:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Tuesday, April 14, 2009

Krisis Kg Saab; JHEAINS Pitas Indah Rupa Daripada Khabar!

Muslimat PSS tidak kurang hebat bergerak kerja menangani isu umat

Selesai melaksanakan program selama 3 hari di SMK Pinggan-Pinggan, Pitas, bermula 10-12 April 2009, pasukan Persatuan Siswazah Sabah bergegas ke Kampung Saab yang terletak kira-kira 35 minit perjalanan daripada tapak program. Misi yang didukung cukup besar - memulakan kelas Fardhu Ain di Kampung Saab, Pitas, yang penduduk 'mualafnya' sekitar 18 keluarga dicabar krisis ketandusan ilmu Islam disebabkan tiada pengajar yang sudi berhempas-pulas mengajarkan Alif Ba Ta dan cara berwudhu' [Krisis Kg. Saab] .

Dari kampus ke lapangan umat

Rombongan pertama seramai 10 orang tiba sekitar jam 3.00 petang, lewat sejam daripada masa yang dijanjikan, dan disambut oleh Kak Regina, individu yang asalnya mengutarakan masalah penduduk kepada kami. Perjumpaan yang disangka kecil-kecilan rupanya dihadiri sekitar 30 orang penduduk, termasuk kanak-kanak, yang berhimpit dan berpanas di rumah Kak Regina yang menjadi tempat pertemuan pada petang itu. Kesanggupan penduduk bertahan menunggu di ruang sempit dan sesak menggambarkan betapa semangat meluap-luap mendalami agama yang mereka anuti sekian lama hanya menanti tempat ditumpahkan. Tidak sempat membuka majlis, rombongan kedua sekitar 10 orang, beserta Ustaz Kamal mewakili JHEAINS Pitas tiba di lokasi. Ucapan aluan Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS disusuli Ustaz Kamal, diteliti penuh khusyuk oleh penduduk, disusuli sesi soal jawab dan perkongsian dua hala oleh penduduk dan rombongan PSS.

Setiausaha PSS menjelaskan isu poligami dalam Islam

Setiausaha PSS menyampaikan sumbangan buku dan whiteboard kepada Encik Halim, wakil JKKK yang juga baru memeluk Islam

Pertemuan tersebut berjaya menatijahkan perancangan pelaksanaan Kelas Fardhu Ain berkala oleh pihak JHEAINS, selain penyerahan sumbangan buku dan whiteboard oleh PSS hasil derma orang ramai kepada penduduk. PSS mengagumi usaha pihak JHEAINS Pitas turun padang meneliti hasrat masyarakat setempat, walaupun difahamkan pihak mereka baru semalam menerima jemputan untuk bersama-sama dengan PSS menziarahi kampung tersebut. PSS menggesa JHEAINS di semua peringkat mencontohi sikap JHEAINS Pitas dan menjadikan tugas sebagai peluang dakwah dan bukan karier semata-mata. JHEAINS Pitas pada hari itu berjaya memadamkan sentimen yang wujud bahawa JHEAINS memandang enteng permasalahan dan kehendak masyarakat Islam di daerah masing-masing.

Ustaz Kamal (berbaju coklat dan berkopiah hitam putih) berjiwa rakyat

PSS seterusnya akan membantu penduduk Kampung Kionsom Kecil, Inanam [Krisis Kionsom Kecil] mendapatkan surau dan menghidupkan kelas pengajian agama di sana, dan meyakini bahawa perjuangan selama 5 tahun penduduk untuk mendapatkan surau terletak pada kesilapan prosedur atau lain-lain, bukan disebabkan JHEAINS memandang enteng isu aqidah yang berlaku di Kionsom Kecil atau kecuaian JHEAINS mengurus permohonan masyarakat Islam di sana. PSS terus mengharapkan sumbangan orang ramai dalam apa bentuk sekalipun buat membantu perjun

Tahniah JHEAINS Pitas! Satu isu selesai, 99 lagi menunggu!

Sumber : Persatuan Siswazah Sabah & nurilhakim.blogspot.com
Gambar ihsan : Saudara Azizul Julirin

Thursday, April 9, 2009

U dapat Batang Ai, I dapat Dua Bukit!

Keputusan pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau membawa mesej yang jelas bahawa rakyat sudah bijak berfikir. Saya yakin apa yang mereka mahukan bukanlah untuk menggulingkan kerajaan UMNO/BN yang banyak berjasa, tetapi mereka sudah mampu menilai dengan mata-kepala-hati akan pemimpin yang benar-benar berhasrat memperjuangkan nasib dan hak mereka. Dalam erti kata lain, untuk kerajaan UMNO/BN yang berada di hujung tanduk, masih ada sinar untuk melakukan perubahan drastik dan mengembalikan sokongan rakyat. Tetapi barangkali jika kerajaan sedia ada dibedah untuk mencari punca kebobrokan yang berlaku kemungkinan besar rupa asal mereka tidak akan dapat dicam memandangkan segala macam keburukan berlaku di semua bahagian dan secara mendasar.

Yang paling jelas, kemenangan YB Nizar di parlimen Bukit Gantang membawa mesej bahawa rakyat ingin dihormati, mereka bermaruah, referendum demi referendum yang dibuat membuktikan rakyat memandang pembubaran Dun sebagai langkah penyelesaian tunggal kerajaan haram BN di Perak.

Bagi kekalahan di Batang Ai, saya memandang positif bahawa medan berjuang masih dibuka panjang kepada pejuang di Borneo sebelum boleh bersila di bawah pemerintahan adil dan saksama. Dalam suatu perbincangan tertutup dengan beberapa pertubuhan belia di Sabah beberapa hari lepas, jelas sekali ramai lagi marhaen bumi bertuah ini belum kenalpun dengan Pakatan Rakyat, jauh sekali pembawaan dan falsafah perjuangannya. Siapa harus dipersalahkan?

Apapun, bersykurlah kerana berjaya menakluk Dua Bukit sedangkan pihak sebelah sana hanya mampu berpuas hati dengan Batang Ai!


Peralihan kuasa daripada Abdullah ke Najib baru-baru ini juga menarik untuk diperhatikan. Yang menariknya ialah dengan naiknya Najib, menandakan berakhirnya dinasti UMNO/BN berdasarkan teori RAHMAN, Rahman-Abdul Razak-Hussein Onn-Mahathir-Abdullah-Najib. Kami menantikan peralihan kepada teori ANWAR, Anwar-Nadir-..................

Gambar ihsan : tanaksada.blogspot.com & anakbulanmoden.blogspot.com. Syukran.

Tuesday, April 7, 2009

FFM di Sabah; Manfaat atau Laknat?

Masih ramai yang belum mengetahui bahawa bulan Ogos ini, tanggal 5-8 haribulan, Sabah dan UMS akan menjadi tuan rumah kepada Festival Filem Malaysia yang ke-22. Secara spontan, saya tentu sahaja membantah penganjuran festival tersebut, lebih-lebih lagi jika ia diadakan di kampus UMS tercinta. Walaubagaimanapun, sebagai mahasiswa yang dilatih berfikir, saya memilih alternatif membuat kajian berhubung isu ini guna mengambil kira pandangan semua pihak. Hasil daripada kajian ini akan saya gunakan untuk membawa isu ini menguasai segenap ruang media massa, agensi badan bukan kerajaan, badan politik dan semua saluran yang ada untuk membawa suara yang telah diresolusikan bersama. Justeru, yang saya harapkan dari pihak pembaca ialah respon dan pandangan berhubung penganjuran festival ini di Sabah dan UMS, bagi membantu kajian saya. Sokongan anda diharapkan, dan didahului dengan lafaz terima kasih.

p/s : Untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung FFM, layari [link]

Mahasiswa Berbisa - Katak, Tebuan atau Umang-Umang?


Jumaat malam yang lepas saya berbesar hati dijemput sebagai salah seorang ahli panel Diskusi Ilmiah @ AB anjuran JAKMAS Kolej Kediaman Anugerah Bestari, UMS. Tajuk yang diberikan, 'Mahasiswa Kita Tidak Berbisa'. Duduk sepentas dengan saya ialah mantan YDP Kolej Kediaman AB, Saudara Yusuf [link], yang saya acah-acah sebagai bakal Sasterawan Negara, dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan aktivis mahasiswa, Saudara Hasraa, yang memegang portfolio sebagai Exco Kepimpinan dan Latihan. Pendebat Universiti, Saudara Jass mengemudi majlis pada malam tersebut.

Saya tidak berhajat mengulas satu-persatu persoalan yang dibincangkan, tetapi berhajat besar membawa mahasiswa meletakkan diri sendiri di dalam salah satu kelompok 'mahasiswa berbisa' yang saya definisikan dalam pusingan pertama forum tersebut. Bagi memudahkan pemahaman pendengar, saya menggunakan tiga spesies haiwan sebagai analogi.

1. Katak

Katak yang dikisahkan ini bukan sebarang katak. Tetapi katak ini ialah spesies yang menyerupai katak berbisa untuk menakutkan musuh, walaupun hakikatnya ia tidak berbisa. Katak ini juga kuat memekik dan berbunyi. Ramai mahasiswa tergolong di dalam kelompok ini; kuat berbunyi, tidak berbisa.

2. Penyengat


Penyengat tidak dinafikan sememangnya berbisa. Malangnya penyengat hanya menyengat bila diancam. Tanpa diganggu, ia tidak memberi kesan kepada makhluq lain yang berada di sekelilingnya. Saya mengkategorikan majoriti pimpinan mahasiswa di dalam kelompok ini.


3. Umang-umang
(terima kasih Rimbawan Beriman yang memberitahu saya nama makhluq ini di dalam BM)

Umang-umang adalah spesies hidupan air. Ia mempunyai tentakel yang beracun dan melambai-lambai menunggu pemangsa. Sebaik sahaja pemangsa melintas, tentakel yang berbisa akan melumpuhkannya dan dihadam sebagai makanan. Umang-umang, menyengat untuk makanannya, justeru untuk kemandirian spesiesnya.

Mahasiswa berbisa yang hendak kita bentuk ialah mahasiswa spesies umang-umang. Tidak cukup seseorang mahasiswa hanya bersuara bila diganggu atau bila kepentingannya sahaja terancam. Suara mahasiswa adalah suara rakyat. Tidak memadai mahasiswa hanya bersuara untuk dirinya sendiri. Amat malang jika pembentukan mahasiswa di kampus tidak lebih daripada pembentukan kanak-kanak tadika, yang hanya mampu mengadu pensil dicuri dan dikejar anjing kepada cikgu.

Mahasiswa mempunyai kuasa, dan fungsi pimpinan mahasiswa ialah mencari jalan memperkasakan mentaliti dan keupayaan mahasiswa menyedari dan menggunakan kuasanya untuk melakukan perubahan. Pimpinan mahasiswa bukan objek untuk ditunggangi oleh masyarakat kampus guna menyelesaikan maslah yang dihadapi. Mahasiswa dilatih di universiti menjadi wakil rakyat bukannya rakyat yang bergantung kepada wakil rakyat. Dilatih supaya apabila keluar ke tengah masyarakat dituruti bukan menuruti. Memimpin bukan dipimpin. Mempengaruhi bukan dipengaruhi. Maka peranan mereka yang bertanggungjawab harus diteliti supaya mampu menyengat di luar kampus.

Akhir sekali untuk mahasiswa yang dimomokkan oleh perasaan takut dek himpitan AUKU, sekatan kerajaan dan HEP, media dan kesempitan waktu sehingga menjadi alasan tidak dapat beraksi di lapangan umat, saya menghadiahkan kisah ketua kampung orang asli;

Ada sekali tu ketua kampung orang asli telah dihadiahkan jam dinding oleh pihak tentera kerana menolong mereka dalam operasi. Alangkah bangganya ketua orang asli tersebut bila jam tersebut di gantungkan di depan pintu rumahnya dan orang kampung sering datang melihat jam tersebut seolah-olah barang hiasan kerana mereka pada masa tu tak tahu bagaimana menggunakan jam untuk melihat waktu.

Suatu hari anak ketua kampung tersebut memberitahunya yang jarum jam tu telah berhenti bergerak. Masa tu punyalah ramai anak buah dia kat halaman rumah sedang melihat jam tersebut.

Maka ketua kampung tu pun konon nak tunjuk terrorlah lalu dia pun menurunkan jam tersebut dari tempat penggantungan dan membelek-belek jam tersebut depan belakang. Beliau ternampak tempat bateri jam tersebut dan telah dengan tidak sengaja terkuis bateri itu terkeluar dari tempatnya.

Entah macam mana ada pulak bangkai seekor lipas di celah-celah tempat bateri tu... beliau pun dengan bangganya memberitahu kepada anak-anak buahnya.

"OOOO... patutlah tak jalan drebarnya mati tersepittttt... .!!"

Yang membelenggu pemikiran ialah diri sendiri yang tak mahu belajar dan tak ingin mencuba. Tidak ada kuasa yang mampu menghalang jiwa dan hati yang celik dan kemahuan yang tinggi. Dan tidak ada kemahuan yang lebih hebat daripada kemahuan seorang mahasiswa yang ingin melihat perubahan dalam masyarakatnya.

Apapun, yang menguja saya ialah apabila saya mengakhiri dengan 'yang paling susah untuk berbisa ialah mengambil langkah pertama. Sekarang di bahu saya ada 5 buah kampung sedang menunggu anda, siapa yang bersedia berkhidmat sila berikan nama kepada pelaksana DIMAN', seramai 20 orang mahasiswa menawarkan diri merintis jalan menjadi umang-umang.


Dirgahayu Sabah, tanah juangku!


p/s: Terima kasih banyak juga pada sifu dakwah fardhiyyah yang menghidupkan semula nafas perjuangan abang di Sabah pada malam tersebut ;)

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan