:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Tuesday, December 23, 2008

Jaddahku..

Nenek Yang Solehah


Nenek, atau panggilan mesra kami untuk beliau, Jaddah, yang bermaksud nenek di dalam Bahasa Arab sudah lama terlantar di hosipital. Masuk dan keluar hospital menjadi kebiasaan. Awalnya didiagnosis dengan penyakit misteri, sebelum disahkan menghidap kanser darah, yang tidak lama kemudian melepasi penjara sumsum tulang, memasuki darah dan bergerak ke otak. 7 atau 10 hari maksimum, kata Doktor. Bergilir-gilir lapan beradik, cucu, cicit, tok-tok saudara dan lain-lain kerabat menjaga beliau. Ayah yang merupakan anak sulung, dan ana sebagai cucu lelaki sulung, memainkan peranan setakat terdaya. Sehingga akhirnya Jaddah tidak lagi mengenali individu-individu yang berada di sekeliling. Yang tinggal dalam memori ialah,


“Yoh, ambil kangkung belakang rumah, celur. Jangan bagi Ani ambik, dia kecik lagi.”


“Gi kedai tepi pantai tu, beli ikan nak masak singgang.”


“Jangan lupa tempah rencah hilal satu kotak.”


Menu-menu masakan yang digunakan buat membesarkan anak-anak satu era terdahulu di dalam kehidupannya. Malah omong-omongnya kadangkala meruntun jiwa apabila kasihnya pada anak-cucu ditonjolkan dengan meminta air dibancuhkan untuk kami yang disangkanya ‘bertandang ke rumah’. Teringat wafatnya Rasulullah, memanggil-manggil yang paling dikasihinya walaupun sedang berdepan dengan sakaratulmaut. Kadang-kadang tangan Jaddah menyapu-nyapu udara, sebelum dilekapkan tangannya ke muka, digosok-gosok tangan sampai ke lengan dan disentuh sedikit telinga. Subhanallah. Jaddah dalam keadaan separa sedar sedang berwudhu’ sebelum tangan mengangkat takbir. Walaupun pergerakan solatnya melompat dari takbiratul ihram kepada tahiyat akhir dan salam, kami yakin Allah mengetahui hasratnya menghabiskan usia dengan menjadi hamba yang berterusan merendahkan diri serendah-rendahnya di hadapan Pencipta. Selesai solat dipanggil suami ke sisi. Suami yang berada jauh di rumah.


“Abi, Abi..mari sini Abi. Mana Abi? Suruh Abi angkat Jaddah ni”..


Sebelum bertukar menjadi;


“Tolong pergi rumah Tok Ma Milah, ambik air mawar, kapur barus dengan batik lepas..”


Ujianku Atasku Juga Untukmu


Biasanya berita tentang orang sakit dan orang mati jarang memberi kesan mendalam pada manusia. Ambil sahaja contoh yang mudah, iaitu apabila kita mendapat berita tentang kematian melalui sms. Habis baik pun kita akan mengirimkan ucapan takziah dan bertafakur sejenak membacakan al-fatihah. Atau jika berita adalah berita orang sakit, kita akan menghantar mesej motivasi yang diforwardkan dari ‘saved messages’ handset masing-masing. Bertuah sangatlah kalau peringatan-peringatan yang datang mampu membuatkan diri beristighfar panjang, terduduk insaf atau mengucap mengingati ajal yang boleh bertandang bila-bila masa. Kecualilah, kecualilah, jika mesej yang terpampang berbunyi, ‘Ayah enta meninggal kemalangan baru sekejap tadi’ atau ‘abang, kakak masuk hospital kena denggi’. Realitinya, ikatan antara orang Islam terlalu longgar untuk membolehkan mati-sakit orang lain yang tidak dikenali sama-sama dikongsi. Cubit peha kanan, peha kiri takde perasaan pun!


Ana seorang yang banyak bermaksiat. Dan seperti orang lain, ujian dalam apa bentuk pun mampu membuatkan ana berhenti bermaksiat untuk seketika. Ya, untuk seketika. Kemudian setelah efek ujian tersebut berlalu, diri akan kembali bermaksiat. Astaghfirullah. Malangnya tidak cukup ujian yang Allah berikan untuk memastikan diri sentiasa berada dalam keadaan insaf dan sedar. Kerana dengan peringatan yang berulang itu baru diri akan tertambat pada aqidah dan syariah. Dari situ ana mula berfikir yang pengajaran untuk orang lain juga dimaksudkan untuk ana. Lebih-lebih lagi ujian yang diri sendiri pernah rasakan. Penghidap gastrik akan lebih terkesan bila berdepan dengan orang yang mengadu gastrik kerana dia sahaja yang tahu pedihnya bila perut meragam. Orang yang ibunya mempunyai penyakit barah akan lebih terkesan bila mendengar berita orang sakit barah. Orang yang pernah menderita kemalangan patah kaki akan lebih bersimpati terhadap orang lain yang kemalangan patah kaki. Semuanya kerana selain aspek akhlaq yang mengajar diri bersimpati secara automatic dengan kesusahan orang lain, wujud elemen penghayatan yang mengkesan hati dan membolehkan diri relate dengan kepedihan orang, kerana perkara sama pernah dilalui dan sakitnya, turut sama dapat dirasai. Penghayatan terhadap kesusahan saudara seIslam, kenal atau tidak, jauh atau dekat, itu yang sepatutnya turut mampu mengekalkan iman dalam keadaan yazid, atau sekurang-kurangnya statik.


Maafkan ana wahai sahabat-sahabat, sekiranya kesusahan yang antum pernah rasakan tidak dapat ana kongsi perit-pedihnya. InsyaAllah, kita berubah..


I’brah Akhlaq Nabi


Ana meyakini bahawa ini sebahagian jawapan kepada titik noktah maksiat dalam hidup ana bila mengimbau sirah Rasulullah. Selain kurniaan direct daripada Allah, apa sebab lain Rasulullah menjadi orang yang paling kasih kepada orang miskin? Sebabnya baginda juga hidup dalam kekurangan. Kenapa Rasulullah orang yang paling sayang kepada anak yatim? Kerana bapanya, ibunya, malah pakcik dan datuknya sekali ditarik nyawa mereka ketika baginda masih kecil.

Ya Allah, bukakan jalan untukku mencari titik-titik noktah yang lain..


Jaddahku..


Jaddah mula tercungap-cungap. Tepat jam 1.17pagi, 15 Disember, Jaddah kembali ke pangkuan Kekasihnya dengan senyuman terukir di bibir. Jaddah disolatkan oleh Tuan Guru Nik Aziz, dan meninggalkan seorang suami, 8 orang anak dan 44 orang cucu. Semoga rohnya dicucuri rahmat..Amin.


3 comments:

NIVYANFAZZA said...

Al-fatihah buat jadduka.....
semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan ditempat orang-orang yang soleh...
amin....

acap de souza said...

salam

Al-fatihah dan salam takziah atas pemergian nenek abg.moga rohnya d'tmptkan b'sam-sama org yg b'iman di sisi Allah...

Amin

mer said...

innalilah

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan