


:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::
رَوَى أبو داود؛ قَالَ رَسُولُ الله صلّى الله عَلَيهِ وَسَلّم: مَنْ قَرَأَ القُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ..أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ضَوْءُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسُ فِيْ بُيُوْتِ الدُّنْيَا، فَمَا ظَنُّكُمْ بالّذِي عَمل بهذا؟
“Kakek dari mana sih? Belum pernah saya lihat sebelum ini. ”
Oh, Indonesia rupanya. Pertemuan pagi itu rupanya antara sorotan pembuka mata hatiku untuk lebih bertungkus-lumus. Milhan Sayuti, 14 tahun, merupakan anak kelahiran Daerah Permatang Jernang, Sumatera Utara. Belajar secara talaqqi di Syam sejak beberapa bulan, dia melahirkan kekesalan dengan keadaan kampung asalnya.
“Kampung saya jauh di pedalaman, dua jam perjalanan dari pekan kecil yang terdekat. Di kampung saya ada musolla, tapi sudah lama azan tidak berkumandang dari situ. Saya mahu jadi syeikh dan ulama’, supaya saya dapat pulang menghidupkan semula Islam di Indonesia,” tegas beliau bersungguh-sungguh. Aku mengangguk perlahan tanpa mempersoal dan meremehkan; sudah lama aku belajar dari pengalaman bahawa bahana memandangsebelah mata pada orang lain, biarpun anak kecil, ibarat menunggu ludah sendiri jatuh ke muka.
Pendidikan Awal Anak
Meneliti beberapa bahan berhubung perkembangan awal kanak-kanak, saya belum mendapat jawapan syumul yang menepati pemerhatian saya terhadap punca kanak-kanak mampu membayang dan melahirkan diri mereka sebagai individu hebat semenjak kecil. Mungkin sekelumit bersusah-payah merubah kehidupan, samada dengan bekerja atau menuntut ilmu setelah gundah-gulana diajar erti kesusahan melalui pengalaman mematangkan mereka, tetapi bagaimana pula dengan majoriti anak-anak yang lapar disuapkan, mengantuk dibuaikan? Teori psikoanalitik Sigmund Freud yang harus diyakini, atau teori pembelajaran melalui suasana dan pembentukan kelompok, atau teori perkembangan kognitif Jean Piaget paling tepat?
Thorndike’s Laws of Learning
Sebahagian jawapan yang dicari ditemui melalui kajian Laws of Learning yang dicetuskan oleh Edward L.Thorndike pada awal 1900an dan seterusnya dikembangkan oleh ahli psikologi lain. Cuba-cuba menterjemah, dengan ulasan sendiri dalam konteks pendidikan anak, undang-undang atau prasyarat tersebut menyebutkan;
Kesediaan (Law of Readiness)
Pelajar/anak yang bersedia dari segi mental dan fizikal lebih mudah diajar berbanding pelajar yang sebaliknya. Kesediaan fizikal adalah infrastruktur dan suasana yang baik untuk pembelajaran. Kesediaan mental dibentuk dengan menerangkan matlamat hidup dan belajar sedari awal, memupuknya kemas-kemas ke dalam diri pelajar serta menjauhkan mereka daripada tekanan dan masalah sebelum sesi pembelajaran.
Terangkan matlamat hidup sebagai hamba dan khalifah kepada anak sejak kecil, dan tujukan segala bentuk pendidikan samada formal atau tidak, dunia atau akhirat, kearah matlamat tersebut.
Pengulangan dan Kekerapan (Law of Exercise & Law of Recency)
Latihan yang kerap, pengulangan dan penegasan terhadap aspek-aspek atau point penting dalam pembelajaran membolehkan pelajar lebih mudah mengingat dan menangkap maksud yang cuba disampaikan. Pelajar akan mengingati bahan yang paling baru berbanding pelajaran lama.
Mesej yang baik kepada anak, samada matlamat hidup, nasihat dan tegahan harus diulang secara kerap, dalam bentuk yang kreatif supaya anak tidak muak dan lali dengan apa yang disebut. Terapkan ke dalam bedtime story, filem yang ditonton bersama dan angkat watak-watak tertentu untuk dijadikan role model oleh anak.
Kesan dan Penglibatan (Law of Effect & Law of Intensity)
Pembelajaran sangat berkait dengan emosi. Rasa puas, dihargai dan gembira dalam pembelajaran menghasilkan natijah yang jauh lebih baik. Penggunaan alat bantu mengajar yang baik, samada visual atau audio, mampu membawa pelajar menghayati dan menyelami apa yang diajar dengan lebih baik.
Sentiasa hargai tingkah laku baik dan kejayaan anak-anak dengan hadiah atau pujian, pada masa sama menghukum untuk kesalahan yang dilakukan. Pendirian peribadi saya bahawa the carrot is always better than the stick. Elakkan daripada menggunakan hukuman berbentuk fizikal, dan santuni mereka sebagaimana mengikut tahap umur sebagaimana diajar Islam, samada sebagai bapa dan pelindung, sahabat dan pendengar setia atau orang dewasa.
Jebakkan anak-anak ke dalam nilai yang diajarkan. Ajarkan anak-anak membantu orang susah, bawa anak-anak ke program tarbiyyah dan gelumangkan mereka ke dalam perjuangan, justeru intipati apa yang disampaikan akan meresap ke dalam hati dan benak fikiran.
Yang Awal Akan Kekal (Law of Primacy)
Pelajaran yang dipelajari awal-awal biasanya melahirkan impresi yang kekal, justeru pengajar perlu memastikan ia sahih dan tepat. Menghafal sifir sejak awal dengan betul misalnya, melahirkan andaian bahawa matematik itu mudah walaupun telah sampai ke peringkat yang lebih tinggi.
Mesej dan penilaian yang diperolehi oleh anak di usia kecil akan kekal dan menjadi garis panduan kehidupan seterusnya. Penilaian awal kebanyakannya dipengaruhi oleh pemerhatian terhadap role model awal iaitu ibubapa, misalnya samada ibubapa mementingkan ibadah fardhu dan sunat, menonton jenis-jenis cerita tertentu dan sebagainya.
Benarlah apa yang disebutkan oleh pakar perkembangan kanak-kanak, John Locke (1632-1704) bahawa anak-anak ibarat tabula rasa – papan batu kosong yang menunggu dicorakkan oleh ibubapa. Dan maha benarlah apa yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W lebih seabad sebelumnya;
Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.
Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.
Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.