:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, September 27, 2008

Suatu Kehilangan..

A Tribute To A Laptop

25 September 2008
Suatu kehilangan..

"Bang, ada ambil laptop saya ke?" Azizul menelefon.
"Mana ada. Kenapa? Letak kat mana?"
"Dalam almari. Takde rezki, hilang la tu.."
"Ya Allah..Kejap lagi abang datang.."

Begitulah lazimnya apa yang berlaku setiap kali musim cuti menjelang di mana-mana asrama. Peluang yang paling baik untuk mencopet dan mencuri kerana hasilnya boleh dibawa pulang sebaik sahaja cuti bermula dan tidak perlu di'tapuk' lama-lama.

Tarbiyyah untuk yang mentarbiyyah

Baru dua hari sebelumnya anak usrah Azizul, AlAizat juga kehilangan laptop. Kalau sebelumnya si naqib cuba memujuk anak buah usrahnya supaya bersabar dan redha dengan ujian tersebut, tanpa diduga beliau turut diuji dengan perkara yang sama. Saya dapat merasai betapa Azizul terkesan dengan kehilangan laptopnya. Beliau seorang yang cukup menjaga segala macam hartanya dengan begitu teliti, daripada sekecil-kecil benda bermula nametag program yang diperolehi daripada aktiviti yang diikuti sehinggalah kepada buku-buku dan lain-lain barang peribadinya. Termasuk bantal MASnya yang masih berada di tangan saya.

Isteri Pertama

Pernah saya sebutkan kepadanya, betapa saya melihat yang beliau mempunyai 4 isteri; laptop, kereta kancil, handset 'Sony Ericsson' dan kamera 'Sony'nya. Tetapi antara yang paling berharga tentu sekali isteri pertama, laptop Acer 5050 yang dibeli dengan duit simpanan sendiri tanggal 4 Januari 2007 ketika semester 2 matrikulasi baru bermula. Laptopnya menjadi tempat menyimpan segala bentuk asainmen, ratusan artikel Saiful Islam, ribuan gambar-gambar dan nostalgia, laptopnya juga dibimbit ke hulu hilir, digunakan untuk menghasilkan bookmark untuk dijual, kertas kerja program, poster dan flyers, tayangan multimedia dan 1001 macam bahan lagi. Dalam usaha dakwah, laptopnya hampir tidak ada galang ganti. Laptopnya ibarat sebelah tangan yang digunakan bagi menggerakkan minda-minda berfikir, jiwa-jiwa dihidupkan dan akal fikiran digerakkan ke arah mengenali Pencipta. Kini sebelah tangannya tidak ada lagi.

Muhasabah untuk Semua

Bagi yang kehilangan harta benda, samada dicuri, hilang, tercicir, jatuh ke lubang tandas dan sebagainya, marilah kita bermuhasabah dan berfikir, samada rezki dan kurnia yang telah diberi oleh Allah itu benar-benar telah digunakan sebelumnya untuk membawa diri dekat kepada Tuhan dan bukan menjauhinya. Samada nikmat yang dianugerahkan digunakan sebagai wasilah untuk memacu dakwah atau sebagai alat berhibur dan berfoya-foya. Saya pernah kehilangan handset dan tidak merasai penyesalan malah bersyukur kerana merasakan bahawa nikmat hansdset tersebut tidak digunakan sebaiknya sebelum ini.

Kepada Sang Pencuri, jika hati gelapmu masih dapat ditembusi, belajarlah untuk menilai harta yang hendak diambil. Jika laptop atau PSP yang dicuri sah digunakan oleh tuannya untuk melayari laman web yang tidak baik, menonton VCD lucah dan bermain game, mungkin ada baiknya anda mencuri laptop atau PSP tersebut bagi menyelamatkannya daripada terus bergelumang dengan dosa dan kesia-siaan ( walaubagaimanapun perbuatan anda ini tentu sekali tidak menyelamatkan anda daripada api neraka! ). Tetapi jika tuan empunya harta menggunakannya untuk berdakwah dan menimba ilmu dan pengetahuan, sungguh-sungguh anda tidak sepatutnya memotong sebelah tangannya yang menggerakkan dakwah tersebut! Mujur sahaja negara kita bukan Negara Islam, kalau tidak anda pasti merintih dengan tangan yang kudung. Di bulan Ramadhan yang mulia ini bertaubatlah sementara masih ada ruang dan kesempatan.

Hadiah buat Sang Pencuri..

Akhir sekali untuk Sang Pencuri saya hadiahkan qunut nazilah ini, moga setiap yang membaca artikel ini mengaminkannya..

Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

Amin Ya Rabbal A'lamin..

4 comments:

Anonymous said...

...(speechless)

p/s: moga dapat bertemu kembali laptop yg hilang. kesian zizul.

Hilal Azmi said...

HUhu..salam takziah atas kehilangan...semoga dapat bermuhasabah dengan bencana yg terjadi..

acap@ilzab said...

harap abg azizul dpt b'sbr.I'allah,mungkin Allah akan gantikan dengan benda yg lbh bek lg.Trust with ALLAH's help.

Anonymous said...

salam ziarah, lama juga ana tak buka blog nta..takziah buat Azizul. Azizul kundasang ke?em, mudah2n ia tak jadi penghalang buat penggerak jihad ini utk terus istiqomah. teringat ana pada ust nik abduh..anak tok guru..beliau pun pernah khilangn laptop..rasa ana awal tahun dulu. difikir2 pada jawatan dia sbg ajk pas cawangan pulau melaka, ketua pemuda pas kawasan pengkalan chepa, timbalan ketua dewan pemuda pas negeri kelantan, ajk dewan pemuda pas pusat..ayah kepada 7 pnggerak jihad dan seorang zaujah, byk lagi nostalgia, kertas kerja, bahan tarbiyyah, flyers & seumpamanya dalam laptop tersebut. moga catatan ini tak melunturkan semangat orang kundasang ini. moga ditemukan kembali laptopnya. Allah perkuatkan kamu dengan kesabaran yg teguh. seteguh kinabalu.
::Mohamad Ashrul::

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan