BN. Lebih pelik lagi, kampung tersebut pernah memenangi pertandingan Kampung Terbersih anjuran DBKK sendiri sebanyak beberapa kali. Maka barangkali benar apa yang dikatakan seorang pemimpin masyarakat tempatan, bahawa keadaan kampung sekarang berpunca daripada pihak kerajaan , yang dengan tindakan mereka mengancam sejak dahulu untuk merobohkan kawasan tersebut, menyebabkan penduduk mahu tidak mahu menjaga keselesaan dan kecantikan tempat mereka sendiri.

Apapun isunya, penulis tegas berpendapat tidak ada manusia yang layak dibiarkan hidup bergelandangan. Tidak ada kanak-kanak yang sepatutnya terpaksa berteduh dibawah runtuhan rumah sendiri. Tidak ada perut yang boleh dibiarkan berlapar semata-mata kerana dapur mereka telah diranapkan. Penduduk Kg. Bakau tidak diberikan pampasan, dan rumah sewa yang ditawarkan kepada mereka di Telipok Ria, walaupun sudah dibayar sewa dan kos membaiki kerosakan, rata-ratanya tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. Malah, tandas di rumah flat kos murah itu bocor di tingkat sebelah atas, menyebabkan apabila jiran membuang air besar, penghuni di bawah terpaksa menadah hasilnya!

Beberapa penduduk yang sempat ditemubual mengakui kecewa dengan sikap kerajaan yang menghalalkan cara dan membelakangkan perikemanusiaan untuk mencapai matlamat, termasuklah Adun Karambunai, Datuk Jainab Ahmad yang hanya menabur janji manis tetapi langsung tidak kelihatan sepanjang operasi perobohan. Mereka mengakui diri mereka hanyalah semut-semut yang tidak mampu bangkit melawan 'kegajahan' kerajaan.

Malangnya buat pihak yang berkuasa, bukan semua rakyat berasa kecut dan rendah diri untuk berhadapan dengan pihak kerajaan. PSS bersama rakan-rakan NGO akan terus tetap membela nasib marhaen yang terhimpit, dan menyeru pihak lain mengambil tindakan sewajarnya bagi menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang tertindas. PSS mengalu-alukan sebarang bantuan dalam bentuk kewangan dan lain-lain bagi meringankan beban penduduk Kg. Bakau.

Keadaan Kg. Bakau yang dirobohkan.

Adik Ian, salah seorang mangsa perobohan yang sudah tidak nampak
halatuju masa depannya. Sebelum ini dia mengikuti kelas Al-Quran di bawah PSS.

Penduduk kampung hanya mampu berteleku memikirkan hari esok.

Masjid Nurul Huda di Kg. Bakau, tidak lama lagi hanya akan tinggal kenangan.

Ibu tua ini mengadu nasib 6 orang anak-anaknya yang masih bersekolah,
selain anak bongsu berusia 9 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Anggota RELA yang tidak bersalah. "Kami hanya menurut arahan."

Sumbangan anda sangat diperlukan. Salurkan ke akaun :

Bank Islam PSS - 10016010043186
CIMB Timb. Presiden PSS - 12180099132527

Penulis ialah Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah.

Thursday, March 18, 2010

PSS Pandang Serius Isu Belia Terpinggir

Mutakhir ini rakyat Sabah dikejutkan dengan laporan akhbar tempatan dan nasional berhubung isu belia Sabah yang mencari rezeki di bumi Semenanjung tetapi terkandas di sana tanpa arah tuju. Fenomena yang jelasnya telah berlaku sekian lama ini, biarpun baru timbul, menjadi suatu indikator yang sangat tidak baik terhadap peluang mencari kehidupan dan berdikari di tempat sendiri. Malah ia menjadi semakin kritikal apabila NGO dan pihak bertanggungjawab yang membuat tinjauan mendapati bahawa para belia ini hanya mampu berteduh di kaki-kaki lima dan mendapat sumber makanan harian daripada ihsan gereja.

Mengulas isu tersebut, Saudara Roslan Azhari, Exco Pembangunan Siswazah PSS ketika dihubungi berkata, kerajaan seharusnya mengambil langkah drastik mengkaji pokok pangkal masalah seterusnya mencantas masalah tersebut dari akar umbi. "Penghijrahan penduduk Sabah menjadi bukti betapa belia-belia ini terhimpit samada oleh hak asasi buruh yang tidak terjaga, gaji yang terlalu minimal berbanding kerahan tenaga dan peluang pekerjaan yang tipis," ujar beliau. Saudara Roslan seterusnya menggesa pihak kerajaan negeri supaya mewujudkan suatu 'task force' bagi membincang dan menyelesaikan isu ini untuk jangka masa panjang.

Dalam suatu perkembangan lain, Saudara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Timbalan Presiden PSS meluahkan rasa kecewanya terhadap isu penindasan hak oleh majikan khususnya terhadap pekerja Muslim. "Kita sudah menerima terlalu banyak laporan berhubung isu pekerja yang tidak diberikan hak untuk melaksanakan solat fardhu khususnya Solat Jumaat, malah sebahagian mereka tidak dibenarkan untuk menutup aurat. Isu-isu ini turut melibatkan pasaraya besar seperti G-Mart di Tuaran. Kita sedang melakukan kajian yang lebih mendalam terhadap isu ini dan dengan fakta yang lengkap, kita akan serahkan memorandum kepada pentadbiran kerajaan negeri dan memastikan supaya tindakan diambil."

PSS meyakini bahawa isu-isu ini sedang diberikan prioriti oleh kabinet kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Panglima Musa Aman, dan jika sebaliknya, akan memastikan supaya isu ini diangkat. PSS juga membuka ruang perbincangan dan komentar kepada ahli masyarakat dan badan-badan yang prihatin supaya komplikasi ini dapat diselesaikan secara bersama.

Monday, February 8, 2010

Berkarya, Jangan Sampai Ke Neraka!

Saya terkejut bila menjenguk laman berita dalam talian harakahdaily.net dan membaca berita tentang 'photo editing' yang dilakukan oleh seekor blogger UMNO/BN terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Yang digambarkan bukan alang-alang, apa yang dihasilkan ialah gambar Tuan Guru sedang diliwat oleh Anwar Ibrahim!

Saya banyak menahan diri daripada menulis menghentam budaya politik longkang yang diamalkan UMNO/BN dan cuba bersikap matang dalam menangani isu. Saya diam apabila kerajaan Perak dirampas oleh UMNO/BN, saya sepi bila masjid-masjid dirobohkan,termasuk Masjid Jubli Perak di Bangi dan saya tidak menzahirkan penentangan secara terbuka bilamana harta dan hak rakyat dirobek. Tetapi bilamana wujud manusia yang begitu berani mengolok-olok ulama' sehingga ke tahap 'mencadangkan' seorang ulama' diliwat oleh tokoh politik lain, saya katakan, CELAKA ADA BATASNYA!

Saya banyak mendampingi pimpinan PAS dan melalui close encounter ini saya sentiasa dipahatkan dengan keyakinan tentang penjagaan rapi pimpinan terhadap amalan kerohanian, khususnya oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Justeru saya yakin bahawa sebarang kekeliruan dan percanggahan yang timbul adalah atas dasar ilmu dan dibimbing oleh Allah. Kalau hendak dibandingkan dengan hampas yang mereka gambar ini, saya yakin 2 juta peratus bagai langit dengan bumi!


Mari mengaminkan doa ini;

Ya ALLAH peliharakanlah maruah ulama'-ulama' pewaris para anbiya', dan timpakanlah kecelakaan kepada musuh-musuh mereka dan musuh-musuhMu, sekiranya mereka terus tetap di atas jalan yang Engkau murkai. Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Ingat, berkarya, jangan sampai ke neraka!

Sunday, January 17, 2010

PSS dan Allah

Isu penggunaan nama Allah oleh Kristian bukanlah isu yang baru. Malah, salah seorang Exco Pembangunan Pelajar PSS, saudara Fairuz Bend telah mendahului zamannya apabila menulis berhubung isu tersebut di dalam blog perbandingan agamanya, yang boleh diakses di sini dan sini.

Antara lain beliau memetik ayat Al-Quran daripada Surah At-Taubah, ayat 90 :

“Dan Yahudi berkata bahawa Uzair adalah anak Allah, dan Nasrani pula berkata Isa Al-Masih adalah anak Allah” (Surah At-Taubah 9 : 30)

Ayat tersebut jelas menunjukkan betapa agama-agama samawi telah lama menggunakan perkataan Allah di dalam agama mereka. Di Sabah, isu tersebut menjadi semakin hangat apabila seorang kolumnis terkenal di Sabah, Raymond Tombung mengecam pimpinan yang mahu terus menggunakan perkataan 'Allah' sedangkan tuhan-tuhan Kristian sepatutnya dipanggil dengan nama-nama yang tersendiri. Artikel beliau boleh dibaca di sini. Selain itu, banyak pihak juga bersuara menentang hasrat Presiden Jaksa Pendamai(JP), Datuk Clarence Bongkos Malakun supaya orang Krsitian menggugurkan sahaja penggunaan 'Allah' untuk perpaduan[baca di sini].

Apapun, insiden serangan ke atas beberapa buah gereja di semenanjung, termasuk gereja tertua All Saints di Taiping jelas sekali adalah salah dan bertentangan dengan Islam. PSS sehaluan dengan organisasi Islam lain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan mengecam pihak yang bertanggungjawab mengeruhkan keadaan di dalam negara.

Justeru PSS, yang telah lama mendekati masyarakat samada masyarakat Islam atau Kristian di Sabah melalui pelbagai kegiatan kebajikan dan pembangunan masyarakat, berbesar hati menjadi orang tengah menghubung dan mendamaikan kedua-dua pihak dan menyampaikan penjelasan akan pendirian Islam berhubung isu tersebut. Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) akan mengadakan forum bagi menerangkan isu tersebut dalam masa terdekat, insyaAllah.

Friday, August 7, 2009

UMS Beli FFM-22, Jual H1N1


Saya terkejut apabila dimaklumkan awal pagi tadi bahawa mesyuarat pengurusan semalam memutuskan bahawa UMS tidak akan dikuarantin. Sesi pengkuliahan akan berjalan seperti biasa dan program-program yang telah dirancang akan berjalan seperti yang dirancang. Barangkali jumlah 4 kes tidak cukup untuk menakutkan pentadbiran. Hairannya, tempat-tempat lain, seperti Sekolah Agama Menengah Inanam (SEMAI), yang ketara mempunyai pentadbiran yang lebih bijak, awal-awal mengkuarantin sekolah daripada dimasuki oleh orang luar walaupun belum ada kes yang dilaporkan.

Saya percaya keputusan yang dicapai semalam bukanlah keputusan sebulat suara, kerana desas-desus mengatakan bahawa ada pihak yang mempertikaikan tahap keselamatan dan langkah kurang bijak mengumpulkan mahasiswa UMS dengan pihak luar secara beramai-ramai dalam tempat tertutup seperti pada Malam Anugerah FFM-22. Pada saya, saya yakin Malam Anugerah tersebut merupakan antara titik pertimbangan yang besar kenapa UMS tidak boleh ditutup. Seperti yang disebut Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim, dalam sidang media FFM-22 di Novotel 1Borneo baru-baru ini, "Kita berbangga setelah menunggu hampir 21 tahun, Sabah menjadi tuan rumah bagi acara ini". Mustahil mudah-mudah sahaja acara gilang-gemilang tersebut hendak dibatalkan dengan sebab ancaman wabak H1N1?

Maka pilihan yang dibuat ialah membelakangkan kepentingan ramai, khususnya kelompok warga kampus yang kurang bijak menghadiri acara tersebut, dan menyerahkan segalanya kepada takdir. Kita tidak pasti samada H1N1 akan semakin merebak di kampus setelah acara tersebut, tetapi yang kita pasti ialah amaran Allah supaya jangan menjebakkan diri di dalam perkara-perkara bodoh;
Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dengan tangan-tangan kamu sendiri, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. (Al-Baqarah,195)

UMS telah mengambil keputusan membeli FFM-22, dan menjual H1N1. Maka jika berlaku apa-apa masalah di kemudian hari, 'kotoh'.

Thursday, August 6, 2009

PSS Kecam Penganjur FFM-22


5 Ogos 2009 - Persatuan Siswazah Sabah mengecam pihak penganjur Festival Filem Malaysia Ke-22, apabila mereka masih lagi berniat mengadakan Malam Anugerah FFM-22 itu di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah tanggal 8 Ogos ini, walaupun kampus tersebut telah mula diancam wabak selsema babi (H1N1).


Presiden Persatuan Siswazah Sabah, Saudara Bunyamin Bakri, apabila dihubungi menegaskan, hasrat penganjur untuk tidak membatalkan acara tersebut, seolah-olah bertolak-tali dengan peringatan yang diturunkan oleh Allah dalam bentuk wabak selsema babi. “Sejarah menukilkan kisah penghapusan sesuatu kaum atau bangsa secara keseluruhan dengan sebab keingkaran mereka untuk tunduk kepada Allah, sebagaimana penghapusan Kaum Tsamud di zaman Nabi Shalih dengan ditelan oleh bumi, tentera Firaun yang ditenggelamkan oleh Laut Merah di zaman Nabi Musa dan lain-lain kisah pengajaran.” Beliau menambah dengan nada sinis, “Barangkali dengan sebab umat Nabi Muhammad ini diberi kelebihan oleh Allah iaitu tidak dihapuskan secara sekaligus, mereka menganggap kuasa Allah telah mula weak kerana Ribut Greg 1999, tsunami 2006 dan terkini selsema babi ini hanya memusnahkan atau menimpa segelintir sahaja manusia.”


Beliau turut menyatakan kekesalan apabila mendapat laporan bahawa gejala Kristianisasi telah mula menular semula di dalam kampus, selain penggunaan institusi pengajian tinggi sebagai tempat pelaksanaan Persidangan UMNO Sepanggar tanggal 2 Ogos yang lalu yang terang-terang mencabuli akta dan peraturan Universiti. Akhirnya beliau menyatakan hasrat menghantar memorandum kepada Naib Canselor UMS, Kolonel Prof. Datuk Dr Kamaruzaman Haji Ampon dan mengatur pertemuan dengan beliau secepat mungkin bagi membincangkan isu-isu tersebut.


FFM-22 telah bermula sejak 3 Ogos di Sabah, dan antara aktiviti yang dijalankan adalah bengkel penerbitan video, bengkel penulisan skrip, bengkel lakonan, sesi bertemu bintang legenda serta tayangan filem percuma bermula 6 Ogos sehingga 8 Ogos di GSC 1Borneo dan GSC Kilan, Kota Kinabalu, Sabah. Keputusan samada Malam Anugerah Festivel Filem Malaysia ke-22 yang dijangka akan dihadiri oleh 600 penggiat seni tanahair, dan mengedar 5000 tiket percuma kepada orang awam, mahasiswa dan sebagainya akan ditentukan petang esok melalui pengumuman samada UMS terpaksa dikuarantin berikutan beberapa kes yang telah dikenalpasti menjangkiti warga kampus.


PSS optimis pihak pentadbiran UMS akan mengambil keputusan yang betul dan mendahulukan mahasiswa sebagai rakyat di Universiti, bertepatan dengan slogan 1Malaysia yang sering ditonjolkan mutakhir ini, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Friday, July 17, 2009

PSS Berdemonstrasi Isu Xianjiang

Persatuan Siswazah Sabah dengan beberapa NGO lain, antara lain Yayasan Amal dan Persatuan Ulama Malaysia Sabah, berhimpun mengadakan unjuk rasa terhadap isu pembunuhan kaum minoriti Muslim Uighur di wilayah Xianjang, China. Unjuk rasa yang diadakan seusai solat Jumaat di Masjid Bandaran, Kota Kinabalu berjaya membuka mata kariah masjid dan masyarakat setempat untuk lebih peka terhadap insiden pencabulan hak asasi dan ketidakadilan yang melanda kaum majoriti Islam tersebut. Selain edaran risalah berhubung isu berkaitan dan ucapan oleh beberapa wakil persatuan, laungan 'Hidup Islam, Hancur Kezaliman' turut membakar jiwa umat yang cintakan perpaduan dan keamanan.




Islam adalah agama yang membawa mesej persefahaman dan permuafakatan kepada semua manusia tanpa mengira latar-belakang bangsa, fahaman politik dan kelas sosial. Justeru Islam sanagt wajar dijulang sebagai wadah yang mampu mengumpul dan menyatukan semua pihak bersatu-padu dan berdepan cabaran yang mendatang secara baik dan profesional. PSS menyeru pihak yang terbabit menyelesaikan segala pertelingkahan dan huru-hara yang berlaku melalui meja perundingan, dan pada masa sama meyakinkan mana-mana pihak bahawa seperti penganut agama lain, umat Islam tidak akan merelakan maruah agama mereka dipermain dan diperkotak-katikkan.

PSS Kecam Penindasan Etnik Uighur


PSS dan seluruh dunia Islam mengutuk sekeras-kerasnya penindasan ke atas 9 juta penduduk suku etnik Uighur di Xianjang, China. Setelah berpuluh tahun diasak oleh 'kaum pendatang' Han dan dilayan seperti penceroboh di tempat sendiri, rusuhan Urumqi pada 5 Julai 2009, yang berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan cara kerajaan China mengendalikan kematian 2 orang pekerja kilang berbangsa Uighur di Guangdong, mengakibatkan 156 orang terbunuh dan 1080 cedera.

Penghapusan budaya Islam, larangan memasuki masjid bagi mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun dan golongan pelajar, perobohan bangunan tradisi Uighur yang mempunyai nilai estetika Islam atas alasan binaan tersebut tidak kukuh dan sebagainya adalah sebahagian rutin hidup yang dialami masyarakat Uighur di China. PSS peka dengan keadaan tersebut dan membantah sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak terhadap mana-mana individu atas nama kemanusiaan sejagat. PSS juga mengecam sebarang bentuk diskriminasi dan pengabaian hak asasi oleh mana-mana badan. PSS sedar akan kemelut yang dihadapi oleh dunia Islam hari ini, samada pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Selatan Thailand yang mendapat tempat di dada akhbar mahupun kes-kes yang disembunyikan daripada pengetahuan umum seperti pembunuhan Dr Marwa el-Sherbini di Germany tanggal 1 Julai 2009 yang lalu. PSS kesal dengan sikap sesetengah pihak yang masih meletakkan martabat dan kebebasan mengamalkan agama masing-masing di bawah tapak kaki golongan penguasa, sedangkan agama Islam membenarkan kebebasan beragama tanpa sebarang sekatan.

Justeru PSS berazam untuk terus mempertahankan Islam dan umat Islam di Sabah khususnya, dengan batang tubuh dan segala yang kami miliki, selain bertekad untuk terus membawa pemahaman tentang keadilan dan kesatuan yang dilaungkan oleh agama Islam kepada setiap pelusuk tempat, melewati sempadan agama, bahasa dan suku kaum. Islam Untuk Semua!

Wednesday, July 15, 2009

Permata Yang Hilang


15 Julai 2009 - Asal-usul Tambunan diambil daripada nama dua orang pahlawan yang banyak berjasa mempertahankan penduduk asal 'dataran' tersebut, yang diberi nama Tamadun dan Gombunan. Mereka mempertahankan puka yang berhijran dari Nunuk Ragang daripada puak Tonsundung. Nama mereka diabadikan, malah sebuah tugu dipacakkan di tengah-tengah pekan Tambunan untuk memperingati jasa mereka. Kalau mereka ini dikenali sebagai pahlawan yang mula meneroka bumi Tambunan, dunia Islam di Tambunan juga terhutang budi kepada dua orang pahlawan agama, yang menjadi pengasas atau antara pembawa Islam ke bumi ini. Mereka ialah Al-Fadhil Ustaz Darbi dan Ustaz Hadiq.

Dihantar oleh pondok tempat mereka menuntut di Indonesia dengan sebatang kara, mereka diarah memulakan kehidupan daripada kosong di bumi Tambunan, dengan hasrat membawa Islam ke sana. Setelah Ustaz Darbi mencapai usia lanjut 63 tahun, dan Ustaz Hadiq 55 tahun, Islam masih belu dapat bertapak secara kukuh di Tambunan, antara lain berpunca daripada liatnya orang tempatan menerima kehadiran mereka.

Kami tidak sempat mengenali susuk tubuh kedua-dua tubuh secara lebih dekat, tetapi selama 3 hari berada di Tambunan, kami merasakan aura yang dipancarkan oleh mereka berdua, khususnya apabila kami dimaklumkan bahawa Ustaz Darbi sedang terlantar sakit di Hospital Tambunan akibat jangkitan kuman di jantungnya. Orang yang menziarahinya tidak putus malah dikatakan seperti orang yang sedang berebut memasuki monorel. Zuhud dan tabahnya beliau berkhidmat sebagai guru Baitulmal dengan gaji RM500 sebulan, di samping mengisi setiap kekosongan jadual beliau dengan mengajar Al-Quran dan menyampaikan kuliah menggambarkan seorang yang cukup dikagumi oleh penduduk Islam, khususnya di kalangan mereka yang bersama-sama menggalas tuntutan dakwah. Mereka yang pernah mendampinginya tentu sahaja boleh menceritakan pengalaman menarik bersama beliau, samada khasyaf yang dimiliki, keluhuran budi dan amalan-amalan yang dilaksanakan secara istiqamah.

Kini, Ustaz Darbi tiada lagi.

Kami mendapat berita tentang pemergiannya pagi semalam, dan beliau selamat dikebumikan selepas Solat Zuhur. Tinggallah Ustaz Hadiq, yang membawa pendekatan lebih terbuka dan 'meriah' memimpin perjuangan Islam di Tambunan. Al-Fatihah.

“Barang seiapa menyembah Nabi Muhammad ,sesungguhnya Rasulullah benar-benar telah wafat.Dan barang siapa menyembah Allah,maka Allah tidak pernah mati dan abadi selama-lamanya.” - Abu Bakar

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan