:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Sunday, July 24, 2011

Apa Yang Cikgu Matematik Ajar Tentang Dakwah?

Pernyataan 1 : Semua pemain Manchester United hebat.
Pernyataan 2 : Rooney ialah pemain Manchester United.

Kesimpulan : Rooney hebat.

Bentuk persoalan ini, di dalam silibus Matematik Moden dipanggil Penaakulan Mantik. Alhamdulillah, ia adalah antara tajuk paling mudah dalam gelandangan nombor dan simbol yang menghantui mana-mana pelajar calon SPM. Uniknya, ilmu penaakulan ini mengajar manusia menganalisa dan membuat kesimpulan, hasil penelitian terhadap pernyataan-pernyataan yang dilontarkan. Kalau pun kesimpulan di dalam masalah di atas tidak ditulis, otak akan automatik menghitung 1+1 menjadi 2, melalui proses deduksi.

Sifat mantik, meraikan nikmat akal manusia.

Dakwah Hari Ini Dan Semalam

Fenomena dakwah pada hari ini tidak serupa semalam. Begitu juga pencerahan terhadap isu dan peristiwa semasa. Dulu, tempat dakwah dan informasi ialah surau dan kedai kopi. Dulu, sumbernya ialah kalam ustaz dan umpat Makcik Siti. Dulu, pendengarnya hanya orang masjid dan kaki-kaki lepak yang ummi. Berubahnya zaman, membawa dai’e terpaksa meraikan beberapa aspek baru masyarakat yang didekati :

1. Masyarakat yang mula berfikir dan tidak hanya mengangguk geleng

2. Masyarakat yang mempunyai akses tanpa had kepada maklumat

3. Masyarakat bukan Islam yang makin berminat mengenali dasar dan landasan di mana Islam berdiri.

Ya, masyarakat hari ini bukan lagi masyarakat ‘dengar dan percaya’, tetapi telah berevolusi menjadi masyarakat ‘klik dan tanya’.

Perubahan-perubahan ini, membawa kepada pendekatan dakwah yang berbeza. Zaman keji-mengeji musuh dalam politik telah berlalu. Zaman doktrinisasi melalui media massa telah berlalu. Zaman membeli undi dengan mulut manis dan janji palsu telah berlalu. Zaman makin kuat maki, makin kuat bertakbir, juga telah berlalu. Zaman ini ialah zaman melontarkan prinsip-prinsip Islam yang rawan ke tengah-tengah masyarakat, lalu menyerahkan kepada mereka berfikir betul salah, lurus bengkoknya.

Sehebat mana pun dinasour politik, hanya mengundang kepupusan spesisnya jika enggan berubah mengikut rentak zaman.

Wacana ‘Melayu Boleh Bersatu’

Terlambat setahun, saya baru menonton Wacana ‘Melayu Boleh Bersatu’ anjuran Urusetia Penerangan Negeri Kelantan. Dr Mujahid Yusof Rawa mewakili PAS, Ustaz Afandi Yusof dan Saudara Lokman Adam mewakili UMNO, sementara Dr Asri Zainul Abidin berdiri bebas. Dukacita, seawal pusingan pengenalan, wakil daripada PAS, walaupun menyatakan prinsip kesatuan yang harus didirikan atas tonggak Islam, gagal memberikan tasawwur dan peri-penting prinsip tersebut, malah mengheret perbincangan kepada perdebatan isu murahan salah UMNO-PAS, berlarutan hingga ke hujung wacana.

Peranan itu sebaliknya, terpaksa dimainkan oleh Dr. Asri, yang konsisten mempertahankan prinsip tersebut dengan hujah Al-Quran dan Sirah. Lalu yang hadir dengan kesimpulan pasti dan pasti, ‘UMNO dan PAS tidak boleh bersatu!’, tidak bertambah faham dan ilmu, melainkan penat tangan bertepuk, dan kering tekak bersorak. Benarlah apa yang disebutkan oleh Dr. Asri di dalam wacana tersebut;

“Apa yang menjadi masalah kepada sesuatu masyarakat untuk berubah ialah apabila kita memenjarakan pemikiran mereka, kita larang mereka berfikir dan mewujudkan budaya feudalisme yang tinggi, iaitu budaya memperhambakan diri kepada pihak yang berkuasa. Apa yang kita mahukan ialah didik rakyat supaya mampu berfikir.”

PAS dan Evolusi

Dahulu, PAS hidup dengan pernyataan berbunyi ‘UMNO kafir’ dan ‘sokong UMNO masuk neraka’. Saya tidak berniat menghujahkan betul salahnya, tetapi pernyataan sebegini nyata ditolak masyarakat kecuali oleh orang-orang berdarah hijau.

Mujur dalam sepak-terajang perubahan itu, PAS masih celik dan mengambil ibrah daripada masa lalu, malah daripada teman-teman AKP di Turki dan PKS di Indonesia. Kalau sebelum ini pimpinan PAS tegar memalu gendang Negara Islam, pilihanraya 2008 mereka memukul kompang Negara Berkebajikan dan Keadilan Untuk Semua. Sebelum ini menerjah minda masyarakat Islam dan bukan Islam dengan kesimpulan ‘kami mahu Negara Islam!’, kini PAS lebih bijak menonjolkan pernyataan prinsip dan intipati Negara Islam, lalu menyerahkan kepada rakyat membuat kesimpulan sendiri, tanpa perlukan deklarasi, inilah Negara Islam!

TG HAHA di HEMPAS 2010.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi menjadi model pendakwah yang mengaplikasikan ilmu mantik. Beliau jarang sekali larut dalam pertelingkahan isu, konsisten menerangkan prinsip, malah sentiasa menghalakan muncung senapang kearah musuh, walaupun seringkali senapang tersebut meledak ke arahnya. Saya teringat tatkala pimpinan Pakatan Rakyat lain sibuk memainkan isu UMNO-BN rampas tanah rakyat dalam Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) pada tahun 2010, beliau berucap menerangkan prinsip hak tanah di dalam Islam.

Masa itu saya berfikir, ‘tak sensasi betul ucapan Tuan Guru’, tetapi sekarang baru saya mengerti, melontarkan prinsip, jauh lebih ampuh dan tidak dapat dipatahkan musuh, berbanding melontarkan isu, yang walaupun populis, akan dihanyutkan oleh masa dan massa.

Lalu kerana melontarkan pernyataan prinsip itu sangat berhajatkan kepada ilmu, saya meninggalkan pembaca dengan dua pernyataan ini, mudah-mudahan kesimpulannya dapat dicapai oleh akal.

Pernyataan 1 : Pendakwah hari ini sangat berhajat kepada mendalami ilmu dan akhlaq, khususnya ilmu agama.

Pernyataan 2 : Syria bumi yang kaya dengan khazanah ilmu agama dan akhlaq.

Fikirkan-fikirkan, dan selamat bertindak!

9 comments:

Anonymous said...

kesimpulannya: Datanglah dalami ilmu di syria..

Alhamdulillah..kupasan ringkas tapi padat..suka baca dan menolong fikirkan jalan..

Selari dgn berpegang pada prinsip islam, moga stiap muslim berusaha menjadi mukmin, setiap mukmin berusaha menjadi muhsin dan muttaqin..Amin..

Hamba Allah said...

masih simpan lagi video prinsip tanah dalam Islam oleh ustaz hadi..penerangan pada hari sungguh mantap

nurilhakim said...

Salam rindu semua,

Anonymous,

Kesimpulan itu sepatutnya rahsia! :)

Amin,al-fatihah.

Hamba Allah,

Ada baiknya letak di blog dan kongsikan untuk semua tengok ;)

matassian said...

Kupasan yang menarik...stuju dgan pandangan Nta..."prinsip" lbih utama daripada "isu"...moga dapat dimanfaatkan...jazakallah

nurilhakim said...

Salam matassian,

Jom generasi baru pendakwah berevolusi :)

Afwan, Allah yaftah alaina.

Syahida Majid said...

Betol tu ustat. Dulu pun saye ingat TGHA macam, tak reti politik sangat.

He indeed, a very wise man!

1st time walking here :D

nurilhakim said...

Salam Syahida,

Betul! TGHAHA tokoh negarawan ulung. Mudah-mudahan anak muda dapat mengikut jejaknya.

Syukran ziarahnya. Moga kekal menjadi generasi doktor yang cerah mata hati memerhatikan kerenah anak bangsa.

Asraf said...

Inilah yang membezakan Gerakan Islam yang menceburi politik dengan parti politik..prinsip jelas sejelasnya Al-Quran dan Sunnah penerang jalan menuju syurga

Syukran Jazilan bang

Rindu nk progarm ngn abg ni..bila balik Sabah..hehe

nurilhakim said...

Salam Asraf.

Apa rindu-rindu? Haha. Jangan sampai rindu menidakkan program berjalan. Lipatgandakan usaha beberapa belas kali ganda. Nanti Islam dah menang di Sabah, tak perlu dah abang balik. Boleh direct ke Palestin ;)

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan