:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Showing posts with label pengembara jiwa. Show all posts
Showing posts with label pengembara jiwa. Show all posts

Friday, March 19, 2010

Up,Up DPM!!

KRIS Penampang; 'Dalam Kenangan Iman'

Saya merakamkan sepenuh penghargaan kepada adik-adik KRU Penampang dari SMK Datuk Peter Mojuntin atas sumbangan yang diberikan untuk membiayai kos perubatan Syauqi. Khabarnya sebaik mendengar bahawa Syauqi telah kemalangan, pimpinan pelajar Msulim terus berkumpul dan mengadakan derma kilat. Tentunya pemberian ikhlas kalian melegakan sedikit penderitaan fizikal Syauqi dan siksaan batin saya sendiri.

Terima kasih juga kepada team 'The Kiliks' atas bantuan dan komitmen penuh beberapa program PSS yang diadakan sepanjang cuti. InsyaAllah laporan program menyusul. Maaf kepada adik-adik DPM yang tak berpeluang dibawa ke program. Apapun, korang the best!!

'The Kiliks' 1,2,3 dan 4 di Simpang Mengayau

Up,Up DPM!!

Tuesday, July 21, 2009

Terapi Jiwa



Usrah Pemuda semalam membicarakan tafsir surah Al-Mulk, ayat 6-11. Surah yang kerap dibaca dengan mata dan kepala, tidak dengan mata hati. Surah Al-Mulk disebut sebagai Surah Munjiyyah, Surah Penyelamat. Ia mendokong tiga konsep utama, kekuasaan Allah, Keesaan Allah dan dalil-dalilnya, serta golongan derhaka yang dibalas. Awal tafsir Al-Mulk menyebut bagaimana Allah berkuasa atas tiap sesuatu, kebesarannya menciptakan mati dan hidup untuk menguji siapakah yang paling banyak melakukan kebaikan dan penciptaan langit yang berlapis tanpa sebarang cacat cela, dan bintang yang menghiasinya. Semuanya membawa tiga tujuan, untuk manusia memerhati kejadian alam dan menilai apa yang berlaku pada umat sebelumnya, sebagai sumber hidayah dan inspirasi serta kekuatan tentera Allah dari alam, misalnya bintang sebagai lembing untuk manusia dan syaitan. Hebatnya bahasa Al-Quran bila ada penegasan berulang. Dalam ayat 2 contohnya, setelah diceritakan tentang kuasa Allah menghidup dan mematikan, dan mengerah manusia berbuat kebaikan, ditegaskan di hujung ayat bahawa Allah bukan sahaja Maha Perkasa, tetapi juga Maha Pengampun.

Tafsir 6-11 kemudian menegaskan bahawa tempat orang yang kufur ialah di dalam Jahannam. Allah menerangkan bahawa setiap kali penghuni baru dicampakkan ke dalam Neraka, ia akan menggelegak dan mendengus, lalu api akan makin marak dan menjulang, marah dengan yang diazab. Dalam kepedihan, Neraka bertanya pula kepada penghuninya, "Mengapa engkau masuk ke sini? Tidak pernahkah ada orang datang memperingatkan engkau?' Maka penghuni Neraka menjaab, "Ada, tetapi kami mendustakannya. Kami tidak mengendahkan katanya." Ketika itu penghuni Neraka mengakui dosa mereka, maka kebinasaanlah bagi mereka. Kerana itu Neraka disebut bukan sahaja sebagai tempat menyeksa fizikal, tetapi juga tempat diasak dan ditekan mental dan jiwa. Ia mirip apa yang dilakukan oleh seorang guru disiplin yang bengis, setelah dirotan dengan sekerasnya si anak murid, ditanya pula, "Sedap tak? Nak lagi?"

Alhamdulillah. Peringatan dan pengajaran itu terapi untuk jiwa. Bersama kanak-kanak yang tidak tidak berdosa dan tidak pandai menipu terapi untuk jiwa. Menyambut kepulangan orang yang disayangi setelah penat bekerja dan menjalankan amanah seharian, mendengarnya bergelak ketawa dan bercerita terapi untuk jiwa. Begitu juga memerhatikan alam dan menjadi sebahagian daripada alam.

Hati ibarat span. Bila ia dibasahkan dengan amal maka diri akan jauh daripada dosa. Bila ia kering dan kontang, syaitan mudah membisik. Tetapi amal itu mesti ikhlas dan sungguh-sungguh. Konsisten dan bersih dari mazmumah. Kalau tidak, jangan hairan yang berprogram ke hulu hilir melakukan dosa juga. Yang baru selesai menganjur program tarbiyyah boleh menyorok di balik tudung labuh bertiga dengan syaitan di dalam kereta. Yang mengikut usrah dan tamrin menghalalkan yang haram, berzina hati dan bercanda. Begitu juga penulis. Terutamanya penulis. Gah di luar. Kosong di dalam.

Penulis sangat banyak memerlukan terapi. Khususnya bila terlalu banyak berkata-kata. Maka diri ini mengambil keputusan untuk berhenti berkata-kata tentang semua yang tidak mampu dilakukan. Sehinggalah jiwa ini sembuh semula. Jangan lagi ada undangan bercakap tentang cinta dan muamalat selagi cinta itu membarahi dan merosakkan ahli-ahli terdekat. Jangan dijemput bercerita tentang nafsu bila nafsu sendiri tidak dapat dikekang. Jangan diharap membicarakan dosa pahala selagi diri sendiri tidak berhenti berbuat dosa. Kerana punca pengajaran tidak diterima oleh mereka yang terus-menerus alpa berpunca daripada diri ini. Kerana punca mereka lupa ialah kerana sibuknya mengurus dan membangun yang di luar sedang yang di dalam rumah pincang tarbiyyah dan punca fitnah. Selamatkan kami, dan berikan kami peringatan ya Allah. Kau bukan sahaja Maha Perkasa, tetapi Engkau juga Maha Pengampun.




Wednesday, February 11, 2009

Doa Mencintai ALLAH


· Ya Allah… kurniakanlah untukku cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMU serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMU.


· Ya Allah… segala pemberianMU yang aku sayangi, jadikanlah ia kekuatan bagiku untuk mencintaiMU. Segala yang Engkau pisahkan dariku, sedangkan ia sangat aku sayangi, jadikanlah ia ruang untuk cintaMU dalam diriku.


· Ya Allah… berikanlah kekuatan untukku mengutamakan cintaMU berbanding cintaku kepada keluarga, harta dan air dingin ketika dahaga.


· Ya Allah… berikanlah aku kekuatan untuk mencintaiMU, para malaikat, Nabi-nabiMU dan hamba-hambaMU yang soleh.


· Ya Allah… hidupkanlah hatiku dengan cintaMU dan jadikanlah aku hambaMU yang Engkau cintai.


· Ya Allah… berikanlah aku kekuatan untuk mencintaiMU sepenuh hatiku dan redha kepadaMU dalam setiap usahaku…


Amin..

Sunday, January 18, 2009

Hijau Bumi Jaddah


Jaddah,
Sayangnya nyawamu tidak bersisa,
Kerana jika hari ini,
Nafasmu masih ada,
Tentu kau menyanyi gembira,
Tentu kau bergurindam berseloka,
Tentu kau melompat setinggi purnama.

Kerana hari ini,
Islam kembali mewarna bumi pusaka,
Bumi tempat kau melakar hidup dan mencorak anak bangsa,
Bumi tempat darahmu jatuh melahirkan pejuang muda,
dan peluhmu mengalir membasahi jasad tua.

Hari ini,
Sejarah telah tercipta,
Kaki semakin deras melangkah menuju janji Yang Esa,
Janji yang Islam takkan rela dihina,
Janji yang Islam tempatnya sebagai juara,
Janji yang Islam akan di puncak jaya.

Hari ini,
Bumi hijau oleh ketenangan,
Menghapuskan daki kotoran dan lumpur keji,
Yang dibawa oleh merah amarah dan biru yang menuju su'ul khatimah.

Hari ini,
Perjuanganmu mendukung Islam selama seusia, tidak sia-sia,
Kerana kampung kecil tempat kau berpencak, bersilat dan berkorban segala,
Kini kembali ke tangan kita.

Jaddah,
Kami akan teruskan hayunan langkahmu,
Sehingga sepertimu jua kami bersemadi,
Menanti hari abadi.

Al-Fatihah..

Tuesday, January 6, 2009

Tak Usah

Kita bercakap soal perjuangan,
Tapi hati jauh dari Tuhan,

Kita sibuk mentarbiyyah insan,
Sedang amalan jadi olok-olokan,

Kita di depan menyelak Al-Quran,
Tapi berbual kosong jadi kebiasaan,

Kita katakan Hadis sebagai sumber,
Tapi selalu membuang masa di depan komputer,

Kita berprogram sana-sini,
Pulang ke kampus, berjam-jam menonton animasi,

Kita berusrah berkali-kali,
Tapi berkorban tak sepenuh hati,

Jauhnya bumi ini, jauhnya,
Dari disinari cahaya Ilahi,

Panjangnya, panjangnya jalan ini,
Sebelum Islam di tempat tertinggi..

Sahabat,

Tak usah hebat memperkatakan tentang hijrah,
Jika hijrah dari bilik ke surau tak mampu dikerah,

Tak perlu berbicara tuk bangkit menentang Yahudi,
Sekiranya bangun di tengah malam tak mampu kau gagahi,

Jangan sesekali menggelar dirimu pejuang,
Jika tak mahu bermujahadah, mengisi jiwa yang tandus dan kontang..


Dedikasi Utk Sahabat-Sahabat ISEUMS di Kg. E, dan lain-lain sahabat, dgn pesan, turunlah berqiam dan berjemaah Subuh di surau, walaupun dengan seorang wakil.. :(

Friday, November 21, 2008

Puisi Rimbawan Buat Nuril Hakim : Di Mana Letaknya Manusiawi ??

Tuan Nuril Hakim..
Sebuah puisi darihal Rimbawan Sejati di kota..

Si ibu tua dan si anak bogel..
Jika mati, mati mereka bernisankan tubuh dan hati..
Berbungkus rapi dikapan songket janji..
Yang dikait tapi tidak ditepati..
Jiwa raga mereka seakan tidak bererti..
Tiada erti..

Tuan Nuril Hakim..
Rimbawan Sejati di kota aju kata tanya..

Di pinggir bandaraya, ada istana setinggan..
Anak bogel berlari berhingus ke dagu..
Bertelanjang bulat meminta-minta dari manusia..
Hingga diterajang..
Sudah diterajang!!
Berhijrah dari istana setinggan yang lama ke kota serakah..
Dengan hiba dipimpin si ibu yang tua..
Hingga si anak bogel terlena dalam dakapan kasihnya bonda..

Tuan Nuril Hakim..
Menjana wacana canailah wadah..
Kirimkan si ibu tua dengan si anak bogel pertolongan..
Angkut derita mereka pergi jauh terbang hilang di mata..
Jangan hingga nyawa dan nafas hilang di dada..
Dihempas tsunami getirnya hidup di kota..

Tuan Nuril Hakim..
Berkali si ibu tua meminta hak si anak bogel..
Namun di tolak oleh warga yang dalih..
Seakan mereka halimunan di bumi sendiri..
Dibuang ke tepi, diterjah tiada henti..

Tuan Nuril Hakim..
Rimbawan sejati ini mengerti..
Tuan ingin membangun hikayat..
Meriwayat rakusnya warga yang dalih..
Akibat kebebalan mereka..

Rimbawan Sejati ini..
Tidak pernah mengagungkan selain dari Tuhan..
Yang melaknat pengijazahan kezaliman..
Yang memurkai pengilmiahan kejahilan..

Teruskan berjuang Tuan Nuril Hakim..
Sinarkan keintelektualan..
Memancar cahaya penghidupan
buat si ibu tua dan si anak bogel..

sumber : rimbawansejati.blogspot.com

Thursday, November 6, 2008

Virus-Virus Ukhwah




Saya berkesempatan mengunjungi blog kembarasanghamba.blogspot.com dan membaca kisah bagaimana penulis berukhwah melalui posting beliau bertajuk 'Lazatnya Rabitah Cinta Ini'. Sungguh mengasyikkan bila kasih dan cinta dipupuk kerana Allah atas jalan tarbiyyah dan mardhatillah. Tapi kadangkala, dalam kehangatan berukhwah, kadangkala banyak langkah yang salah dicatur, tidak sedikit kata yang tersilap tutur dan bertimbun prasangka yang membuatkan hati kotor. Suka saya mengambil peluang ini mempromosi buku Virus-Virus Ukhwah, yang boleh didapati di sharebox ‘Dariku Untukmu’ di blog ini. Berani saya katakan, ia adalah bacaan wajib untuk semua yang bergelar sahabat atau mempunyai sahabat, khusunya para dai’e yang bertaut dan bergantung kepada sahabatnya untuk melunaskan tanggungjawab dakwah.


Kelebihan buku ini, selain isinya yang benar dan tepat membuka ruang mata dan hati menilai kesilapan dalam berukhwah, turut diserikan dengan syair-syair dan bahasa puitis yang kadangkala lebih menyentap daripada isi pokoknya. Misalnya,

nasihatilah diriku di kala aku sendiri

jangan kaunasihati aku di tengah keramaian

kerana nasihat di muka umum

adalah bagian dari penghinaan yang tak suka aku mendengarnya

jika engkau enggan dan tetap melanggar kata-kataku

maka jangan menyesal jika aku enggan menurutimu

memuhasabahkan saya tentang cara menegur kesilapan,

lakukanlah kunjungan sewaktu-waktu

kerana jika sering dilakukan

akan menjadi bibit perselisihan

ku lihat turunnya hujan yang terus-menerus

akan membuat bosan

namun jika berhenti

tangan-tangan menadah penuh harapan

menyedarkan yang terlalu rapat dan kerap berjumpa bisa mencetus perselisihan,

jika seseorang mencintaiku,

maka akan kubalas

dengan ketulusan cinta sepanjang masa

namun ketika ia mulai menjauhi

sementara cintaku terus bersemi

kupanjatkan doa kepada Ilahi

agar memberi petunjuk yang menerangi

mengajar untuk belajar berkorban,

dan teks;

Semestinya seseorang tidak merasa bangga dengan dirinya, memilih hidup menyendiri dengan jauh dari kawan dan sahabat. "Sesungguhnya serigala memburu kambing yang menyendiri.", "Sesungguhnya syaitan bersama orang yang menyendiri, dan dia menjauh dari kumpulan dua orang" - seperti yang dinyatakan oleh Rasullah shallallahu 'alaihi wa sallam. Kerana itu, di antara pendekatan syaitan untuk menyesatkanmu adalah menanamkan kebencian pada dirimu terhadap sahabat-sahabatmu. Ia berbisik di telingamu: Orang ini pernah berbuat sesuatu, orang itu pernah menyakitimu. Ia terus melakukan propaganda itu sehingga engkau menyendiri, lemah dan malas. Tidak lama kemudian, dirimu dikuasai nafsu dunia, syaitan memperdayamu dengan khayalan-khayalan maya, kesibukan-kesibukan duniawi yang remeh, memikirkan dunia dengan segala kesenangannya. Hatimu semakin asing dari sahabat, masalah dakwah dan halaqah-halaqah ilmu, sehingga dirimu menjadi santapan lazat baginya, dan terjerat tanpa daya dalam cengkeramannya. Inilah kerugian yang paling besar,

Memberitahu tentang beruzlah dan menyendiri, dan macam-macam lagi.

Yang paling penting, mencetus, memupuk dan mengekalkan ukhwah, adalah usaha saling dan tidak mungkin berhasil bila sebelah tangan sahaja bertepuk. Pembentukan ukhwah, mesti dan mesti dijalankan oleh dua pihak. Hayati kisah dibawah,

Kisah ini diceritakan oleh Mush'ab bin Ahmad bin Mush'ab: "Suatu ketika, Abu Muhammad al-Marwazi singgah di Baghdad dalam perjalanannya menuju Makkah. Aku sangat berharap agar dapatmenemani perjalanannya, maka aku datang menemui Abu Muhammad agar merestui keinginanku, namun Abu Muhammad menolak. Begitulah, ia tetap menolak keinginanku pada tahun berikutnya.

Pada tahun berikutnya lagi (kali ketiga), Abu Muhammad datang kembali, dan seperti biasa aku menemuinya agar diizinkan dapat menemani perjalanannya menuju Makkah. Kali ini, Abu Muhammad setuju, ia berkata: "Aku terima permohonanmu namun dengan satu syarat: salah satu dari kita harus menjadi pemimpin perjalanan dan harus ditaati." Spontan aku menyambut: "Engkau kuangkat sebagai pemimpin perjalanan." Ia menolak, "Tidak, kamu saja!" Aku mencoba memberi alasan: "Engkau lebih tua dan lebih layak dariku." Abu Muhammad akhirnya setuju, ia berkata: "Baiklah, tapi jangan bantah keputusanku." Aku menyahut: "Ya, baiklah." Mush'ab tidak sedar bahawa Abu Muhammad al-Marwazi mahu menjadi pemimpin perjalanan dengan tujuan agar dapat melayaninya dan bukan sebaliknya. Selain itu, agar menjadi pelajaran bagi setiap pemimpin agar memposisikan diriya sebagai pelayan, penuh cinta, dan kasih sayang kepada orang-orang yang dipimpin.

Mush'ab melanjutkan ceritanya: "Lalu kami berangkat, dan sepanjang perjalanan, Abu Muhammad selalu mendahulukan aku untuk makan. Jika aku protes, ia menjawab: 'bukankah kita telah menyepakati sebuah syarat, bahawa engkau tidak boleh membantah keputusan yang aku buat?!' Demikianlah selama perjalanan; aku menyesal telah menemaninya, kerana membuatnya menderita."

Pada suatu hari, ketika kami tengah melanjutkan perjalanan, tiba-tiba hujan yang sangat deras turun mengejutkan kami. Abu Muhammad berkata: "Hai Abu Ahmad (nama panggilan untuk Mush'ab), cepat cari mil yang paling dekat dari sini." Setelah berhasil menemukannya, Abu Muhammad kembali mengeluarkan perintah agar aku duduk pada asas mil, sementara ia menjulurkan dua tangannya menyentuh hujung bagian atas mil, ia berdiri dengan posisi miring dan menggeraikan jubah untuk melindungiku dari curahan deras air hujan. Melihat keadaannya, aku betul-betul menyesal. Andaikan aku tidak ikut, mungkin ia tidak akan menderita seperti itu.

Begitulah perlakuan Abu Muhammad terhadapku sehingga kami sampai di kota Makkah. Semoga Allah melimpahkan rahmat kepadanya.


Nah, contoh orang yang berkasih-sayang kerana Allah!


Akhir sekali, suka saya menghadiahkan buat sahabat-sahabat dan insan-insan tersayang yang sentiasa menemani peruangan ini, susah senang, hujan panas, pendek panjang, baik buruk, dengan sebuah klip video lagu Hirai Ken dari Jepun. Hayati dan amati, betapa animasi Jepun juga mengajar berukhwah, malah lebih daripada itu, menepati hadis Nabi dan tuntutan agama Islam ke arah mengerat dan menjaga perhubungan dengan saudara seagama khususnya, dan umat manusia amnya! Terimalah, Kimi wa Tomodachi , Kaulah Sahabatku - [link]


“Orang mu’min itu cermin bagi saudaranya – Hadis”


“Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dalam ertikata belas kasihan mereka sesama mereka, dan dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah laksana badan yang satu; iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal maka turut menanggunglah seluruh badan dengan berjaga malam dan merasai demam – Hadis”


Selamat Berukhwah!!


'Maafkan Aku Wahai Tuhan, Maafkan Wahai Hamba Tuhan'



Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan