:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Wednesday, September 7, 2011

Nak Cepat Kaya Cara Halal?



“Kalau 10 ditolak 1, berapa?” Tanya Ustaz Yusuf Mansur.

“9!” Jawab pendengar yang khusyuk.

“Kalau saya katakan jawapannya 19, bagaimana? Kalau 10 ditolak 2?” Si Ustaz menyambung.

“8!”

“Salah juga! Jawabnya 28.”

Beliau lalu membacakan sepotong ayat Al-Quran, menjawab kebingungan yang makin memuncak di dalam fikiran audiens.

Sesiapa Yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) Yang sama dengannya; dan sesiapa Yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) Yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). (Al-Ana'am : 160)

Kira-kiranya mudah. Untuk setiap kebaikan yang dibuat, didarab 10 lalu ditambah dengan jumlah asal. Atau langsung didarab 700. Ustaz Pakar Sedekah dari Indonesia ini, mula mengkaji kehebatan sedekah setelah melalui pengalaman dipenjara dek hutang. Di dalam penjara, beliau yang dihidang roti, terlihat seekor semut yang melilau mencari makanan, lalu memberikan sedikit rotinya kepada semut tersebut. Tidak lama kemudian, tiba-tiba datang semula warden membawa nasi ambang untuknya. Waduh! Sedekah dengan semut pun ada pulangannya!

Memperkenalkan pendengar dengan teori Kun Fayakuun, keyakinan tidak berbelah-bahagi bahawa rezki datangnya daripada Allah, dan memberi itu pulangannya juga daripada Allah berdasarkan ayat-ayat daripada Al-Quran, penceramah ini mampu mengumpulkan jutaan rupiah membiayai pesantrennya setiap kali bercakap.


Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah), Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Faathir : 2)


Wahai umat manusia, Kenangkanlah nikmat Allah Yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali Yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; ia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)? ( Faathir : 3 )

Hujahnya sentiasa diiringi pengalaman berhadapan dengan mereka yang meyakini janji Allah tersebut.

Beliau menceritakan kisah Malik, yang diancam risiko rumah ditarik, isteri mahu diceraikan dan anak yang mahu diberhentikan daripada sekolah kerana tidak membayar yuran. Memutuskan untuk membunuh diri, hati Malik digerakkan untuk terlebih dahulu berwhudu’ dan menunaikan solat. Ternyata dia dipimpin Allah mengikut enam langkah yang diajarkan Rasulullah S.A.W untuk mereka yang berputus asa - bermula dengan berwudhu’, menunaikan solat dua rakaat, membaca Al-Quran walau seayat, berdoa, pasrah, lalu bersedekah. Keesokannya, datang tawaran kerja bernilai 50 juta rupiah, melenyapkan segala masalahnya.

Beliau menceritakan kisah Bapak Farid, yang setelah mendengar ceramahnya menyedekahkan keseluruhan harta yang dipunyainya, termasuk kenderaan yang dipandunya sehinggakan pulang berjalan kaki daripada tempat sedekah. Bapak Farid dibalas dengan saham 1%, daripada perusahaan yang bernilai 1 trillion rupiah.

Beliau menceritakan kisah penjual nasi di tepi jalan, yang bersedekah satu juta rupiah yang sebetulnya diperlukan olehnya, lalu dibalas dengan kontrak katering untuk 15 ribu orang dua bulan kemudian.

Ayat-ayat dibawah dibacakannya, menjelaskan fenomena ‘skim cepat kaya’ yang luarbiasa ini.

Bandingan (derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

( Al-Baqarah : 261 )

Sedekah, bukan hanya di waktu senang! Allah mengajarkan untuk malah bersedekah di waktu sempit,

Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa Yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa Yang diberikan Allah kepadanya (sekadar Yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) Yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang Yang Dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

Segala puji bagi Allah, saya mendengar siri ceramah Ustaz Yusuf Mansur di bulan Ramadhan yang lepas, lalu memotong 10% daripada setiap pemberian tabarru’ untuk disedekah kepada yang meminta di jalanan, selain menggembirakan kanak-kanak dengan gula-gula dan tamar. Tanggal 1 Syawal, Allah telah memberikan pulangannya.

Nah, jawapan kepada yang bertanya kaedah menenangkan hati, menyelesaikan kemelut duit tidak boleh dikeluarkan dari ATM di Syria, malah apa-apa masalah sekalipun, dengan yakin dan ikhlas, bersedekahlah! Ustaz Yusuf menyimpulkan, yang tidak percaya itu KAFIR, dan yang percaya tetapi tidak bertindak itu, BODOH.

Saya mencadangkan pembaca mencari dan mendengar sendiri siri ceramah beliau dan filem Kun Fayakuun di youtube, antaranya di sini.

Saya juga mencadangkan supaya sedekah pembaca, disalurkan kepada pergerakan membangunkan remaja, membantu muallaf dan memulihkan Islam dalam masyarakat Sabah di sini, disalurkan kepada usaha membawa remaja Sabah yang mempunyai minat menuntut ilmu agama ke Syria dengan menghubungi saya di blog ini atau facebook, atau langsung menyampaikannya kepada usaha membantu saudara-saudara kita di Somalia melalui mana-mana organisasi antaranya melalui Islamic Relief Fund.


Sesungguhnya mereka, dan ANDA, memerlukannya.


No comments:

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan