Ramadhan Bulan Perubahan
Panjang umur murah rezeki usia telah dilanjutkan untuk sekali lagi menyambut kehadiran bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak. Mungkin ramai yang telah bersedia daripada segenap aspek bagi menyambut kedatangan bulan ini. Malah mungkin ada yang sudah terkehadapan dengan mula menempah baju raya dan persiapan menyambut Aidil Fitri walaupun belum pasti puasa pada tahun ini akan penuh atau tidak. Apapun, kita maklum bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah manifestasi kesyukuran setelah sebulan berjaya mengekang hawa nafsu daripada menzalimi hak Allah dan melaksanakan amanatnya. Bagi yang belum menemui titik tolak atau garis mula untuk berubah, jadikanlah ‘madrasah tarbiyyah’ ini sebagai medan untuk mula menghayun langkah perubahan. Jangan kita menunggu sehingga Hari Perhitungan, di mana anggota-anggota kita yang akan menjadi saksi segala kemaksiatan yang dilakukan.
“Pada hari ini (Hari Kiamat) kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang mereka telah perbuat (di dunia dahulu),” Surah Yassin, ayat 65
Sebagai garis panduan, mari kita merujuk kaedah meninggalkan maksiat yang digariskan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin berhubung cara-cara meninggalkan maksiat, dengan penumpuan kepada tujuh anggota yang bakal menjadi saksi di Padang Mahsyar, yakni mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki. Suka disebutkan di sini bahawa mujahadah atau perjuangan melawan hawa nafsu sangat-sangat berkait rapat dengan amalan hati, dan kerana itu sebelum menulis berhubung kaedah meninggalkan maksiat, Imam Ghazali menyeru kepada perkara-perkara yang lebih asas dalam bab-bab yang lebih awal, antaranya berhubung adab-adab, bermula daripada adab bangun tidur sehinggalah ke adab berpuasa dan solat berjamaah. Mudahnya, mujahadah melawan hawa nafsu tidak akan berhasil seandainya perkara-perkara asas tadi tidak diselesaikan dahulu. Jika anda sudah bersedia untuk menapak ke depan, ayuh kita lihat, anggota mana yang bermaksiat..
1. Mata
Mata dicipta oleh Allah untuk melihat dan mentafsir alam, seterusnya menghargai dan mengagumi kehebatan dan kekuasaan Allah. Maka mata harus dipelihara daripada empat perkara;
a) Melihat perempuan yang bukan mahram
b) Melihat gambar-gambar lucah yang membangkitkan syahwat
c) Melihat orang lain dengan pandangan penghinaan
d) Melihat keaiban orang lain
2. Telinga
Telinga dicipta oleh Allah untuk mendengar alunan Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah, hikmah para Auliya’ dan ilmu pengetahuan. Maka jauhkanlah daripada mendengar akan maksiat, dan janganlah mengatakan bahawa dosa orang yang memperkatakan orang hanya tertentu bagi orang yang berkata sahaja, tetapi dosa itu juga akan terkena pada yang mendengar, berdasarkan hadis Rasulullah,
‘Sesungguhnya orang yang mendengar (seseorang yang mengumpat orang lain) adalah bersekutu (di dalam dosa) dengan orang yang berkata itu. Dan dia juga dikira salah seoarang daripada dua orang yang mengumpat.’
3. Lidah
Allah menciptakan lidah untuk berzikir dan membaca Al-Quran, membimbing manusia ke jalan kebenaran, dan melahirkan perasaan dan kehendakmu, samada perkara berhubung dunia atau akhirat. Lidahmu adalah anggota yang paling berkesan di atas dirimu dan orang lain. Berapa ramai nanti yang akan dihumbankan ke dalam api neraka dengan sebab maksiat yang dilakukan oleh lidah mereka. Maka kekanglah lidahmu sekuasamu daripada lapan perkara;
a) Bohong, samada bersungguh-sungguh atau bergurau.
b) Menyalahi janji
c) Mengumpat orang, walaupun disebut tentang perkara yang benar ada pada yang diumpat.
d) Berdebat atau bertengkar dan suka membantah perkataan orang lain, kerana sering menyakiti hati orang yang dibantah, terkadang sampai memperbodohkannya atau menyentuh peribadinya, pada masa yang sama tidak terlepas daripada memuji diri sendiri.
e) Memuji diri sendiri, kerana ahli hikmah menyebut bahawa memuji diri adalah ‘kebenaran yang paling buruk’
f) Melaknat, samada manusia atau binatang atau apa-apa sahaja daripada makhluq Allah
g) Mendoakan celaka bagi orang lain, kerana boleh jadi kecelakaan yang didoakan ke atas orang lain melebihi kezaliman yang dilakukan ke atas dirimu, maka orang yang didoakan pula yang akan menjadi orang yang dizalimi.
h) Bergurau, mengolok-olok dan mengejek orang lain.
4. Perut
Perut hendaklah dijaga daripada sesuatu yang haram dan syubhat, dan apabila telah memperoleh makanan yang halal maka hendaklah berhenti sebelum kenyang, kerana perut yang kenyang itu mengeraskan hati, menumpulkan akal, memberatkan anggota daripada beribadat dan mencari ilmu, malah menguatkan syahwat dan membantu tentera syaitan.
5. Kemaluan
Kemaluan hendaklah dijaga daripada apa yang diharamkan Allah, dan ini tidak dapat dilakukan kecuali apabila engkau menjaga matamu daripada melihat yang haram, menjaga hatimu supaya tidak berfikir yang bukan-bukan dan menjaga perut daripada makanan yang syubhat dan berlebihan, kerana semua ini adalah penggerak bagi syahwat.
6. Tangan
Hendaklah kedua tanganmu dijaga daripada memukul seorang Muslim dan daripada mencapai sesuatu yang diharamkan atau menyakiti sebarang makhluq Allah, dan daripada mengkhianati amanah atau simpanan orang dan daripada menulis sesuatu yang tidak boleh dituturkan.
7. Kaki
Kedua kakimu hendaklah dipelihara daripada melangkah ke suatu tempat yang haram, dan daripada melangkah mendekati seorang Sultan atau pemimpin yang zalim.
Wahai manusia, ketahuilah bahawa perbuatan anggotamu yang zahir hanyalah timbul daripada arahan yang datang dari hatimu. Nescaya untuk memelihara segala anggota zahir, maka mulakanlah dengan membersihkan hatimu, menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, dan ini dinamakan taqwa batin, dan kebersihan hati itu hanya dicapai melalui Al-Muraqabah, iaitu menghadirkan hati bersama Allah dan merasakan pandangannya pada setiap masa.
Jom mengorak langkah perubahan bermula Ramadhan!!
Tetamu Kehormat :
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tak Kenal Tak Cinta
Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.
Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.
Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.
Rabithah Tullab Ad-Dawli
Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.
Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:
Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)
Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:
Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)
Mereka Juga Membaca :
-
Panduan Usrah Sekolah Pengenalan Sekali lagi sesi persekolahan bermula. Sekolah-sekolah yang lazimnya subur sebagai ladang tern...
-
Sebelum Bermusafir atau Berurus Niaga Rombongan saya terdiri daripada 12 orang pelajar Dagestan, seorang pelajar Shishan (Chechen)...
-
Penuntut Syria tidak ketinggalan membahangkan penangan BERSIH 2.0 di bumi Syam ini. Mereka mengambil beberapa pendekatan drastik menghidupka...
-
Sebahagian keluarga Sabah. Dengan cameraman sekali. Keluarga yang paling dekat di hati saya adalah keluarga saya dalam perjuangan. Saya ha...
-
Blog ' renung2fikir2.blogspot.com ' dicetuskan oleh Saudara Fairuz Bend, mantan EKSAH MPP sesi 06/07, bertujuan membongkar kebenaran...
Hubungi Saya
Blog Archive
-
▼
2008
(89)
-
▼
September
(13)
- Yeye..Tempat Aku Ada Tol Baru!!
- Suatu Kehilangan..
- Sambutan Raya Mahasiswa ( PRoM '08 )
- Mari-Mari, Turun Mengundi
- Forum Remaja KML - Hikayat Sebuah Perjalanan
- Coret-coret Sejarah..
- Kampung Kobuniku Sayang..
- Bila masanya untuk orang lain?
- Duka Mesti Diiring Suka..
- Sebutir Pasir
- Ramadhan Bulan PerubahanPanjang umur murah rezeki ...
- Tamu Gadang ; Antara Menjunjung Kesarjanaan Gradua...
- Malam Apresiasi 'Amilin
-
▼
September
(13)
No comments:
Post a Comment