:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, May 28, 2011

PTS Melebur Takabbur Menolak Riya'


Riya', takabbur dan ujub, adik-beradik berangkai yang paling mudah merosakkan. Malah hadirnya, menyerang daripada semua arah, sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah S.A.W, melakukan amal kerana manusia adalah syirik kecil (baca : riya'), meninggalkannya kerana manusia adalah riya'. Melakukan, mungkin ditelan harimau, meninggalkan, ditelan harimau jadian. Menjadi usaha menjinakkannya, proses yang cukup getir.

Al-Haris Al-Muhasibi dalam bukunya “Ar-Ri’ayah” sebagai berikut:

“Ikhlas itu ialah anda menuju Tuhan dengan mentaatiNya, tidak anda kehendaki selainNya. Adapun ria itu terbahagi dua. Pertama, mentaati Allah kerana manusia; kedua, tujuannya manusia, dan Tuhan manusia. Kedua-duanya merosak amal."

Ada manusia, solatnya kerana Allah terselit rasa hebat dan bangga diri. Ada yang lain, memang niatnya untuk dijunjung dan dipuji. Kedua-duanya, jelas tercela dan dikeji.

Layakkah Kau Riya’?

Sebelum terus terhimpit dan mencari jalan keluar, marilah terlebih dahulu kita merenung, layakkah kita riya'? Dengan kesedaran yang nyata terhadap tiga keadaan sepanjang episod hidup manusia, sepatutnya mampu menundukkan menjadi hamba yang sedar diri.

Lahirnya, berasal daripada setitis mani yang hina dan kotor, keluar dari saluran yang jijik dan hanyir, keluar melalui saluran hancing kedua menjadi bayi yang lemah tak berdaya.

Hidupnya, mengendong tong najis ke mana sahaja, tidak dapat dibuang walau seketika, setelah disingkir, dia makan dan mengumpul najis semula.

Matinya, ditanam ke dalam perut bumi, di balik tanah dan debu yang sepi, dipijak binatang buas dan sampai masanya, tidak diingati lagi. Dari mana dia datang, kes itu dia kembali.

Ya, kita layak riya', jika episod hidup kita berbeza, jauh lebih suci murni daripada manusia-manusia lain.

Apa ubatnya?

PTS, Ke Arah Melebur Takabbur Menolak Riya'

Mengisi hati dan menghidupkannya dengan mahmudah (sifat terpuji), perlukan kepada pengusiran mazmumah (sifat tercela) terlebih dahulu; ia jalan yang panjang dan sulit, tetapi tidaklah ia dinamakan perjalanan, selagi kaki belum melangkah memulakannya. Dan langkah-langkah awal dan mudah, kita kongsikan,

P : Paksa Perbanyak Zikir

Berzikir, khasiatnya bukan setakat memberikan ketenangan, mengangkat kemuliaan dan membuka jalan rezeki dan harapan, malah pada masa sama menundukkan riya' yang tidak berhaluan.

Berzikir, dengan penghayatan, menghayati Subhanallah, sucinya yang bebas dari alpa dan kesilapan, Alhamdulillah, segala nikmat gagah beribadah, kekayaan dan kepandaian,darinya dan kepadanya akan dikembalikan, dan Allahuakbar, keagungan dan kehebatan kudrat Tuhan di sisi hamba picisan, menundukkan ego yang tak keruan.

Malah selawat ke atas Baginda Rasulullah S.A.W, berulang-ulang tentunya menginsafkan, bagaimana hamba yang paling disayangi itu pun tidak putus berkorban, untuk kita dan untuk Islam, tanpa mengharapkan balasan atau sanjungan.

Berzikir, tatkala riya' cuba menyusup masuk setelah menang atau memperoleh kejayaan, malah diajar oleh Allah kepada Rasulullah S.A.W sebagaimana disebutkan di dalam Surah An-Nasr;

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا (٢) فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; (2) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Tetapkanlah sukatan zikir untuk diri sendiri setiap hari, dan bermujahadahlah untuk tidak meninggalkannya.

T : Tundukkan Wajah

Gambar hiasan : Menudung kepala dengan serban menghadkan penglihatan.

Berjalan dengan menundukkan wajah, adalah penangan ampuh untuk merasa rendah diri, selain ubat mengelakkan maksiat mata mencemari hati. Kalau tidak mampu menudungkan kepala dengan kain serban bagi menahan ruang pandang mata, cukuplah dengan bercermin mata gelap. Jangan pula dengan mata tersorok di balik cermin gelap, makin galak melilau memandang kiri kanan. Atau kalau dipadankan dengan sunnah para Nabi bertongkat, boleh jadi akan murah rezki hasil sedekah orang ramai kepada 'yang disangka buta'. Apapun, menghadkan penglihatan, sebagaimana dituntut solat di tepi dinding dan tempat tertutup, mampu menghadirkan khusyu' dan menjauhkan hati terdetik bangga tatkala terpandang manusia di kiri dan kanan tempat solat.

Ada sebuah kisah keramat yang menarik berhubung Tok Guru Nik Mat, ayah kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Diceritakan bahawa Tok Guru Nik Mat sangat prihatin menjaga pandangan matanya, dengan membawa payung ke mana sahaja beliau pergi. Payung tersebut selalu dihalakan ke depan, melindungi mata daripada melihat perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Untuk sampai ke rumahnya di Pulau Melaka, Tok Guru perlu melalui sungai yang dahulunya hanya dihubungkan oleh perahu tambang. Dijadikan cerita, satu hari Tok Guru ingin pulang ke rumah, tetapi tidak ada penambang yang kelihatan. Menoleh ke kiri dan kanan kalau-kalau ada yang melihat, Tok Guru turun berjalan di atas air, merentasi sungai untuk sampi ke seberang sana. Begitu keramat Allah bagi yang menundukkan pandangannya, mudah-mudahan hatinya turut ikut menunduk.

Sejuk hati melihat PM berserban (Awas, gambar hanyalah ilusi).

S : Sentiasa Memuliakan Orang Lain

Senyum kepada setiap yang lalu dan menyapa dengan salam, bertegur-sapa dengan tukang sapu sampah di jalanan, mengusap kepala kanak-kanak yang lalu-lalang, ini semua adalah perkara-perkara yang dipandang remeh, tetapi tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W, dan ternyata berkesan dalam membentuk hati bernilai insani, mengangkat orang lain lebih mulia berbanding diri sendiri.

Imam Ghazali (kalau tidak silap dalam kitabnya Bidayatul Hidayah menyebutkan) :

Jikalau engkau melihat orang yang lebih muda daripadamu maka hendaklah engkau berkata (di dalam hati),

”Budak ini belum pernah lagi membuat maksiat kepada Allah sedangkan aku sudah banyak berbuat maksiat maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku.”

Dan apabila engkau melihat orang yang lebih tua daripadamu maka hendaklah engkau berkata,

”Orang yang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku.”

Dan apabila engkau melihat orang yang alim maka hendaklah engkau berkata,

”Orang alim ini telah dikurniakan kepadanya bermacam-macam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan ia telah sampai ke martabat yang aku tidak sampai kepadanya dan ia mengetahui perkara yang tidak aku ketahui maka betapa aku sama dengannya.(maksudnya ia lebih baik dibandingkan dengan aku)”

Dan apabila engkau melihat orang yang jahil maka hendaklah engkau berkata,

”Orang yang jahil ini berbuat maksiat akan Allah dengan kejahilannya tetapi aku mengerjakan maksiat beserta dengan ilmuku maka Allah SWT akan berhujah ke atas diriku dan aku belum tahu lagi bagaimana aku akan mengakhiri kehidupanku ini.”

Justeru kita lebih baik daripada siapa? Cukuplah, kita berlumba-lumba dipandang baik kerana izzah pada diri kita, pada masa sama meletakkan diri di tempat yang rendah pada pandangan mata sendiri. Untuk mencapai itu, saya kongsikan doa penunduk ego dan pemancar izzah, sebagaimana yang pernah dijanjikan sebelum ini.

Doa daripada hadis riwayat Bazzar A'an Buraidah;

اللهم اجعلني شكورا واجعلني صبورا وفي عيني صغيرا وفي أعين الناس كبيرا

Allahummaj a'alni Syakura, waj a'alni Soburo,

wa fi A'aini Soghira, wa fi A'ayuninnas Kabiira

(gunakan untuk rujukan baris sahaja)

"Ya Allah Jadikan Aku Hamba Yang Bersyukur dan Sabar, Dan Jadikan Aku Di Mataku Kecil, dan Di Pandangan Mata Orang Lain Besar"

Apa kata anda? Kerana Setiap Perkongsian, Pasti Ada Nilai Di Sisi Tuhan.

3 comments:

Mohd Asraf Sharafi said...

Seorang ulama tasauf, Fadil Ibn Iyad pernah berkata "meninggalkan amal kerana manusia adalah riya', menunaikan amal kerana manusia adalah syirik. ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan engkau dari keduanya".

Anonymous said...

Rasulullah SAW bersabda bermaksud Islam itu mudah JANGAN susahkannya.Khutbah akhir baginda bersabda bermaksud Aku tinggalkan 2 perkara yakni Quran dan Sunnahku.Inilah jadinya bila Islam mula mengikut cara agama Kristian.Mana ada Mazhab dalam Islam?Kini?4 dalam Sunni,2 dalam Syiah dan datu deruz.Hadith?Pergi belajar.Rasulullah saw LARANG hadis.

nurilhakim said...

Assalamualaikum,

Asraf, intipati tersebut terkandung dalam huraian Imam Nawawi terhadap hadis pertama dalam Matan Arbai'in, Setiap Amal Itu Dengan Niat. Syukran atas perkongsian.

Untuk anonymous, dan kelompok-kelompoknya, ada juga yang mendefinisikan hadis tersebut sebagai setiap amal hanya dengan niat, tidak perlu kepada perbuatannya. Tafsiran tersebut ternyata batil. Moga Allah memelihara kita daripada ijtihad yang keluar daripada lingkup betul dapat dua, salah dapat satu. Terima kasih juga, kerana sudi mencoret. :)

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan