:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Thursday, August 21, 2008

Dilema Anak Pendakwah

Dilema Anak Pendakwah (Untuk ibubapa..satu pandangan terpencil tetapi berlaku..)


“Aku pelikla,” seorang teman memulakan bicara “kenapa ramai orang yang bapanya bergelar Ustaz, malah tersohor sebagai pendakwah dan aktif dalam gerakan dakwah ramai yang rosak, malah tercicir daripada gerakan dakwah,”


“Huh. Orang semua ingat asal anak pendakwah je wajib baik,” aku yang kebetulan termasuk dalam kelompok yang sedang dibincangkan menjawab.


“Takla juga. Aku tau iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa. Ia tak dapat dijual beli, ia tidak dari tepian pantai...” tiba-tiba temanku mendendangkan lagu terkenal Raihan, ‘Iman Adalah Mutiara’.


Banyak faktor yang sering dibincangkan dan diutarakan sebagai punca kepada permasalahan ini. Tetapi hari ini mungkin ada baiknya kita merungkai persoalan tersebut daripada aspek pandangan seorang anak yang berdakwah yang mempunyai keluarga pendakwah tetapi tetap tergolong di dalam golongan yang hampir dan sentiasa terdedah kepada keciciran di jalan dakwah.


Gugurnya Di Puncak Kematangan
Keadaan yang sentiasa melanda anak-anak para pendakwah ialah apabila mereka menerima didikan tetapi dilepaskan bebas ke angkasa raya dakwah sebelum mereka benar-benar masak. Pernah kedengaran desas-desus daripada seorang sahabat,

“ Tarbiyyah ni macam dah jadi sebahagian daripada hidup aku sebab aku memang dibesarkan dengan tarbiyyah, sampai aku pun tak tau bila aku berhenti ditarbiyyah. Sampailah aku dah jauh melencong, baru ibubapaku bising mencari di mana silapnya..

Ibubapa sebenarnya perlu sangat-sangat bijak dalam menilai saat dan ketikanya anak-anak sudah cukup teguh untuk dilepaskan berjuang dengan haluan dan rentak sendiri. Jangan cukup dengan melihat anak remajanya sudah petah berkata-kata, berkhutbah di sini-sana, mampu mengurus program dan menjadi naqib usrah, ibubapa menganggap bahawa anaknya sudah masak dengan dakwah dan boleh dibiarkan. Hakikatnya durian gugur tatkala ia sudah benar-benar matang. Begitu juga dengan cempedak. Dan nangka. Dan juga boleh berlaku kepada manusia, sang anak pendakwah. Jangan dinilai pada apa yang dilihat di luar, tetapi belajarlah menyelami kehidupan dan perjalanan dakwah anak-anak yang pastinya penuh beronak duri, dan bantulah menguis duri-duri tersebut ke tepi jalan. Don’t judge a son by his doing’s, but judge him by understanding.


Tak Cukup Masak
Mendidik anak-anak ini ibarat memasak biskut hari raya. Tidak cukup disediakan bahan-bahannya kemudian diadun gula, tepung, putih telur dan marjerin tersebut, tetapi perlu diuli. Tidak cukup diuli dan digentel tetapi perlu dimasukkan dalam acuan. Tidak cukup dimasukkan dalam acuan tetapi perlu ditaruh ke dalam oven. Tidak cukup dengan itu, biskut perlu diperhatikan dari masa ke semasa, dan apabila sudah masak, barulah dikeluarkan dan dihidangkan. Nescaya meriahlah hari raya pada tahun itu.

Begitu juga perihalnya dengan anak-anak. Tidak memadai sekadar menyediakan Quran di rumah, buku-buku agama dan contoh teladan yang baik. Tetapi anak-anak perlu disebatikan dengan akhlaq baik tersebut, dibiasakan membaca Quran dan dilatih menelaah buku-buku ilmiah. Kemudiannya anak-anak perlu ditentukan perjalanan hidup mengikut acuan Islam, disusun dan diatur daripada aspek tarbiahnya, pendidikannya, hubungan sosialnya dan lain-lain aspek. Barulah anak-anak, para dai’e dan jundullah yang terlatih ini sedia untuk dilepaskan dalam keadaan masak dan sempurna.

Tetapi belum lagi! Sebelum benar-benar masak, anak-anak sentiasa perlu diberi perhatian, diintai keadaannya dan dipastikan berada dalam kondisi terbaik. Barulah anak-anak dilepaskan dalam keadaan sempurna. Nescaya bahagialah keluarga yang menjadi mata rantai perjuangan dakwah itu. Masalahnya ramai ibubapa berhenti setakat memasukkan anak-anak dalam acuan. Kemudian sekadar bertanya khabar sebulan sekali untuk memastikan anaknya masih hidup. Atau berhenti setakat memasukkan anak-anak ke dalam oven lalu lupa diperhatikan lalu anak-anak menjadi rosak dan tidak berguna lagi kepada sesiapapun. Nescaya putuslah mata rantai perjuangan.


‘Ibubapaku Milik Masyarakat’
Marcapada ini budak remaja yang rosak sering dikaitkan dengan ibubapa yang tidak dapat memberi perhatian kepada anaknya dek terlalu mengejar material. Pagi keluar bekerja sampai ke petang, malam buat OT, sedar-sedar anak dah sama besar dengan anak gajah. Tak pun perut anak sama besar dengan perut anak gajah baru nak melatah. Golongan ini tidak silap dipanggil golongan dahriyyun. Golongan yang mengejar kebendaan.

Tetapi ada lagi satu kelompok ibubapa yang nak dikatakan mengejar dunia tidak juga. Malah kelompok ini mungkin boleh dikatakan golongan yang songsang sisi daripada golongan di atas ini. Golongan ini boleh disebut golongan dakwahiyyun atau ukhrawiyyun. Golongan ini pagi keluar bekerja, petang balik, lepas maghrib keluar ke usrah, dan malam pergi mesyuarat. Sabtu menguruskan program Bersama Masyarakat, dan Ahad berceramah di mana-mana tempat yang menjemput. Dan begitulah rutin hidupnya. Natijahnya? Tetap sama. Anak-anak mereka juga menjadi mangkukiyyun dan sampah masyarakatiyyun. Atau mungin yang sempat dimasukkan ke dalam oven akan menjadi golongan pendakwah muda yang sentiasa terdedah kepada keciciran. Maka terdengarlah rintihan kalbu,

“Aku ini ada ibubapa tetapi aku seolah-olah anak yatim, kerana ibubapaku bukan milikku tetapi milik masyarakat. Dengkinya aku melihat kawan-kawanku, yang kerana ibubapa mereka tidak aktif di dalam dakwah, mereka mendapat perhatian dan kasih-sayang, mereka ada tempat bergantung dan berkongsi masalah..”

Duhai ibubapa yang mulia, penggerak dan perobah minda, janganlah mengharapkan dengan hebatnya anda, anak-anak akan mendapat tempiasnya. Janganlah mengharapkan mereka ‘memahami’, kerana hakikatnya mereka juga insan-insan yang memerlukan anda!! Iman, sememangnya tak dapat diwarisi..(",)

(artikel nukilan nurilhakim, dipindahkan dari blog iseums)

3 comments:

Anonymous said...

semua orang pernah buat silap termasuklah pendakwah. saya kurang bersetuju klu kita salahkan ibubapa shj dlm situasi ini. anak2 tersebut telah dewasa. maka di sini IMAN yg akan menjadi perisai. ibubapa telah cuba yg terbaik. mungkin terlepas pandang. tp itulah, semua org pernah buat silap.

nurilhakim said...

Salam syauqi,
Syukran atas pandangan. Apa yg ana cuba sampaikan ialah kesilapan di pihak pendakwah, ana bukan cuba untuk meletakkan seluruh kesalahan pada ibubapa. Dan betul, ibubapa telah cuba yang terbaik untuk betulkan dan besarkan kita.

nurilhakim said...
This comment has been removed by the author.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan