:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Wednesday, December 31, 2008

Kau Kembalikan Senyum Di Wajahnya..

Kisah adik Elfion Christopher dan Adik Norshilla mendapat respon memberansangkan daripada pelbagai pihak. SMS tidak putus-putus masuk samada dengan hasrat membantu menjadi teman setia Adik Shilla, atau menghulurkan bantuan menunaikan impian Adik Elfion. Bukti betapa ramai lagi insan yang masih mencari ruang berbakti dan beramal. Bukti bahawa roh kasih-sayang masih belum luput daripada sebahagian masyarakat. Bukti yang hati-hati manusiawi masih hidup, segar menerjah peluang menghulurkan bantuan. Paling penting, ia bukti bahawa ruang dakwah harus dibuka seluas-luasnya oleh penjaga pintu-pintu dakwah, agar laluan di sebalik pintu 'tak layak', 'tak mampu' dan 'tak nampak jalan' tersingkap, menggerakkan dan mengangkat dakwah dan kasih-sayang setinggi budi manusia, dan serendah lapangan umat.

Dalam masa tidak sampai setengah hari, Persatuan Siswazah Sabah dengan bantuan penuh dedikasi daripada Ikatan Sahabat EKSAH UMS sesi 08/09, jumlah sumbangan terkumpul mencapai RM450. Wakil daripada kedua-dua Persatuan tidak membuang masa untuk merealisasikan harapan semua pihak-melihat Adik Elfion senyum semula, dan mewujudkan teman dan pengajar ilmu dunia akhirat kepada Adik Shilla. Jam 5.15 petang, kami tiba di Hospital Queen Elizabeth, dan terlebih dahulu melawat Adik Shilla. Di sana kami bertemu 4 orang muslimat dari UMS yang sedang menziarahi Adik Shilla, yang berjanji akan menjaga dan melihat perkembangan Adik Shilla secara berterusan. Semoga Allah memberikan mereka kekuatan, istiqamah dan keikhlasan, yang seterusnya akan dibalas dalam bentuk kecemerlangan dunia dan akhirat, atas sebab rasa belas dan pemurah yang dizahirkan untuk hambaNya. Kami menyerahkan permainan SAHIBA dan jigsaw puzzle kepada Adik Shilla, dan walaupun malu untuk mengizinkan kami bergambar dengannya, ucapan terima kasihnya sampai kepada semua yang menyumbang.

Seterusnya, kami terus bergerak ke wad A7 yang menempatkan Adik Elfion. Rupanya beliau tidak ada di wad kerana turun menghirup udara segar di laman hospital. Kami menunggu sambil menjengah pesakit-pesakit lain, dan tidak lama kemudian kelihatan kelibat Adik Elfion melangkah perlahan disisi ibunya. Air mukanya tidak berubah apabila terlihat kami; mungkin tidak dapat mengecam siapa yang datang melawat. Atau terlalu keletihan memanjat tangga. Beliau terus berbaring di atas katil dan meringkukkan badannya. Kami mengeluarkan papan karom yang dibeli hasil sumbangan, dan petang itu, impian kedua kami tercapai. Berbunga hati kami melihat wajah manis Adik Elfion apabila tersenyum. Subhanallah. Indahnya bila dapat memberi..


Sedekah itu lebih daripada memberi;
Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyebut dalam satu kuliah tentang penyakit hati, bahawa sedekah itu yang berasal daripada perkataan Arab 'sidqun', adalah sebaik-baik penawar untuk penyakit hati seperti takut, lemah, malas, bakhil dan lain-lain. Kerana 'sidqun' itu membawa maksud membenarkan, dan membenarkan itu dengan maksud membenarkan ajaran Allah, sifat Rahman dan Rahimnya. Maka apabila itu berlaku, balasannya adalah kasih dan sayang daripada Allah, hati yang lembut basah dalam mengingati Tuhan.

Di dalam kitab Mukashafah Al-Qulub karangan Imam Ghazali, riwayat at-Thabrani juga menyebut:

"Sedekah itu tidak mengurangi harta. Jika seseorang menghulurkan tangannya untuk bersedekah, bererti dia memberikannya pada tangan Allah, yakni Dia pasti menerima sedekah itu dan merelakannya sebelum ia jatuh di tangan orang lain. Manakala seorang hamba memohon permintaan dan dia tidak mengabulkannya, tentu Allah akan membukakan pintu kefakirannya. Seorang hamba mengatakan, 'harta-hartaku', sedangkan hartanya hanya ada tiga macam. Yang dimakan menjadi fana, yang dipakai jadi rosak, atau yang diberikan maka terjaga. Sedangkan selain itu akan pergi dan ditinggalkan untuk manusia."

Dan Allah SWT berkata pada hari Kiamat:

"Wahai anak cucu Adam, Aku sakit namun kamu tidak mahu ziarahiKu" Manusia bertanya, "Bagaimana aku boleh menziarahi Engkau sedangkan Engkau Tuhan semesta alam?" Allah SWT berkata, "Tidakkah engkau tahu bahawa hambaKu si fulan sedang sakit, namun kamu tidak mahu menziarahinya? Tidakkah engkau tahu bahawa jika engkau mahu menziarahinya, tentulah Engkau dapati aku di sisinya?"

"Wahai anak cucu Adam, Aku memintamu makan dan minum kamu tidak memberiKu makan." Manusia bertanya, "Bagaimana aku memberiMu makan sedangkan Engkau Tuhan semesta alam?" Allah SWT berkata, "Tidakkah engkau tahu bahawa hambaKu si fulan meminta makan namun engkau tidak memberinya?Kalau engkau mahu memberinya makan, tentulah Engkau dapati ia ada di sisiKu?"

"Wahai anak cucu Adam, Aku memintamu minum tapi engkau tidak memberiKu minum" Manusia bertanya, "Bagaimana aku memberiMu makan sedangkan Engkau Tuhan semesta alam?" Allah SWT berkata, "Tidakkah hambaKu si fulan telah minta minum padamu tapi kamu tidak memberinya minum? Tidakkah engkau tahu jika engkau memberinya minum, maka engkau dapatkan sesuatu itu ada di sisiKu?"

Terima kasih pada semua sahabat yang memberi. Baki duit dan sumbangan berterusan anda akan digunakan untuk membangunkan Tabung Harapan.

Ya Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pemberi, lapangkan rezeki sahabat-sahabat kami yang menjadikan sebahagian harta dan kudrat mereka milik kepada rakyat yang menderita dan memerlukan. Sahabat, Kau Kembalikan Senyum di Wajahnya..

p/s : Adik Elfion akan berangkat ke IJN pada 1 Januari, 2009..

1 comment:

صلح الدين ن said...

syukran Syeikh, pengisian yang jernih. Teruskan Usaha!

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan