Saya tidak berhajat mengulas satu-persatu persoalan yang dibincangkan, tetapi berhajat besar membawa mahasiswa meletakkan diri sendiri di dalam salah satu kelompok 'mahasiswa berbisa' yang saya definisikan dalam pusingan pertama forum tersebut. Bagi memudahkan pemahaman pendengar, saya menggunakan tiga spesies haiwan sebagai analogi.
Katak yang dikisahkan ini bukan sebarang katak. Tetapi katak ini ialah spesies yang menyerupai katak berbisa untuk menakutkan musuh, walaupun hakikatnya ia tidak berbisa. Katak ini juga kuat memekik dan berbunyi. Ramai mahasiswa tergolong di dalam kelompok ini; kuat berbunyi, tidak berbisa.
2. Penyengat
Penyengat tidak dinafikan sememangnya berbisa. Malangnya penyengat hanya menyengat bila diancam. Tanpa diganggu, ia tidak memberi kesan kepada makhluq lain yang berada di sekelilingnya. Saya mengkategorikan majoriti pimpinan mahasiswa di dalam kelompok ini.
3. Umang-umang
(terima kasih Rimbawan Beriman yang memberitahu saya nama makhluq ini di dalam BM)
Umang-umang adalah spesies hidupan air. Ia mempunyai tentakel yang beracun dan melambai-lambai menunggu pemangsa. Sebaik sahaja pemangsa melintas, tentakel yang berbisa akan melumpuhkannya dan dihadam sebagai makanan. Umang-umang, menyengat untuk makanannya, justeru untuk kemandirian spesiesnya.
Mahasiswa berbisa yang hendak kita bentuk ialah mahasiswa spesies umang-umang. Tidak cukup seseorang mahasiswa hanya bersuara bila diganggu atau bila kepentingannya sahaja terancam. Suara mahasiswa adalah suara rakyat. Tidak memadai mahasiswa hanya bersuara untuk dirinya sendiri. Amat malang jika pembentukan mahasiswa di kampus tidak lebih daripada pembentukan kanak-kanak tadika, yang hanya mampu mengadu pensil dicuri dan dikejar anjing kepada cikgu.
Mahasiswa mempunyai kuasa, dan fungsi pimpinan mahasiswa ialah mencari jalan memperkasakan mentaliti dan keupayaan mahasiswa menyedari dan menggunakan kuasanya untuk melakukan perubahan. Pimpinan mahasiswa bukan objek untuk ditunggangi oleh masyarakat kampus guna menyelesaikan maslah yang dihadapi. Mahasiswa dilatih di universiti menjadi wakil rakyat bukannya rakyat yang bergantung kepada wakil rakyat. Dilatih supaya apabila keluar ke tengah masyarakat dituruti bukan menuruti. Memimpin bukan dipimpin. Mempengaruhi bukan dipengaruhi. Maka peranan mereka yang bertanggungjawab harus diteliti supaya mampu menyengat di luar kampus.
Akhir sekali untuk mahasiswa yang dimomokkan oleh perasaan takut dek himpitan AUKU, sekatan kerajaan dan HEP, media dan kesempitan waktu sehingga menjadi alasan tidak dapat beraksi di lapangan umat, saya menghadiahkan kisah ketua kampung orang asli;
Ada sekali tu ketua kampung orang asli telah dihadiahkan jam dinding oleh pihak tentera kerana menolong mereka dalam operasi. Alangkah bangganya ketua orang asli tersebut bila jam tersebut di gantungkan di depan pintu rumahnya dan orang kampung sering datang melihat jam tersebut seolah-olah barang hiasan kerana mereka pada masa tu tak tahu bagaimana menggunakan jam untuk melihat waktu.
Suatu hari anak ketua kampung tersebut memberitahunya yang jarum jam tu telah berhenti bergerak. Masa tu punyalah ramai anak buah dia kat halaman rumah sedang melihat jam tersebut.
Maka ketua kampung tu pun konon nak tunjuk terrorlah lalu dia pun menurunkan jam tersebut dari tempat penggantungan dan membelek-belek jam tersebut depan belakang. Beliau ternampak tempat bateri jam tersebut dan telah dengan tidak sengaja terkuis bateri itu terkeluar dari tempatnya.
Entah macam mana ada pulak bangkai seekor lipas di celah-celah tempat bateri tu... beliau pun dengan bangganya memberitahu kepada anak-anak buahnya.
"OOOO... patutlah tak jalan drebarnya mati tersepittttt... .!!"
Yang membelenggu pemikiran ialah diri sendiri yang tak mahu belajar dan tak ingin mencuba. Tidak ada kuasa yang mampu menghalang jiwa dan hati yang celik dan kemahuan yang tinggi. Dan tidak ada kemahuan yang lebih hebat daripada kemahuan seorang mahasiswa yang ingin melihat perubahan dalam masyarakatnya.
Apapun, yang menguja saya ialah apabila saya mengakhiri dengan 'yang paling susah untuk berbisa ialah mengambil langkah pertama. Sekarang di bahu saya ada 5 buah kampung sedang menunggu anda, siapa yang bersedia berkhidmat sila berikan nama kepada pelaksana DIMAN', seramai 20 orang mahasiswa menawarkan diri merintis jalan menjadi umang-umang.
Dirgahayu Sabah, tanah juangku!
p/s: Terima kasih banyak juga pada sifu dakwah fardhiyyah yang menghidupkan semula nafas perjuangan abang di Sabah pada malam tersebut ;)
No comments:
Post a Comment