Sempena Ma'al Hijrah Persatuan Ulama' Malaysia, dengan dibimbing Cikgu Jamil sekali lagi mengatur lawatan ke Hospital Queen Elizabeth. Sahabat-sahabat daripada Yayasan Amal, yang diketuai Setiausaha, Ustaz Ridhuan dan Persatuan Siswazah Sabah yang diketuai Setiausaha persatuan juga, Saudara Fairuz Bend turut menghantar anggota buat memeriahkan program. Walaubagaimanapun penulisan artikel ini bukan berhasrat untuk menceritakan kisah lawatan ke hospital seperti sebelum-sebelumnya, tetapi lebih kepada usaha merayu bantuan untuk beberapa insan terpilih.
Sebelum bergerak ke wad sasaran iaitu wad lelaki A7, kami menyinggah ke wad Perempuan A6 untuk mencari seorang adik yang telah beberapa kali dilawat oleh PUM sebelumnya. Ternyata adik Norshilla Abtara masih berada di wad yang sama. Beliau yang menghidap penyakit transverse myelitis, penyakit yang disebabkan pembengkakan pada saraf tunjang dan diffuse muscular atrophy telah bergantung hidup pada ventilator, alat bantuan pernafasan selama lapan tahun! Beliau yang berasal dari Kudat dan berusia 14 tahun, berkali-kali mengucapkan terima kasih apabila kami menghulurkan sebuah hamper, kismis dan sedikit sumbangan wang. Suara beliau yang comel persis suara serak basah adik Faizul.
Satu sahaja harapan Adik Shilla. Bukannya diharapkan duit beribu. Bukan didambakan saraf tunjang baru. Yang diharapkan hanyalah seorang kakak yang solehah yang dapat mengajarnya serba-sedikit ilmu asas Islam dan bercerita kisah hidup buat memotivasi dirinya yang telah 8 tahun lebih teruji. Harapannya tidaklah terlalu tinggi. Dia juga tahu tidak ramai kakak-kakak yang punya masa untuk dirinya. Kehadirannya di dunia tidak signifikan dalam perjuangan hebat kakak-kakak yang sedang menggalas tugas hebat menuntut ilmu dan memperkembangkan syiar Islam. Tidak mengapa. Selama lapan tahun dia telah berjaya bersabar dengan ujian. Apa salahnya menunggu beberapa tahun lagi? Penantian padanya bukan lagi sesuatu yang sukar. Ana pula yang meragui. Mustahil tidak ada seorang pun yang boleh meluangkan masa lebih kurang satu jam seminggu untuk membimbing Adik Shilla sebelum dia dibimbing oleh mubaligh Kristian yang kerap juga datang menjengah? Berapa lama agaknya mujahidah di kampus atau di mana-mana akan berfikir-fikir sebelum menawarkan diri untuk membantu Adik Shilla?
Kami seterusnya bergerak ke wad lelaki A7. Bermula dari wad ICU kami mendekati pesakit satu demi satu, tanpa mengira warna kulit, agama, bangsa, jauh sekali fahaman politik. Semua pesakit yang kami ziarahi gembira menyambut kami. Seperti perihalnya kebanyakan orang yang sedang berdepan ujian, beberapa patah kata dan setulus senyuman sudah mampu mengubati sedikit sebanyak jiwa yang kehausan. Sampai ke hujung wad, ana terpandang Ustaz Akmal yang sedang berborak dengan seorang ibu. Di atas katil seorang budak lelaki memandang jauh dengan wajah yang menyedihkan. Nama beliau tertera, Adik Elfion Christopher, berbangsa Kadazan dan berumur 13 tahun. Ustaz Akmal berlalu, ana terus mendekati. Puas ana berceloteh, bercerita dan berjenaka. Daripada memuji rambutnya yang masih kemas walaupun sudah lama di hospital sampailah bertanyakan tentang cewek yang mungkin dirindui di sekolah. Kering skil-skil yang sebelum ini mampu mengubah mimik muka mana-mana kanak-kanakpun. Tetapi yang ketawa terbahak-bahak ialah si emak dan kakak, sedangkan Adik Elfion masih membisu. Muram dan bungkam. Tidak sampai hati memandang wajahnya lama-lama. Entah apa yang bermain di hatinya. Mungkin mempersoalkan kenapa seorang yang begitu ceria dan aktif seperti dirinya diuji dengan injap jantung yang rosak, sehingga hampir sebulan terpaksa berkepuk di hospital menunggu masa dihantar ke IJN.
Tiba-tiba si ibu menceritakan perihal anak perempuannya, kakak kepada Adik Elfion yang menganut agama Islam kerana berkahwin dengan seorang lelaki Brunei. Malangnya, mereka telah bercerai kerana si suami tidak menyediakan nafkah. Isteri dibiarkan menjaga seorang anak perempuan bersendirian. Terkejut juga tiba-tiba si ibu menceritakan kisah anaknya. Mungkin tersentuh kerana masih ada orang Islam yang baik, sudi menziarahi mereka di hospital. Keluarga ini tidak boleh dikecewakan untuk kali kedua oleh orang Islam, ana bermonolog. Ana mengalihkan semula perhatian kepada Adik Elfion. Walaupun kata-kata dan persoalan ana hanya disambut oleh angguk dan geleng kepala, semangat masih belum patah. Dan akhirnya membuahkan hasil. Ada sesuatu yang dapat menggembirakan hatinya. Yang boleh mengukir semula senyum di bibirnya. Sesuatu yang ibunya yang telah bercuti tanpa gaji daripada kerja kilangnya, dan ayahnya yang hanya bekerja sebagai sekuriti, tidak mampu beli. Adik Elfion mahukan sebuah papan karom, dan ingin sekali memakan pizza yang dilihat dimakan oleh orang di katil sebelah. Laju ana berjanji akan memenuhi hasratnya, walaupun duit di tangan dan bank hanya tinggal RM9. Kerana ana yakin ramai insan dermawan yang akan mengorbankan serba-sedikit harta yang ada untuk melihat Adik Elfion tersenyum semula. Ketika melambai Adik Elfion sebelum meninggalkan wad, tiba-tiba dia tersenyum. Senyuman penuh harapan. Harapan pada sebuah janji yang entah dapat ditunaikan atau tidak..
(Kepada yang berhasrat memenuhkan jiwa Adik Shilla dengan harapan, dan mengembalikan senyuman ke wajah Adik Elfion, boleh menghubungi ana di 0198110964 secepat mungkin. Ana hasratkan untuk Adik Shilla dibantu secepat mungkin, dan Adik Elfion disempurnakan harapannya dalam masa sehari dua sebelum beliau dihantar ke IJN. Paling lambat pun, untuk kedua-dua insan ini, sebelum kedua-duanya dijemput kembali oleh Tuhan Yang Lebih Menyayangi mereka, insyaAllah..)
6 comments:
Salam ziarah..dari JAKMAS CD kami usahakan y termampu. dengan kudrat y kami ada.
Semoga dipermudah kesihatan dan juga kesusahan yang dihadapi.
Waslam.
Hidup Nadir!!!!
Salam ziarah & salam Maal Hijrah.
Saya sangat tertarik dengan entri ini dan berhasrat untuk membantu. Saya sedang mengendalikan Projek Amal "Bloggers Go Charity".
Saya berhasrat untuk memanjangkan entri ini dengan turut memaparkannya di blog saya jika mendapat keizinan saudara.
Mohon respon dengan segera & saya sangat berbesar hati jika nombor akaun keluarga adik-adik berkenaan turut disertakan.
Ikhlas,
EZZA FAZLINA
http://www.puteriezza.com/
019-8693050
salam ziarah....ana doakan agar semua berjalan lancar...InsyaAllah sama-sama kita bantu...
Salam ziarah semua,
nur_Mahasiswa>Setiap usaha ada nilaian di sisi Allah, sedikit atau banyak bukan ukuran.
IAI>Hidup Hilai jugak! Hidup roh perjuangan di hatinya!
Puteri Ezza> Saya ucapkan berbanyak terima kasih atas perhatian daripada pihak Saudari Puteri. Dialukan kepada sesiapa sahaja untuk memaparkan entri ini di mana sahaja asalkan bermanfaat kepada kedua-dua adik kita. InsyaAllah saya akan dapatkan maklumat akaun kedua-dua pihak secepat mungkin. Bagaimana untuk terlibat secara langsung dengan projek 'Bloggers For Charity'?
Terima kasih juga pada sahabatsejati :)
Post a Comment