Azam berterusan jarang memberi kesan kerana lafaz kata mudah dihamburkan berbanding menggerakkan anggota untuk bertindak. Sedangkan iman itu membawa makna lafaz dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota. Nescaya azam yang berteraskan iman mesti disusuli tindakan. Apapun, ana bukan jenis suka memasang azam bila tiba tahun baru. Ana lebih suka memasang pelan pembangunan diri setiap kali Allah melontarkan musyahadah untuk mengenal makrifatnya. Peluang yang selalu datang dan selalu perlu disambut. Peluang yang selalu tidak digapai kerana hadirnya tidak disedari. Nikmat-nikmat yang berlalu bak semilir. Tidak cukup untuk menggoyangkan pepohon syukur yang renek. Cukup setakat itu. Ruang ini ana hasratkan sebenarnya untuk melontarkan beberapa perubahan yang perlu digerakkan bagi meraikan hati-hati dan jiwa-jiwa yang sedang ‘marak’ oleh semangat Ma’al Hijrah. Semangat yang samada pada jasad atau menyelami roh pejuang-pejuang agamaNya.
1. Think Global, Act Glocal
Nasihat yang selalu dilontarkan oleh Abang Pai kepada Abang Zulhilmey. Abang Zulhilmey seseorang yang berwawasan besar, cita-citanya setinggi langit dan harapannya melewati lautan. Sifat yang sukar dicari dalam penggerak di kampus. Jarang sekali idea pembangunan dapat merentasi sempadan Universiti, tidak kira siapa yang menganjurkan program. Program-program di luar pun setakat program-program berbentuk tompok-tompok yang mengisi ruang cuti dan masa senggang. Mahasiswa perlu istiqamah membawa mesej perubahan ke tengah masyarakat. Mahasiswa perlu giat dan aktif menjenguk perihal dan keadaan rakyat. Mahasiswa perlu proaktif membantu marhaen menyelesaikan masalah setempat. Bukan susah bertemu ketua kampung yang jalan di kampung mereka rosak, bertanyakan keadaan lalu menulis surat kepada wakil rakyat bertanyakan sebab-musabab, atau warkah kepada JKR meminta dibuat sesuatu. Tidak perlu institusi segah MPP berarak dengan rombongan dan baju korporat. Tidak perlu kertas kerja yang kompleks dan berjela-jela memohon duit untuk makanan. Yang diperlukan hanyalah sekelumit rasa ambil berat, secubit perngorbanan dan kemampuan membaca dan menulis. Jangan hanya mendampingi rakyat untuk berseronok dijadikan keluarga angkat, tetapi membiarkan mereka mengesat sendiri airmata kehidupan. Ambillah pengajaran daripada kempen Barack Obama, yang bercita-cita menghidupkan semula ‘The American Dream’, dan jadikan ia ‘Sabahan Dream’.
2. Yang Perlu Dibangunkan itu Anak Tempatan
Sebanyak sedikit pengalaman membentuk pelapis, ana akhirnya menyimpulkan bahawa yang perlu dibangunkan itu anak setempat. Jiwa-jiwa yang perlu diisi dengan cahaya iman dan akal yang perlu dipenuhi dengan hidup mati perjuangan itu anak-anak yang berada di sekolah-sekolah dan di kampung-kampung. Hidupkan usrah sekolah dan imarahkan surau-surau kampung dengan kuliah dan tazkirah. Kerana mereka ini yang akan mampu bergerak dengan kekuatan setempat untuk membawa perubahan secara total dan serius kepada bumi Sabah. Latihlah anak tempatan di kampus, nescaya mereka akan pulang ke kampung masing-masing – samada terus berjuang atau kerana sudah biasa dipantau, akan selesa dengan hidup yang fana. Hendak diharap mengisi surau dengan majlis ilmu? Jarang. Hendak disuruh turun padang membantu menghidupkan usrah remaja? Kurang. Hendak dijadikan role model oleh masyarakat kerana mampu memandikan mayat, memimpin tahlil, malah istiqamah mengajar alif ba ta? Gersang dan kontang. Kalau adapun serakannya terlalu luas, sukar menimbulkan kesan berpusat. Membentuk hati yang bersih dan fikrah yang kosong lebih berkesan, walaupun jalannya jauh lebih panjang dan sukar. Ana yakin itu jalan yang Cikgu Nasir pilih untuk membentuk pendukung syiar di Tawau dan hasilnya? Tawau itu Kelantan yang subur dengan agama. Apapun pusat ledakan itu mesti pada sumber dan sumber itu di Kota Kinabalu. Kota Kinabalu yang sepatutnya lebih hebat kerana sarat dengan pejuang-pejuang yang hebat ditarbiyah di gedung ilmu. Kemahuan? Kesediaan? Setakat ini masih gersang dan kontang.
3. Ukhwah Bunga Plastik
Menghadiri program ana lebih suka memerhati gelagat peserta. Lagipun senyap itu mengurangkan dosa. Sedangkan memerhati, berfikir dan belajar itu membawa kepada sedar dan sabar. Di dalam program semua boleh tergelak sama, bergaul mesra. Ukhwah terbentuk katanya. Tetapi muslimat-muslimat ini juga kerana kesilapan yang dilakukan muslimat lain akan memulau sahabat mereka sekian lama. Muslimin-muslimin ini juga yang dalam nada gurau boleh melemparkan tuduhan homoseksual ‘man-to-man’ kepada sahabat seperjuangan. Atau salah seorang daripada insan misteri ini yang tergamak menjatuhkan maruah dan memalukan sahabat mereka melalui alam maya hanya kerana sahabat tersebut dianugerahkan rasa cinta dan tersilap rentak. Lebih sedih lagi apabila ada yang sendirian menanggung masalah diri dan keluarga, hanya bercerita kepada sebahagian untuk melepaskan duka, tidak dapat mencari penawar kerana keyakinan kepada sahabat belum jazam. Tidak menghairankan. Kerana program dan gerakerja hanya mampu mebentuk keserasian. Ia jauh sekali membentuk ukhwah. Keserasian itu membentuk diri mengikut rentak rakan sekerja supaya kerja menjadi lancar. Bekerja dengan orang yang kuat mengutuk, maka diri dibentuk menjadi orang berjiwa besar. Bekerja dengan orang yang lambat, maka diri dipaksa mengambil alih tugas. Maka kerja akan beres, dan segalanya tampak cantik. Sedangkan ukhwah itu mengajar membentuk diri dengan acuan Islam dan kasih-sayang yang tidak mengenal wajah. Persis sahabat yang menahan badan Nabi daripada terkena panah. Ibarat Ansar yang menolong makhluq asing para mujahidin. Ana melontarkan keluhan daripada sahabat yang masih mencari, samada yang jauh atau dekat, diluah secara tidak sengaja atau dengan tak semena-mena. Unutk ana, tidak ada apa-apa masalah. Ana setelah sekian lama ditimpa masalah jiwa, telah menumpai penawarnya. Dan penawarnya ada dua. Yang pertama, jangan bertakung tapi biarkan mengalir. Yang kedua, jadilah yang terbaik, tidak ada pilihan lain.
'Jadikan Ma'al Hijrah Bukan New Year'
No comments:
Post a Comment