Khinkal dan Rapunzel
Minggu pertama di Istanbul, saya berpindah tempat
penginapan beberapa kali. Pertamanya di rumah Abdullah, sahabat dari Dagestan
sebelum semalaman di hostel murah di Sultanahmet, berpindah ke rumah musafir di
markaz Naqsyabandi di Ismail Agha Cami di kawasan Fateh sebelum ke rumah Ahmad
sahabat dari Chechnya.
Hari-hari pertama di rumah Abdullah, dihabiskan
dengan mengenali keluarga beliau dengan lebih rapat, budaya dan tradisi mereka.
Ukhuwwah Islam sudah cukup untuk membolehkan saya selesa tinggal di rumah
mereka, seolah berada di rumah sendiri. Empat hari itu kami dihidangkan dengan
makanan seolah-olah mahu membalas dendam dengan makanan di dewan makan asrama
yang agak sukar ditelan pelajar-pelajar Rusia. Lebih-lebih lagi dengan sifat
pemurah Abu Abdullah, setiap malam rumah beliau dikunjungi sahabat-sahabat
sekampung mereka yang berhijrah mencari kehidupan ke Istanbul, dan setiap kali
itulah saya berpeluang merasai murtabak versi Dagestan, dolma - daging dan nasi
berbalut sayur - dan khinkal, makanan masyhur di sebelah Caucas seakan pasta
yang dimakan dengan sup daging.
Hari terakhir saya memohon izin Abdullah untuk
memasak – memberi mereka peluang merasai air tangan bujang Melayu ini.
Malangnya perancangan asal memasak ayam kurma terpaksa diubah menjadi ayam
lemak black pepper kerana tersalah membawa perencah daripada Syam.
Cumanya, dengan keberadaan ahli keluarga perempuan
Abdullah, saya tidak bebas bergerak keluar masuk dari bilik yang disediakan
untuk saya.
Nah, begitu sekali mereka menjaga anak perempuan
dan wanita mereka, sehinggakan selama tempoh empat hari saya berada di sana,
sekalipun saya tidak melihat ahli keluarga mereka selain Abdullah, ayahnya dan
anak bongsu lelaki beliau, Bilal.
Teringat beberapa ketika dahulu saya berseloroh
dengan Abdullah, Ahmad dan Ali Dagestan, kalau-kalau mereka mahu mengahwini
adik perempuan saya. Mereka separa senyum dan tidak menjawab. Rupanya, kepada
mereka, bercakap tentang ahli keluarga perempuan, walaupun dengan nada
bergurau, adalah aib besar.
Kerana itu juga, pergerakan yang terbatas
menjadikan saya Rapunzel yang asyik merenung keluar tingkap bilik, menunggu
peluang menjenguk dunia luar.
Abdullah dan adik bongsu Bilal. Setiap pagi, Bilal akan datang memeluk abangnya
dan tidur di sebelah beliau sehingga abangnya terjaga.
Bediuzzaman dan Mahathir
Masuk hari kelima melewati tempoh 3 hari adab
bertamu, saya mula tidak senang duduk dan memohon izin tuan rumah keluar dan bertemu
dengan beberapa insan yang berpotensi membantu saya mencapai matlamat kembara
ke Turki. Ditemani Abu Abdullah, saya menemui saudara Mansur Uzbekistan, pengikut
Bediuzzaman Said Nursi dan Fethullah Gulen di Fatih Cami. Borak panjang petang
itu berkisar pergerakan Rasail Nur, dan cadangan beliau supaya saya menjadi
penuntut aliran tersebut. Manfaat mendalami kitab tersebut, jelas beliau,
adalah khidmat iman sedangkan mencari pengalaman dan bergerak bersama
pertubuhan seperti IHH, sebagaimana perancangan saya, adalah khidmat
kemanusiaan. Justeru menyelamatkan kehidupan akhirat adalah lebih utama
daripada menyelamatkan kehidupan dunia mereka yang memerlukan.
Puas memaksa diri tersenyum, saya mula
membantah. Menceritakan pengalaman bergerak di pedalaman Sabah, saya memberi pandangan
tentang peri-pentingnya kedua-dua khidmat tersebut berjalan selari, bagaimana
mereka di pedalaman dibuka hati mereka dengan khidmat kemanusiaan dahulu,
sebelum dapat disuluh untuk menerima iman. Akhirnya beliau akur, dan setelah
kami gagal mendapatkan penempatan di rumah musafir Rasail Nur, beliau
menghantar saya ke hostel murah di Sultanahmet.
Saya tidak pasti kalau di sini saya cepat hilang
sabar kerana meninggalkan Syam, atau peluang berbantah jarang datang sebelum
ini. Beberapa kali saya hilang sabar di Istanbul, antaranya ketika seorang
pakcik Syria mengecam ustaz-ustaz saya di maahad sebagai pro-kerajaan kerana
masih meneruskan kelas pengajian Quran dalam suasana Dimashq sekarang, selain
beberapa kali bertelingkah dengan pelajar Arab yang memuji Tun Mahathir melambung
sambil menyalahkan saya sebagai kurang membaca dan tidak mengetahui hakikat
setelah saya cuba menerangkan sikap sebenar Tun terhadap Islam kepada mereka.
Lebih daripada separuh hayat aku kot hidup
bawah lembayung kerajaan Mahathir!
Pemandangan sekitar Masjid Biru atau Sultanahmet Cami.
Aya Sophia. Baru mengintai dari luar, belum ada nafsu nak masuk
sebelum membaca tentangnya lebih lanjut.
Tenang di Celah Telanjang
Sebelum ke Turki, saya telah membuat persediaan
dengan mengumpul maklumat tempat-tempat penginapan yang biasa didiami pelajar Malaysia
(secara percuma!) selain mengambil nombor individu-individu yang berpotensi
membantu mencapai hasrat kembara.
Dukacita, perancangan Allah menjadikan
perancangan tersebut sia-sia, melainkan satu, iaitu rumah musafir Ismail Agha
Cami di Casambar, berdekatan Fatih Cami. Bagi pelajar syariah Syria yang biasa
mendampingi masyaikh yang lunak akhlaq dan senang dipandang, suasana di kawasan
Casambar cukup menenagkan setelah puas menunduk di jalanan Istanbul yang sesak
dengan pelancong separuh berpakaian.
Masyhur sebagai markaz pengikut tarikat
Naqsyabandi, berada di Casambar seolah-olah melangkah setapak ke belakang, ke era
kegemilangan Islam. Rata-rata penghuni kawasan ini, atau yang berurusan di sini
memakai jubah terbuka, berjanggut dan membawa tongkat, sedangkan kaum wanita
memakai jubah panjang hitam dan tidak ada yang kelihatan melainkan sebatang
hidung dan sepasang mata berkelip-kelip suci.
Semalaman di rumah musafir Ismail Agha Cami,
saya berkenalan dengan dua pemuda Turki, Jaafar dan Akif yang berasal dari
wilayah Gumushane di timur Turki, yang membawa saya ‘mengeteh’ setelah melihat
saya terpinga-pinga terlepas sarapan kerana tidak mengetahui jadual makan.
Perkenalan dengan mereka, adalah sentuhan
pertama ukhuwwah bersama pelajar Turki yang saya cari-cari setelah membaca buku
‘Secangkir Teh Pengubat Letih’ Ustaz Hasrizal yang menjadi antara sumber
rujukan sepanjang Kembara Khilafah.
Jaafar (kiri) dan Akif. Mereka kurang pandai berbahasa Arab dan saya belum mapu berbahasa Turki. Bahasa yang kami sama-sama fahami ialah senyuman.
Berkongsi Mimpi Sang Shishani
Hasrat menjadi tetamu di rumah Ahmad Shishan asalnya
telah dibatalkan setelah beliau mengkhabarkan bahawa keluarga besar beliau dari
Shishan akan meluangkan cuti musim panas di Istanbul. Walaubagaimanapun, perancangan
ziarah sehari itu berlarutan seminggu setelah dibenarkan menumpang semalaman
untuk melancarkan program telekonferens Dari Syam Kepada Alam (rakaman di sini) bersama
penuntut-penuntut Malaysia di United Kingdom, dan beberapa usaha menyusun
perancangan lain gagal.
Bertamu di rumah Ahmad, menutup tirai fasa
pertama kembara di Istanbul, fasa menyusun dan mengatur kerja-kerja seterusnya.
Tetapi penutup itu, secara tersendiri membuka pintu baru kesedaran, keazaman
dan kebersamaan yang membuak-buak – pintu perjuangan rakyat Chechnya yang lama sepi
dilupakan umat.
Blini / ghemsh, daging dan nasi dibungkus selaput tepung.
'Khinkal' versi Shishan yang dipanggil 'jijg galnash'.
Bersama Saifullah sahabat Ahmad. 1Malaysia? Oh tidak.
Isyarat ini di kalangan mujahidin Caucas bermakna Allahu Ahad.
Si comel Soleh yang barangkali akan selalu menghantui mimpi saya setelah balik nanti. Beliau merenung aneka biskut, jem dan manisan yang secara tradisi dimakan oleh masyarakat Caucas bersama teh untuk menggantikan gula.
6 comments:
pengalaman yang hebat bang..lepas ni boleh la buat travelog macam ustaz hasrizal..huhuhu..
Ahaa..satu je masalah.kadar penulisan teramat lambat.nak siap satu-satu part tu punyala lama. Doakan jadi lebih semangat...dan rajin! :)
p/s:travelog ke Jepun bila nak terbit?
Salam...
1. Lama x dgr suara abg Nadir. Cara dan intonasinya masih sama..
2. Kadang keliru pulak baca post abg. Mana satu nama tempat, nama org? mcm sama je.
3. So ramadhan nnt dtg ke Sabah ke?
Salam Nasir,
1. Lama juga tak dgr komen Nasir. Caranya masih sama :)
2. Oh sory. Kadang-kadang bila menulis lupa yang orang lain tak tahu hujung pangkal. Mungkin antara yang keliru tu Ahmad dan Sultanahmet ek?Ahmad nama kawan dari Shishan (chechnya) yang menetap di Istanbul. Sultanahmet nama kawasan masyhur di Istanbul,tempat Masjid Sultanahmet (atau Sultanahmet Cami = Blue Mosque).
3. Kalau jadi balik ikut perancangan,insyaallah majoriti Ramadhan akan dihabiskan di Sabah :)
Salam Nadir,
penulisan yang sangat baik!
semoga dapat menjadi bahan bacaan yang bermanfaat.
Semoga dipermudahkan segala urusan.
Teruskan sahabat!
Salam Azzami,
Jazakallahu khair. Mudah-mudahan manfaat lebih besar milik penulis. Allah rozuz :)
Post a Comment