:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Sunday, June 26, 2011

Umat Akhir Zaman; Banyak Fikir Kurang Zikir


Desakan menggunakan akal dalam segala aspek kehidupan hari ini mengajar manusia merancang segala-galanya dengan cukup baik dan teliti. Daripada pendidikan anak-anak bermula dengan tadika mana anak akan disekolahkan, diatur cita-cita mereka dan disalurkan supaya jalan mencapainya dicatur kemas, setapak demi setapak. Menghadap peperiksaan, yakin dan lega lahir bila pelajaran selesai diulangkaji tepat pada masanya.

Astaghfirullahal a’azim.

Bagi kita di bidang pekerjaan, hari ini bekerja sebagai trainee, esok lusa merancang untuk bekerja tetap lalu seterusnya menjadi bos besar. Kewangan bulanan dirancang supaya rezki masuk sama dengan rezki keluar. Menyelak akaun, lega bila bulan ini tidak perlu berhutang dan anak-anak cukup makan.

Astaghfirullahal a’azim.

Seorang manusia dengan kerana hebatnya kurnia otak, merancang segalanya untuk jadi berjaya. Sampailah sekali-sekala gagal, tergolek dan tersungkur, diketuk dan ditegur, barulah sedar rupanya perancangan kita bernilai sifar, tiada daya dan lemah upaya, kecuali bilamana Allah berkata YA. Gah manusia, pada sejauh mana hatinya dekat pada yang punya kurnia.

Astaghfirullahal a’azim.

Seorang dai’e dan ustaz bila banyak berfikir, mampu sahaja merancang untuk mengubah manusia dengan dakwahnya. Disusun pendekatan dengan segala marhalah dakwah fardhiah, qudwah hasanah dan maui’izah hasanah. Tapi bila tidak diiringi zikir, angin ujian baru bertiup gemalai, boleh jadi si dai’e sudah tersadai. Lupa bahawa hidayah tetap berada di tangan Allah, dan mengabdi serta merintih jalan untuk membukanya. Gah dai’e, pada munajat dan solat malamnya.

Astaghfirullahal a’azim.

Seorang mahasiswa bila banyak berfikir, mampu sahaja merancang untuk mengubah Negara dengan ideologinya. Diserap dengan pemikiran student power dan 1001 slogan, politik nilai sebagai pedoman, mahasiswa agen perubahan dan mahasiswa bekebajikan. Tapi bila tidak diiringi zikir, musuh berbisik sikit, boleh jadi mahasiswa termakan umpan. Lupa siapa musuh dan siapa kawan, mengkritik ulama’ dan menambah kemuncup di jalanan, sedar tak sedar mendukung cara kerja hizbus syaitan. Gah mahasiswa, pada adab dan akhlaqnya.

Astaghfirullahal a’azim.

Manusia itu sebaik ciptaan, justeru susah diberi peringatan. Dai’e dan ustaz, ilmunya bertingkat, jadi susah untuk dinasihat. Mahasiswa itu, ideologinya hebat, maka susah egonya disekat. Tapi sekurangnya, dengan membaca penulisan ini, mereka telah beristighfar sebanyak lima kali lebih daripada kebiasaan. Moga untuk kita, ada keampunan.

“Dan orang-orang lelaki yang banyak menyebut (mengingati) Allah dan orang-orang perempuan yang banyak menyebut Allah SWT, maka Allah SWT telah menyediakan untuk mereka keampunan dan ganjaran pahala yang besar” (Al-Ahzab : 35)

“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Al A’raf : 205)

Allah swt berfirman: "Ketika hambaKu mengingatiKu dalam hatinya, maka Aku mengingatinya dalam diriKu. Jika dia mengingatiKu dalam suatu kelompok, maka Aku mengingatinya dalam kelompok yg lebih baik dari kelompoknya. Jika dia dekat kepadaKu sejengkal, maka Aku dekat kepadanya sehasta. Jika ia dekat kepadaKu sedzira', maka Aku mendekatinya sedepa. Jika dia berjalan kepadaKu maka Aku berlari kepadanya." (Hadis Muslim)

Daripada Abdullah bin Yusr R.A. Ada seorang berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya syari'at Islam telah banyak ada padaku, maka beritahulah kepadaku sesuatu yang aku bisa berpegang teguh dengannya". Rasulullah pun bersabda: "Hendaklah lisanmu selalu basah kerana berzikir kepada Allah". (Hadis Tirmizi)

( Seringan-ringan zikir dicadangkan ialah ma’thurat pada setiap waktu pagi dan petang, melazimi tasbih, tahmid dan takbir 33 kali setiap kali selepas solat, dan selawat ke atas Nabi pada setiap masa lapang - sekurangnya 1000 kali sehari )

4 comments:

Anonymous said...

Astagfirullahal'azim.

Terima kasih akhi atas ingatan.

nurilhakim said...

Alhamdulillah, ada yang ambik inisiatif jadikan enam.

Dan alhamdulillah, menyelak blog tuan punya komen pun, banyak membawa kepada fikir dan zikir.

Jemput kalian ke sana beramai-ramai.

sy yg alim said...

Korang nyk pikir nk memecah belahkan negara sendiri... sume blog, FB, twitter yg korang ade mmg radikal.. bertaubatlah...

nurilhakim said...

Assalamualaikum saudara yang alim,

Rasulullah S.A.W mengajarkan kepada kita, jika terkentut di dalam solat, hendaklah keluar dalam keadaan memegang hidung. Sebabnya yang pertama, untuk mengelakkan diri yang terkentut daripada malu, dan yang kedua, mengelakkan sahabat-sahabat lain di dalam saf daripada bersangka buruk dan mengatakan bahawa si fulan dan si fulan keluar kerana terkentut.

Betapa Islam mengajar umatnya tidak menonjolkan kebodohan dan aib diri sendiri, dan menutup ruang-ruang yang membolehkan orang lain membuat dosa.

Justeru saya doakan saudara tidak terus mengaibkan diri sendiri. Saya telah cuba membantu dengan menutup ruang di shoutbox, adapun pilihan-pilihan lain dipulangkan kepada saudara. Kami akan terus mendoakan.

Pohon pembaca lain menghadiahkan Alfatihah (11x).

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan