:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Thursday, May 26, 2011

Safar Sufi ke Halab

Permusafiran yang tidak dirancang itu, rupa-rupanya yang paling bermakna buat sang hati. Perjalanan menghidupkan hati, kali terakhir dirasai di pondok Baitul Qura', seliaan Ustaz Zulkifli Ismail. Merenung wajahnya sahaja, sudah bisa menitiskan airmata. Benarlah kata Saidina Ali, yang paling mulia di antara kamu, ialah mereka yang apabila dipandang, akan membuatkan kita ingat kepada Allah. Hati menjadi lentur, nafsu menjadi kendur, airmata mudah gugur, dan ibadah terasa menghibur. Sungguh, inilah yang kehilangan di dalam diri dai'e hari ini, sehinggakan setiap langkah dihimpit beban, setiap tugas terasa menyusahkan, malah dakwah yang disampaikan, kesannya tidak berkekalan.

Jangan pelik kenapa sesi muhasabah tanpa didahului qiamullail tidak mampu mengalirkan airmata yang dimuhasabah. Jangan ragu kalau ceramah dan penyampaian tanpa doa selepas solat Subuh berjemaah tidak mampu membuat hati pendengar gundah oleh maksiat mereka kepada Allah. Kerana menyentuh hati itu, juga dengan hati. Justeru hati yang kotor dan jarang dicuci, ibarat cermin berdebu yang hanya memancarkan tempias-tempias cahaya, kekalnya tidak lama, kesannya tidak ke mana.

Justeru, alhamdulillah, hati kotor ini sungguh-sungguh bersyukur kerana dapat sampai ke Halab, bumi bertuah di utara Syria yang pernah dijejak oleh Saidina Ibrahim. Berikut sedikit catatan tazkiyatun nafs sepanjang berada di sana:

17 Mei 2011 (Selasa)

Rombongan kami terdiri daripada tiga orang, saya, Saudara Akmal yang menjadi asbab kami dapat ke sana, dan sepupu Saudara Muhajir. Setelah perjalanan yang memakan masa 4 jam setengah, kami tiiba di Halab sekitar jam 7.30 malam dan terus bergerak ke Bab Faraj dengan bas, sebelum ke Masakin Hanunu menaiki teksi. Selama seminggu, kami menginap di penginapan yang disediakan di Jami’ Abbas, dengan Syeikh Soleh Al-Abbasi menjadi tuan rumah kami.

Halab atau Halib yang bermakna susu di dalam Bahasa Arab, dinamakan sedemikian menggambarkan kemurahan hati Nabi Ibrahim yang sentiasa memerah susu lembu meraikan tetamu-tetamunya. Kemurahan hatinya diwarisi penduduk Halab, memungkinkan kami menginap secara percuma, selain disediakan makanan setiap hari.

18 Mei 2011 (Rabu)

Mula mengikuti tertib amalan Tariqat Rifai’e, yang dimulakan dengan bacaan Al-Quran selepas selesai zikir Solat Fajar. Bacaan Al-Quran bergilir merangkumi Surah Yaasin, Ad-Dukhaan, Al-Fath, An-Najm (ayat 1-18), Ar-Rahman, Al-Waqi’ah, Al-Hasyr, Al-Qiyamah, Al-Mursalat, An-Naba’, Al-Mutoffifin dan Al-A’la (7 kali). Syeikh Soleh yang memimpin bacaan, selalunya keletihan setiap kali zikir dan bacaan quran. Menurut anaknya, beliau bangun beribadat pada jam 1 pagi setiap hari. Masa siang sebelum Zuhur di sini, biasanya digunakan untuk berehat.

Pagi kami bermula dengan ziarah ke Pusat Hafazan Al-Quran di Jami’ Utmaniyyah di tengah Bandar Halab. Ustaz Syazwan, lepasan Hadhramaut, Yaman dan Abu Nadhim, seorang pakcik anak tempatan, menjadi penunjuk jalan. Kami seterusnya bergerak ke Qala’ah Salahuddin Al-Ayubi, Maqam Nabi Khidir dan Souq Medina, sebelum menunaikan solat sunat di Maqam Nabi Zakaria di Jami’ Umawi, Halab.

Petang itu kami memulakan sesi talaqqi Syarah Muqaddimah Hadhramiyyah (Fiqh), Tazkirah As-Sami’ wal Mutakallim (Akhlaq) dan Bidayatul Hidayah (Akhlaq) bersama Ustaz Syazwan. Beliau banyak menekankan aspek-aspek kerohanian dalam Islam, sisi yang tidak lagi diendahkan oleh masyarakat, malah tidak dititik-beratkan oleh dua’at moden hari ini.

19 Mei 2011 (Khamis)

Ziarah Syeikh Muhammad Al-Maghribi di sebuah Jami’ di tengah Bandar Halab. Antara pesan beliau yang memberi kesan dalam maksud terselindung ialah 'duduklah dengan ahli yakin, dan rapatkanlah lututmu ke lutut mereka, justeru kamu juga akan mendapatkan yakin.' Beliau juga menasihatkan kami supaya duduk dengan orang soleh, kerana berdekatan dengan mereka, adalah ubat yang mujarab, dan berjauhan dengan mereka, adalah racun yang membunuh.

Pada sebelah malamnya, mengikut Hadharah (majlis zikir) Tariqat Rifaie di Jami’ Abbas, yang dipimpin oleh Syeikh Soleh. Syeikh Soleh (tuan rumah kami) adalah keturunan Saidina Abbas R.A.

Antara kelebihan Imam Rifai'e yang mengasaskan tariqat tersebut, ialah karamah baginda dapat mencium tangan baginda Rasulullah S.A.W yang disuakan kepadanya secara terus setelah bertafakur di makam baginda. Peristiwa tersebut menjadi peristiwa mutawattir (terlalu ramai ahli agama yang menyebutkan sehingga mustahil palsu) yang disampaikan oleh ribuan hadirin yang turut serta menyaksikannya.

20 Mei 2011 (Jumaat)

Majlis Selawat atas Nabi Muhammad S.A.W selepas asar, menghabiskan marathon 100,000 kali selawat.

21 Mei 2011 (Sabtu)

Majlis Hadharah Tariqat Syaziliah dipimpin oleh Syeikh Bakri Hayyan. Majlis berakhir sekitar jam 1 pagi. Jami’ tempat majlis berjalan juga menempatkan bekas tapak kaki Nabi Muhammad S.A.W, dan air dialirkan melaluinya untuk diminum oleh jemaah.

Seorang lelaki pernah melihat guru kepada Syeikh Bakar Hayyan duduk bersama-sama Rasulullah S.A.W di dalam majlis seumpama yang dihadiri oleh kami.

22 Mei 2011 (Ahad)

Melalui sesi bekam di penginapan. Tukang bekam bukan sahaja datang ke penginapan kami, malah rawatan yang diberikan adalah percuma, atas alasan menghidupkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Pada sebelah petang, menghadiri jemputan majlis Maulid Nabi yang dipenuhi dengan selawat dan bacaan Al-Quran.

23 Mei 2011 (Isnin)

Ziarah wali Allah, Syeikh Naji di Hama, sejauh 150km dari Halab. Syeikh Naji seorang ulama’ besar yang terkenal di kalangan masyaikh tarikat, dan terkenal dengan sifat tawaddhu’ dan pemalu, mencontohi Saidina Uthman bin Affan. Tatkala sampai, kami mendapatinya sedang berzikir. Beliau hanya membuka bicara setelah selesai berzikir dan membaca dua juzu' daripada Al-Quran. Beliau mencium tangan kami setelah kami mencium tangannya.

Pesan Syeikh Naja sebelum kami meninggalkannya, 'Taatlah kepada Allah dalam keadaan tersembunyi'. Syeikh Naji berusia lebih 80 tahun dan sudah uzur.

Perjalanan pulang mengalami sedikit kegetiran kerana terpaksa melalui kawasan panas (Bandar Hama, pusat demonstrasi menjatuhkan kerajaan Syria selain di Dara’a dan Homs) dan sekatan polis-tentera, tetapi berkat doa Syeikh Naji, tiba di penginapan dengan selamat sekitar jam 2 pagi. Menangguhkan perancangan asal pulang ke Dimashq pada malam itu.

24 Mei 2011 (Selasa)

Bertolak pulang ke Dimashq dan tiba sekitar jam 4.30 petang.


Sungguh, segala yang kami perolehi sepanjang satu minggu ini boleh jadi lebih bermanfaat mendidik hati daripada beribadat berhari-hari secara sendirian, tanpa disingkap makrifat pengabdian tersebut. Tidak dapat mengungkapkannya dengan kata-kata, saya cuba berkongsi dengan beberapa kesimpulan:

1. Para ulama' pada hari ini berlumba-lumba bukan pada siapa yang paling berdakwah atau berceramah, tetapi siapa yang paling dekat mencontohi Rasulullah S.A.W. Lantaran itu sekasar-kasar bangsa Arab, sangat lentur apabila disebutkan nama baginda.

2. Ulama', awliyya' dan ahli Allah bukan dikenal pada zahir mereka yang dipertontonkan melalui media massa sahaja, tetapi rohani mereka sangat hidup dalam mendekati Allah. Tangisan mereka di waktu malam, menyelamatkan umat daripada bala bencana dan azab di dunia. Malah, taqarrub ini yang menarik manusia kepada mereka. Syeikh Habib Ali Al-Jufri misalnya, pernah ditegah memberi ceramah di beberapa negara Arab kerana ceramahnya seringkali menyebabkan para artis berbondong-bondong insaf dan meninggalkan industri hiburan, lalu merugikan kerajaan-kerajaan terbabit.

3. Bangsa Arab sangat pemurah dan hebat dalam meraikan tetamu, khususnya Ahli Bait Baginda Rasulullah S.A.W, sehingga tidak membenarkan langsung tetamu melakukan apa-apa kerja. Alhamdulillah, ini juga terlihat pada tullab 'ilm di bumi Syam ini.

4. Saya melihat video yang melabel majlis tariqat dengan hadirinnya melompat-lompat sambil berzikir sebagai sesat. Kata Al-Quran, dalam apa-apa isu pun, when in doubt, tanyalah orang alim. Kata saya, orang yang tidak melaluinya, takkan pernah merasainya.

5. Setiap pengalaman yang dilalui di Syam, mengukir cara untuk saya kembali berkhidmat di bumi Sabah kelak. Pengalaman ini, membentuk halatuju menghidupkan hati-hati dengan taqarrub kepada Allah melalui jalan menyampaikan ilmu batin Islam.


Anak harapan Syeikh Soleh, Uthman. Bersamanya ialah Abu Bakar dan Umar.
Anak-anak ini diajar mencintai Rasulullah S.A.W semenjak kecil.

Bergambar kenangan bersama Abu Nadim di Jami' Uthmaniyyah.

Qala'ah Salahuddin Al-Ayubi megah di puncak bukit. Salahuddin Al-Ayubi membina kota pertahanan di lokasi-lokasi strategik mengelilingi Jerusalem, antaranya di Halab, Busro dan Jordan, sebelum menakluk semula kota suci tersebut.

Salah satu tempat persinggahan Nabi Khidir. Sebahagian riwayat menyebutkan baginda masih hidup dan merupakan lelaki yang dibelah oleh Dajjal tetapi bersambung semula sebagaimana disebutkan di dalam hadis baginda RAsulullah S.A.W.

Bekas tapak kaki Rasulullah S.A.W.
Air dialirkan melaluinya untuk diminum oleh para jemaah.

Penyejuk mata, penawar hati. Umar, Abu Bakar, Usman, Jaafar, Ahmad dan Ali adalah 6 daripada 24 anak Syeikh Soleh daripada 4 orang isteri. Sebagaimana anak-anak Ustaz Zulkifli Ismail di Baitul Qura', anak-anak Syeikh Soleh ini dijaga dengan rapi dan sangat gembira bila diziarahi oleh abang-abang yang membawa cerita Spongebob dalam laptop.

Daripada kiri, Syeikh Muhammad Sufi, Syeikh Soleh dan Usman.

Ya Allah,jadikan kami di kalangan ahli-ahlimu ya Allah.

Teka-teki Fiqh untuk pembaca : Seorang lelaki menunaikan solat Zuhur selama 30 hari. Pada hari ke-30, dia mendapati jamnya salah, dan solatnya selama 30 hari dilaksanakan sebelum masuknya waktu Zuhur. Berapa waktukah Zuhurkah yang perlu diqadha' olehnya?

A. 30 kali
B. Tidak perlu qadha'
C. Mengikut kemampuan
D. Satu kali sahaja

Hadiah 11 kali Al-Fatihah di hening Fajar bumi Syam, pembuka jalan kesulitan dan pemurah rezki untuk setiap yang cuba menjawab, sebaiknya dengan hujah.

Berkongsilah, kerana setiap perkongsian, pasti ada nilai di sisi Tuhan.

p/s : Aisyah Al-Humayrah Kamaruzaman dan Nurul Insyirah Sunoto telah selamat mendarat di Syam semalam. Mudah-mudahan mereka thabat, dan menjadi contoh kepada yang lain mengikut jejak langkah mereka.

15 comments:

Unknown said...

1. ayat ini ana kurang faham, "Antara kelebihan Imam Rifai'e yang mengasaskan tariqat tersebut ialah karamah baginda dapat mencium tangan baginda Rasulullah S.A.W yang disuakan kepadanya secara terus setelah bertafakur di makam baginda"

- 'karamah baginda' tu merujuk kepada Imam Rifai'e kah?

2. Teka-teki fiqh: Hmm... one of the good part to get more crowd over a conversation i.e boost up one's communication skills

3. Ni jawapan pada pandangan ilmu yang ada (berkat mengajar adik2 semasa Kem Anak Soleh berkaitan dengan syarat sah solat):

a. Ana mengandaikan silap jam/waktu yang dikemukakan adalah tidak signifikan (cth: lari lima minit dari waktu asal/ sebenar)

b. Antara syarat sah solat adalah; telah masuk waktu solat.

c. Maknanya ketika kita hendak menunaikan solat fardhu, kita kena yakin bahawa waktu solat telah masuk pada hakikatnya. Seperti dengan merujuk takwim, jam, matahari mahupun bertanya pada orang lain. Jika ini dipenuhi (bersama syarat sah yang lain) insyaAllah solat kita sah

d. Jadi solat saudara tadi adalah sah untuk 30 hari berkenaan.

e. Persoalannya sekarang adalah perlu qadha' ataupun tidak? Ana berpendapat tidak perlu qadha' kerana solat kita sah.

f. Wallahu'alam


4. Post ni mengingatkan ana tentang buku "Penenang Jiwa" oleh Imam Al-Ghazali.

Ingat! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah hati. (H.R. Bukhari & Muslim)

P/S: Khabar dari Malaysia (jugak dunia)

1. Minyak naik, gula naik, taraf hidup pun naik! (P/S: taraf caj eletrik pun macam mahu naik jugak!)

2. Mengikut W.H.O (World Health Organization), Malaysia terletak dikedudukan ke-10 sebagai negara pengguna arak di dunia. Arghhh! Tidakku sangka! (jugak x boleh di diterima!)

3. KRIS datang lagi sempena cuti sekolah. Lahad Datu > Tawau > Kota Kinabalu

Anonymous said...

alhamdulillah.

Ada ustaz nama syazwan la, bincang hal tasawuf pulak tuh. amik berkat. hehe.

jawapan kuiz: B, tidak perlu.

cerita malaysia lagi: tanah runtuh di hulu langat batu 14, madrasah at-Taqwa. innalillah

misZiSya said...

assalamualaikum.. =)

jwpn teka teki tu: B. wallahua'lam

nurilhakim said...

Salam penenang jiwa.

asrarqulub:

Ya,itu karamah wali Allah Imam Rifai'e. Pasal jawapan fiqh tu,kurang faham jawapan nasir.sebab nasir sebut,masuk waktu adalah syarat sah solat,tapi awal-awal lagi sebut masa yang lari,jikalau kecil adalah tidak signifikan. Soalan tambahan, jadi yang signifikannya berapa lama? :)

Betul,ramai manusia boleh sebut hati sebagai raja,tetapi tidak menuntut ilmu bagaimana menundukkannya. Syukran perkembangan. Sangat menarik, dan membimbangkan. Entah sempat balik atau tak sebelum qiamat.

syazwan:

Alhamdulillah,ambik berkat,kalau dekat,lebih lazat. Jemput ziarah :)
Alfatihah utk mangsa ujian.

misZisya :

Syukran mencuba. Jawapannya...akan datang :)

Ainuddin said...

Jawapan ana : B

Walaupun membaca cerita ini banyak membuatkan ana berkerut dahi dan bertanya, namun ana simpankannya dulu. Andai ada masa kita borak lama.
:)

Teruskan travelog enta. Banyak pengajaran yang ana dapat darinya. Syukran...

(ana menuntut al-fatihah enta di semua tempat yang soalan ini ana jawab) :)

nurilhakim said...

Berapa tmpat abg arip jawab?Insyaallah kalau tak lebih 6 tempat dah terbayar semuanya :)

Pertama sekali suka disebutkan bahawa teka-teki ini bukanlah rekaan saya, tetapi selalu dibangkitkan ulama’-ulama’ fiqh, dan disebut sebagai syaz fiqh (keganjilan dalam fiqh).

Adapun jawapannya, ialah solat Zuhur tersebut hanya perlu diqadha’ satu kali sahaja.

Pertamanya, solat yang dilakukan di luar waktu batal, dan tidak boleh tidak perlu diqadha’ setelah menyedarinya, walaupun sebelumnya ia dilakukan berdasarkan kepada ilmu yang yakin, ijtihad atau taqlid (tiga cara penentuan masuk waktu solat), sebagaimana disebutkan dalam kitab Fiqh Manhaji, Bab Syarat Sah Solat.

Keduanya, solat Zuhur tersebut hanya perlu diqadha’ satu kali, iaitu Zuhur yang dikerjakan di luar waktu pada hari ke-30. Adapun solat-solat Zuhur yang telah pun dilaksanakan (di luar waktu), menggantikan solat yang perlu diqadha’ pada hari sebelumnya. Contohnya, Zuhur di luar waktu pada hari kedua, menggantikan Zuhur pada hari pertama, Zuhur hari ketiga mengqadha’ Zuhur pada hari kedua dan seterusnya. Ini adalah kerana, menyebut bentuk solat dilaksanakan, samada secara tunai atau qadha (ada’an atau qadha’an) dalam niat solat adalah sunat, justeru solat yang dilakukan sebelum masuk waktu, boleh menggantikan hutang-hutang solat yang lalu. Ini disebutkan di dalam kitab Syarah Muqaddimah Hadhramiyyah, Bab Sifat Solat. Wallahua’lam. Mohon bertanya kalau tidak jelas.

Soalan tambahan. Zaman dahulu ada seorang ulama’, yang hanya membuka serbannya seminggu sekali. Setelah solat Isya’ pada hari ketujuh, dalam satu minggu tertentu, dia membuka serbannya dan mendapati seekor cicak mati terselit di celah serbannya. Berapa harikah dia perlu mengqadha’ keseluruhan solatnya?

inksensei said...

Salam.

Huhuhu. Ingat nak masuk kuiz tapi dh terlambat. Sempat brtanya pd sorg sahabat ust ttg soalan anta yg first tu. But since dh ada jawapan, ana simpan j la jwapan kwn ana tu.

Soalan ke2 tu tricky question k? Mcmna dia nk ambik wudhu klu x buka serban? klu dia dpt buat cmtu, mgkin jawapannya similar to d first question kot.

Sory menyibuk kt sini. X layak pun sbnarnya, Lebih kpd nk belaja dari yg tahu...huhuhu. Keep us thinking bro. Salam :)

lanarrijal said...

jwpn d

nurilhakim said...

Salam abg nasirin.

Xpa,usaha enta mendahului zaman,justeru doa semua org beriman sampai kepada enta insyaAllah :)

Untuk soalan kedua, ulama' tersebut telah menggantikan solatnya selama seminggu, sebab setiap kali solatnya tidak sah kerana tidak suci. Wudhu' boleh diambil tanpa buka serban memandangkan mazhab Syafi'i meletakkan sekurangnya tiga helai rambut memadai dalam terjemahan 'menyapu sebahagian kepala' dalam anggota wudhu'. Nak terus berfikir? Apa hukum orang solat dalam kandang lembu, sekelilingnya dipenuhi najis (termasuk di kawasan tempat sujud) tanpa najis tersebut mengenai badannya? :)

Fadlan, walaupun lewat sedikit daripada zamannya, tetap jua dihargai. ;)

Ainuddin said...

Alhamdulillah... terima kasih atas bacaan al-fatihah nya...

Faham utk teka-teki pertama cuma ada sedikit soalan. Bukankah solat yang telah diyakini tidak perlu diganti?

Faham juga utk teka-teki kedua..

Utk yg ketiga, tidak sah solatnya kerana tempat sujudnya tidak suci dari najis walaupun dia tidak terkena najis...
(cepat sikit jawab nadir, dan perkongsian yang berguna dr enta)

nurilhakim said...

Salam Abg Arip.

Utk jawapan teka-teki pertama, ana nak jawab secara pasti soalan enta pun susah, sebab ana bermazhab ulama' setakat ni (pegang pada apa yg ulama' sebut). Cumanay, semalam dapat sikit pencerahan, ada kaedah fiqh yang sebut, huraiannya lebih kurang apa yang diyakini setelah diketahui salah, makan kena qadha'. Contohnya, orang yang solat dalam keadaan yakin ada wudhu', tiba-tiba kawannya tegur, "Tadi kau kentut, kau tak ambil wudhu' balik?" Maka wajib diganti solat, walaupun solatnya dilaksanakan dalam keadaan yakin awalnya. Adapun kalau selamanya dia tak ingat wudhu'nya batal, maka Allah Maha Pengampun.

Untuk soalan ketiga, jawapannya solat tersebut sah, kerana najis tidak terkena pada anggota badan, sebagaimana diterangkan oleh Ustaz Zulkifli Ismail dalam membentangkan Kitab Munyatul Musolli, kalau ahli-ahli UMS yang ikut talaqqi 'tafaqquh fiddin' yg dianjurkan pada waktu cuti masih ingat. :)

Wallahua'lam.

Iqwan said...

ni mmg soklan2 trick ni, trick nk suruh ramai2 ikut gi syria hehe sbb mmg xbleh ditekajawab dgn basic fiqh skolah menengah je ni, apatah lg nk hurai kuang3 jurang jelas antara org kebykn n ulama'. bodo la org2 yg selambe dek je hina ulama

p/s: boleh main ganti2 mcm tu ek qadha solat? power2

nurilhakim said...

Iqwan, alhamdulillah Abg Arip dah berminat. Sila doakan dia ramai2.

Yup, power yang berasal dari pemurahnya Allah ;)

Ainuddin said...

Terima kasih atas penjelasannya...

Alhamdulillah. Jelas2..

Maaf andai soalan ana kedengaran kurang enak dan mencabar. Ana cuma cuba ikhlas dlm bertanya kerna berpandangan perlunya serius dlm mengetahui hukum2 dlm Islam...

Yup,bodo la org2 yg selambe dek je hina ulama. Bodo jualah orang yang cepat menghukum org, dan menjauhkan mereka dr Islam dan ukhwah dgn kata2 mereka..

Nurilhakim. Terima ksih atas anjuran untuk mendoakan ana. InsyaAllah, jgn risau kerana ana juga bermazhab ulama' setakat ni. Namun ana cuba mencari kepastian krn ana mendapatkannya dr diri bukan seorang ulama'.

InsyaAllah juga ana tidak akan memberikan sebarang komen lagi di sini.

p/s: qadha solat xboleh main ganti2 mcm tu shj, perlukan ilmu.
:)

nurilhakim said...

Salam abg arep,

Ana dh konfemkan, qawaid fiqh yg dipegang dlm isu ni -la 'ibrah fizzhon albayyin khoto'uhu-tidak dipakai 'ibrah (jatuh hukum) atas zon yang jelas salahnya, dengan makna yang dikantoikan memang salah selepas pada zhon tu. Kenapa dipanggil zhon walaupun kita yakin? Sebab yakin tu maknanya tidak ada dua pada apa yang diyakini, bila ada yang kata lain walaupun asalnya kita 'yakin' lain,maka bukanlah yakin namanya.

Ana yakin (ke zhon?) yg iqwan maksudkan tu betapa mudah boleh main ganti-ganti qadha pada isu di atas.

Teruskan bertanya dan berkongsi, keran semuanya, pasti ada nilai di sisi Tuhan :)

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan