:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Monday, August 10, 2009

RAY Tambunan; Kasih Dicari Sayang Diburu

Ziarah kali pertama. Bergambar bersama sebahagian penghuni RAY Tambunan.

Dalam tempoh sebulan tiga kali kami menziarahi RAY Tambunan. Kali pertama setelah selesai Program Pemantapan Solat di SMK Nambayan, Tambunan pada 12 Julai 2009, kali kedua bersama Azhan Atan pada 25 Julai 2009 dan kali terakhir pada 1-2 Ogos 2009 bila kami berkampung di sana bersama Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Sabah dalam Program Pemantapan Aqidah. RAY Tambunan menempatkan 150 orang penghuni Muslim, 70 lelaki dan 80 perempuan yang berusia daripada 7 tahun sehinggalah 19 tahun. Ia dikelola oleh JHEAINS dan selain anak yatim, turut menerima kemasukan anak-anak yang miskin, anak-anak peninggalan ahli keluarga yang murtad dan yang bercerai.

Kali pertama bertujuan untuk meraikan hasrat Cikgu Jamil supaya kami menziarahi keluarga Ven, atau Win 5 beradik yang ditempatkan di situ. Kami disambut oleh Azmi, Khairul, Hasan, Alif dan Azura. Mereka berlima berasal daripada Kg. Poring-Poring, Inanam dan telah beberapa bulan tinggal di sana. Hasan baru dua bulan masuk setelah dilepaskan semula oleh keluarga angkatnya.

Berasal daripada keluarga muallaf yang susah dengan 13 adik-beradik, Cikgu Jamil di bawah PUM mengambil inisiatif menempatkan mereka di situ. Mereka adalah anak ke-8 hingga ke-12 dalam keluarga, dan bapa mereka telah meninggal dunia sekitar 2 tahun yang lepas. Seperti rata-rata keluarga muallaf Dusun lain yang memeluk Islam kerana perkahwinan, keluarga mereka tidak pernah didedahkan dengan ilmu Islam, sehinggakan 2 daripada kakak mereka telah berkahwin dengan non-muslim.

Pada pertemuan kali kedua, saya berbual dengan Azmi, abang sulung di situ yang berumur 14 tahun dan bertanyakan keperluan mereka lima beradik. Dia seorang yang cukup bertanggungjawab dan kerap dapat dilihat bergurau bersama adik-adiknya yang lain. Beliau menyatakan bahawa segala keperluannya telah cukup, tetapi setelah didesak beberapa kali, mengakui bahawa beg sekolahnya telah koyak dan beliau terpaksa meminjam beg sekolah kawan untuk ke sekolah. Saya menjanjikannya beg sekolah baru dan meninggalkan pesan supaya beliau menjaga adik-adiknya dengan baik, selain menyatakan akan menyampaikan salamnya kepada ibu di rumah. Beliau mengangguk dan menggenggam tangan saya erat seolah tidak mahu dilepaskan.

Program Pemantapan Aqidah minggu berikutnya membolehkan kami mengenali penghuni RAY Tambunan dengan lebih dekat memandangkan RAY adalah tempat berlangsungnya program untuk golongan dewasa, sedangkan pelajar sekolah dikumpulkan di SMK Tambunan. Kami sempat menganjurkan satu slot program bersama penghuni RAY; saya sempat menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada Azmi, dan selain itu, kami bertemu pula dengan keluarga Auntie Maineh Radin, atau Liaina. Beliau datang membeli buku motivasi untuk anak-anaknya di gerai buku kami, dan mendengar pelat Dusunnya, saya mula menemuramah.

Rupanya Auntie Liaina mempunyai ENAM orang anak di RAY Tambunan! Mohd Firdaus-16, Mohd Fahmi-14, Nurain Hajratul Aswani-13, Mohd Faridzuan-12, Nurul Rabiatul Adawiyah-11 dan Nurain Nahdatul Syuhada-10, telah menetap di sana selama beberapa tahun, lebih ramai dan lebih lama daripada keluarga Azmi Ven. Berasal daripada Kg. Kemborongoh, Ranau, Auntie Liaina akan datang setiap sebulan atau dua bulan sekali dengan bas ke RAY Tambunan untuk menziarahi anak-anaknya. Setiap kali datang, dia akan menumpang di asrama selama 3-4 hari supaya dapat lama bersama anak-anaknya, menunggu keseorangan ketika anak-anaknya ke sekolah dan menghitung waktu yang tinggal sebelum terpaksa pulang ke kampung. Apakan tidak, keenam-enam anak itulah cahaya matanya yang ada, dan semuanya terpaksa ditinggalkan kepada budi orang kerana beliau tidak mampu menyara mereka.

Sebahagian keluarga Auntie Liaina. Berbaju jingga ialah Auntie Liaina, biru belang putih Adik Firdaus dan baju kurung merah, Adik Rabiatul.

Bapa mereka meninggalkan mereka pada usia Firduas 7 tahun, dan sejak itu, Auntie Liaina menampung kehidupan dengan menoreh getah, menanam dan melakukan kerja-kerja kampung yang lain. Kami spontan menghulurkan sumbangan kepada beliau dan dengan terharu, beliau menjemput kami ke rumahnya pada hari raya nanti. Apabila saya bertanya kemudiannya kepada Adik Rabiatul berhubung punca mereka tidak boleh balik berpuasa seminggu dua bersama ibu di rumah, jawapannya mudah,

"Ustaz, kalau balik masa puasa, takde dah la duit untuk balik masa raya."

Saya tersentak. "Duit untuk balik raya macam mana?"

"Kami dah kumpul daripada dulu lagi. Kalau ada tetamu datang, bagi duit, kami simpanlah untuk buat tambang nanti.."

Saya tidak tergamak untuk bertanya samada duit tambangnya telah cukup untuk pulang, atau dari mana beliau akan mencari duit untuk membeli baju raya. Itu akan dibincangkan dengan ibunya.

Saya memohon kepada mana-mana individu yang berkelapangan untuk menziarahi dua keluarga ini, dan lain-lain penghuni RAY Tambunan. Mungkin secara material mereka agak selesa, tetapi dari sudut pengisian rohani yang tersusun, pembangunan sahsiah dan kasih-sayang daripada masyarakat luar yang prihatin, mereka masih memerlukan tangan-tangan yang sudi menghulur.

Penghuni RAY Tambunan mendengar kuliah maghrib yang disampaikan Ustaz Mukhtar.

Mereka akan seronok setiap kali menerima kunjungan orang luar, walaupun bukan daripada ahli keluarga mereka.

Tahniah kepada pengurusan RAY Tambunan, khususnya guru-guru pembimbing kerana tidak mengenal erti penat lelah mendidik anak bangsa.

penggerak program Pemantapan Aqidah bersama sebahagian pengurusan RAY Tambunan. Dari kiri Ustaz Mazri, Ustaz Idris, Ustaz Hatta, Haji Ayub, Ustaz Saifuddin dan beberapa orang pembimbing guru muslimat.

No comments:

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan