:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Sunday, August 31, 2008

Perutusan Pengerusi ISEUMS

Perutusan Pengerusi ISEUMS; Menyambut Roh Kemerdekaan dan Ramadhan Dalam Satu Nafas


Tidak lama lagi akan bertemu dua tarikh yang penting buat umat.Tarikh yang mungkin menandakan pusat cetusan taufan perubahan buat mahasiswa. Pertemuan yang diharap menghasilkan gelombang pada paksi yang selari dan sejajar supaya natijahnya ialah gelombang membina, dan bukan pada satah positif dan negatif yang menghasilkan gelombang memusnah, mendatar dan kosong. Penghayatan jiwa kemerdekaan dan roh Ramadhan harus diadun dalam satu denyut nadi, dirasai dalam setiap tarikan nafas, dan dizahirkan dalam setiap gerak laku dan tindakan. Perubahan lazimnya tidak disukai oleh manusia, tetapi hakikatnya perubahan yang membentuk peradaban, perubahan yang membina ketamadunan dan perubahan yang menghasilkan manusia yang lebih berkualiti, rohani dan sosial, intelek dan moral, dunia dan akhirat.

Dengan kesedaran dan semangat ini maka wajib tanpa ragu kita menggunakan medan Ramadhan ini sebagai medan perubahan, dalam suasana kita memaksa diri menahan diri daripada sebarang bentuk maksiat zahir dan batin, dalam usaha kita menegah rakyat yang diamanahkan sebagai pinjaman kepada kita yang berupa anggota tangan, lidah, kaki, kemaluan, perut, mata dan kaki daripada tergelincir melakukan larangan, dan dalam suasana kita cuba melatih diri meningkatkan ibadah dan kualiti ibadah, menghayati erti pengabdian pada Sang Pencipta yang Maha Berkuasa menggerakkan perubahan dalam diri kita. Jika medan ini bukan medan pilihan untuk kita berubah, maka tidak akan datang medan yang lebih baik, dan jika di sini bukan peluang yang kita ambil untuk memperbaiki diri, jangan mimpi diri akan terbaiki.

Maka jika sudah subur keyakinan yang akar-umbinya menggapai hati yang kudus dan fikiran yang bersih untuk mula melangkah, suka saya mencantas semak-samun kekusutan bagi menerangkan laluan yang harus ditempuh. Saya meletakkan empat sasaran untuk kita capai dalam bulan tarbiyyah dan maghfirah ini;

  1. Kemerdekaan hakiki daripada ajaran thaghut
  2. Pembebasan total daripada puak oportunis
  3. Menghayati konsep setiap orang adalah madhu’u
  4. Menggali kekuatan daripada qiam dan quran

Suka saya menjelaskan halatuju yang digariskan satu demi satu;

1. Kemerdekaan hakiki daripada ajaran taghut

Mutakhir ini masyarakat sering dibingungkan oleh propaganda musuh yang disajikan dalam bentuk ilmiah. Kalau suatu masa dahulu Islam ditentang dengan melabelkan ia sebagai ekstrimis, teroris dan sebagainya, tetapi hari ini ia dipijak dengan langkah yang lebih halus, sehingga umat Islam turut sama menginjak agamanya tanpa disedari. Wabak baru ini hadir dalam bentuk ideologi-ideologi buatan manusia, isme-isme yang menjadi barah meracuni pemikiran yang kabur dengan agamanya sendiri. Antara ideologi yang kritikal dan ketara menimbulkan cacamarba ialah sekularisme, pluralisme dan liberalisme. Fahaman bahawa urusan dunia dan akhirat adalah asing, mencampur-aduk ajaran Islam dengan ajaran-ajaran lain dan menganggap bahawa kedudukan agama Islam adalah sama dan setara dengan agama-agama lain. Ideologi-ideologi ini harus dinyahkan daripada mengkontaminasi minda mahasiswa melalui pembentukan aqidah yang sahih, pembacaan bahan agama dan merujuk pada guru yang mursyid dan haraki. Minda yang dicemari akan terzahir melalui tindak-tanduk, dengan sukarnya kita menerima kebenaran, gemarnya pada maksiat dan perkara yang sia-sia, serta usaha menghalang dan menjatuhkan golongan yang mendokong panji-panji syiar Islam.

2. Pembebasan total daripada puak oportunis

Mahasiswa merupakan aset paling penting dalam sesebuah negara. Ini didasarkan atas sifat mereka yang dinamik, berpengetahuan, rasional, bersemangat waja dan berdarah muda. Keadaan ini mendorong puak yang bersifat oportunis cuba menggunakan mahasiswa untuk kepentingan peribadi atau pihak tertentu. Cengkaman ke atas mahasiswa cuba dilakukan melalui pelbagai cara, antaranya melalui doktrinisasi pemikiran, melahirkan suasana malas berfikir, pantauan 24 jam terhadap aktiviti kemahasiswaan, ugutan-ugutan kosong dan penyerapan anasir-anasir berbaur perkauman atau kepartian kepada mahasiswa. Mahasiswa perlu menyedari dan jelas bahawa idealisme mahasiswa adalah berpaksikan perjuangan untuk mahasiswa sendiri, bukan perjuangan mendokong politik kepartian tetapi merupakan perjuangan menjunjung politik nilai, atas dasar kasih pada agama dan negara. Kita mengorak langkah maju kehadapan bukan untuk memenuhi citarasa mana-mana pihak, kita meletakkan pendirian bukan untuk menyokong mana-mana puak, dan kita mengatur dan mencatur corak masa depan negara bukan untuk kepentingan kelompok tertentu, jauh sekali untuk kepentingan diri sendiri. Justeru mahasiswa perlu utuh dan teguh, menjadi sebahagian daripada gerakan revolusi ini, melewati saluran yang betul yang digariskan agama dan undang-undang, memobilisasi dan menggerakkan massa, ke arah menuju redha dan kejayaan yang kekal abadi.

3. Menghayati konsep setiap orang adalah madhu’u

Martabat dan nilai ilmu yang ada pada mahasiswa meletakkan mereka sebagai golongan yang berada di atas, golongan superior yang seharusnya mendidik dan bukan dididik, membentuk dan bukan dibentuk, merubah dan bukan terubah, penyelesai masalah dan bukan penyebab masalah, dai’e dan bukannya madhu’u. Mahasiswa seharusnya mula memandang keluar, berhenti mengharapkan empati untuk diri sendiri, menguis tepi permasalahan peribadi seperti masalah PTPTN, kolej kediaman dan kafe, dan tidak meletakkannya sebagai fokus atau tumpuan utama, malah menyerahkan urusan tersebut pada pihak yang bertanggungjawab, lalu membuka ruang pada diri untuk menyelami jerih-pedih dan sakit rakyat, mengesat airmata marhaen yang kadangkala mengharapkan tidak lebih daripada motivasi dan perhatian, bahu yang ikhlas buat tumpang menangis. Mahasiswa seterusnya perlu menjadi barisan paling hadapan dalam agenda membantu rakyat dan membangunkan umat, mencerna idea dan melontarkan saranan-saranan yang mampu memulihkan kepincangan yang berlaku, baik daripada aspek keagamaan, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.


"Barangsiapa tidak mengambil tahu hal ehwal saudara seIslamnya, maka dia bukan dari golonganku." -Hadis

4. Menggali kekuatan daripada qiam dan quran

Untuk mencapai semua hasrat yang digariskan di atas, mahasiswa memerlukan kekuatan dan keberanian yang tak bisa dipadamkan oleh gerimis perjuangan, membujur lalu, melintang patah. Teras dan sumber kekuatan ini tidak ada lain melainkan hadir daripada hati yang sentiasa khusyuk dan tawadhu’ menjunjung suruhan Allah, keberanian yang dilahirkan daripada hamasah para rasul, sahabat dan tabi’in mendukung agamaNya. Maka mahasiswa hendaklah bermujahadah melakukan qiamullail, kerana tidak ada suara yang lebih didengari oleh Pencipta selain suara yang merintih sayu di kala makhluq yang lain sedang leka tidur, meratap dan memohon diberi kekuatan menentang musuh-musuhNya. Motivasi dan penawar duka tatkala terpijak duri di jalanan tidak ada yang lebih baik daripada ayat-ayat suci Al-Quran. Mahasiswa tidak boleh menjadi seperti tin kosong, berbunyi kuat tetapi mudah kemek apabila dipijak. Mahasiswa juga tidak boleh menjadikan manusia sebagai sumber kekuatan, kerana manusia bisa lari, tidak mengerah kekuatan daripada rasa marah dan semangat membuta tuli, kerana marah dan semangat bisa terpadam.

Akhir sekali, saya menyeru sahabat-sahabat mahasiswa agar kita memperkasakan langkah, mengembalikan gah dan izzah perjuangan ini dalam usaha menghayati erti kemerdekaan dan madrasah tarbiyyah Ramadhan yang sebenar. Ayuh, melangkah!

Andai langkah cuba kugagahi,

Kelak kan sampai pada destinasi.

Andai alasan yang ku cari-cari,

Mungkin ajal menjemput pergi.

No comments:

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan