:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, June 14, 2008


Bila Keris Disarung..

(11 Jun 2008)

Baru-baru ini kami bermusafir ke Terengganu dengan tujuan melaksanakan program. Hasrat asal berhenti di replika sotong dan udang gergasi di bandar Marang terbantut apabila semua terlentok dek lembutnya kerusi bas Ekspres Kesatuan yang kami naiki. Mujur Ayu terjaga dan menyuruhku meminta pemandu menghentikan bas. Hendak diharapkan Su baru dua minit bas berjalan dia sudahpun dibuai mimpi. Kami pun turun di depan balai polis Marang, yang tidak jauh pun daripada rendezvous yang sepatutnya. Tak lama kemudian datang Sidi dan Fizi menjemput kami. Aku duduk di hadapan, berborak dengan Fizi dan setelah agak lama berborak, prejudis mula terbentuk..

“Kawasan ni sape menang?” Aku bertanya.

“Kawasan ni buleh ke puok Pas. Sini Setiausaha Idris yang bertanding tapi kaloh pulok die,” Fizi menjawab dengan nada sedikit kesal.

“Aik. Ingat orang Terengganu ni rata-rata masih sokong Pas. Kawasan Tok Guru lagi tu. Macam sedih je dia ni Pas menang,” Aku bermonolog. Dan terus menukar topik perbualan.

Jam 4.30 pagi, sebaik tiba di rumah Fizi, tempat kami tumpang menginap, kami disambut dengan senyum lebar ayahnya, Pok A.R.

“Jemput masuk, buat macam rumah sendiri.”

Puas tidur sepanjang perjalanan, aku menemankan Sidi di depan TV. Sidi sempat berbisik kepadaku “ Pakcik ni Bendahari UMNO kawasan,”. Oh, baru ku mengerti. Tidak lama kemudian datang semula Pakcik A.R, memujuk ku masuk ke bilik untuk berehat. “Takpela pakcik, puah doh tidur sakni,” Aku menzahirkan sedikit darah Terengganuku. Pok A.R pun terus duduk di sisi kami, menemani kami berborak. Antara perkara yang kami bincangkan ialah isu kenaikan harga minyak. “Ape kesannya pakcik kepada penduduk kampung ni?” Aku cuba menghangatkan dingin pagi. Pok A.R ketawa kecil. “Orang sini nok bergomol doh. Orang ni kate ke orang ni, orang tu kate ke orang tu,” Beliau mengulas “tapi memang berat betul. Banyak sangat doh tu naik. Kalau orang besor-besor, orang kaya takpe, tapi kita ni hok orang kampung yang dokleh gi,”. Kami mengangguk tanda setuju. Sampailah ke Subuh, Pok A.R melayan pertanyaan kami, menceritakan pengalaman beliau menembak ‘payau’ di Tawau dan macam-macam lagi.

Dan begitulah seterusnya kami dilayan untuk beberapa hari seterusnya, seperti melayan anak sendiri, dihantar ke sana ke mari, baju digosokkan, baju dicuci ( dengan mesin basuh ), makanan dengan tiga, empat lauk dimasakkan dan dihidangkan, mandi...mandi sendiri la. Ditambah lagi dengan gelagat adik bongsu Fizi yang manja dan becok, menceritakan tentang ‘cewek’nya di sekolah dan artis-artis kegemarannya.

Sampai ke hari terakhir, emak Fizi datang menemui kami seorang demi seorang dan menyuakan kain pelikat. “Ini je yang kami ada, ambillah,” ujar beliau. “Terima kasih makcik, banyak sudah ni,” kami menyambut. “Datang lagi ya bila-bila,” ibu menambah.

Selesai bersalaman dan mengucapkan terima kasih, kami bertolak ke tempat program. Pok A.R yang menghantar. Dalam perjalanan beliau sempat berpesan, “Nah, ambil ni nombor telefon pakcik. Bila-bila ada kat Terengganu, kat mana-mana pun, tak kira kat mana, tak kira pukul berapa, kalau ada masalah, telefon pakcik,” Untuk kesekelian kalinya kami terharu. Dan prejudisku lebur, hancur-berkecai dan pergi ditiup semilir pagi Terengganu.

Mulianya bangsa Melayu dan murninya adat ketimuran bila fahaman politik tidak menjadi kayu ukur. Tingginya kasih-sayang dan mesranya tidak dapat dinilai daripada bendera apa yang berkibar di atap rumah atau gambar siapa yang tergantung di dinding.

Indahnya kehidupan jikalau ideologi perjuangan dapat disatukan dan diperkasakan di bawah lembayung fitrah. Megahnya ketamadunan andai hati-hati dapat dikumpulkan dibawah payung aqidah.

Betapa akhlaq mulia dan kesopanan bukan milik sebelah pihak. Tetapi akhlaq mulia dan kesopanan milik seluruh yang bergelar Islam. Betapa masalah-masalah yang membebani masyarakat tidak membebani sebelah pihak. Tetapi seluruh rakyat terhimpit. Betapa tanggungjawab dakwah tidak harus tertumpu kepada mana-mana pihak, tetapi tanggungjawab dakwah harus menjangkaui semua pihak. Khususnya mereka yang masih mencari. Khusunya mereka yang belum mengerti. Khusunya mereka yang diikat oleh tradisi.

Ayuh mahasiswa, memangkin perubahan!!

No comments:

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan