:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Thursday, July 7, 2011

Syria Bersama BERSIH!

Penuntut Syria tidak ketinggalan membahangkan penangan BERSIH 2.0 di bumi Syam ini. Mereka mengambil beberapa pendekatan drastik menghidupkan suasana BERSIH di sini. Antara tindakan yang diambil ialah :

1. Membeli dan membela ikan berwarna kuning sebanyak dua ekor, yang pertama dinamakan BERSIH 2.0 (B2.0) dan abangnya BERSIH Dalam Kenangan (B.D.K).

2. Memastikan ahli setiap rumah memakai baju berwarna kuning pada setiap masa,
di mana sahaja termasuk di kelas, bilik air dan dapur.

3. Cuba untuk 'mengkuningkan' setiap masakan. Ini ialah nasi mandi dan..

..ini ayam masak laban (yogurt).


4. Meyakinkan Persatuan Peniaga Jeruk Pasar-Pasar Syria untuk menjeruk sayuran mereka dengan pewarna kuning melebihi warna merah dan ungu.


5. Menggalakkan Jabatan Alam Sekitar Dimashq menanam bunga-bungaan berwarna kuning.


6. Mencadangkan Persatuan Teksi Syam mengecat teksi-teksi
ahli persatuan dengan warna kuning..


..hah kan senang nak cam kalau begini.

7. Bekerja meyakinkan penduduk Syam tentang sucinya
perjuangan BERSIH, siang dan besar..

..malam dan kecil.


Sampai akhirnya sebahagian mereka turut bersama kami :)

Ok lah, sebahagian besar perkara di atas kami tak buat, tapi mesej kami jelas, kami bersama perjuangan BERSIH!

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan.
Dalam semangat mahu berarak,
Doa berterusan jangan lupakan.






Friday, July 1, 2011

Guest Post : abah.

Guest Post dipetik dari blog Nazrul Syazwan aka Warouq.

abah seorang yang kuat. abah rajin sangat bekerja. apa yang anak-anak mintak jarang-jarang dia tak bagi. abah jenis yang jarang tunjukkan kasih sayang macam mama tapi aku suka abah sebab dia seorang yang riang, suka bergurau. kadang-kadang dia buat lawak tak kelakar tapi comel. em.. dalam masa yang sama abah suka bagi nasihat kat kitorang adik-beradik kalau kami buat silap.

aku kagum dengan abah sebab dia tak pernah tunjukkan kesusahan dia. sekitar tahun 1999/2000, kegawatan ekonomi Malaysia teruk sangat. masa tu aku di tingkatan 1. abah ambil keputusan untuk berhenti kerja di Motorola PJ setelah bekerja lebih 25 tahun di sana. syarikat memang nak buang ramai pekerja. abah ambil keputusan berhenti sebelum apa-apa terjadi.

waktu itu, abah cuba untuk kerja sendiri dan berjinak-jinak dengan jualan insuran, sambil sekali sekala mengajar/training orang. aku tau abah susah tapi aku tak merasa sangat sebab aku dah mula tinggal di asrama jauh nun di seremban. ada sekali tu di hujung minggu, abah & mama datang melawat aku. mereka datang dengan kereta Kancil. aku bertanya mana kereta yang lagi satu? abah & mama tak jawab. aku faham. kereta dah ditarik/dijual barangkali.

aku membesar di asrama. jarang-jarang aku balik rumah. sampai la aku ditingkatan 3. setiapkali balik, aku tak rasa apa-apa pun. takda la rasa kesusahan abah. tapi aku perasan abah kerap sangat balik lewat malam sebab bekerja. abah pergi kerja naik keretapi sebab mama perlu pakai kereta ambil adik-adik di sekolah. mama aku seorang suri rumah yang berjaya. mama pun kuat macam abah.

hampir 4 tahun abah kerja macam tu. kerja tak tetap. duit rumah tetap perlu dibayar bulan-bulan. anak-anak tetap perlu diberi kesenangan. tapi abah tak pernah aku nampak bertukar ganti baju baru. jarang sangat-sangat. hatta raya sekalipun, baju raya tetap sama. tapi duit raya anak-anak tetap dibagi. baju anak-anak tetap berganti.

selepas bertahun-tahun, Allah buka pintu rezeki abah sikit-sikit. Alhamdulillah kawan lama abah yang berjawatan agak besar di Maybank Training Center Bangi menawarkan kerja kat abah. abah diterima kerja kerana pengalaman kerja abah yang berpuluh-puluh tahun. abah pandai training orang. itu memang skill dia yang paling hebat. Maybank Training Center tu memang kena la dengan kebolehan abah. maka senang la abah diterima kerja. abah syukur sangat-sangat masa tu. mama sampai menangis gembira. aku masih belum faham sangat. tapi aku dapat nampak abah tak henti-henti syukur dah dapat kerja tetap.

sekarang dah 8 tahun (atau lebih) abah bekerja tetap di Maybank. tahun lepas abah pencen. umur abah dah 56 sekarang. tapi Maybank masih nakkan khidmat dia. abah dipanjangkan contract dengan Maybank lagi setahun. aku dah kata abah aku power.

satu hari mama cerita kepada aku tentang abah. baru-baru ni jugak ketika aku cuti di Malaysia. mama cerita tanpa pengetahuan abah. dulu ketika tempoh 4 tahun abah susah mencari kerja, abah selalu buat sales dan jual insuran di merata-rata tempat. dari rumah ke rumah. di shopping complex. dan lain-lain. ada ketika abah ternampak famili-famili berjalan-jalan di shopping mall, abah menangis sebab abah dah lama tak bawak anak-anak dia berjalan-jalan macam famili lain. dan ada ketika waktu abah penat dan lapar buat sales/jualan, abah terpaksa makan roti krim dan tidur di masjid sebab nak besarkan anak-anak. tapi abah sikit pun tak pernah cerita kat kami. abah tak pernah mengeluh di rumah. abah berjaya buat kami tak terasa susah. abah berjaya buat kami membesar dan sihat. mama pun bangga dengan abah. abah selalu senyum di rumah. bila kenangkan, aku menangis.

aku nak balas jasa abah. dan mama. sekarang aku di tahun akhir pengajian. kakak aku dah berjaya jadi engineer. adik aku Iqa seorang yang top scorer dalam accountancy selepas berjaya cemerlang dalam SPM. yang bongsu pulak masih di tingkatan 4 dan semoga dia jadi orang yang berguna kelak. abah selalu cakap yang dia bangga dengan anak-anak dia. dia nak anak-anak dia jadi lebih hebat dari dia. walau apa pun jadi, aku nak balas jasa mereka. setidak-tidaknya MBBCh ini aku nak hadiahkan buat abah & mama.

em.. bila tengok riak wajah abah sekarang, abah sentiasa gembira. takda langsung tanda-tanda kesusahan zaman lampau. terima kasih, abah.. abah, selamat hari bapa.

i love u.

Post asal di sini.

Abi saya juga seorang yang kuat. Selain bekerja untuk menyara keluarga yang besar seramai 10 orang, abi bekerja keras juga berkhidmat kepada rakyat Malaysia seramai 30 juta orang. Pagi sampai petang di pejabat, pulang berkejar ke masjid-masjid sekitar Selangor mengajar, kemudiannya malam bermesyuarat pula membincangkan itu dan ini. Gaji Abi walaupun agak besar, kadang-kadang sempit juga menyara anak-anak yang mahukan macam-macam. Lagi-lagi anak yang tidak pandai putus bergantung pada Abi untuk belajar tak sudah-sudah, macam saya.

Kadang-kadang Abi (dan mak saya, Che') hanya berada di rumah awal-awal pagi dan lewat malam. Anak-anak yang pulang dari asrama atau dari rantauan sesekali saja dapat duduk bercerita dan makan semeja (baca : selantai). Abi dan Che', milik masyarakat. Sekarang rumah kami kerapkali kosong. Semua anak-anak belajar di luar kawasan. Abi bekerja dan Che' menyambung Master.

Mujur matlamat segala pengorbanan itu awal-awal lagi sudah dipahat ke dalam jiwa kami sejak kecil. Ukuran sejauh mana kami dapat membalas jasa Abi ialah sejauh mana hasil itu dapat dipulangkan untuk membangunkan umat. Kami tidak banyak masa untuk bersama di dunia, dan saya harap ia terus begitu. Kerana kami mahu menghabiskan masa bersama di akhirat. We love you too.

Apa pula kisah dedikasinya abah anda?

Thursday, June 30, 2011

Penuntut Ilmu Hakiki

Musafir itu merentas lautan dari Sepanyol ke Afrika, lalu berjalan kaki selama beberapa bulan. Penghujung destinasi masih beribu-ribu kilometer jauhnya –kota Baghdad; kota ilmu dan tamadun ketika itu. Musafir itu berhasrat mencari Imam Ahmad Bin Hanbal, untuk mempelajari hadis Rasulullah S.A.W. Musafir itu bernama Baqi bin Makhlad.

Tiba di Baghdad, dia mendengar berita yang meranapkan hatinya. Imam Ahmad bin Hanbal dikurung di rumahnya oleh khalifah kerana isu percanggahan pendapat. Imam Ahmad tidak dibenarkan keluar dari rumah, jauh sekali mengajar. Mencari penyelesaian, Baqi bin Makhlad berjalan dengan hati-hati ke rumah Imam, takut-takut ditangkap bodyguard khalifah, lalu mengetuk pintu. Tok, tok, tok..

“Siapa di pintu?” Tanya Imam Ahmad dari dalam, lalu membukanya.

“Aku Baqi bin Makhlad, aku datang untuk menuntut ilmu dengan engkau.” Baqi menjawab, nekad.

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa aku dikurung dan tidak dibenarkan mengajar?”

“Aku mengetahuinya, tetapi aku datang dari jauh dan tetap mahu belajar daripada engkau.”

“Dari mana engkau datang? Afrika?”

“Tidak, aku membelah lautan dari Sepanyol, baru sampai ke Afrika lalu berjalan kaki sampai ke sini.”

“apakan daya, aku tetap dilarang untuk mengajar engkau.”

“Aku sudah mendapatkan helah. Setiap hari, aku akan berlakon menjadi pengemis, lalu datang ke pintu rumah ini untuk menuntut ilmu daripada engkau.”

Keesokan harinya Baqi bin Makhlad memakai pakaian yang compang-camping, lalu merayau-rayau di jalanan, menjerit-jerit sayu merayu orang ramai memberikannya sedekah. Sampai di rumah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam segera membuka pintu dan membawanya masuk ke koridor, lalu dalam tempoh yang singkat mengajarkannya satu atau dua hadis, tanpa pernah melebihi empat hadis pada satu-satu masa. Tidak sempat pengintip khalifah timbul syak, dia pun keluar lalu berlakon semula sebagai pengemis.

Begitulah Baqi bin Makhlad menuntut ilmu hadis daripada Imam Ahmad bin Hanbal, berlarutan sehingga empat bulan, ketika mana khalifah meninggal dunia. Khalifah yang naik menggantikannya, cukup menghormati Imam Ahmad, dan mengalukannya mengajar di sebuah masjid besar di Baghdad. Satu hari, tatkala Imam Ahmad sedang mengajar, beliau terlihat kelibat Baqi, lantas memanggilnya duduk di sisi. Beliau lalu berkata;

“Inilah penuntut ilmu hakiki!”

Imam Baqi bin Makhlad kemudiannya menulis masnad hadisnya yang mengandungi 50 000 hadis, melebihi musnad gurunya Imam Ahmad bin Hanbal yang mengandungi kira-kira 27 500 hadis. Dukacitanya Musnad Imam Baqi adalah antara kitab yang dicuri dan tidak ditemui semula pada zaman kejatuhan Islam.

Kisah Imam Baqi bin Makhlad mengisi kelas pengajian bahasa arab kami pada hari yang ketiga. Sebagai pelajar baru di Daurah Fatah Islami, saya cukup kagum dengan kesungguhan pengajarnya memberikan tasyji’ (tiupan semangat) kepada penuntut. Malah keseluruhan suasananya cukup baik. Dimana lagi hendak dicari mudir yang menghidangkan teh kepada pelajar yang datang mendaftar? Atau pakcik pencatat kehadiran yang sambil berjalan sambil mengulang hafalan Qurannya? Atau pengajar yang hari-hari membawakan gula-gula dan kurma untuk pelajar. Lebih daripada itu, semuanya percuma (baca : dianggap percuma)! Subhanallah. Saya tidak pernah menyangka sekolah akan menjadi tempat paling mendamaikan.

Di Syam, kedudukan tullab ‘ilmi atau penuntut ilmu (khususnya ilmu agama) di mata masyarakat sangat mulia. Ia menjadi pasport ilahi untuk dimuliakan sebagai tetamu, diberikan tabarru’ – derma jihad - dibawa berziarah ‘ala ra’si – di bawah tanggungan – yang membawa, malah dibayarkan tambang bas atau diberikan perkhidmatan percuma. Lebih-lebih lagi tullab ‘ilmi Malizia, terkenal sebagai kelompok yang lemah-lembut dan menghormati orang lain.

Tinggal bermuhasabah, apakah kita telah mencapai tahap pengorbanan dan dedikasi ‘penuntut ilmu hakiki?’

Sunday, June 26, 2011

Umat Akhir Zaman; Banyak Fikir Kurang Zikir


Desakan menggunakan akal dalam segala aspek kehidupan hari ini mengajar manusia merancang segala-galanya dengan cukup baik dan teliti. Daripada pendidikan anak-anak bermula dengan tadika mana anak akan disekolahkan, diatur cita-cita mereka dan disalurkan supaya jalan mencapainya dicatur kemas, setapak demi setapak. Menghadap peperiksaan, yakin dan lega lahir bila pelajaran selesai diulangkaji tepat pada masanya.

Astaghfirullahal a’azim.

Bagi kita di bidang pekerjaan, hari ini bekerja sebagai trainee, esok lusa merancang untuk bekerja tetap lalu seterusnya menjadi bos besar. Kewangan bulanan dirancang supaya rezki masuk sama dengan rezki keluar. Menyelak akaun, lega bila bulan ini tidak perlu berhutang dan anak-anak cukup makan.

Astaghfirullahal a’azim.

Seorang manusia dengan kerana hebatnya kurnia otak, merancang segalanya untuk jadi berjaya. Sampailah sekali-sekala gagal, tergolek dan tersungkur, diketuk dan ditegur, barulah sedar rupanya perancangan kita bernilai sifar, tiada daya dan lemah upaya, kecuali bilamana Allah berkata YA. Gah manusia, pada sejauh mana hatinya dekat pada yang punya kurnia.

Astaghfirullahal a’azim.

Seorang dai’e dan ustaz bila banyak berfikir, mampu sahaja merancang untuk mengubah manusia dengan dakwahnya. Disusun pendekatan dengan segala marhalah dakwah fardhiah, qudwah hasanah dan maui’izah hasanah. Tapi bila tidak diiringi zikir, angin ujian baru bertiup gemalai, boleh jadi si dai’e sudah tersadai. Lupa bahawa hidayah tetap berada di tangan Allah, dan mengabdi serta merintih jalan untuk membukanya. Gah dai’e, pada munajat dan solat malamnya.

Astaghfirullahal a’azim.

Seorang mahasiswa bila banyak berfikir, mampu sahaja merancang untuk mengubah Negara dengan ideologinya. Diserap dengan pemikiran student power dan 1001 slogan, politik nilai sebagai pedoman, mahasiswa agen perubahan dan mahasiswa bekebajikan. Tapi bila tidak diiringi zikir, musuh berbisik sikit, boleh jadi mahasiswa termakan umpan. Lupa siapa musuh dan siapa kawan, mengkritik ulama’ dan menambah kemuncup di jalanan, sedar tak sedar mendukung cara kerja hizbus syaitan. Gah mahasiswa, pada adab dan akhlaqnya.

Astaghfirullahal a’azim.

Manusia itu sebaik ciptaan, justeru susah diberi peringatan. Dai’e dan ustaz, ilmunya bertingkat, jadi susah untuk dinasihat. Mahasiswa itu, ideologinya hebat, maka susah egonya disekat. Tapi sekurangnya, dengan membaca penulisan ini, mereka telah beristighfar sebanyak lima kali lebih daripada kebiasaan. Moga untuk kita, ada keampunan.

“Dan orang-orang lelaki yang banyak menyebut (mengingati) Allah dan orang-orang perempuan yang banyak menyebut Allah SWT, maka Allah SWT telah menyediakan untuk mereka keampunan dan ganjaran pahala yang besar” (Al-Ahzab : 35)

“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Al A’raf : 205)

Allah swt berfirman: "Ketika hambaKu mengingatiKu dalam hatinya, maka Aku mengingatinya dalam diriKu. Jika dia mengingatiKu dalam suatu kelompok, maka Aku mengingatinya dalam kelompok yg lebih baik dari kelompoknya. Jika dia dekat kepadaKu sejengkal, maka Aku dekat kepadanya sehasta. Jika ia dekat kepadaKu sedzira', maka Aku mendekatinya sedepa. Jika dia berjalan kepadaKu maka Aku berlari kepadanya." (Hadis Muslim)

Daripada Abdullah bin Yusr R.A. Ada seorang berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya syari'at Islam telah banyak ada padaku, maka beritahulah kepadaku sesuatu yang aku bisa berpegang teguh dengannya". Rasulullah pun bersabda: "Hendaklah lisanmu selalu basah kerana berzikir kepada Allah". (Hadis Tirmizi)

( Seringan-ringan zikir dicadangkan ialah ma’thurat pada setiap waktu pagi dan petang, melazimi tasbih, tahmid dan takbir 33 kali setiap kali selepas solat, dan selawat ke atas Nabi pada setiap masa lapang - sekurangnya 1000 kali sehari )

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan