Manusia mudah terkesan bila sesuatu yang disebut samada meremehkan dirinya, atau menyatakan kelemahannya, atau meletakkan usaha yang dibuatnya bersungguh-sungguh seolah-olah seperti tiada nilai. Pastinya pada diri penulis, dan mungkin pada diri pembaca, juga ada kecenderungan terhadap perkara yang sama.
Manusia juga ada yang diberikan kelebihan bercakap dan mencari hujah, tapi kadangkala tidak digunakan sebaiknya. Hanya digunakan buat menyokong ideologi buta, pandangan sesat atau pendirian yang tidak berasas. Selain melancarkan peluru-peluru buat melunas dendam kesumat.
Manusia susah mengaku kelemahannya. Manusia mahu dirinya dihargai. Manusia mahu pandangannya diterima. Kerana ini semua fitrah manusia. Tiada salah pada penciptaan manusia. Tetapi silapnya bagaimana kehidupan dibentuk. Apa asas yang diletakkan. Apa ukuran yang digunakan. Apa matlamat yang dituju.
Hakikatnya manusia lemah. Hakikatnya manusia lupa. Hakikatnya manusia silap. Hakikatnya manusia mampu berkata tetapi sekadar meniti di bibir, beretorika dan bermanis muka.
Jika IKHLAS menjadi pegangan, nescaya tidak perlu pada penghargaan manusia. Jika IKHLAS jadi ukuran, tiada masalah dicaci dihina. Jika IKHLAS jadi matlamat, tiada perlunya pada hujah dan omong-omong tak bermakna. Dan semuanya disulami dengan SABAR buat alas, pelindung depan dan belakang, tutup di kepala.
Manusia itu bila ia jadi teman ia adalah teman yang paling setia. Tapi bila ia jadi 'lawan', jangan sesekali biarkan ia menjadi penghalang pada perjuangan.
Lama dimamah usaha dan usia, aku sangka IKHLAS dan SABAR sudah sebati dan senada di jiwa. Malam ini aku sedar diriku masih dinoda oleh dosa-dosa khurafat dalam gerakerja.
Sahabat, andai di jalan ini ada silap langkah yang buat kita terpisah, ada silap kata yang buat kita bermasam muka, ada tindakan yang buat kita bermusuhan, doakan paling lama ia setakat di dunia sementara.
Abang2ku, Adik2ku, Kakak2ku, kalau bukan di dunia tempat kita berukhwah, doakan aku dan engkau, dapat bertemu dan bertamu di Syurga, agar di sana, kita berukhwah, berkasih-sayang dan bersama selama-lamanya.
Maafkan aku, aku hanya manusia, teruskan berjuang..
Sekali lagi sesi persekolahan bermula. Sekolah-sekolah yang lazimnya subur sebagai ladang ternak tuai generasi baru pendukung nusa bangsa hidup dengan kehadiran peladang-peladang samada, Peladang Tanpa Izin atau Peladang Berdaftar. Lubuk-lubuk emas menjadi tumpuan. Satu atau dua terlepas ke tangan peladang yang menabur benih tumbuhan lain. Kadang-kadang menjadi kemuncup dan kadang-kadang menjadi beringin tempat tumpang memanjat untuk mendapatkan nur Ilahi.
Maka berduyun-duyun juga soalan datang menanyakan itu dan ini, ada yang relevan dan ada yang memelikkan. Apapun, penulis menghasilkan kertas kerja ringkas ini buat panduan mereka yang baru berhasrat menabur benih di bumi baru, atau menabur benih tetapi hasilnya lemah dan layu;
Cara Masuk
Adapun cara masuk ke sekolah itu ada dua jalan, yang pertama dipanggil jalan depan, dan yang kedua jalan belakang,
1. Jalan Depan
Jalan depan ini didapati dengan cara berurusan dengan pihak sekolah secara formal, samada dengan kertas kerja, menggunakan platform rasmi atau stand ‘follow-up’ kepada program-program yang pernah dianjurkan di sekolah tersebut seperti Kem Remaja Islam dan sebagainya.
2. Jalan Belakang
Jalan belakang lebih mudah dilaksanakan tetapi lebih berisiko, dan tidak terlalu berprotokol. Ia didapati dengan cara berhubung dengan ustaz atau ustazah yang dikenali dan seladang dengan anda di mana-mana sekolah, dan pertemuan dengan anak buah diatur oleh orang tengah tersebut. Satu lagi cara ialah dengan melepak di surau-surau sekolah pada waktu solat, dan mengatur pertemuan dengan anak buah yang berhamburan di segenap ruang surau. Adapun cara ini lebih cenderung digunakan oleh peladang dari ladang yang tidak mempunyai personal influence atau networking yang baik. Ia juga hanya boleh digunakan di sekolah-sekolah yang agak terbuka.
Marhalah Anak Usrah
Marhalah anak usrah di sekolah terbahagi kepada lima, yang mana ia afdhal diikuti mengikut urutan, dan bergerak menaiki marhalah seterusnya mengikut kesesuaian masa dan potensi anak usrah:
1. Marhalah Makan
Mulakan mendekati anak buah anda dengan membawa sedikit buah tangan berupa makanan seperti sanggar, keropok lekor dan makanan ringan. Ia khususnya berkesan dalam mendekati anak buah dari sekolah berasrama. Lebih daripada itu, ia menepati hadis Nabi yang menggalakkan bertukar-tukar hadiah sebagai cara mengikat kasih-sayang.
2. Marhalah Bahan
Apabila anak buah mula seronok dengan kehadiran anda, mulakan memberi mereka bahan-bahan yang menarik. Bahan-bahan boleh jadi risalah yang dihasilkan oleh kampus atau bahan-bahan lain yang dihasilkan sendiri. Biarkan bahan simple dan menarik, tidak perlu panjang dan sentuh isu-isu yang melibatkan mereka seperti isu cinta, pengurusan masa dan sebagainya.
3. Marhalah Kawan
Lama-kelamaan anak buah akan mula mempercayai naqib dan berkongsi kehidupan dan masalahnya dengan naqib. Ketika ini, naqib dan anak buah terikat sebagai kawan. Di marhalah ini, banyakkan bergerak ke arah dakwah fardhiyyah ke atas anak buah yang tampak berpotensi untuk dikembangkan.
4. Marhalah Kefahaman
Di peringkat ini, anak buah akan menghadiri usrah atas dasar kefahaman akan perlunya mereka membekalkan diri dengan kefahaman asas Islam, dan kehendak kepada peningkatan diri dan amal.
5. Marhalah Perkaderan
Marhalah ini adalah tahap tertinggi, di mana anak buah melepasi semua marhalah dan masak untuk terjun ke lapangan dakwah yang sebenar, membentuk kumpulan dakwah bersama naqib untuk mengembangkan Islam ke lain-lain ladang.
Kaedah Pembawaan
Kaedah perjalanan usrah di sekolah sangat fleksibel, tetapi memerlukan kreativiti dan persediaan yang baik daripada naqib. Pelajar sekolah lazimnya meminati penerangan dalam bentuk aktiviti atau bergerak. Misalnya, jika anda menggunakan buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, gunakan modul Kambing, Tali dan Pokok untuk menerangkan bab aqidah, dengan meminta anak buah menyediakan kertas dan pen, melukis gambar berkenaan sebelum meminta penerangan. Atau untuk menerangkan bab kewajipan berkeluarga mengikut Islam dan menjaga keluarga daripada azab, lakukan aktiviti di luar, minta anak buah melukis gambar orang-orang yang paling disayangi, kemudian bakar lukisan mereka satu demi satu. Ini tentu meninggalkan impak yang mendalam ke atas mereka dan penerangan tentang perlunya menghiasi keluarga dengan Islam akan lebih mudah dihadam. Paling penting, jadikan kupasan anda tentang apa-apa tajuk berbentuk semasa dan santai, dan jangan sesekali mengadakan usrah dalam bentuk talaqqi kitab.
Peringatan Penting
1. Ikatan yang paling ampuh mengikat anak buah dengan naqib ialah kasih-sayang. Sentiasa dekati mereka dengan sentuhan, ikat mereka dengan senyum dan salam, berhubung dengan mereka pada waktu cuti. Seperti yang biasa kita dengar, The golden rule is, “People do not care how much you know until they know how much you care,”. Kita menuju untuk mengikat mereka dengan aqidah, tetapi ia tentu mengambil masa.
2. Lazimi menggunakan pendapat yang berat untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh anak usrah. Misalnya, gunakan pendapat merokok adalah haram apabila ditanya hukum merokok, dan pakai pendapat bercinta adalah haram. Dekati anak buah secara individu untuk memberikan penjelasan terhadap pendapat yang lebih ringan.
Penutup
Panduan yang dikemukakan adalah berdasarkan waqi’ di Sabah. Walaubagaimanapun, ia tentunya tidak boleh dipakai seratus peratus tanpa diubah suai. Kertas kerja yang paling baik untuk para nuqaba’ ialah pengalaman, jadi jangan teragak-agak untuk mula mencuba. Tunjukkan teladan yang baik di mana sahaja, samada di depan anak buah atau tidak, ia pasti akan memberi kesan pada penyampaian. Hiasi peribadi dengan akhlaq mulia, dan perteguhkan kata-kata dan nasihat yang dilontarkan dengan qiamullail. Bagi yang berminat untuk mencuba bakat dalam sektor perladangan ini, bolehlah berhubung dengan penulis.
Kita bercakap soal perjuangan, Tapi hati jauh dari Tuhan,
Kita sibuk mentarbiyyah insan, Sedang amalan jadi olok-olokan,
Kita di depan menyelak Al-Quran, Tapi berbual kosong jadi kebiasaan,
Kita katakan Hadis sebagai sumber, Tapi selalu membuang masa di depan komputer,
Kita berprogram sana-sini, Pulang ke kampus, berjam-jam menonton animasi,
Kita berusrah berkali-kali, Tapi berkorban tak sepenuh hati,
Jauhnya bumi ini, jauhnya, Dari disinari cahaya Ilahi,
Panjangnya, panjangnya jalan ini, Sebelum Islam di tempat tertinggi..
Sahabat,
Tak usah hebat memperkatakan tentang hijrah, Jika hijrah dari bilik ke surau tak mampu dikerah,
Tak perlu berbicara tuk bangkit menentang Yahudi, Sekiranya bangun di tengah malam tak mampu kau gagahi,
Jangan sesekali menggelar dirimu pejuang, Jika tak mahu bermujahadah, mengisi jiwa yang tandus dan kontang..
Dedikasi Utk Sahabat-Sahabat ISEUMS di Kg. E, dan lain-lain sahabat, dgn pesan, turunlah berqiam dan berjemaah Subuh di surau, walaupun dengan seorang wakil.. :(
Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.
Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.
Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.