Mungkin kamu kata hidup aku sia-sia. Aku menafikannya.
Aku dilahirkan di celahan timbun sampah pada musim bunga di Kota Dimashq. Sejak kecil lagi, aku ditarbiyyah oleh ibu untuk sedia berdepan kehidupan yang sukar. Sudah kehendak Ilahi, kata ibu, keluarga kami sejak zaman nenek-moyang dikenali sebagai makhluk yang pengotor dan dikaitkan dengan kekotoran. Tetapi disebaliknya, tambah ibu lagi, terselit hikmah dan matlamat yang begitu besar. Aku mengangguk antara faham dan tidak. Hidup kami di dunia punya misi tersendiri, biarpun di hujungnya, syurga bukan untuk kami. Kami hawariyyun yang bekerja secara free.
Semakin aku dewasa, aku mendapati hidup manusia tidak jauh berbeza dengan aku. Mereka juga gemar kepada najis. Dadah, arak dan rokok. Mereka juga tidak meminta sebelum mengambil hak orang lain. Kadang-kadang terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari rezki. Malah, mereka lebih teruk berbanding aku, kerana naluri dan tingkah aku, menurut kehendak penciptaan aku oleh Allah, sedangkan mereka seringkali menentangnya. Mereka melewatkan solat. Zikir harian mereka ‘like’, bukan Lailahaillallah. Yang berjam-jam mereka selak dan teliti ialah ‘notifications’, bukan Al-Munafiqun dan An-Naziat, di sebuah buku yang tentunya bukan book of Ilahi. Patutpun mereka tidak takut mati dalam keadaan Munafiq. Logik pun mereka tidak memetik kedahsyatan hari Kiamat dan peringatan daripada Surah An-Naziat.
Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Al-Munafiqun :11)
Maka adapun orang yang melampaui batas, dan mengutamakan kehidupan dunia, maka sungguh, nerakalah tempat tinggalnya.” (An-Naziat : 37-39)
Gangguan-gangguan strategik kami, kenapa tidak dilihat sebagai usaha membawa mereka memerhatikan perkara dan agenda yang lebih besar? Hadir kami, kenapa tidak dijadikan sempadan dan kayu ukur bahawa pengotor antara kita sama, tiada berbeza? Tapi kami pula yang dibenci dan dimaki.
Aku semakin keliru dan ragu, di mana yang dikatakan manusia ini sebaik-baik penciptaan? Apa yang mengangkat mereka sebagai makhluk yang layak memerintah? Betulkah mereka lebih mulia daripada aku?
Satu pengalaman yang aku tidak boleh lupakan, ialah bagaimana aku ditugaskan oleh Pak Ketua untuk memaksa seorang pemuda yang lalai untuk masuk tidur kerana malam sudah terlanjur lewat. Dengan penuh kesungguhan, aku mula menghurung dan menghinggapi lelaki tersebut yang asyik menonton televisyen. Dia mula memberikan respon, melibas dan cuba membunuh aku. Sungguh, insan ini tidak bersyukur dengan bantuan yang aku cuba berikan, untuk membawanya pulang ke pangkal jalan. Aku mendekati telinganya, dan mengacah untuk masuk, mana tahu dia akan teringat kisah kematian Raja Namrud dan mengambil iktibar daripadanya. Ternyata tidak berkesan. Dia malah menjerit dan memaki-hamun aku. “Bodoh, bangang! Kau ingat aku nak tengok muka kau kat sini!” Sabar, sabar, aku memujuk diri. Allah dan Nabi mengajar kita bersabar dalam dakwah.
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar diantara kalian.” ( Muhammad : 31 )
Mujur sahaja aku agak memberikan perhatian dalam kelas penerbangan yang diajar Pak Pailet dulu, kalau tak tentu saja aku mengiringi nasib Syeikh Ahmad Yassin dan Osama Laden yang syahid dalam perjuangan. Malah, mata majmukku yang berjuta membolehkan aku lebih berwaspada. Sampai ke Subuh aku mengasak pemuda itu untuk masuk tidur, tanpa berhasil. Menggaru kepalaku dengan kaki kanan paling belakang, aku kaget. Bagaimana pemuda ini boleh begitu yakin Prison Break boleh menyelamatkannya daripada penjara neraka Allah, sedangkan wardennya ialah Malik? Atau mungkin ‘Budak Getah’ dapat membantunya melalui Siratal Mustaqim dengan memanjangkan badan dari hujung ke hujung dan dia melalui belakangnya, sedangkan wap daripada bahang api neraka sahaja mampu mencairkan segala benda.
Azan berkumandang. Kawan pemuda tersebut yang tidur di atas sofa terbangun. Akhirnya si pemuda akur dan turut bangun, terus ke Masjid berdekatan. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Tidak juga sia-sia usaha aku malam ini, pemuda yang tidak pernah sampai ke masjid di waktu Subuh hari ini memecahkan rekodnya sendiri. Ampunkan aku Ya Allah, mengeluh dengan pengorbanan yang pendek dan sedikit, dibandingkan anbiya’ dan mursalin terdahulu. Aku mula bertolak pulang, tiba-tiba pintu dibuka. Pemuda tadi sudah selesai bersolat. Dia mengambil semula posisinya di sofa, dan memasang semula televisyen. Astaghfirullah. Sungguh, aku berputus asa dengan manusia Ya Allah..
1. Setiap makhluk dicipta dengan peranan tersendiri dalam membimbing manusia menuruti kehendak Allah, tidak ada yang diciptakan sia-sia, justeru perhatikan alam, dan halusi penciptaannya.
2. Amanah sebagai khalifah merangkumi semua aspek dan meliputi segala makhluq, bukan hanya kepada manusia semata, tetapi juga kepada alam.
3. Setiap da’ie punya kelebihan dan kekuatan tersendiri, cari dan sedari kekuatan, lalu gunakanlah secara optimum.
4. Jangan berputus-asa dengan dakwah, tumpu pada kejayaan kecil sebagai penerus motivasi, syukuri, dan pohon keampunan atas setiap usaha dakwah, kerana kemungkinan besar diseliti dosa hati.
Pernahkah alam mengajar anda? JOM! kongsikan di ruang komen, kerana setiap perkongsian, pasti bernilai di sisi Tuhan..
5 comments:
1. A. Samad Said pernah menyatakan bahawa seorang penulis bukan dihitung pada jumlah perkataannya mahupun dilihat pada nilai tajuk yang dipilih. Namun perlu dinilai pada hasil dan kesan daripada olahan intepretasi idea yang cuba disampaikan.
2. Manusia itu angkuh dan ego maka perlu dibenam-humbankan sifat yang layak hanya pada Allah tersebut dengan bandingan yang signifikan 'menghina' mereka
3. Tidak kiralah sama ada karangan ini adalah aras PMR atau UPSR, yang pasti ia adalah karangan yang layak dianugerahkan A+.
4. Unsur personafikasi dan celup pedas yang digunakan sungguh sinis!
5. Teruskan bekarya...
P/S: Sekarang abg KY dah tubuhkan Al-Hawariyyun Management (FB: Alham Centre)mungkin satu hari abg akn pulang sertai kami... InsyaAllah...
Wah,sungguh perkongsianmu ini lebih daripada satu! Betapa beberapa minit masa yang dikorbankan,memberi manfaat kepada orang lain. Berkongsi, bukan hanya dengan menulis post,tetapi juga dengan meninggalkan sedas dua peluru tambahan.
Ya,dah ada bbrpa pihak maklumkan tentang Alham Centre.Mudah2an Abg KY dapat gigih dan istiqamah di sna,krna pastinya dia akan lebih bermanfaat kpda umat (berbanding dia di Aslam dan HPA,kot..).Yeah! Nantikan aku.jangan dihabiskan semua kerja yg ada..
ana ambik buat tatapan pengunjung blog ana ya...mohon izin..~
moga sahamnya mengalir tanpa henti..
~SH~
srikandi,amin ya rab.syukran doanya,n syukran mnjadi pengalir amal itu.
Terjumpa post menarik pasal lalat juga. Fakta bersumber hadis dan kajian. Baca di
http://al-aman.blogspot.com/2008/10/pada-zaman-moden-ini-saintis-mendapati_25.html
Post a Comment