:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Thursday, April 30, 2009

Aku Penagih Da....Dakwah!

"Kenapa kau datang program pun merokok?" Abang fasi yang marah bertanya kepada salah seorang peserta.

"Tak boleh tahan bang. Gula-gula habis." Peserta menjawab sambil tertunduk.

Abang fasi mengeluh. Penagih rokok. Nak dimarah hilang peluang mentarbiyyah. Nak dibiar takut makin parah. Akhirnya terpaksa mengalah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Bang, saya ada satu masalah. Saya tak boleh tunduk kalau tengok perempuan cun. Lagi-lagi kalau seksi, mesti nak pandang. Kalau limpas naik motor, konfem saya akan hon..Tak boleh buat apa bang, mesti nak buat jugak.." seorang lagi peserta mengadu. Zass..kes lain pula. Penagih perempuan cun.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Kenapa kau datang program qiam ni, tak bosan ke tiap-tiap bulan datang qiam? Pastu bulan depan pergi program Kem Remaja Islam pula, tiap-tiap malam ikut abang pergi bagi kuliah, tak pandai boring ke?" Abang lain pula mengacah madhu'unya.

"Tak pula bang. Seronok. Kalau tak pergi program-program ni rasa macam ada yang tak kena. Ni kan jihad bang!" Adik yang baru 3 bulan mengenali Islam menjawab lancar. Alhamdulillah. Penagih dakwah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hendak mencari orang untuk dibentuk tidak susah. Ramai yang ingin mengenali Islam. Ramai yang ingin menjadi baik. Ramai yang suka berprogram. Tetapi untuk mencari orang yang mampu istiqamah menjadi generasi penerus dakwah agak sukar. Kerana gilakan program sahaja tidak cukup. Mahukan perubahan sahaja tidak memadai. Hendakkan keseronokan semata-mata lebih jauh lagi. Tetapi sifat ini hanya boleh dipupuk dalam diri, generasi ini hanya boleh berterusan dibentuk dengan melahirkan ketagihan. Ketagih dakwah.

Kecenderungan untuk menjadi penagih memerlukan beberapa perkara, samada yang perlu diletakkan dalam diri atau yang diserap ke dalam mata rantai perjuangan;

1. Mempunyai matlamat yang benar
Generasi pendakwah perlu difahamkan yang perjuangan ini adalah atas dasar aqidah Islam, kerana itu ia tidak boleh ditidakkan. Ia mesti diteruskan sampai Islam kembali ke tempat asalnya, biar berdepan mehnah dan cabaran, di waktu sukar dan senang. Bentuk kefahaman melaui slogan yang biasa dilaungkan, Allah Matlamat Kami, Quran Panduan Kami, Rasulullah Ikutan Kami, Syahid Cita-Cita Tertinggi Kami.

Salah seorang dai'e projek PSS, Saudara Misran (berbaju biru). Bila difahamkan tentang perjuangan Islam, kesungguhan anak muda ini belajar menakjubkan. Daripada tidak kenal huruf, beliau mengambil masa tiga bulan dengan diajar sebanyak tiga kali sahaja, selebihnya beliau berusaha untuk belajar sendiri untuk menghabiskan kesemua Iqra' dan tamat 30 juzu' Al-Quran! Daripada seorang yang 'bisu', beliau kini boleh menjadi pengacara majlis sehebat murabbinya, Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS. Ini contoh potensi anak Sabah, yang tidak pernah diajar solat dan syahadah, malah hidup dengan arak dan judi!

2. Mempunyai guru dan sahabat-sahabat yang baik
Penulis dikelilingi oleh ramai pendidik dakwah tempatan yang mengajar kaedah dan cara menagih di tempat orang secara berkesan dan agresif. Samada yang berbangsa Bugis 1 & 2, Bajau 1 & 2, dan Dusun, samada secara langsung atau telah membentuk rangka kerja dan emosi untuk bergerak di dalam masyarakat, membangunkan kecelikan agama dan ilmu. Sahabat-sahabat yang baik juga amatlah perlu, yang berfungsi sebagai teman sejati perjuangan, dan sekaligus memainkan peranan sebagai guru-guru jurudakwah. Selain itu, penagih perlu banyak belajar daripada alam dan pengalaman, melalui daya pemerhatian, penganalisaan dan penyerapan yang tinggi.

3. Mempunyai landasan atau platform untuk bergerak
Bergerak seorang diri mudah mematikan perjuangan, samada mengalami halangan kewangan, tenaga, masa atau motivasi. Justeru bergerak dalam gerakan Islam atau organisasi sangat penting, samada dalam persatuan bukan kerajaan seperti Persatuan Siswazah Sabah, JIM, ABIM dan sebagainya atau parti politik seperti PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

4. Jadualkan gerakerja anda
Orang yang bersistem perlu mempunyai jadual. Jadual melahirkan rasa tanggungjawab dan membolehkan masa diurus dengan lebih baik. Buat jadual berkala mingguan, susun perancangan kuliah, tazkirah, program secara tetap dan masukkan aktiviti atau program khusus di selang masa yang ada. Nah, tak ikut dosa!

5. Letakkan diri anda dalam posisi penting
Menjadi ahli biasa dalam persatuan melahirkan 'mindset' ambil ringan dan tidak kisah. Kita tidak mengajar pejuang Islam mengejar jawatan, tetapi kita mahukan ahli yang 'segak macam Presiden, bekerja macam Setiausaha Agung dan bergaya macam Bendahari Kehormat.' Dan yang paling penting, berfikiran seperti wakil rakyat dan Perdana Menteri.


Di Masjid Kampung Likas, terdapat seorang pakcik Pakistan yang telah menjadikan kerja menyusun selipar ahli jamaah masjid dan 'memusingkan'nya supaya jamaah mudah menyarungkannya dan bergerak pulang sebagai agenda kecil yang dimasukkan ke dalam jadual hariannya, sekaligus melantik dirinya sebagai 'penyusun selipar rasmi masjid'. Agenda kecilnya pasti dipandang mulia oleh Allah dan dihitung sebagai pahala free yang diperolehi setiap hari.
Pakcik ini penagih pahala!


6. Wujudkan 'networking' yang baik
Rangkaian dan hubungan yang baik dengan banyak pihak di pelbagai lapangan dan status jawatan memberi banyak kelebihan. Antaranya ia dapat memudahkan gerakerja dan memudahkan pengurusan program, selain menjadi saluran dana yang baik. Selain itu, banyak gerakerja seperti pelaksanaan program, menguruskan kes-kes khidmat masyarakat dan sebagainya datang daripada rangkaian tersebut, justeru memastikan langkah dan pergerakan tidak terhenti.

Seberapa banyak pun panduan yang diberikan, yang paling penting pada seorang pejuang ialah rasa kebersamaan dan keterikatan dengan Allah melalui amalan rohani, keikhlasan dan niat yang suci murni, kerana dengan usaha apapun, akhirnya yang menentukan jatuh bangun dan penerusan ketagihan dakwah, ialah Allah Ta'ala.

No comments:

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan