:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Friday, May 22, 2009

PSS Labuan Kesat Air Mata Rakyat; Siri 3

15 Mei 2009 Tragedi Kampung Muslim; Menyiram Hati Yang Terbakar

Ahli-ahli PSSL dikejutkan dengan berita kebakaran besar yang menimpa Kampung Muslim. Punca asap yang mula menebal sejak semalam lagi diketahui. Api yang dikatakan berpunca daripada litar pintas, dan mula marak sejak jam 12 tengahari semalam, menjadikan hampir 400 buah rumah sebagai korban, dan meninggalkan sekitar 3000 orang sehelai sepinggang. Tempoh ia berlaku hanya sekitar dua jam setengah. Api tidak dapat dipadamkan oleh pihak bomba walaupun 10 trak datang mengerah tenaga. Api padam sendiri oleh air payau yang semulajadi menjadi tapak berdirinya rumah-rumah di kampung air itu. Mujur sahaja tidak ada nyawa yang turut terkorban.


Kampung Muslim punya sejarah yang panjang. Di zaman Datuk Suhaili mentadbir, kampung itu dianggap 'black area', pusat pengumpulan penjenayah, gaduh dan dadah. Lalu kampung itu tidak dipandang walaupun dengan sebelah mata. Jatuh sang tupai yang kurang pandai melompat, digantikan pula oleh Datuk Yussof Mahal, yang membuktikan dirinya sebagai politikus yang lebih bijak, menambat hati beberapa ratus pengundi di kampung tersebut, beramahmesra dan menganjurkan keramaian bersama mereka.

Kehadiran ahli PSSL seramai 4 muslimin dan 3 muslimat menambahkan bilangan sukarelawan, pemerhati dan pengulas bebas sedia ada. Mereka terdiri daripada masyarakat berhampiran, ahli keluarga mangsa, penderma perseorangan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, MISC, TLDM dan lain-lain badan kerajaan dan bukan kerajaan. Apa yang terhidang di depan mata jauh lebih dahsyat daripada yang sampai ke telinga. Kampung tersebut seolah-olah ditimpa meteorit, kawasan yang asalnya dipenuhi rumah-rumah kayu hancur, musnah, ranap dan hangus. Saiznya sekitar saiz 4 padang bola. Di sana-sini kelihatan kanak-kanak, remaja dan ahli keluarga mangsa menguis-nguis bekas rumah mereka dengan selipar dan kayu, mencari-cari sisa harta yang mungkin terselamat daripada kerakusan jilatan api dunia.

Sebahagian daripada mereka berteduh di Kompleks Sukan Labuan, Kompleks Sukan Air Labuan dan segelintir lagi ke penempatan sementara di Kiamsam. Kebanyakan daripada mereka tidak mahu berganjak jauh dari tempat kejadian, walaupun terpaksa tinggal di bawah kanvas yang bertongkatkan tiang-tiang sementara. Ini tempat mereka. Di sini mereka mencari rezeki sehari-harian, dan di sini mereka pulang berteduh di sebelah malamnya. Di sini mereka berlindung daripada lebat hujan dan bahang panas, dan di sinilah mereka akan membina semula kehidupan daripada sifar.

PSSL berjanji akan kembali menemui mangsa kebakaran untuk menghulurkan sumbangan dan derma sekadar termampu. Semoga Allah menggantikan kehilangan mangsa kebakaran Kampung Muslim dengan sesuatu yang lebih baik, insyaAllah.

No comments:

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan