:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Showing posts with label coret-coret. Show all posts
Showing posts with label coret-coret. Show all posts

Saturday, December 31, 2011

PSS Untuk PSS



1. Tahun 2012, PSS genap 8 tahun mewarnai dakwah di bumi Sabah, mengungguli pembangunan remaja dan pembentukan golongan muda Negeri Bawah Bayu. Kanak-kanak wajib diperintahkan untuk solat pada usia tujuh tahun, melalui proses pematangan dan berdikari selama tiga tahun sebelum dipukul jika meninggalkan solat semasa berusia sepuluh tahun. Justeru PSS ibarat melalui proses pematangan, supaya kelak tidak terpukul jika cuai melangkah pada perkara yang jelas tuntutannya.





2. Perkembangan PSS yang begitu pesat adalah dua kayu ukur yang sentiasa berulang dalam sejarah - bahawa manusia akan sentiasa pulang untuk mencari fitrahnya, dan kejatuhan organisasi biasanya berlaku tatkala berada di tempat yang tinggi; jatuh tidak berlaku di tanah landai.





3. Justeru penggerak sentiasa perlu diingatkan berkenaan bisnes yang mereka jalankan - di mana mereka adalah penjual, dan Allah serta masyarakat membeli – iaitu DAKWAH. Berdakwah harus dijalankan dengan keyakinan bahawa kita sedang mencari untung, bukan memberi untung.





4. Penggerak sentiasa perlu diingatkan bahawa the customer is always right, atau lebih tepat, the customer is always better than the seller. Ia dijalankan dengan kesedaran bahawa mereka yang kita dakwahkan adalah lebih mulia daripada kita – mereka melakukan dosa dalam keadaan tidak tahu dan mahu berubah, sedangkan kita dalam keadaan tahu, masih tidak mampu meninggalkan maksiat.





5. Abu Bakar As-Siddiq, sebaik-baik lelaki setelah para anbiya’, dalam khutbah pertama selepas dilantik menjadi khalifah, menyebut bahawa ‘aku diberi tanggungjawab memimpin kamu tetapi aku bukanlah yang terbaik di antara kamu’. Umar Al-Khattab, selalu dilihat oleh sahabat-sahabat lain menarik-narik janggutnya yang basah dengan airmata dan bercakap sendirian ‘Celakalah engkau Umar, ingatlah bahawa kalau engkau melakukan maksiat engkau juga akan dicampakkan ke dalam api neraka’.





6. Membaca respon adik-adik terhadap beberapa program mutakhir, menggambarkan suatu harapan dan sandaran yang cukup besar kepada abang-abang dan kakak-kakak penggerak, justeru mengkhianati kepercayaan tersebut adalah sebab terbesar yang akan menyebabkan mereka kembali kepada jalan gelap yang dilalui sebelumnya.





7. Penggerak tidak boleh lalai pada melazimi amalan asas seperti membaca Al-Quran, ma’thurat, zikir harian dan qiamullail kerana laluan untuk dakwah sampai ke hati, ialah dari bawah ke atas, lalu turun ke bawah semula. Dakwah bukan semata soal skil dan tarikan zahir, tetapi produk perlu melalui quality control oleh Allah sebelum dihantar kepada hati pembeli. Produk yang datang daripada hati yang kering, tidak bermutu dan biasanya dibuang oleh pembeli setelah waktu yang singkat. Hadis Nabi menyebut, banyak bercakap tanpa istighfar, mengeraskan hati.





8. Santuni selemah-lemah ahli, dan nilai kekuatan mereka untuk dibangunkan bagi membantu dakwah. Abdullah Ibn Ummi Maktum yang buta beberapa kali diwasiatkan oleh Rasulullah S.A.W untuk memangku ketiadaannya di Madinah, sedangkan pembesar Quraisy yang didakwah oleh Rasulullah S.A.W tatkala memasamkan muka kepada Abdullah (Surah ‘Abasa), antaranya Abu Jahal, menjadi penentang yang paling kuat.





9. Tenaga baru (dan lama) perlulah dibangunkan secara terancang dengan dua ciri pemimpin Islam – amin dan qawi. Mereka melengkapi diri sebagai mukmin dengan keperluan ilmu dan spiritual (amin), dan dilengkapkan dengan profesionalisme dan pengkhususan kepakaran (qawi). Para Nabi bukan sahaja sebaik-baik mukmin, tetapi jua pakar dalam bidang masing-masing. Nabi Adam adalah pakar pertanian, Nabi Idris pakar jahitan, Nabi Daud adalah pakar besi, Nabi Yusuf pakar pentadbiran dan ekonomi dan seterusnya.





10. Dunia adalah pinjaman dan jambatan ke akhirat. Pensil yang dipinjam wajib dipulangkan, begitu juga tangan, kaki, mata dan turun naik nafas. Jangan dilekakan oleh kehidupan yang sementara, dan jangan gopoh untuk menjadikan dakwah sebagai bahan niaga mendapatkan untung duniawi. Kelompok banyak, adalah kelompok yang tidak mampu membayar untuk diajar bagaimana berubah.





11. Dakwah adalah cinta, tetapi majoriti yang didakwah tidak akan jatuh cinta pandang pertama. Kita bermula sebagaimana mereka, justeru jangan lupakan cinta penggerak-penggerak yang dahulunya membentuk kita. Kalau dahulu mereka mudah berputus asa, boleh jadi kita masih terapung-apung dibuai leka.





12. Tanda pertama hari qiamat ialah wafatnya Rasulullah S.A.W 1423 tahun yang lepas. Qiamat sudah dekat, pilihlah kehidupan dengan bijak.





13. Perkongsian ini meliputi Kelab Remaja Ukhuwwah, adik-beradik baru dan lama, serta lain-lain penggerak dakwah di Sabah. Mudah-mudahan bingkisan ini, terlebih dahulu manfaatnya buat penulis, si anak dakwah di rantauan (andartau).




Teruskan berjuang, duhai mujahid setia!










Thursday, June 25, 2009

Gelora itu Tenang Kembali


Disebutkan bahawa wujud ketika ini suatu kapal yang tersangat besarnya. Besarnya kapal tersebut sehingga memuatkan jutaan panglima dan dinaiki ia oleh pelbagai etnik dan bangsa serta agama. Oleh sebab itu ia dinakhodai oleh sekalian ramai nakhoda kapal yang berwibawa. Besarnya kapal itu sehinggakan nakhoda duduk jauh-jauh, seorang di hujung sini sedang seorang lagi tercampak ke sana; hendak berbincang ambil masa, hendak bergerak banyak kerja. Justeru setiap nakhoda itu punya pasukan nasihat yang membantu ia memerhati dan mencadangkan apa yang patut. Kumpulan penasihat ini ada yang sifatnya nakal sedangkan ada yang baik-baik sahaja.

Ada pula sebuah perahu lanun yang selalu mendekati kapal tersebut. Adapun perahu lanun ini hampir tenggelam dan anak-anak kapalnya yang mempunyai peluang pasti akan terjun berenang ke kapal bertukar arah dan mencari selamat yang lebih. Perahu lanun ini di usia akhirnya masih canggih dilengkapi sistem siaraya, yang digunakan oleh lanun untuk menjerit dan memprovokasi kapal besar supaya berpecah-belah dan bergaduh sesama sendiri.

Suatu hari laut bergelora. Gurh berdentum dan air berkocak kuat. Anak-anak kapal dan anak-anak perahu dikhuatiri tak selamat. Lalu salah seorang nakhoda kapal bangun berkata, mari kita duduk semeja, kapal dan perahu, lanun dan manusia, berbincang semua, perbetul apa yang tak kena!

Dari sini dia berkata, sampai ke sana oleh kumpulan penasihat nakhoda paling tua, menjadi bunyinya, mari kita duduk semeja, kapal dan perahu, lanun dan panglima, berpadu tenaga, jadi lanun semua!

Maka mengamuk nakhoda yang tua, bagus kamu yang tak setia, terjun ke laut sahaja!

Maka lanun jadi gembira, jerit mereka dengan pembesar suara, mari semua, jadi lanun kita yang bermaharajalela, kami lantik kamu jadi ketua!

Sambil itu memberi motivasi seorang lagi nakhoda, wahai panglima terbilang, jangan kau endah cakap orang, teruskan mendayung, kita sudah hampir sampai ke seberang!

Setelah suasana jadi kelam dan keadaan jadi suram, maka para nakhoda bersetuju duduk berbincang mata bertemu mata, agar fikir menjadi satu dan amal kembali padu. Maka hanya setelah beberapa ketika duduk bersemuka, semua nakhoda menarik senyum panjang dari telinga ke telinga, sengketa rupanya salah faham cuma, bertelingkah, bercakar hanya seketika.

Maka gelora itu tenang kembali, panglima mendayung lebih laju lagi, dan lanun? Lanun terus menggigit jari..

Tuesday, May 5, 2009

Kisah Kerajaan Semut



Kisah Kerajaan Semut


Ianya bermula dengan satu kematian dan dihadapkan ke hadapan Tuhan
Semut.

"Apakah yang engkau telah lakukan didunia dahulu wahai Gadis Semut" tanya Malaikat Pendakwa di kamar Mahkamah Akhirat Tuhan Semut.

"Errr! Saya melakukan zina sehingga melahirkan seekor anak semut yang comel" jawab Gadis Semut kembali. Matanya berlinangan air mata mengenangkan peristiwa itu. Kepalanya tertunduk dan tidak mampu diangkat untuk memandang wajah Malaikat Pendakwa tersebut.

"Tidakkah engkau tahu bahawa zina ini berdosa dilakukan? Tidakkah ibu-bapamu ada mengajar kepadamu tentang ilmu agama?" soal balas Malaikat Pendakwa yang mukanya teramat bengis.

"Saya tidak diajar langsung tentang ilmu agama, Tuan" jawab Gadis Semut.

"Panggil bicara kedua-dua orang tua Gadis Semut ini sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa kepada Malaikat Pembantu yang lain.

"Wahai ibubapa kepada Gadis Semut, tidakkah kamu tahu bahawa kamu wajib memberikan pendidikan agama kepada anak gadismu itu" tanya Malaikat Pendakwa dengan tegasnya.

"Kami lalai tuan, Kami sibuk dengan urusan pekerjaan kami sehari-hari. Walaupun begitu kamu ada menghantar anak gadis kami ke sekolah. Sepatutnya Ustaz dan Ustazah disekolah mengajarnya ilmu agama" jawab ibubapa Gadis Semut tersebut.

"Panggil Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa.

"Adakah kamu ada mengajar Gadis Semut ini tentang ilmu agama?" tanya Malaikat Pendakwa kepada Ustaz dan Ustazah sekolah Gadis Semut tersebut.

"Kami ada mengajarnya mengenai imu agama namun ianya terbatas kepada waktu yang dibenarkan dalam sistem pendidikan negara. Dalam seminggu kami cuma dapat mengajarkan ilmu agama cuma 5 waktu sahaja. 5 waktu ini cuma 225 minit sahaja tuan" jawab Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.

"Siapakah yang menetapkan waktu-waktu ini" tanya Malaikat Pendakwa.

"Kementerian Pendidikan tuan, yang diketuai oleh Menteri Pendidikan." dakwa Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.

"Panggil kekamar bicara Menteri Pendidikan" bentak Malaikat Pendakwa lalu ditanya pula.

"Adakah kamu yang memimpin Kementerian Pendidikan yang mentetapkan cuma 225 minit sahaja seminggu Pendidikan ilmu agama diajar kepada penuntut sekolah?"

"Ya tuan, memang saya yang memimpin Kementerian Pendidikan. Saya cuma menjalan tugasan saya seperti yang diarahkan oleh Kabinet, tuan" terketar-ketar Menteri Pendidikan tersebut menjawab soalan Malaikat Pendakwa tersebut.

"Siapa yang mengetuai Kabinet Kerajaan kamu itu" tegas soalan dari Malaikat Pendakwa.

"Perdana Menteri kami, tuan" lemah balasan Menteri Pendidikan yang kini tidak mampu mengangkat muka.

"Panggil ke kamar bicara Menteri Besar Kerajaan Semut ini sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa kepada pembantu-pembantunya.

Lemah longlai Menteri Besar diheret ke kamar bicara oleh Malaikat Pembantu.. Kakinya tampak lemah tidak dapat mengatur langkah. Wajahnya nampak pucat lesi.

"Benarkah kamu yang memimpin kabinet Kerajaan Semut ini." tanya Malaikat Pendakwa dengan tegas kepada Menteri Besar.

"Ya tuan, Memang saya. Memang saya yang membuat semua keputusan yang diputuskan oleh kabinet. Malah memang saya yang mengarahkannya. " jawab Menteri Besar lemah.

"Jadi memang kamu mengaku bahawa kamu tahu apa akibatnya atas arahan dan keputusan yang kamu lakukan" tanya Malaikat Pendakwa.

"Ya memang saya tahu tuan, Namun saya melakukannya mengikut mandat yang diberikan kepada saya oleh rakyat negara saya yang memilih saya menjadi pemimpin mereka melalui satu pilihanraya. Apa yang saya lakukan adalah sekadar apa yang diharapkan oleh rakyat negara saya" lemah jawapan Menteri Besar tersebut.

"Baiklah, sekarang saya serahkan kepada Tuhan Semut untuk membuat keputusan perbicaraan ini" lontar Malaikat Pendakwa.

"Tuhanku, Menteri Besar ini mengaku bahawa atas mandat yang diberikan kepadanya oleh rakyat semut melalui pilihanraya, maka beliau mengarahkan kabinet negaranya yang seterusnya menetapkan bahawa Pendidikan ilmu agama cuma 225 minit sahaja seminggu yang mana diberitakan tidak mencukupi sehinggakan Gadis Semut ini telah melakukan satu dosa besar iaitu zina." bentang Malaikat Pendakwa kepada Tuhan Semut dengan lengkap dan tertibnya.

"Barang siapa yang memilih (mengundi) Menteri Besar dan Kerajaan yang memerintah tersebut dalam pilihanraya hendaklah dimasukkan kedalam neraka keseluruhannya atas sebab dosa zina yang dilakukan oleh Gadis Semut tersebut. Ini termasuklah semua yang terlibat membiarkan Gadis Semut melakukan dosa zina" titah Tuhan Semut kepada Malaikat Pendakwa dan semua Malaikat seluruhnya.

Jika anda seorang yang berakal, tentunya anda dapat menangkap maksud petikan ringkas cerpen diatas. Semoga Allah tidak melaknat kita dan memasukkan kita keseluruhannya kedalam neraka atas sikap sambil lewa dan cuai kita dalam memilih pemimpin dan pimpinan negara. Walaupun ada satu dosa kecil yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka kita pun akan dimasukkan kedalam neraka jika kita membiarkan dosa ini dilakukan walaupun tanpa kita sedar. Jika ditafsir dengan lebih mendalam, kita bukan sahaja berdosa apabila mengangkat pen membuat pilihan yang salah, tapi turut dicampakkan ke dalam golongan yang sama apabila mempunyai kemampuan tetapi tidak mengangkat tangan untuk bertindak membantu golongan si Gadis Semut.

Saya dedikasikan kisah ini khas untuk Program Puteriku Sayang, dan merayu sumbangan tenaga, masa dan wang ringgit. Mereka mengharapkan anda. Adakah anda punya kemampuan membantu Gadis Semut?

Disunting dari : iluvislam.com

Thursday, April 30, 2009

Aku Penagih Da....Dakwah!

"Kenapa kau datang program pun merokok?" Abang fasi yang marah bertanya kepada salah seorang peserta.

"Tak boleh tahan bang. Gula-gula habis." Peserta menjawab sambil tertunduk.

Abang fasi mengeluh. Penagih rokok. Nak dimarah hilang peluang mentarbiyyah. Nak dibiar takut makin parah. Akhirnya terpaksa mengalah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Bang, saya ada satu masalah. Saya tak boleh tunduk kalau tengok perempuan cun. Lagi-lagi kalau seksi, mesti nak pandang. Kalau limpas naik motor, konfem saya akan hon..Tak boleh buat apa bang, mesti nak buat jugak.." seorang lagi peserta mengadu. Zass..kes lain pula. Penagih perempuan cun.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Kenapa kau datang program qiam ni, tak bosan ke tiap-tiap bulan datang qiam? Pastu bulan depan pergi program Kem Remaja Islam pula, tiap-tiap malam ikut abang pergi bagi kuliah, tak pandai boring ke?" Abang lain pula mengacah madhu'unya.

"Tak pula bang. Seronok. Kalau tak pergi program-program ni rasa macam ada yang tak kena. Ni kan jihad bang!" Adik yang baru 3 bulan mengenali Islam menjawab lancar. Alhamdulillah. Penagih dakwah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hendak mencari orang untuk dibentuk tidak susah. Ramai yang ingin mengenali Islam. Ramai yang ingin menjadi baik. Ramai yang suka berprogram. Tetapi untuk mencari orang yang mampu istiqamah menjadi generasi penerus dakwah agak sukar. Kerana gilakan program sahaja tidak cukup. Mahukan perubahan sahaja tidak memadai. Hendakkan keseronokan semata-mata lebih jauh lagi. Tetapi sifat ini hanya boleh dipupuk dalam diri, generasi ini hanya boleh berterusan dibentuk dengan melahirkan ketagihan. Ketagih dakwah.

Kecenderungan untuk menjadi penagih memerlukan beberapa perkara, samada yang perlu diletakkan dalam diri atau yang diserap ke dalam mata rantai perjuangan;

1. Mempunyai matlamat yang benar
Generasi pendakwah perlu difahamkan yang perjuangan ini adalah atas dasar aqidah Islam, kerana itu ia tidak boleh ditidakkan. Ia mesti diteruskan sampai Islam kembali ke tempat asalnya, biar berdepan mehnah dan cabaran, di waktu sukar dan senang. Bentuk kefahaman melaui slogan yang biasa dilaungkan, Allah Matlamat Kami, Quran Panduan Kami, Rasulullah Ikutan Kami, Syahid Cita-Cita Tertinggi Kami.

Salah seorang dai'e projek PSS, Saudara Misran (berbaju biru). Bila difahamkan tentang perjuangan Islam, kesungguhan anak muda ini belajar menakjubkan. Daripada tidak kenal huruf, beliau mengambil masa tiga bulan dengan diajar sebanyak tiga kali sahaja, selebihnya beliau berusaha untuk belajar sendiri untuk menghabiskan kesemua Iqra' dan tamat 30 juzu' Al-Quran! Daripada seorang yang 'bisu', beliau kini boleh menjadi pengacara majlis sehebat murabbinya, Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS. Ini contoh potensi anak Sabah, yang tidak pernah diajar solat dan syahadah, malah hidup dengan arak dan judi!

2. Mempunyai guru dan sahabat-sahabat yang baik
Penulis dikelilingi oleh ramai pendidik dakwah tempatan yang mengajar kaedah dan cara menagih di tempat orang secara berkesan dan agresif. Samada yang berbangsa Bugis 1 & 2, Bajau 1 & 2, dan Dusun, samada secara langsung atau telah membentuk rangka kerja dan emosi untuk bergerak di dalam masyarakat, membangunkan kecelikan agama dan ilmu. Sahabat-sahabat yang baik juga amatlah perlu, yang berfungsi sebagai teman sejati perjuangan, dan sekaligus memainkan peranan sebagai guru-guru jurudakwah. Selain itu, penagih perlu banyak belajar daripada alam dan pengalaman, melalui daya pemerhatian, penganalisaan dan penyerapan yang tinggi.

3. Mempunyai landasan atau platform untuk bergerak
Bergerak seorang diri mudah mematikan perjuangan, samada mengalami halangan kewangan, tenaga, masa atau motivasi. Justeru bergerak dalam gerakan Islam atau organisasi sangat penting, samada dalam persatuan bukan kerajaan seperti Persatuan Siswazah Sabah, JIM, ABIM dan sebagainya atau parti politik seperti PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

4. Jadualkan gerakerja anda
Orang yang bersistem perlu mempunyai jadual. Jadual melahirkan rasa tanggungjawab dan membolehkan masa diurus dengan lebih baik. Buat jadual berkala mingguan, susun perancangan kuliah, tazkirah, program secara tetap dan masukkan aktiviti atau program khusus di selang masa yang ada. Nah, tak ikut dosa!

5. Letakkan diri anda dalam posisi penting
Menjadi ahli biasa dalam persatuan melahirkan 'mindset' ambil ringan dan tidak kisah. Kita tidak mengajar pejuang Islam mengejar jawatan, tetapi kita mahukan ahli yang 'segak macam Presiden, bekerja macam Setiausaha Agung dan bergaya macam Bendahari Kehormat.' Dan yang paling penting, berfikiran seperti wakil rakyat dan Perdana Menteri.


Di Masjid Kampung Likas, terdapat seorang pakcik Pakistan yang telah menjadikan kerja menyusun selipar ahli jamaah masjid dan 'memusingkan'nya supaya jamaah mudah menyarungkannya dan bergerak pulang sebagai agenda kecil yang dimasukkan ke dalam jadual hariannya, sekaligus melantik dirinya sebagai 'penyusun selipar rasmi masjid'. Agenda kecilnya pasti dipandang mulia oleh Allah dan dihitung sebagai pahala free yang diperolehi setiap hari.
Pakcik ini penagih pahala!


6. Wujudkan 'networking' yang baik
Rangkaian dan hubungan yang baik dengan banyak pihak di pelbagai lapangan dan status jawatan memberi banyak kelebihan. Antaranya ia dapat memudahkan gerakerja dan memudahkan pengurusan program, selain menjadi saluran dana yang baik. Selain itu, banyak gerakerja seperti pelaksanaan program, menguruskan kes-kes khidmat masyarakat dan sebagainya datang daripada rangkaian tersebut, justeru memastikan langkah dan pergerakan tidak terhenti.

Seberapa banyak pun panduan yang diberikan, yang paling penting pada seorang pejuang ialah rasa kebersamaan dan keterikatan dengan Allah melalui amalan rohani, keikhlasan dan niat yang suci murni, kerana dengan usaha apapun, akhirnya yang menentukan jatuh bangun dan penerusan ketagihan dakwah, ialah Allah Ta'ala.

Sang Murabbitun

Kampung Kobuni, tempat beliau mengadu kasih..


Sang Murabbitun,
Derap langkahmu setiap satu demi melihat agama tak dicantas,
Gerak fikir akalmu untuk memastikan perjuangan terus bernafas,
Tarik nafasmu ditingkah susah agar kerja terus bernas,
Demi mendaulat Islam di tempat teratas.

Sang Murabbitun,
Masamu sepenuhnya untuk agama nusa dan pertiwi,
Rezekimu tak bergantung pada nasib dan simpati,
Makan pakaimu diatur terus dek Ilahi,
Kerana kau dan Dia,
Hanya sejarak kuku dan isi.

Sang Murabbitun,
Di desak yang pandai mengarah,
Di himpit yang suka mengerah,
Di hentam yang tak pernah menyinggah,
Kau masih mengukir senyum pasrah,
Dan langkahmu terus kau atur gagah.

Sang Murabbitun,
Biar jarang engkau dijengah,
Biar jasamu tak ketengah,
Biar peluhmu basah menyimbah,
Engaku jauh daripada keluh-kesah.

Sang Murabbitun,
Walau poket kosong tak berisi,
Walau ke tua tidak beristeri,
Walau ke hujung tak dikenang budi,
Engaku tidak pernah peduli,
Kerana mardhatillah yang kau cari,
Di negeri yang kekal abadi..

Thursday, April 9, 2009

U dapat Batang Ai, I dapat Dua Bukit!

Keputusan pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau membawa mesej yang jelas bahawa rakyat sudah bijak berfikir. Saya yakin apa yang mereka mahukan bukanlah untuk menggulingkan kerajaan UMNO/BN yang banyak berjasa, tetapi mereka sudah mampu menilai dengan mata-kepala-hati akan pemimpin yang benar-benar berhasrat memperjuangkan nasib dan hak mereka. Dalam erti kata lain, untuk kerajaan UMNO/BN yang berada di hujung tanduk, masih ada sinar untuk melakukan perubahan drastik dan mengembalikan sokongan rakyat. Tetapi barangkali jika kerajaan sedia ada dibedah untuk mencari punca kebobrokan yang berlaku kemungkinan besar rupa asal mereka tidak akan dapat dicam memandangkan segala macam keburukan berlaku di semua bahagian dan secara mendasar.

Yang paling jelas, kemenangan YB Nizar di parlimen Bukit Gantang membawa mesej bahawa rakyat ingin dihormati, mereka bermaruah, referendum demi referendum yang dibuat membuktikan rakyat memandang pembubaran Dun sebagai langkah penyelesaian tunggal kerajaan haram BN di Perak.

Bagi kekalahan di Batang Ai, saya memandang positif bahawa medan berjuang masih dibuka panjang kepada pejuang di Borneo sebelum boleh bersila di bawah pemerintahan adil dan saksama. Dalam suatu perbincangan tertutup dengan beberapa pertubuhan belia di Sabah beberapa hari lepas, jelas sekali ramai lagi marhaen bumi bertuah ini belum kenalpun dengan Pakatan Rakyat, jauh sekali pembawaan dan falsafah perjuangannya. Siapa harus dipersalahkan?

Apapun, bersykurlah kerana berjaya menakluk Dua Bukit sedangkan pihak sebelah sana hanya mampu berpuas hati dengan Batang Ai!


Peralihan kuasa daripada Abdullah ke Najib baru-baru ini juga menarik untuk diperhatikan. Yang menariknya ialah dengan naiknya Najib, menandakan berakhirnya dinasti UMNO/BN berdasarkan teori RAHMAN, Rahman-Abdul Razak-Hussein Onn-Mahathir-Abdullah-Najib. Kami menantikan peralihan kepada teori ANWAR, Anwar-Nadir-..................

Gambar ihsan : tanaksada.blogspot.com & anakbulanmoden.blogspot.com. Syukran.

Friday, February 13, 2009

SeGagah Kaki Melangkah..


Semakin lama ahli makin terhimpit. Ramai yang tertekan oleh akademik, beban tugas, kerja dakwah, masalah keluarga dan kewangan dan macam-macam lagi. Maka mula timbul spekulasi. Mula muncul keluhan. Mula terbit kata-kata yang tidak enak didengar.

"Aku berjuang sendirian!"

"Kebajikan aku tak dijaga!"

"Semua kerja aku yang buat!"

Yang punya tempat meluah berkongsi rasa dan dimotivasikan semula. Yang tidak suka bercerita senyap-senyap membiarkan masalah memakan diri. Atau ada juga yang memilih untuk menghambur dan meletup secara terbuka. Persepsi yang pelbagai timbul kerana banyak punca. Tetapi mudahnya izinkan kita berkongsi suatu analogi. Tentu semua pernah mendengar kisah Raja yang mengadakan pertandingan menyeberang sungai penuh buaya untuk mencari pengganti takhtanya. Kalau belum, baca di sini [link]. Analogi ini merupakan susulan kepada kisah tersebut;

Kita bermula dengan semua berdiri seiring di tepi sungai. Kemudian seorang demi seorang melangkah ke dalam sungai. Satu langkah, dua langkah, tiga langkah. Makin terbeban makin laju melangkah. Tidak lama kemudian, ada yang sudah berada di tengah sungai. Ada yang masih di siring-siring. Ada yang sudah masuk takat pinggang. Dan ada yang hampir lemas. Maka atas dasar kebersamaan dan persahabatan , yang sudah hampir lemas memanggil yang masih di siring.

"Langkah untuk aku!"

Yang di siring melangkah. Sampai akhirnya semua sudah berada di tengah sungai. Tetapi masih ada yang perlu melangkah. Sehingga hampir lemas.

"Bantu dia!"

Kawan yang prihatin menjerit. Lalu kawan lain memilih untuk mengambil langkah. Kini semua hampir lemas. Tiada lagi yang di siring. Semua di tengah. Semua kalau mengambil lagi satu langkah akan lemas, hanyut, mati. Apa nak buat? Pandang-pandang, rupanya masih ramai lagi orang yang berada di siring sungai. Biarpun tidak punya fikrah dan thaqafah yang hebat tetapi orang-orang ini mampu bekerja. Walaupun tidak berada dalam organisasi tetapi orang-orang ini mampu bekerja. Walaupun agenda perjuangan orang-orang ini sedikit berbeza orang-orang ini mampu bekerja. Maka gamit mereka supaya mula melangkah.

Mungkin sukar memahami analogi ini, khususnya bagi mereka yang tidak pernah melalui praktikalnya. Jika berminat kita boleh mengadakan praktikal. Tetapi analogi ini sasarannya untuk mereka yang telah melalui praktikal. Kerana yang hampir lemas adalah golongan ini. Untuk mereka, ambil beberapa pengajaran dari analogi ini,

Belajar untuk berkata tidak sebelum lemas. Dan jangan berkata tidak selagi masih mampu melangkah. Elakkan meminta orang lain melangkah bila diri sendiri masih mampu melangkah. Bukan anda seorang yang berada di tengah sungai. Jangan rasakan anda seorang sahaja yang hampir lemas sedangkan orang lain seronok bersantai di tepi sungai. Jangan abaikan orang yang masih berada di tepi sungai walaupun mereka bukan dari ahli organisasi. Gembleng tenaga mereka sepenuhnya. Berebutlah untuk lemas kerana pemergianmu itu tidak akan sia-sia.

Wallahua'lam.

Friday, January 23, 2009

Optimumkan Yang Sedikit, Baru Jadi Bukit..

..too busy to exercise..

Bila menyedari yang tenaga sikit, harta tak banyak dan tenaga kurang, ketika itulah pendukung Islam kena belajar untuk memastikan yang sedikit itu dioptimumkan. Seorang sahabat bertanya kepada saya,

"Apa pendapat abang tentang infaq?"

Dengan menyelitkan skil andaian berhubung kenapa dia bertanya soalan sebegitu ganjil, saya menjawab, "Kalau 5% dari PTPTN disumbangkan untuk Palestin, apa yang boleh dibeli dengan duit tersebut? Mungkin picu M16. Tapi kalau duit tersebut digunakan untuk menaja atau menganjurkan program kesedaran, apa agaknya mampu dibeli hasil kesedaran dan sumbangan orang lain selepas program? Mungkin sebiji kereta kebal."

Begitulah hakikatnya. Bukan perkara ini tidak disentuh oleh Islam. Dalam usul fiqh disebut. Dalam hadith disebut. Dalam kata pujangga disebut. Tapi kadang-kadang leka menghasilkan lupa. Teringat celoteh Tuan Haji Khairan, Pengarah SIRIM merangkap Pengerusi Yayasan Amal Sabah dalam mesyuarat gabungan NGO-NGO Islam tadi. Katanya,

"Kalau ikutkan saya ada jemputan dari delegasi yang datang dari seluruh dunia tadi. Mereka datang buat kunjungan hormat. Tapi saya suruh Timbalan saya yang pergi. Sebab pergi sini confirm dapat pahala. Kat sana tak tahu lagi. Entah-entah kena suruh karaoke pula,"

Beliau memilih untuk tidak meraikan delegasi kunjungan hormat peringkat antarabangsa sebaliknya hadir ke mesyuarat gabungan NGO-NGO untuk menerangkan tentang program Malam Bersamamu Palestin yang telahpun siap persediannya 100%, dan tidak ada kesan pun jika beliau tidak hadir ke mesyuarat tersebut memandangkan Pengarah Program, Abang Saifuddin telah hadir mewakili Yayasan Amal. Semuanya kerana beliau yakin impak atau kesan program tersebut lebih utama dan penting berbanding mengukir senyum di wajah tetamu 'mat salleh'nya.

Kepentingan jamaah mesti diletakkan pertama berbanding kepentingan individu. Maslahat umum mesti diutamakan berbanding maslahat untuk diri sendiri. Keperluan gerakan semestinya lebih aula daripada kehendak peribadi.

Cikgu Jamil juga bersuara dalam mesyuarat tadi, tidak berpuas hati bagaimana ahli-ahli akademik di bidang agama tidak memberikan komitmen penuh dalam program yang dianjurkan, misalnya program Konvensyen Dakwah JAKIM. Lalu otai dakwah, Haji Khairani mencelah lagi,

"Pendukung Islam tidak diukur pada jurusan tetapi pada komitmen untuk menjunjung Islam dan berkorban untuknya."

Saya percaya perkara sama boleh diletakkan sebagai kayu ukur pendukung Islam di kampus. Pembarisnya bukan lama mana telah mengikut usrah, berapa tamrin yang berjaya diharungi, malah berapa kali seminggu bangun qiam atau berapa juzu' Quran dibaca sehari. Tetapi pembarisnya ialah pada natijah, sejauh mana pengorbanan dizahirkan melalui perbuatan.

Sekali lagi, saya garapkan contoh yang mudah difahami. Memberi sokongan pada program Nisa' Games tentu sekali lebih bermakna daripada mengharung lautan untuk belajar mengurus virus bergelar cinta. Menjadi jawatankuasa atau menyampaikan persembahan dalam satu program kesedaran masalah ummah pasti sekali lebih utama daripada menaiki feri berjumpa ustaz selebriti.

Kepentingan jamaah mesti diletakkan pertama berbanding kepentingan individu. Maslahat umum mesti diutamakan berbanding maslahat untuk diri sendiri. Keperluan gerakan semestinya lebih aula daripada kehendak peribadi.

Saya yakin mesej saya sampai, kerana yang jadi kontroversi, ialah Tok Guru yang erti hidupnya bukan untuk menerima dan bukan untuk sendiri, tetapi erti hidupnya pada memberi.

* Ya Allah, untuk sahabat-sahabatku yang mengorbankan kepentingan diri untuk agamamu, kau pertemukan dan kekalkanlah mereka di dalam syurgamu bersama dengan orang yang mereka tangguhkan pertemuan di dunia, insyaAllah.. :)

Sunday, January 18, 2009

Hijau Bumi Jaddah


Jaddah,
Sayangnya nyawamu tidak bersisa,
Kerana jika hari ini,
Nafasmu masih ada,
Tentu kau menyanyi gembira,
Tentu kau bergurindam berseloka,
Tentu kau melompat setinggi purnama.

Kerana hari ini,
Islam kembali mewarna bumi pusaka,
Bumi tempat kau melakar hidup dan mencorak anak bangsa,
Bumi tempat darahmu jatuh melahirkan pejuang muda,
dan peluhmu mengalir membasahi jasad tua.

Hari ini,
Sejarah telah tercipta,
Kaki semakin deras melangkah menuju janji Yang Esa,
Janji yang Islam takkan rela dihina,
Janji yang Islam tempatnya sebagai juara,
Janji yang Islam akan di puncak jaya.

Hari ini,
Bumi hijau oleh ketenangan,
Menghapuskan daki kotoran dan lumpur keji,
Yang dibawa oleh merah amarah dan biru yang menuju su'ul khatimah.

Hari ini,
Perjuanganmu mendukung Islam selama seusia, tidak sia-sia,
Kerana kampung kecil tempat kau berpencak, bersilat dan berkorban segala,
Kini kembali ke tangan kita.

Jaddah,
Kami akan teruskan hayunan langkahmu,
Sehingga sepertimu jua kami bersemadi,
Menanti hari abadi.

Al-Fatihah..

Tuesday, January 6, 2009

Tak Usah

Kita bercakap soal perjuangan,
Tapi hati jauh dari Tuhan,

Kita sibuk mentarbiyyah insan,
Sedang amalan jadi olok-olokan,

Kita di depan menyelak Al-Quran,
Tapi berbual kosong jadi kebiasaan,

Kita katakan Hadis sebagai sumber,
Tapi selalu membuang masa di depan komputer,

Kita berprogram sana-sini,
Pulang ke kampus, berjam-jam menonton animasi,

Kita berusrah berkali-kali,
Tapi berkorban tak sepenuh hati,

Jauhnya bumi ini, jauhnya,
Dari disinari cahaya Ilahi,

Panjangnya, panjangnya jalan ini,
Sebelum Islam di tempat tertinggi..

Sahabat,

Tak usah hebat memperkatakan tentang hijrah,
Jika hijrah dari bilik ke surau tak mampu dikerah,

Tak perlu berbicara tuk bangkit menentang Yahudi,
Sekiranya bangun di tengah malam tak mampu kau gagahi,

Jangan sesekali menggelar dirimu pejuang,
Jika tak mahu bermujahadah, mengisi jiwa yang tandus dan kontang..


Dedikasi Utk Sahabat-Sahabat ISEUMS di Kg. E, dan lain-lain sahabat, dgn pesan, turunlah berqiam dan berjemaah Subuh di surau, walaupun dengan seorang wakil.. :(

Tuesday, December 23, 2008

Jaddahku..

Nenek Yang Solehah


Nenek, atau panggilan mesra kami untuk beliau, Jaddah, yang bermaksud nenek di dalam Bahasa Arab sudah lama terlantar di hosipital. Masuk dan keluar hospital menjadi kebiasaan. Awalnya didiagnosis dengan penyakit misteri, sebelum disahkan menghidap kanser darah, yang tidak lama kemudian melepasi penjara sumsum tulang, memasuki darah dan bergerak ke otak. 7 atau 10 hari maksimum, kata Doktor. Bergilir-gilir lapan beradik, cucu, cicit, tok-tok saudara dan lain-lain kerabat menjaga beliau. Ayah yang merupakan anak sulung, dan ana sebagai cucu lelaki sulung, memainkan peranan setakat terdaya. Sehingga akhirnya Jaddah tidak lagi mengenali individu-individu yang berada di sekeliling. Yang tinggal dalam memori ialah,


“Yoh, ambil kangkung belakang rumah, celur. Jangan bagi Ani ambik, dia kecik lagi.”


“Gi kedai tepi pantai tu, beli ikan nak masak singgang.”


“Jangan lupa tempah rencah hilal satu kotak.”


Menu-menu masakan yang digunakan buat membesarkan anak-anak satu era terdahulu di dalam kehidupannya. Malah omong-omongnya kadangkala meruntun jiwa apabila kasihnya pada anak-cucu ditonjolkan dengan meminta air dibancuhkan untuk kami yang disangkanya ‘bertandang ke rumah’. Teringat wafatnya Rasulullah, memanggil-manggil yang paling dikasihinya walaupun sedang berdepan dengan sakaratulmaut. Kadang-kadang tangan Jaddah menyapu-nyapu udara, sebelum dilekapkan tangannya ke muka, digosok-gosok tangan sampai ke lengan dan disentuh sedikit telinga. Subhanallah. Jaddah dalam keadaan separa sedar sedang berwudhu’ sebelum tangan mengangkat takbir. Walaupun pergerakan solatnya melompat dari takbiratul ihram kepada tahiyat akhir dan salam, kami yakin Allah mengetahui hasratnya menghabiskan usia dengan menjadi hamba yang berterusan merendahkan diri serendah-rendahnya di hadapan Pencipta. Selesai solat dipanggil suami ke sisi. Suami yang berada jauh di rumah.


“Abi, Abi..mari sini Abi. Mana Abi? Suruh Abi angkat Jaddah ni”..


Sebelum bertukar menjadi;


“Tolong pergi rumah Tok Ma Milah, ambik air mawar, kapur barus dengan batik lepas..”


Ujianku Atasku Juga Untukmu


Biasanya berita tentang orang sakit dan orang mati jarang memberi kesan mendalam pada manusia. Ambil sahaja contoh yang mudah, iaitu apabila kita mendapat berita tentang kematian melalui sms. Habis baik pun kita akan mengirimkan ucapan takziah dan bertafakur sejenak membacakan al-fatihah. Atau jika berita adalah berita orang sakit, kita akan menghantar mesej motivasi yang diforwardkan dari ‘saved messages’ handset masing-masing. Bertuah sangatlah kalau peringatan-peringatan yang datang mampu membuatkan diri beristighfar panjang, terduduk insaf atau mengucap mengingati ajal yang boleh bertandang bila-bila masa. Kecualilah, kecualilah, jika mesej yang terpampang berbunyi, ‘Ayah enta meninggal kemalangan baru sekejap tadi’ atau ‘abang, kakak masuk hospital kena denggi’. Realitinya, ikatan antara orang Islam terlalu longgar untuk membolehkan mati-sakit orang lain yang tidak dikenali sama-sama dikongsi. Cubit peha kanan, peha kiri takde perasaan pun!


Ana seorang yang banyak bermaksiat. Dan seperti orang lain, ujian dalam apa bentuk pun mampu membuatkan ana berhenti bermaksiat untuk seketika. Ya, untuk seketika. Kemudian setelah efek ujian tersebut berlalu, diri akan kembali bermaksiat. Astaghfirullah. Malangnya tidak cukup ujian yang Allah berikan untuk memastikan diri sentiasa berada dalam keadaan insaf dan sedar. Kerana dengan peringatan yang berulang itu baru diri akan tertambat pada aqidah dan syariah. Dari situ ana mula berfikir yang pengajaran untuk orang lain juga dimaksudkan untuk ana. Lebih-lebih lagi ujian yang diri sendiri pernah rasakan. Penghidap gastrik akan lebih terkesan bila berdepan dengan orang yang mengadu gastrik kerana dia sahaja yang tahu pedihnya bila perut meragam. Orang yang ibunya mempunyai penyakit barah akan lebih terkesan bila mendengar berita orang sakit barah. Orang yang pernah menderita kemalangan patah kaki akan lebih bersimpati terhadap orang lain yang kemalangan patah kaki. Semuanya kerana selain aspek akhlaq yang mengajar diri bersimpati secara automatic dengan kesusahan orang lain, wujud elemen penghayatan yang mengkesan hati dan membolehkan diri relate dengan kepedihan orang, kerana perkara sama pernah dilalui dan sakitnya, turut sama dapat dirasai. Penghayatan terhadap kesusahan saudara seIslam, kenal atau tidak, jauh atau dekat, itu yang sepatutnya turut mampu mengekalkan iman dalam keadaan yazid, atau sekurang-kurangnya statik.


Maafkan ana wahai sahabat-sahabat, sekiranya kesusahan yang antum pernah rasakan tidak dapat ana kongsi perit-pedihnya. InsyaAllah, kita berubah..


I’brah Akhlaq Nabi


Ana meyakini bahawa ini sebahagian jawapan kepada titik noktah maksiat dalam hidup ana bila mengimbau sirah Rasulullah. Selain kurniaan direct daripada Allah, apa sebab lain Rasulullah menjadi orang yang paling kasih kepada orang miskin? Sebabnya baginda juga hidup dalam kekurangan. Kenapa Rasulullah orang yang paling sayang kepada anak yatim? Kerana bapanya, ibunya, malah pakcik dan datuknya sekali ditarik nyawa mereka ketika baginda masih kecil.

Ya Allah, bukakan jalan untukku mencari titik-titik noktah yang lain..


Jaddahku..


Jaddah mula tercungap-cungap. Tepat jam 1.17pagi, 15 Disember, Jaddah kembali ke pangkuan Kekasihnya dengan senyuman terukir di bibir. Jaddah disolatkan oleh Tuan Guru Nik Aziz, dan meninggalkan seorang suami, 8 orang anak dan 44 orang cucu. Semoga rohnya dicucuri rahmat..Amin.


Friday, November 21, 2008

Puisi Rimbawan Buat Nuril Hakim : Di Mana Letaknya Manusiawi ??

Tuan Nuril Hakim..
Sebuah puisi darihal Rimbawan Sejati di kota..

Si ibu tua dan si anak bogel..
Jika mati, mati mereka bernisankan tubuh dan hati..
Berbungkus rapi dikapan songket janji..
Yang dikait tapi tidak ditepati..
Jiwa raga mereka seakan tidak bererti..
Tiada erti..

Tuan Nuril Hakim..
Rimbawan Sejati di kota aju kata tanya..

Di pinggir bandaraya, ada istana setinggan..
Anak bogel berlari berhingus ke dagu..
Bertelanjang bulat meminta-minta dari manusia..
Hingga diterajang..
Sudah diterajang!!
Berhijrah dari istana setinggan yang lama ke kota serakah..
Dengan hiba dipimpin si ibu yang tua..
Hingga si anak bogel terlena dalam dakapan kasihnya bonda..

Tuan Nuril Hakim..
Menjana wacana canailah wadah..
Kirimkan si ibu tua dengan si anak bogel pertolongan..
Angkut derita mereka pergi jauh terbang hilang di mata..
Jangan hingga nyawa dan nafas hilang di dada..
Dihempas tsunami getirnya hidup di kota..

Tuan Nuril Hakim..
Berkali si ibu tua meminta hak si anak bogel..
Namun di tolak oleh warga yang dalih..
Seakan mereka halimunan di bumi sendiri..
Dibuang ke tepi, diterjah tiada henti..

Tuan Nuril Hakim..
Rimbawan sejati ini mengerti..
Tuan ingin membangun hikayat..
Meriwayat rakusnya warga yang dalih..
Akibat kebebalan mereka..

Rimbawan Sejati ini..
Tidak pernah mengagungkan selain dari Tuhan..
Yang melaknat pengijazahan kezaliman..
Yang memurkai pengilmiahan kejahilan..

Teruskan berjuang Tuan Nuril Hakim..
Sinarkan keintelektualan..
Memancar cahaya penghidupan
buat si ibu tua dan si anak bogel..

sumber : rimbawansejati.blogspot.com

Wednesday, November 19, 2008

Cuti Untuk Islam!!



nurilhakim mengucapkan selamat bercuti kepada semua pengunjung yang telah tamat peperiksaan dan sedang bercuti. Semoga cuti dapat diisi dengan bermanfaat. Berikut beberapa cadangan untuk mengisi hari-hari lapang, atau cadangan gerakerja untuk mereka yang masih termangu-mangu mencari halatuju, khususnya yang berada di Sabah atau tidak pulang ke kampung halaman di Sarawak atau semenanjung:

1. Hadir ke program ceramah Syeikh Yusuf Estes [link]
2. Ikut Program Youth Summer Camp 2008 [link]
3. Ikut Jelajah Korban Yayasan Amal [link]
4. Menjadi sukarelawan persatuan muallaf SAHABAT - Ustaz Firdaus 0128283423
5. Menjadi sekretariat Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Sabah - Che'gu Jamil 0138517282
6. Menjadi sukarelawan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) [link]

*akan di'update' dari masa ke semasa. Maklumat lanjut atas permintaan.

Sudah Jatuh, Ditimpa Tangga

Tabah dalam pasrah..


Agak lama Yusri menunggu sebelum mendapat rawatan..


Kaki yang masih berdarah


Tulang tibula (tak silap) yang ketara patah dan perlu dimasukkan besi

Selesai melakukan 'survey' di Pusat Kokurikulum Kiulu untuk program Youth Summer Camp dan solat di rumah Abang Pai, ana dikejutkan dengan mesej yang memaklumkan bahawa Yusri, ahli Persatuan Siswazah Sabah ditimpa kemalangan dan sedang ditahan di wad kecemasan Hospital Likas. Kami yang baru sahaja sampai ke Kg. Likas berpatah balik dan Perdana V6 milik Datuk Amin meluncur laju ke arah hospital...

Keadaan Yusri agak teruk. Kaki kanannya patah, dan kehadiran kami disambut titisan darah pejuang yang masih menitik dari kakinya. Yusri walaubagaimanapun masih mampu tersenyum. Khabarnya, beliau dalam perjalanan ke Masjid Bandaraya untuk solat Zuhur, tetapi ralit memandang kereta yang rosak di tepi jalan sehingga terlanggar kereta yang berada di depan. Motorsikal yang dipandu tidak rosak kerana beliau sempat mengelak, tetapi kaki menjadi habuan bumper 4WD. Yusri baru sahaja mengalami kemalangan kereta kira-kira seminggu yang lepas, dan kos perbelanjaan membaiki semula kedua-dua kereta mencecah RM1000. Begitulah seorang pejuang diuji. Sudah jatuh ke dalam lubang maghfirah, ditimpa lagi tangga mahabbah Ilahi. Semoga beliau cepat sembuh.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan