:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Friday, August 8, 2008

Anjing vs Hiburan

Nicole Queen; From Club Addict to Total Muslim


Usah bersedih pada merindu
Usah difikir pada berpisah
Biar jauh beribu batu
Biar bertahun tak menatap wajah
Di jalan dakwah pasti bersatu
Di syurga Allah kita bertamu


Selembut Hembusan Kasih
Saya ini dikurniakan Allah jiwa yang lembut. Jiwa yang lembut ini mendorong saya memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling. Memaksa saya berkongsi penderitaan dan kesakitan yang dihadapi oleh orang lain. Meransang saya mengambil tahu hingga ke tahap kadangkala tidak disenangi oleh orang lain. Apakan daya.

Jangan hairan jika saya sibuk bertanya itu dan ini tentang kehidupan seseorang. Sedangkan penduduk Kampung Suluk yang langsung tidak saya kenali pun jiwa lembut ini menyuruh membantu. Jangan sangsi kalau saya menasihati tentang itu dan ini. Budak-budak kecil yang tidak pernah saya tatap wajah mereka pun saya panggil dan hamburkan dengan kata-kata nasihat, dan berusaha mengadakan kelas-kelas percuma untuk mereka. Jangan terkejut kalau saya mengalirkan airmata untuk seseorang. Dalam permusafiran yang panjang ke mana-mana destinasi kelibat anak-anak kecil yang berkeliaran di tepi-tepi jalan atau dipaksa bekerja dek kesempitan hidup tatkala anak-anak seumur dengan mereka bersekolah atau bermain bersama rakan sebaya pun mampu menimbulkan sebak dan mengalirkan airmata. Menangis tidak salah. Menangis itu terapi. Nabi Muhammad S.A.W menangis ketika anaknya Ibrahim meninggal dunia.

Malah Abu Bakar digelar oleh Aisyah sebagai Rojulun Bakiy (Lelaki yang selalu menangis.) Menangis kerana ingatkan Allah. Jiwa lembut ini jika mampu membuatkan saya istiqamah menyahut seruan hadis Nabi, “Jadilah kamu orang yang cakna terhadap keadaan masyarakat,” maka saya menerima seadanya, malah mensyukurinya.

Sifat peka dan prihatin ini sememangnya sifat yang harus ada pada pemimpin. Sifat peka membuatkan mata terbuka memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling, menilai dan menganalisa isu. Pasca pilihanraya ke-12, mahasiswa dilihat lebih terbuka dan cakna terhadap perkembangan semasa. Lihat sahaja soalan-soalan yang dilontarkan oleh generasi pemikir baru di dalam sesi soal jawab bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini. Soalan yang dilemparkan berkisar kepincangan sistem pendidikan negara. Perkara yang dibangkitkan berhubung pendaulatan Bahasa Melayu sebagai lingua franca dunia. Tiada lagi isu remeh berhubung PTPTN. Tiada lagi pertikaian harga makanan di kafe yang mahal. Kalau ada pun tidak sampai mendominasi ruang perbincangan. Kalau ada pun mungkin datang daripada generasi terdahulu yang pemikiran mereka terbentuk dalam suasana terdahulu.

Tetapi malangnya jiwa lembut yang melahirkan kepekaan dan kecaknaan ini turut melahirkan sifat mudah resah. Mudah kecewa. Mudah tertekan. Sensitif. Maka di kala itulah serabut di hati meronta-ronta mencari jalan keluar. Celaru di otak mencari tempat melepak dan berehat. Di saat itulah diri mencanak mencari hiburan..


Hiburan Yang Melata
Mahasiswa UMS ini merupakan mahasiswa yang paling beruntung. Tidak perlu melangkah jauh untuk mendapatkan hiburan. Boleh menikmati hiburan di dalam suasana kondusif dan selesa di dalam kampus sendiri. Kerana ruang berhibur di dalam kampus pun sudah berlambak. Beli sahaja tiket-tiket ke konsert-konsert yang dijual di foyer perpustakaan. Atau kalau nak jimat tunggu sahaja saat akhir dan penganjur mengisytiharkan bahawa pelajar UMS boleh masuk percuma. Jangan lupa membawa kad matrik. Anuar Zain? Hajah Deja Moss? Beres. Right at your doorstep. Yeah!!!


Mengundur Bertapak-Tapak
Ramai orang yang menganut agama Islam kerana merasakan ada kekosongan yang perlu diisi di dalam hidup. Cat Stevens, seorang lelaki berbangsa Amerika yang berhijrah ke United Kingdom merupakan artis paling masyhur era 60 dan 70an.
Suatu hari pada tahun 1977, ketika sedang menyampaikan persembahan di hadapan ribuan peminat, beliau tiba-tiba menamatkan persembahannya dan meninggalkan tempat konsert. “ Saya disaman jumlah yang besar ketika itu tetapi ia memuaskan perasaan saya. Saya ingin bebas. Saya ingin berhenti,” katanya. “Sehingga saya tahu lebih banyak, sehingga saya tahu bagaimana muzik boleh digunakan dalam semua ini, atau bagaimana saya boleh mengekspresikan diri saya dalam bentuk yang baru, mungkin lebih baik saya berehat.”

Dalam pencarian penuh dugaan untuk mencari identitinya yang sebenar, beliau bukan sahaja telah mengubah irama, penampilan, malah juga namanya. Dalam satu siri pengembaraannya Cat Steven pernah hampir mati lemas di Malibu. Perasaan takut pada kematian melanda saya dan tiba-tiba saya memegang diri saya dan saya berkata “Wahai Tuhan, jika Kau selamatkan aku, aku akan beramal untukMu.”

“Waktu itu saya sangat bersyukur kerana masih hidup. Kerana saya adalah pencinta kehidupan, dan saya masih tidak tahu bagaimana untuk melakukannya, dan sekarang saya telah diberikan peluang. Peluang yang kedua.”

Selama hampir setahun beliau menunggu untuk satu petunjuk. Ia datang dalam bentuk sebuah hadiah daripada abangnya David, yang memberikannya sebuah kitab Al-Quran kerana merasakan ‛ada sesuatu yang sangat istimewa di dalam agama Islam tersebut’.

Beliau mengkaji Al-Quran dan diinspirasikan daripada Al-Quran, Cat Stevens beransur-ansur menuju ke pegangan Islam. Dan akhirnya beliau puas kerana merasakan bahwa hidupnya bermatlamat dan mempunyai arah untuk dituju. Dan beliau menukar namanya kepada Yusuf Islam.

Begitu juga perihalnya dengan seoarang warga Amerika bernama Nicole Queen yang tinggal di Dallas. Setelah bertahun-tahun bekerja di kelab malam, berfoya-foya dan bersosial, beliau akhirnya merasakan suatu keperluan lain di dalam hidup. Dengan cadangan daripada rakan-rakan, beliau mulai berjinak dengan agama Islam melalui video-video di dalam Youtube. “Saya mendapati kebanyakan orang yang memeluk Islam mengalami situasi yang betul-betul sama dengan saya. Mereka merasakan bahawa ada satu kerompangan di dalam hidup, dan hidup ini lebih daripada sekadar bersuka-ria. Akhirnya saya menemui jawapannya, iaitu dengan mengenali Islam dan Allah.”

Banyak lagi kisah yang sedemikian. Apa yang cuba disampaikan ialah, tatkala orang lain berlumba-lumba mencari ketenangan hakiki dan damai abadi dengan meninggalkan kehidupan dan hiburan yang sia-sia, kita semakin mengorak langkah ke belakang mencari ketenangan melalui konsert-konsert dan program-program yang tidak akademik dan menepati tuntutan Islam.


Antara Anjing vs Konsert
Lebih menyedihkan apabila ada mahasiswa yang mempersoalkan ISEUMS apabila banyak berbincang dan membawa ke hadapan isu-isu berhubung hiburan berbanding isu kebajikan mahasiswa seperti anjing yang berkeliaran. “Kenapa ISEUMS sibuk tentang isu konsert sedangkan anjing-anjing masih berkeliaran di dalam Universiti? Nanti seluruh Universiti kena samak baru tau! ”, “Isu bahan untuk P & P tak cukup taknak bawa, sibuk pasal Anuar Zain,” dan “Benda tak perlu nak diperbesarkan, harga makanan di kafeteria mahal suruh bersyukur,” adalah antara kata-kata yang sampai ke meja ISEUMS. Suka kami menjelaskan, kenapa kami mengutarakan persoalan-persoalan sebegini. Pertama sekali di dalam satu organisasi yang baik akan berlaku pembahagian kerja yang efisien. Exco 3P menguruskan tembakan anjing yang telah diadakan banyak kali dengan kerjasama DBKK di waktu malam dan sedang melobi pengurusan untuk membaiki pagar Universiti yang berlubang, Exco Keusahawanan dan Kepenggunaan telahpun mengadakan perbincangan berkali-kali dengan pihak kafeteria dan harga siling untuk makanan telah dipersetujui antara kedua-dua pihak, malah telah dilaksanakan, dan Exco Akademik dan Kerjaya telahpun mengadakan inventori peralatan mengajar yang rosak dan tidak lengkap di semua dewan kuliah dan lain-lain tempat.

Maka Exco Kerohanian dan Sahsiah, berusaha melaksanakan tugas utama kami, yakni membentuk sahsiah pelajar. Tetapi perkara paling utama yang membuatkan kami menitikberatkan isu hiburan ini adalah kerana ia melibatkan soal aqidah. Budaya hiburan yang tidak terkawal dan melampau, percampuran lelaki dan perempuan, pemujaan artis secara berlebihan. Itu semua menjejaskan aqidah. Selagi mana anjing tidak mengajak meninggalkan Islam, selagi mana harga makanan tidak melambung tinggi sehingga mahasiswa terpaksa mengemis kepada misionari, dan selagi alatan P & P memadai dan tidak memaksa mahasiswa membakar dewan kuliah tanda protes, isu kesahsiahan akan tetap terus menjadi tumpuan utama kami. Kami tidak berkata bahawa kami menolak isu kebajikan, tetapi dasar dan prinsip perjuangan utama kami adalah jelas. Mungkin mahasiswa perlu belajar mengenali dan menganalisa sasaran sebelum melancarkan peluru.


Kayu Ukur Hiburan dalam Islam
Islam tidak sesekali menolak hiburan. Malah masyarakat Arab di zaman Nabi Muhammad S.A.W adalah masyarakat yang suka kepada hiburan. Mereka bergurindam dan bersyair tentang alam, tentang Tuhan dan tentang sejarah nenek moyang mereka. Sememangnya berhibur tidak salah selagi menepati garis panduan yang Islam letakkan. Jadi apa kayu ukurnya? Saya pernah ditanya oleh seorang sahabat Majlis Perwakilan Pelajar apabila dilihat kurang senang dengan tindakan mereka berkaraoke, bersuka ria dan bergelak ketawa di dalam bas sewaktu dalam perjalanan ke suatu destinasi. Tanya beliau,

“Aku keliru sikit la. Engkau ni berhibur sikit tak boleh. Ini tak boleh, itu tak boleh. Macam mana sebenarnya engkau definisikan hiburan yang dibenarkan di dalam Islam?”

Lalu saya menjawab,

“Nak letak kayu ukur untuk hiburan yang dibenarkan ni senang. Yang pertama bila kita berhibur kita tidak lupa kepada Allah walaupun seketika. Maknanya hiburan itu tidak membuatkan kita lalai daripada mengingati Allah. Yang kedua, kalau kita mati di dalam keadaan kita sedang berhibur tu, kita tidak menyesal. Maknanya kita redha mati dalam keadaan sedang berhibur tu.”

Beliau Alhamdulillah dapat menerima penjelasan saya.


Berzikir Menenangkan Jiwa
Seperti yang disebutkan awal tadi tujuan manusia mencari hiburan adalah untuk mendamaikan jiwa yang resah. Firman Allah Ta’ala di dalm Surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud,

“Ingatlah, dengan mengingati Allah ( berzikir ) itu jiwa akan tenang,”

Firmannya lagi di dalam Surah Al-Baqarah ayat 152,

“Ingatlah akan Aku, Aku akan mengingatimu,”

Orang Islam harus melatih dirinya mencari ketenangan dengan berzikir. Dan sebaik-baik zikir ialah membaca Al-Quran. Di kala hati resah mencari pedoman, berwudhu’lah, dan selaklah lembaran-lembaran ayat-ayat Allah. Kembalilah kepada fitrah...

2 comments:

Muslimin Agung said...

Salam Wasilah Ukhuwah Fillah
Berhibur tiada salahnya
Krn Hiburan itu indah
Hanya pabila salah memilihnya
Membuat kita jadi bersalah

"Hiburan Mendidik Jiwa"

nurilhakim said...

La..muslimin_agung..ingatkan org dah stat fire kt sini..hehe

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan