:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Wednesday, March 11, 2009

Program Pemantapan Aqidah Fasa 2, Pitas

Ahli-ahli PSS telah lama berkecimpung dan menerima latihan dalam bidang perbandingan agama, atau comparative religion, sehinggakan telah wujud satu kumpulan yang mampu membimbing masyarakat tentang asas persamaan dan perbezaan antara agama, khususnya agama Islam dan Kristian, dengan tujuan tunggal untuk mencari kebenaran dan mengeratkan persefahaman. Usaha ini telah dicetuskan oleh bekas ustaz di SMK Tebobon, Ustaz Abdullah Din dan kini giat diteruskan oleh sahabat-sahabat beliau, Cikgu Jamil (SMK Kolombong), Ustaz Khidir (SMK La Salle), Ustaz Amir (SMK St. Peter) dan Encik Nordin Saad (UMS) selain beberapa individu lain.

Hujung minggu lepas, ahli PSS sekali lagi dibuka peluang untuk mendalami cabang ilmu fardhu kifayah tersebut, dengan bimbingan dua tokoh terkenal perbandingan agama, iaitu Tuan Haji Ayub bin Abdullah dan Tuan Haji Nicholas Slyvester@Muhammad Abdullah, seorang bekas Pengampun Dosa Antarabangsa dan seorang bekas Tentera Kristus. Program Pemantapan Aqidah Fasa 2 ini telah diadakan di SK Pekan Pitas 2, dan merupakan kesinambungan program fasa pertama yang diadakan di Kota Marudu sebelumnya.

Wakil PSS yang diketuai oleh Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS dan pengelola blog perbandingan agama renung2fikir2.blogspot.com, bertolak sekitar jam 7 pagi ke Pitas. Salah seorang penceramah, Tuan Haji Ayub diberi slot untuk berceramah kepada saudara baru di Masjid Kota Marudu, dengan ditemani oleh seorang ahli PSS. Kehadiran begitu menggalakkan, dengan hampir 220 orang saudara baru yang hadir. Kami difahamkan mereka mengikuti kelas pengajian berkala setiap minggu di masjid tersebut, dan kehadiran saudara baru adalah konsisten seramai 200 orang setiap minggu. Tahniah JHEAINS Kota Marudu!

Ceramah Tuan Haji Ayub bersama saudara baru di Masjid Pekan Kota Marudu

Rombongan kedua bersama Tuan Haji Nicholas Sylvester meneruskan perjalanan ke Pitas bagi melangsungkan program utama di sana. Program selama 2 hari 1 malam itu, yang dihadiri kira-kira 100 orang ustaz, guru, pelajar dan penduduk dari daerah Pitas, Kota Marudu dan Kudat nyata memberikan input bermanfaat kepada para peserta program berdepan dengan pelbagai ancaman aqidah mutakhir ini. Ramai yang tidak menyangka bahawa wujudnya pelbagai persamaan antara agama Islam dan Kristian, yang mana banyak suruhan Allah juga terdapat di dalam Bible, misalnya suruhan berkhatan (Genesis 17:14), tegahan memakan khinzir (Lev 11:7-8), dan arahan bertudung (1 Cor 11:5-6). "Jadi, kalau orang Kristian tidak mengamalkan apa yang ada dalam kitab dia tapi orang Islam yang mengamalkan, maka mereka lebih Kristian daripada orang Kristian!" Tuan Haji Nicholas menyimpulkan, separuh bergurau.

Perpustakaan SK Pekan Pitas 2


Forum yang diadakan pada sebelah malamnya di Masjid Kampung Kalumpang, Pitas. Moderator ialah Ustaz Bungsu@Aziz bin Jaafar, dan panel ialah kedua-dua bekas paderi.

Misi PSS tidak berakhir setakat itu. Rupanya ada tugas lain yang Allah minta selesaikan. Pada hari pertama program, dengan tidak sengaja, seorang makcik cleaner di SK Pekan Pitas 2, Makcik Regina Dayari meluahkan yang beliau telah 18 tahun memeluk agama Islam tetapi tidak pernah mendapat bimbingan berkenaan Islam, lebih-lebih lagi setelah suaminya meninggal dunia. Apabila berhubung dengan pihak yang sepatutnya untuk bertanyakan perihal tersebut, beliau dilayan dengan kurang baik dan dituduh hanya mahukan wang. Pagi Ahad itu, dengan ditemani Encik Nordin, sedang yang lain sibuk berprogram, kami mencuri peluang untuk menziarahi Kampung Saab, tempat makcik tersebut tinggal. Menempuh perjalanan yang agak mencabar, kami disambut oleh beliau di sebuah rumah usang peninggalan arwah suaminya, yang kini didiami 8 beranak. Setengah jam di sana, kami dimaklumkan bahawa terdapat kira-kira dua puluh keluarga berbangsa Sungai yang tinggal di sana, yang selama ini teraba-raba mencari erti agama Islam setelah beralih dari agama pagan. Kami berjanji akan melakukan sesuatu. Kami mengatur langkah untuk pulang..

Merenung jauh masa depan dirinya dan anak-anak..

Penduduk Kampung Saab, kami tidak akan membiarkan aqidah kalian dinodai sekali lagi oleh manusia tidak bertanggungjawab, kami tidak akan merelakan kalian memandang remeh pada agama Islam dengan sebab sesetengah pihak yang sambil lewa melaksanakan tugas, dan kami sesekali tidak akan redha membiarkan kalian kembali kepada kegelapan!




No comments:

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan