:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Showing posts with label program. Show all posts
Showing posts with label program. Show all posts

Sunday, August 14, 2011

Peristiwa Ramadhan dan Relevansi Semasa


Intipati Kuliah Subuh Ihya' Ramadhan PPMS 2011

Penceramah : Ustaz Khalidi

Tokok Tambah : JK Pengisian Ihya' Ramadhan PPMS 2011

1. Saya tidak hadir ke sahur jamai’e kerana Nabi tak sebut sahur nasi lemak tapi Nabi sebut sahur dengan tamar.

2. Puasa tiga jenis (imam ghazali) – awam(hanya lapar dan dahaga),khawas (menahan semua benda dari benda yang membatalkan puasa), khawasul khawas (puasa para Nabi dan Rasul)

3. Nuzul Quran


- Bulan Ramadhan satu-satu bulan yang disebut dalam Al-Quran, dan adalah maklum bahawa apa yang disebutkan secara khusus di dalam Al-Quran mempunyai keistimewaan yang besar.


- Disebut juga diturunkan di bulan ini Al-Quran. Masyhur disebut Al-Quran diturunkan pada 17 Ramadhan (Nuzul Quran).


- Antara tanda Qiamat – Quran ditarik dari bumi.


- Matlamat membaca Al-Quran ialah penghayatan melalui tadabbur, bukan berlumba siapa paling banyak khatam.


- Quran diturunkan kepada Nabi secara berperingkat selama 23 tahun sedangkan Taurat, Injil dan Zabur diturunkan sekaligus. Tujuannya ialah supaya dapat diperhatikan apa yang telah turun sedikit demi sedikit. Adapun ayat yang melibatkan tingkahlaku individu, perlu cuba untuk diamalkan.


- Kemenangan umat terdahulu walaupun kuat berdepan mehnah, adalah berpunca kerana kuatnya berpegang kepada Al-Quran.


- Lalu usaha menjatuhkan umat ialah dengan menjauhkan orang Islam daripada Quran melalui Ghuzwatul Fikr (5S – Sex, Smoke, Screen, Sports dan Songs)


- Semua perkara disebutkan di dalam Al-Quran, sebagaimana kisah Tok Guru yang menjawab persoalan anak muridnya yang bertanya adakah diajarkan cara membuat roti canai di dalam Al-Quran, dengan menjawab ya dan membacakan ayat,




‘Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.’ (Al-Anbiyaa’ : 7)

4. Ghuzwah Badar Kubra


- Di dalam Surah Ali-Imran disebut peristiwa Badar. Diceritakan bagaimana Allah menolong ahli Badar. Dalam Al-Quran juga disebut ‘berapa banyak kaum yang sedikit mengalahkan kaum yang ramai’.


" Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 249)


- Kerana itu setiap kejayaan jangan lupa disandarkan kepada Allah. Surah Al-Anfal juga antara surah banyak memberi semangat jihad. Jadi sila bacalah.

5. Fathu Makkah


- Peristiwa yang diatur rapi strateginya oleh Nabi, sehinggakan para sahabat termasuk Abu Bakar dan Aisyah pun tidak mengetahuinya. Juga dalam peristiwa ini disebutkan kisah Hatib bin Abi Balta’ah yang membongkar rahsia negara dengan mengutus surat kepada ahli keluarganya di Mekah.


- Rasulullah s.a.w mendapat wahyu tentang pengkhianatan Hatib bin Abi Balta’ah, lalu mengutus Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam untuk bertanyakan kepada Hatib bin Abi Balta’ah tentang berita tersebut.


- Setelah Hatib bin Abi Balta’ah menceritakan perkara sebenar kepada Rasulullah s.a.w, lalu Umar bin al-Khattab meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk membunuh Hatib bin Abi Balta’ah.


- Maka Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Allah telah mengampunkan dosa-dosa orang yang menyertai perang Badar.


- Kerana itu dalam perjuangan perlu berhati-hati (hazar) kerana tujuan manusia berjuang macam-macam.


- Dalam peristiwa ini juga Abu Sufyan,sepupu Nabi memeluk Islam.

Friday, July 15, 2011

Memori Geng Daurah 2010


Adik-adik Arab berzikir sebelum menghafal Al-Quran.

Melepak-lepak di Jami’ Rukniyyah usai solat Asar, saya mencuri peluang duduk bersama peserta Daurah Hafazan Al-Quran. Daurah yang diadakan di kebanyakan masjid sekitar Dimashq dan Syria pada setiap musim panas, membolehkan anak-anak Arab ini menghafal seluruh Al-Quran pada usia muda. Jumlah mereka sekitar 60 orang boleh dikatakan ramai, memandangkan jumlah masjid yang begitu banyak di sini. Fasilitator pula terdiri daripada abang-abang universiti yang sedang bercuti.

Abang fasi di hadapan mula memimpin zikir, sambil mengusya maut peserta yang cuba-cuba membuat onar. Mulut saya menikut rentak selawat, tetapi fikiran melayang teringat Daurah Amal Islami 2010 yang diadakan di Bangi hujung tahun lepas – program terakhir sebelum terbang ke bumi Syam. Mata yang terbiasa menganalisa, automatik mula membaca-baca watak-watak yang ada, dan membanding beza dengan watak-watak yang pernah dikenali sekitar 7 bulan lepas. Dimana-mana pun adik-adik ini tetap sama, bezanya budak-budak Arab ini 12x lebih agresif dan lasak daripada anak Melayu.

Bermula dengan membaca dua watak ekstrim yang perlukan perhatian maksima; yang super hyperaktif (Afiq dan Afif) dan yang diam terlampau serta perlu didorong, kepada watak-watak pertengahan. Yang ‘alim’ biasanya menampakkan ciri-ciri kepimpinan (Amar dan Ajwad) dan boleh diketengahkan untuk menjadi pemimpin utama. Sedangkan yang malu-malu alah (Zaim, Amir dan Azfar), boleh dilatih untuk ditonjolkan sebagai ketua-ketua pasukan kecil. Begitu juga yang tampak gangster tapi jiwanya sentimental (Aziz, Ghazali), adalah kader yang baik dan biasanya lebih mudah bergaul dengan kelompok-kelompok minor.

Abang Ajwad. Yang warak camni bagi jadi penghulu, imam atau tukang doa.

Nah, ni adik hyperaktif Afiq yang tag-team dengan kembarnya Afif.
Mujur abang fasi pun gagah juga..

Abang malu 1 : Abang Zaim yang rajin, sentiasa dengan penyapu.

Abang malu 2 : Abang Ameer tak putus zikir di balik snowcap

Abang malu 3 : Abang Azfar Al-Bestari

Pasukan yang perlu diawasi masa ke semasa (Osman, Anas) perlu dibelai dan diberikan sentuhan peribadi, manakala adik-adik yang masih meraba-raba mencari pedoman untuk membentuk diri, perlu dihalakan ke jalan yang betul.

Peserta kesayangan ramai, Abang Anas dan regunya..

..Abang Osman!

Watak-watak ini juga saya baca daripada pengamatan terhadap anak-anak Arab ini, lalu menilai pula betul silap abang-abang fasi meluruskan adik-adik tersebut. The carrot is always better than the stick.

Ya, programmer yang baik bukan sahaja perlu membaca peserta sejak pandangan pertama, malah juga jawatankuasanya diamati kurang lebihnya, lalu diposisi pada tempat yang tepat. Programmer yang lebih baik, akan mampu membentuk peserta dan jawatankuasa, mengikut acuan yang dia kehendaki.

Watak abang mithali mampu memikul tanggungjawab.

Watak 'saya budak baik, sila cubit pipi saya',
jarang menimbulkan huru-hara.

Watak selalu rasa bosan, 'boleh tak saya nak pergi tandas?'.
Eh, silap, ni abang fasi pla ;)

Watak-watak ni, akak-akak yang jaga jadi kena tanya depa.

Pada adik-adik Geng Daurah 2010, watak kalian ada dimana-mana, yang baik menunggu diperbaiki, yang bengkok menunggu diluruskan. Justeru persiapkan diri kalian dengan bekal yang secukupnya, agar bila tiba masanya, amal itu dapat terus mengalir, dan bukan adik-adik yang menjadi titik noktahnya.

Jangan dilengahkan solat, kerana solat sebaik penyelamat. Jangan derhaka pada guru dan ibubapa, kerana berkat di tangan mereka. Jangan malas menuntut ilmu, kerana ilmu penyuluh kalbu. Jangan hanyut oleh dunia, kerana dunia fana, hanya sementara. Bukankah kita telah sama-sama berjanji dahulu, untuk hidup bersama di syurga selamanya?


"Oh, ngumpat kami ek? Siaplah kalau jumpa abang nanti!"
Ganas di luar sentimental di dalam. Ghazali dan sepupunya Aziz :)

Tuesday, November 30, 2010

Kem Briged Amal 2010


Tanggal 5-7 November yang lepas, Jabatan Amal Negeri Sabah sekali lagi mencipta sejarah apabila 32 orang remaja daripada pantai barat Sabah berkampung di Tambunan selama 3 hari bagi menjayakan Kem Briged Amal yang pertama sepertinya di Zon Pantai Barat. Remaja-remaja tersebut merangkumi peserta daripada Tuaran, Kota Kinabalu dan Tambunan sendiri memulakan perkhemahan di Masjid Tambunan pada Jumaat malam dengan menyantuni masyarakat sekitar pekan Tambunan. Dengan semangat dan tekad 'Beramal Kerana Allah', peserta mengunjungi restoran, stesyen minyak dan rumah penduduk untuk menawarkan khidmat percuma dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Keesokannya, disiplin para peserta dibentuk dengan latihan kawad kaki sebelum didedahkan dengan asas seni mempertahankan diri oleh jurulatih jemputan. Seterusnya mereka berjalan kaki sejauh 16km sambil menyiapkan tugasan yang telah diberikan untuk sampai ke tapak perkhemahan di Kampung Kaingaran. Kemampuan peserta berjalan sebegitu jauh mendaki bukit dan meredah jalan kampung wajar dipuji.

Kira-kira jam 11 pagi, para peserta yang telah tiba di tapak kem diarahkan mendirikan khemah masing-masing selain diagihkan tugasan memasak, menghantar envoy kepada penduduk kampung, mendirikan khemah utama, tandas dan menara kawalan. Khidmat 2 orang ahli pengakap Tambunan yang diketuai saudara Zul membolehkan para peserta mempelajari beberapa teknik ikatan dan kaedah mendirikan menara kawalan secara tidak langsung sepanjang perkhemahan.


Petang itu, peserta diajar menghasilkan gajet sebelum dibawa mengikuti aktiviti larian komando, dan mempersembahkan bakat berkumpulan di dalam Malam Kesenian pada sebelah malamnya. Hujan lebat yang turun menyebabkan sebahagian peserta mula sakit, walaupun masing-masing masih bertahan dan enggan meninggalkan tapak persembahan. Keesokannya, peserta melakukan aktiviti 'masak survivor', di mana mereka memasak tepung dan sardin,selain beberapa bahan mentah lain dengan menggunakan buluh dan kayu api. Aktiviti berakhir dengan 'war game' di mana ahli Amal diberi taklimat tentang penggunaan kompas dan asas navigasi, dan dilepaskan untuk mencari jalan masing-masing hingga sampai ke medan peperangan.


Majlis penutupan dan pentauliahan 32 ahli baru Briged Amal Zon Pantai Barat telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Amal Sabah, Saudara Saifuddin Ahmad dan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Jabatan Amal, Saudara Sabarullah Ishak. Ahli-ahli Briged Amal menyatakan azam dan berikrar untuk berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara pada bila-bila masa mereka dikerah dan dipanggil untuk 'Beramal Kerana Allah'.


*(Lagi gambar program di sini)

Saturday, April 17, 2010

Study Group + Sambutan Hari Lahir KRU Penampang




Alhamdulillah usaha PSS membangunkan akademik adik-adik KRU Penampang (KRUP) sejajar dengan pembangunan akhlak dirintis melalui pelaksanaan program Study Group KRU Penampang di Perpustakaan Awam Penampang pada 17 April, jam 8.30pagi -12.30 tengahari tadi. Program diteruskan dengan sambutan hari lahir ahli KRUP di Restoran rasmi KRUP, Restoran Mazuin di Pekan Penampang. Tahniah kepada adik-adik yang hadir, dan terima kasih kepada abang-abang dan kakak-kakak yang datang membantu!

Lagi gambar dan maklumat di [link]

Sunday, April 11, 2010

KRU Unggul di MTQ!

Persatuan Siswazah Sabah merakamkan ucapan tahniah kepada ahli-ahli Kelab Remaja Ukhuwwah yang telah menceburkan diri dalam Majlis Tadarus Quran di mana-mana peringkat. Tahniah kepada yang berjaya, dan teruskan berusaha kepada yang belum mencapai kejayaan!

Saudara Kamal Habib, KRU Tuaran yang melayakkan diri mewakili Daerah Tuaran dalam acara tilawah ke MTQ Peringkat Pantai Barat Sabah di SMKA Mohd Ali Ranau, Ranau (SEMEKAR).

Saudara Jabry Juhinin dari KRU Kundasang yang mewakili Daerah Ranau dalam acara
Hafazan Menengah.

Daerah Kota Kinabalu muncul juara keseluruhan bagi kategori menengah dan rendah. Tahniah diucapkan kepada wakil-wakil dari SK Mutiara, SEMAI, SMAKK dan lain-lain.


Turut berada di SEMEKAR ialah adik Aziyanti, KRU Tuaran yang berada di dalam pasukan hafazan mewakili Daerah Tuaran.

KRU unggul di semua lapangan!!

Friday, March 12, 2010

KRIS Penampang Pembuka Tirai

Kem Remaja Islam Penampang (KRIS Penampang) pada tahun ini merupakan KRIS 'pembuka tirai' mendahului KRIS yang akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain oleh Persatuan Siswazah Sabah sepanjang tahun ini. Dengan penglibatan seramai hampir 80 orang pelajar SMK Datuk Peter Mojuntin, 12 orang fasilitator dari pihak persatuan dan komitmen penuh beberapa orang guru, khususnya Cikgu Safina Bulkin, ia dijalankan secara santai dan 'back to the basics'. Lebih menarik, program yang diadakan tanggal 5-7 Mac ini dikatakan sebagai program Islamik pertama yang dianjurkan secara full force di sekolah tersebut.

Sesi taklimat program dan penginapan peserta.

Mungkin ada sesuatu yang sangat lucu disampaikan oleh pengkhutbah ini - Saudara Herman -sehingga dia sendiri tergelak besar. Mujur bukan di atas mimbar.

Pengalaman berharga turut diperolehi oleh barisan fasilitator bilamana kem tersebut mencipta sejarah, dengan penglibatan kira-kira 10 orang pelajar pekak dan bisu. Dengan bantuan penterjemah, segala isi penting program dapat disampaikan dengan baik, selain usaha sungguh-sungguh fasilitator 'mencuba-cuba' bahasa isyarat buatan sendiri.

Sebahagian pelajar pekak dan bisu yang menyertai program. Biar telinga tidak mendengar, tetapi hati sentiasa peka. Semangat mereka cekal, keazaman mereka kental.

Hanan a.k.a Genji - peserta nakal yang didenda menggayakan cara superman terbang.

Modul 'Makan Suap Kawan' memupuk kemesraan.

Yang paling penting, nyata sekali bahawa paradigma awal yang dilontarkan kepada kami bahawa para peserta ini sukar dibentuk sama sekali tidak benar. Malah, sepanjang pengalaman persatuan membangunkan remaja, kelompok pelajar inilah antara yang paling seronok dibentuk.

Modul 'Kapal Tenggelam'. All for One, One for All!

Selain pengisian biasa berhubung aqidah, ibadah dan akhlaq, KRIS pada kali ini buat julung-julung kalinya memasukkan slot comparative religion atau perbandingan agama dengan menggunakan modul yang telah dibentuk oleh Persatuan Ulama Malaysia Urusetia Sabah (PUM Urusetia Sabah). KRU Penampang turut dibentuk dengan pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.

Percaya atau tidak, pasukan futsal lelaki terbaik SMK DPM - sekolah sukan negeri dan sekolah kluster kecemerlangan tewas dalam perlawanan persahabatan futsal menentang pasukan fasilitator lelaki! Kami tidak bisa kecundang! ('',)

KRIS Penampang ditutup dengan perarakan maulidurrasul dan ceramah yang disampaikan oleh Ketua Fasilitator, Saudara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. Puan Pengetua merasmikan penutupan, dan memberi respon positif terhadap program, selain memberikan keyakinan bahawa program-program sepertinya akan dipertingkatkan dengan bantuan kerjasama PSS.

Tahniah guru-guru, pelaksana, para fasilitator dan adik-adik KRU Penampang! Kami menanti masa dipanggil untuk kembali! Up, Up DPM!!

Laporan KRIS Penampang juga boleh dilihat di [laman blog SMK DPM].

Iklaneka : Kem Anak Soleh Taman Kuala Menggatal

Kem Anak Soleh Taman Kuala Menggatal akan diadakan pada 13 – 14 Mac 2010 di Surau Al-Ikhwan, Taman Kuala Menggatal. Semua ahli KRU dan PSS dijemput memeriahkannya bersama remaja setempat. Tentatif program adalah seperti berikut;


13 Mac 2010 ( Sabtu )

6.30 petang :

Solat Maghrib

Pendaftaran

Kuliah Maghrib

Solat Isya’


8.00 malam :

Makan malam

Pembahagian Kumpulan

Sesi Suaikenal (Modul : Ku Mengenalimu Lebih Daripada Yang Kau Tahu)

Latihan Dai’e Kecil 1 – ‘Kami Terhebat!’


8.45 malam :

Perkongsian 1 – ‘5 Cinta’


9.30 malam :

Slot Muhasabah – ‘Mencari Jalan Pulang’


10.30 malam :

Taklimat Adab-Adab Tidur

Bahtera Mimpi



14 Mac 2010 ( Ahad )


3.30 pagi :

Qiamullail dan Zikir Munajat


5.00 pagi :

Solat Subuh

Kuliah Subuh


6.00 pagi :

Riadah (Modul : Ukhwah Islamiyyah)

Senaman / Jogging Zikir


7.15 pagi :

Sarapan Pagi dan Khidmat Diri


8.00 pagi :

Perkongsian 2 – ‘Remaja Hari Ini’

Latihan Dai’e Kecil 2 - ‘Graf Kehidupan’


10.00 pagi :

Minum Pagi


10.30 pagi :

Perkongsian 3 – ‘Cemerlang Dengan Islam’


12.00 tengahari :

Solat Zuhur

Makan Tengahari dan Bersurai


Untuk maklumat lanjut hubungi Syafiq - 0148750783

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan