:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Tuesday, December 28, 2010

Dakwah Tahu @ Dakwah Melulu?

Saya sempat bertanya pada Syeikh Nuruddin Al-Banjari dalam ceramah perdana yang diadakan di Surau An-Nur Bandar Baru Bangi beberapa hari lepas. Beliau membicarakan sepotong doa yang sentiasa diulangi oleh Baginda Rasulullah S.A.W, yang memohon daripada Allah supaya hidup manusia diterangi nur pada pendengaran, penglihatan, atas dan bawah, kiri dan kanan serta di dalam hati. Beliau menekankan aspek peri-pentingnya nur tersebut menaungi kehidupan umat akhir zaman, lagi dan lagi. Justeru di sesi soal jawab, saya mengambil peluang bertanya, apakah nur yang baginda maksudkan? Beliau menjawab, taqwa, ilmu dan iman. Apabila ditanya lanjut, apa pula nur yang paling ampuh melahirkan ikhlas dan meruntuhkan ta'ajub dalam berdakwah, beliau menjawab pasti, laluannya ialah dengan ilmu.

Justeru saya berasa penasaran, melihatkan budaya ilmu yang seakan-akan sudah tidak subur di dalam kehidupan insan mengaku dai'e pada hari ini. Datangkanlah alasan apa sekalipun, sibuk, tidak punya masa, malas atau tiada bahan, saya optimis segala kemungkinan bisa diatasi kalau hati berkata mahu. Apa beza Ali bermain bola di padang kampungnya dan Park Ji Sung bermain di Old Trafford? Apa beza Mak Leha menjual nasi lemak di Batu Sapi dan Donald Trump menjual hartanah di New York? Apa pula beza penulis picisan di blog ini dengan penulis-penulis hebat seperti Stephen Covey dan Buya Hamka? Selain pengalaman dan kemahuan yang tinggi, bezanya tentu sekali ilmu!

Dakwah bukan medan menyalurkan apa yang
kita dapat kepada orang seterusnya.

Pelik bagaimana kita mampu membentangkan hujah dan menghambur fikrah kepada madhu'u tanpa terlebih dahulu membedah intipati dakwah yang disampaikan, atau sekurangnya melakukan keduanya secara beriringan. Persisnya seperti Ji Sung yang mengajar orang bermain bola tanpa mengetahui cara mengambil sepakan sudut. Hairan bagaimana kita mengomel tidak punya bahan, tetapi untuk menggali khazanah cinta, sanggup meminta rakan menerbangkan buku Bercinta Sampai Ke Syurga dan Tentang Cinta jauh dari seberang. Ibarat Mak Leha yang mengadu tidak punya santan tapi mengimport daun pisang dari Samarinda. Musykil kabir bagaimana kita mengeluh tidak punya masa, tapi berkesempatan membelek DSLR sendiri atau DSLR rakan berjam-jam dan belajar menggunakannya. Tidak ubah seperti penulis blog yang mengambil masa berjam-jam menghias dan mencantikkan blog, tanpa mengorbankan masa untuk belajar bagaimana memperbaiki tulisannya.

Saya berpendirian proses menyelami dan membetulkan hati-hati manusia merupakan tugas paling sukar di dunia. Maka sekiranya memasak nasi lemak, menyepak bola dan menulis blog pun perlukan pengorbanan masa dan perburuan ilmu, berdakwah apatah lagi. Jangan saja menguasai maksud dan praktikal simplistik Islam, malah kaji dan terokai perkembangannya zaman ke zaman. Jangan saja cakap berdegar-degar hendak mengembalikan semula khalifah, malah selidiki bentuk dan idealisme mendirikannya semula pada abad ini, jangan hanya bercakap sini dan sana menjanjikan syurga, tapi ambillah ruang menyelami psikologi hati dan pemikiran manusia, lantas mendampinginya dan mengembalikannya langsung kepada fitrah kejadiannya.

Lebih daripada itu, dakwah bukan medan membodohkan
orang lain dengan benda yang kita tidak tahu!

Saya tertarik dengan cerita Ustaz Hasrizal dalam kuliahnya minggu lepas, berkenaan sebuah kuiz yang diadakan di kuliahnya di UIA. Pensyarahnya memberikan para pelajar sebuah peta Timur Tengah untuk dilabel, dan terbukti sebahagian besar pelajar mendapat kosong untuk kuiz itu. Saya mengambil peluang melakukan yang sama. Soalan saya mudah, wahai yang mengaku pembela dan pencinta syuhada di Palestin, yang tiap kali mengambil ibrah dari pertumpahan darah di sana dan menayangkan video-video intifadha...di manakah Palestin? 1-10?

Jika anda melabelkan mana-mana tempat di antara 1-10 sebagai Palestin, nah, selak semula omong-omongmu berhubung Palestin. Atau kalau itu terlalu sukar, cuba pula tunjukkan, di mana kedudukan Makkah dan Madinah dari sirah Madinah yang dipetik sehari-harian dan dibentangkan kepada madhu'u, malah tempat berdiri kiblat yang dihadap setiap lima kali sehari?

Tepuk dada, dan penuhi ia dengan ilmu dakwah yang berguna...

(Saya merendah diri memohon pembaca mencadangkan buku-buku dan bahan bacaan yang perlu untuk setiap dai'e, selain buku-buku konvensional yang sering diterokai. Untuk permulaan, saya mencadangkan buku warisan turun-temurun, 'How To Win Friends and Influence People' - Dale Carnegie.)

Monday, December 6, 2010

Masjid dalam Masjid

Sahabat-sahabat dari Pusat Dakwah Serantau (PDS)
Yayasan Amal yang gigih membantu.

Antara sahabat lama Kak Nada yang hadir. Yang berbaju biru
di tengah berdarah panas,menunggu masa.

Saya tidak pasti samada ia budaya yang telah lama dibuat di tempat-tempat lain, atau perkahwinan kakanda Qatr al-Nada dan Tariq tanggal 20 November yang lepas menjadi trendsetter atau sekurang-kurangnya trend kick-off. Apapun, saya kira mengadakan kenduri kahwin di dalam masjid banyak manfaatnya yang tersendiri. Selain mengimarah dan memulihkan fungsi masjid sebagai pusat kehidupan umat Islam, ia turut 'memaksa' hadirin menjaga tingkahlaku dan adab sopan kerana berada di rumah Allah. Hadirin yang menutup aurat, langsung tidak berlaku percampuran lelaki dan perempuan, beriktikaf sambil menjamah hidangan, solat tepat pada waktunya secara berjamaah setiap kali azan dilaungkan dan kawalan automatik terhadap tahap keligatan 'deejay' bertugas, selain menjimatkan ribuan wang sewa khemah, kerusi dan meja cukup untuk menjadi justifikasi.

Timbalan Presiden PAS antara tetamu yang hadir.

Jemputan duduk bersila di atas lantai,
menjamu hidangan dengan selesa.

Tetapi dua perkara yang secara peribadi saya paling suka, pertamanya ialah bilamana jemputan yang hadir dapat makan dan beramahmesra sesama mereka dalam suasana sangat selesa, duduk dengan aman dan nyaman sambil bercerita dalam halaqah. Malah ramai yang tidak segan-segan untuk bangun semula menjamu selera untuk pusingan kedua kerana lapar semula setelah terlalu asyik bercerita. Yang keduanya ialah bagaimana majlis sebegini membuka ruang kepada rakan-rakan bukan Islam mendekati masjid tanpa berasa janggal dan takut, melahirkan persepsi yang sepatutnya terhadap masjid dan fungsi masjid, serta kemurnian Islam sebagai rahmat sekalian alam. Jom benar-benar membina masjid di dalam masjid!

Barangkali keluarga Cina ini pertama kali menjejakkan kaki di dalam masjid.
Alhamdulillah, Islam Untuk Semua.

p/s : Terima kasih pada semua sahabat yang hadir. Ada rezki ketemu lagi.

Tuesday, November 30, 2010

Kem Briged Amal 2010


Tanggal 5-7 November yang lepas, Jabatan Amal Negeri Sabah sekali lagi mencipta sejarah apabila 32 orang remaja daripada pantai barat Sabah berkampung di Tambunan selama 3 hari bagi menjayakan Kem Briged Amal yang pertama sepertinya di Zon Pantai Barat. Remaja-remaja tersebut merangkumi peserta daripada Tuaran, Kota Kinabalu dan Tambunan sendiri memulakan perkhemahan di Masjid Tambunan pada Jumaat malam dengan menyantuni masyarakat sekitar pekan Tambunan. Dengan semangat dan tekad 'Beramal Kerana Allah', peserta mengunjungi restoran, stesyen minyak dan rumah penduduk untuk menawarkan khidmat percuma dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Keesokannya, disiplin para peserta dibentuk dengan latihan kawad kaki sebelum didedahkan dengan asas seni mempertahankan diri oleh jurulatih jemputan. Seterusnya mereka berjalan kaki sejauh 16km sambil menyiapkan tugasan yang telah diberikan untuk sampai ke tapak perkhemahan di Kampung Kaingaran. Kemampuan peserta berjalan sebegitu jauh mendaki bukit dan meredah jalan kampung wajar dipuji.

Kira-kira jam 11 pagi, para peserta yang telah tiba di tapak kem diarahkan mendirikan khemah masing-masing selain diagihkan tugasan memasak, menghantar envoy kepada penduduk kampung, mendirikan khemah utama, tandas dan menara kawalan. Khidmat 2 orang ahli pengakap Tambunan yang diketuai saudara Zul membolehkan para peserta mempelajari beberapa teknik ikatan dan kaedah mendirikan menara kawalan secara tidak langsung sepanjang perkhemahan.


Petang itu, peserta diajar menghasilkan gajet sebelum dibawa mengikuti aktiviti larian komando, dan mempersembahkan bakat berkumpulan di dalam Malam Kesenian pada sebelah malamnya. Hujan lebat yang turun menyebabkan sebahagian peserta mula sakit, walaupun masing-masing masih bertahan dan enggan meninggalkan tapak persembahan. Keesokannya, peserta melakukan aktiviti 'masak survivor', di mana mereka memasak tepung dan sardin,selain beberapa bahan mentah lain dengan menggunakan buluh dan kayu api. Aktiviti berakhir dengan 'war game' di mana ahli Amal diberi taklimat tentang penggunaan kompas dan asas navigasi, dan dilepaskan untuk mencari jalan masing-masing hingga sampai ke medan peperangan.


Majlis penutupan dan pentauliahan 32 ahli baru Briged Amal Zon Pantai Barat telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Amal Sabah, Saudara Saifuddin Ahmad dan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Jabatan Amal, Saudara Sabarullah Ishak. Ahli-ahli Briged Amal menyatakan azam dan berikrar untuk berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara pada bila-bila masa mereka dikerah dan dipanggil untuk 'Beramal Kerana Allah'.


*(Lagi gambar program di sini)

Monday, October 25, 2010

Bila Khatan Jadi Beban


"Kalau masuk Islam,kena potong tu bawah!" lawak yang sering dibuat oleh penceramah yang bercakap tentang pendekatan dakwah kepada bukan Islam, khususnya yang baru mahu memeluk Islam, dan biasanya diiringi dengan tegahan membuat kenyataan sedemikian, agar madhu'u tidak lari. Selama ini saya hanya memikirkan ia sebagai suatu gurauan, tetapi minggu lepas, terbukti ia bukan sekadar itu.

Kami sedang duduk di hadapan pegawai JHEAINS yang agak berumur. Semua dokumen telah tersedia untuk mengislamkan Christopher, seorang kenalan dari kampung Log Poring. Bersama saya ketika itu ialah abangnya yang sudah memeluk Islam 12 tahun lepas, beserta Timbalan Pengerusi ISEUMS, Saudara Asyraf yang menemani. Ustaz di hadapan telahpun memberikan sedikit pengenalan, bertanyakan tujuan menganut Islam dan sebagainya. Christopher membetulkan duduk, bersedia untuk melafazkan akad memeluk agam Islam. Tak semena-mena, ustaz JHEAINS tersebut membuat lawak terakhir sebelum mengajarkan dua kalimah syahadah,

"Kalau masuk Islam ni tu kepala bawah kena potong tau, bagi dia berbentuk-bentuk sikit."

Saya, Asyraf dan abang kepada Christopher, James ketawa berderai, cuba meringankan suasana. Tapi Christopher kelihatan kaget. Daripada kaget bertukar cemas. Setelah diam beberapa ketika dia memandang saya.

"Sunat tu wajib ke Ustaz?"

"Ya," saya menjawab ringkas. Christopher mula tak senang duduk. Dia memandang ke kiri dan kanan. Ustaz JHEAINS pun kelihatan terpinga-pinga. Tak sangka lawaknya akan meninggalkan kesan sebegitu kepada saudara yang baru hendak memeluk Islam. Christopher memandang saya semula.

"Ustaz, saya rasa kena bagi masa dengan saya seminggu dulu untuk berfikir."

Astaghfirullahala'azim. Kami beristighfar panjang.

"Takkan gara-gara itu saja kamu mahu tangguhkan masuk Islam? Sunat tu tak sakit pun, macam kena gigit semut ja," ustaz JHEAINS memujuk.

"Potong tu untuk kesihatan juga, kulit bahagian depan ja, bukan potong semua sampai habis," Asyraf meningkah.

"Kamu masuklah Islam dulu, kalau bertangguh nanti mati, tak sempat masuk Islam, macam mana?" saya berhujah.

"Nokuro ko? Au oku ngarati kau ti. Kada begitu!" abangnya memangkah.

Tetapi puas kami memujuk, Christopher tetap dengan pendiriannya. Dia tetap tidak mahu mengucapkan dua kalimah syahadah. Daripada satu alsan muncul alasan yang lain, sehinggalah akhirnya kami terpaksa akur dengan kehendaknya. Pulang dengan agak kecewa.

Mudah-mudahan hatinya akan terbuka juga nanti, dan mudah-mudahan para pendakwah akan lebih menjaga apa yang keluar daripada mulut kita!

Teringat Ustaz Nasaruddin Hassan bercerita perihal pendekatan dakwah penceramah tersohor Terengganu, Ustaz Azhar Idrus, bila dia ditanya oleh seorang mat rempit, adakah boleh dia membawa makwanya naik motor, merempit bersama-sama dengannya. Ustaz Azhar menjawab boleh, lalu seluruh audiens tercengang, kecuali mat rempit tersebut yang tersenyum lebar. Lalu Ustaz Azhar menambah,

"Tapi ada satu syarat. Syaratnya, bapak makwa kamu kena letak kat tengah-tengah seat tu, antara kamu dengan dia!" Audiens ketawa, termasuk mat rempit tersebut. Ustaz Nasaruddin mengulas,

Skil mengajar yang halus, mencapai matlamat dan dapat diterima semua pihak. Sebab tu, kuliah dia ribuan orang datang. Dan sebab tu juga, Facebook Ustaz Azhar lagi ramai fans dari saya!

Sunday, October 17, 2010

Biar Hidup Menderita, Asalkan Melayan Tuhan..

Berikut adalah sebahagian catatan pengembaraan PSS sepanjang Ramadhan yang lepas :

Program Jejak Muallaf dan Fakir Miskin Ramadhan siri 2 yang lepas di daerah Ranau menemukan kami dengan Kak Sarimah, yang asalnya didekati melalui anaknya Siraj, seorang pelajar Darjah Enam di SK Tampios. Siraj ketika itu sedang berteleku di balik dinding, baru dimarahi oleh ibunya kerana tidak bersama-sama berbuka puasa di surau. Saya menyapa dan dalam nada gurau, menyatakan hasrat kami menjadikan keluarganya sebagai keluarga angkat, cepat-cepat sebelum pembahagian dibuat oleh Ustaz Akhwan yang mengetuai rombongan Yayasan Amal. Siraj tersenyum lantas mendapatkan ibunya dan dengan serius, memujuk ibunya untuk membenarkan kami bermalam di rumahnya. Ibunya akur, dan dari situ bermulah bibit perkenalan kami dengan Kak Sarimah.

Kak Sarimah yang sentiasa tersenyum.

Malam itu kami bercerita panjang. Sejarah Kampung Tampios, Kampung Bito'on dan Kampung Nunuk Ragang di sebelahnya telah lama bermain di telinga. Tetapi alhamdulillah, baru kali ini kaki berjaya dijejakkan ke sini. Kak Sarimah mula membuka kisah hidupnya.

Tak disangka, auntie bertudung labuh ini asalnya adalah seorang pemimpin gereja SIB. Lebih dahsyat, setelah berkahwin selama dua tahun setengah dengan suaminya, seorang Murut India dan memeluk agama Islam, dia masih lagi pergi ke gereja, solat dengan cara Kristian malah mendakyah orang ramai mengikuti agamanya. Sampailah suatu malam, bila Allah memberikannya hidayah melalui mimpi, dalam bentuk saudara rapatnya yang paling kuat Kristian datang memberikan nasihat, dia terkejut dan berazam untuk bersungguh-sungguh mempelajari dan menyebarkan agama Islam, sehingga berjaya mengislamkan beberapa orang di sekelilingnya. Lalu dia menceritakan pengalamannya berdakyah ketika zaman SIB dahulu, bagaimana mereka sanggup berjalan kaki masuk ke kampung-kampung selama 8,9 jam menempuh hujan, panas, lapar dan dahaga demi menyampaikan ajaran SIB. Pegangan dan prinsip yang dipegang cukup mudah - 'biar hidup menderita asalkan melayan Tuhan'.

Siraj tersenyum mendengar celoteh Cikgu Johari yang
mengendalikan slot games pagi itu.

Siraj yang sejak tadi mendengar dengan khusyu' ibunya bercerita tiba-tiba terlentok tidur. Kak Sarimah mengusap kepala anaknya lembut. ''Masa kak mula-mula masuk Islam dulu, dia ni dengan kakaknya selalu kena pukul di kepala oleh pakciknya. Pakciknya selalu tanya soalan pelik-pelik untuk bagi dia takut dengan Islam. Tapi sekarang, kakak dia belajar di sekolah agama, dia yang tanya balik dengan pakcik dia pasal kekeliruan dalam agama Kristian. Kak Sarimah ketawa kecil. Kemudian menyambung cerita;

Di rumah sebelah ni ada seorang makcik. Dia muda sikit dari akak, dan dulu dia slalu marah kakak masa kakak dalam SIB,ugut kakak akan masuk neraka. Dia tu kira kuat Islam la. Maklumlah, bekas pelajar 5 tahun di SMU Tambunan. Tapi sekarang dah terbalik. Dia dah murtad dan jadi pemimpin gereja SIB. Kakak pula yang dakwahkan dia!

Astaghfirullah. Kami tersentap. Kalau pelajar sekolah agama 5 tahun pun boleh murtad, apa nasib pelajar-pelajar sekolah biasa? Esoknya kami berprogram di SK Tampios, sebelum meninggalkan kampung tersebut, serta janji akan membawa ahli-ahli PSS muslimat menuntut ilmu dakwah secara praktikal dengan Kak Sarimah. Mampukah kalian mengalahkan semangat dan kesungguhan seorang muallaf yang tidak pernah diusrah, ditamrin dan diprogramkan melainkan oleh 'tarbiyyah' SIB?

Sunday, October 3, 2010

Teknik Memori Smart Study

Kepada kamurang yg sdg study last2 minute tuk PMR, n yg akan menduduki apa2 exam lagi hujung tahun ni,saya kongsikan beberapa tips2 menghafal gaya motivator Encik Osman Affan dari bukunya Teknik Memory Smart Study. Bahan ni (bentuk gambar) Persatuan Siswazah Sabah (PSS) buat dalam bentuk ringkasan, n saya berbesar hati menerangkan apa yang saya faham kepada sapa2 individu,kumpulan pelajar atau skul yang berminat utk tahu lebih dalam. Jadi sapa yg brminat tahu lbih lanjut atau malas nak fkir idea untuk akronim etc gtaw ja pki fb ke apa ke,saya cuba bantu. Khususnya ahli2 KRU di semua tmpt samada dh daftar ke belum. Kamurng WAJIB berjaya. Minta izin kongsi ilmu ya Encik Osman...


(p/s: Posting ini menggunakan bahasa facebook.Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan saya cadangkan supaya terus ke sini)

Semoga Berjaya dengan cemerlang di dalam PMR,SPM,STPM dan peperiksaan akhir tahun selagi tidak meninggalkan solat, tidak membuka aurat dan tidak berbuat maksiat.Amiin.

Monday, August 16, 2010

Memberi,Manis Bicara Mulut Da'ie!

Seorang sahabat mengangkat tangan. "Ok takpa,saya sumbangkan RM100 untuk membeli baju-baju tu!" Sahabat-sahabat yang lain mengangkat tangan. Ada yang menawarkan RM100, RM 50, malah RM1000 pun ada. Masing-masing berkejar mendapatkan pahala MEMBERI di bulan Ramadhan. Malangnya yang hijau hanya harapan dan ilusi. Jumlah sumbangan kekal RM100. Yang memberi tersengih ghairahnya tidak bersambut. Cabarnya tidak bersahut. Maka terhadlah keupayaan berdakwah dan bersiasah pada jumlah tersebut, yang disumbangkan sang penuntut ilmu yang juga berkeluarga, membayar sewa rumah dan kereta, malah bergantung hidupnya pada biasiswa.

Tahap 'Infaq' Kristian

Saya banyak bercerita dengan Haji Nicholas Sylvester dan brother Shah Kirit Kakulal Govindji dalam siri Program Pemantapan Aqidah tentang sumber kekuatan gerakan Kristianisasi. kata mereka, hampir semua penduduk Kristian negara Barat membuat potongan gaji bulanan terus ke akaun gereja. Malah, sebahagian mereka termasuk di Malaysia menetapkan supaya KESELURUHAN gaji dimasukkan ke akaun gereja, kemudian memaklumkan jumlah yang perlu digunakan untuk bulan itu supaya disalurkan semula kepada mereka. Justeru barangkali lebih daripada separuh gaji mereka menjadi milik gereja setiap bulan!

Beberapa minggu lepas saya berprogram di Kundasang, dan bertemu seorang remaja penggerak ABIM. Dia memaklumkan bahawa sebanyak 25 kampung di sebuah kawasan pedalaman di Ranau telah murtad, keluar Islam secara jamai'e! Bukan 25 orang, atau 25 keluarga, tapi 25 kampung! Sahih atau tidak berita tersebut, ia cukup untuk menggetarkan rasa tanggungjawab kepada saudara seaqidah. Apa tidak, setiap kali aktivis dakwah masuk ke sana dengan bantuan-bantuan yang tidak seberapa dan kenderaan-kenderaan persendirian, dalam perjalanan pulang mereka akan berselisih dengan lori-lori yang membawa bantuan dari pihak missionari Kristian!

Tadhiyyah Berlengah-Lengah, Ukhuwwah Bakul Sampah!

Begitulah hakikatnya. Nilai tadhiyyah di kalangan orang Islam, lebih spesifik penggerak dakwah masih di tahap yang merunsingkan. Borak santai saya dengan beberapa orang individu tentang punca mereka tidak mahu berada di barisan depan dakwah dan siyasah, terus bertanding di dalam pilihanraya dan sebagainya mendapat jawapan yang sama. "Ukhuwwah di kalangan kita masih di tahap 'manis di bibir'. Kalau bertanding, menang, mujurlah. Kalau kalah, nah, pandailah-pandailah mengais-ngais mencari rezeki." Memang benar, awalnya semangat berapi-api, akan menginfaqkan Rm100 sebulan supaya 'si kalah' boleh hidup selesa dengan sekurang-kurangnya RM1000 sebulan. Masuk bulan kedua, ketiga, dapat RM100 pun mujur! Infaq bulanan yang tidak seberapa pun semput-semput, sampaikan sang murabbitun hidup mengharap simpati pada sahabat-sahabat yang hebat bersyarah erti memberi! Yang kalah, yang dikerah, semua dibakul sampah! Menidakkan? Cubalah..

Greg Mortenson & 3 Cups Of Tea

Menyinggah-nyinggah di blog sahabat-sahabat, terjumpa perihal si Greg Mortenson dan 3 cawan teh. Kisahnya tentang seorang lelaki yang sesat memanjat Gunung K2 di pergunungan Karakarom, lalu sampai di sebuah kampung bernama Korphe. Penduduknya semua Islam, dan Greg dilayan dengan begitu baik. Dia berazam untuk membalas budi penduduk kampung. Suatu hari, terkejut melihat puluhan kanak-kanak hanya belajar di atas tanah dan menconteng papan batu, Greg menanam tekad mengusahakan dana membina sebuah sekolah di kampung tersebut. Pulang ke Amerika, dia menjual segala hartanya kecuali kereta yang menjadi rumah, setor dan tempat makannya. Dia menghantar 500 surat memohon sumbangan dan berjumpa puluhan manusia kecil dan besar, lebar dan panjang mencari saluran mencapai tekadnya, tanpa membuahkan hasil. Hinggalah akhirnya...nah, carilah sendiri kesudahannya. Seluruh dunia telah mengetahui kisah 3 Cups Of Tea. Mungkin sudah sampai masanya kita mengambil secalit manfaat daripadanya. Bagaimana sang Kristian lebih besar tadhiyyah dan tekadnya untuk MEMBERI daripada sang kaki usrah dan tarbiyyah?

Patutlah sampai sekarang Islam belum menang di Sabah...


Tuesday, August 10, 2010

Risalah Ramadhan

*versi publisher di kotak 'Ilmuwan'

Thursday, July 15, 2010

KRU - 'DIA Dalam Cahaya'

Sudah bertahun-tahun DIA hidup sebegitu. Rumahnya tidak pernah mendapat elektrik. Mandi teraba-raba mencari sabun, masak menggunakan kayu api, tidur dalam kepanasan dan belajar menggunakan cahaya suram daripada lilin. Nasibnya tidak pernah diendahkan. Khabarnya jarang sekali ada yang bertanya. Bukan tidak ada yang peduli, tetapi DIA berat untuk berkongsi. DIA janggal menyusahkan orang lain. Ah, biarlah! DIA sudah serasi berkawan dengan malam. DIA sudah lali berbasah peluh di atas tilam. DIA sudah sebati bertemankan cahaya suram. DIA sudah biasa hidup dalam kelam...

Mujur nasibnya tidak kekal begitu. Mujur ramai yang terketuk hati. Mujur ramai yang masih sudi menghulur simpati. Mujur ramai yang masih mengerti. Malam itu, 13 Julai 2010, rumahnya disimbahi kerahan ukhuwwah sahabat-sahabat yang mahu terus memberi...

Set generator yang dihadiahkan kepada DIA,
hasil sumbangan penggerak-penggerak kempen Sinar 4 Sahabat

Terima kasih, KRU di pelosok negeri. Ponsikou, penyumbang-penyumbang kempen Sinar 4 Sahabat. Magsukul, hamba-hamba Allah yang masih sudi berkongsi. Syukran, insan-insan yang sanggup berbudi. Kalian pembukti, ukhuwwah Islam tempatnya di hati!

DIA, kau mendukung amanah kami membebaskan keluargamu dari belenggu itu! Mudah-mudahan kau istiqamah.

Tangki Air yang dihadiahkan kepada Surau Al-Aqsa, Kampung Kobuni Inanam
hasil titik-peluh KRU Tuaran & KRU Penampang dalam kempen 'Jom Remaja' Mei lepas.

Masih ada dua ahli KRU yang dikesan memerlukan bantuan generator. PSS menunggu maklumat dari kawasan-kawasan untuk menyalurkan bantuan kepada ahli yang memerlukan, dan meneguhkan tekad memelihara kebajikan penggerak-penggerak persatuan.


Sebutir Pasir

Aku bermula sebutir pasir
Terdampar di pantai kehidupan
Ditiup angin berterbangan
Dihembus ke kiri ke kiri
Dihembus ke kanan ku ke kanan

Tika ini
Hidupku tidak pernah sepi dari noda dan dosa
Tidak pernah sepi dari leka dan alpa
Lemas dalam jurang-jurang durjana
Tersasar jauh dari hakikat hamba

Suatu hari
Aku disapa Sang Pengembara
Aku diangkut ke medan mulia
Dibelai dakwah
Diusap tarbiyyah

Diriku diadun dengan airmata takwa
Disebati dengan tanah dan lumpur perjuangan pusaka

Lalu aku semakin teguh
Ditiang oleh aqidah
Disimen oleh ukhuwwah
Diteduh oleh atap mahabbah
Disusun dan diatur menjadi bangunan teguh yang tak bisa roboh
Tegak dan kukuh

Masa terus berlalu
Bangunan kian usang disalut debu
Di tapak kukuh mula tampak retak dan rekah
Debu putus asa dan marah
Retak oleh tarbiyyah ruhiyyah
Rekah oleh lemahnya thaqafah

Duhai pasir
Kau kini bukan lagi sebutir
Kau tidak boleh mengalah
Disisimu akan ada teman-teman yang sama melangkah
Yang sama bercita menuju mardhatillah

Duhai pasir
Jika kau hendakkan istiqamah
Jangan kau turuti nafsu serakah
Jika kau mahu kekal di jalan ini
Jangan kau cari cinta duniawi
Jika kau dambakan damai abadi
Jangan kau bergantung pada kasih insani

Carilah Ilahi

(nurilhakim, 5 September 2008)


Tahniah, Kelab Remaja Ukhuwwah. Perjuangan baru bermula. Teruskan melangkah..

Wednesday, July 14, 2010

Mahar Haji Nahar

Persatuan Siswazah Sabah dan Allahyarham Ustaz Nahar mempunyai sejarah yang panjang. Beliau merupakan penceramah kegemaran untuk pengisian berunsur tasawwuf. Malah, beliau pernah menawarkan untuk mengadakan kelas tasawwuf mingguan untuk ahli PSS, tetapi tidak kesampaian. Sejak awal bulan dua sehingga kini, PSS juga menyewa sebuah lot rumah untuk dijadikan pusat tuisyen dan pengajian Al-Quran Akademi Muhammad Al-Fateh (MUFAT) di bawah kendalian persatuan. Kali terakhir PSS berkongsi pandangan dan perancangan pembangunan remaja dan masyarakat Sabah adalah pada 10 Julai 2010, bersamaan hari Sabtu, sebelum beliau meninggalkan dunia fana ini dua hari kemudian. Perkongsian suka-duka bersama allahyarham boleh dilayari di hujung penulisan, sementara artikel ini mempunyai tujuan lebih khusus untuk menggugah semangat dan jiwa ahli PSS-KRU dan pembaca untuk membayar mahar pemergian beliau;

1. Mati itu sesuatu yang pasti, justeru setiap Muslim wajib 'merancang kematian'. Pastikan pemergian kita dalam keadaan sentiasa bersedia untuk meninggalkan keluarga berhadapan dengan ketiadaan kita, baik daripada segi emosi malah ekonomi. Malah Islam mengajar kita menyegerakan menulis wasiat dan mencatatkan segala rekod hutang-piutang, mudah-mudahan tiada amal yang tergantung dengan punca hutang yang tidak terbayar. Tarbiyyah Ustaz Nahar kepada keluarganya jelas digambarkan oleh kesabaran dan tenangnya isteri dan anak-anak beliau berhadapan dengan pemergiannya.

Sebahagian ahli keluarga dan kenalan yang mendoakan kesejahteraan allahyarham.

2. Kepulangan Ustaz Nahar menghadap Allah diiringi ribuan manusia sepanjang dua hari urusan pengebumiannya, membuatkan kita berfikir, bagaimana kematian kita kelak akan diterima? Barangkali orang gembira dengan kematian kita oleh kerana rosaknya akhlaq dan pekerti yang dimiliki, atau langsung tidak ada yang sudi menjenguk kita tatkala nazak. Na'uzubillah. Bagaimana pula kematian kita disambut oleh Munkar Nakir, dan kemudiannya Ridhwan dan Malik?

3. Antara yang merunsingkan penulis ialah apabila meneliti bahawa sebahagian besar hadirin yang bersama ketika majlis tahlil dan doa selamat tidak dapat membaca Al-Quran, lantas tidak dapat bersama mendoakan allahyarham. Tugas mengajarkan Al-Quran kepada umat adalah tugas asasi paling mudah yang perlu digalas oleh setiap ahli persatuan di setiap tempat dengan sedaya yang mampu. Malah, pelajar didedahkan dengan konsep berdoa dan bermunajat menurut Islam.

Anak sulung Ustaz Nahar, Nasyraf, pelajar tingkatan lama
di Sekolah Menengah Agama Inanam.
Beliau merangkul johan MTQ hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Terengganu tahun ini.

4. Anak-anak perlu sentiasa bersedia menerima pemergian orang tua dengan istiqamah melaksanakan amal soleh dan meninggalkan maksiat. Jangan sampai dosa yang dilakukan anak-anak mengheret ibubapa ke neraka. Lebih dari itu, anak-anak perlulah diasuh dengan keupayaan mengurus jenazah agar mereka mampu mengurus ibubapa apabila mereka meninggal.

5. Paling penting, ruang kosong yang ditinggalkan oleh Ustaz Nahar bukan pinta diratapi berterusan tetapi hendaklah diisi dengan usaha bersungguh-sungguh khususnya oleh anak Sabah, untuk menjadi ulama' muda yang haraki dan pendokong agama kelas pertama.

Maka jika tuntutan-tuntutan ini dipenuhi, terbayarlah mahar Haji Nahar dan tidak sia-sialah usaha dakwah bilhal dan dakwah turun padang berterusan yang didokong beliau. Semoga Allah menempatkan allahyarham bersama orang-orang yang soleh, Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Suka-duka bersama Ustaz Nahar di laman -

1. abunuha.wordpress.com
2. abuawatif.wordpress.com
3. mujahideen-islam.blogspot.com

4. kamarudintoyoas-sabahi.blogspot.com
5. hjnahar.blogspot.com

Friday, July 9, 2010

Piala Dunia Songsang


Setiap kali menyampaikan usrah, tazkirah atau mengisi mana-mana ruang dalam program seminggu dua ini saya akan memulakan dengan lagak serius..

'Kita hidup pada hari ini dalam dunia yang sangat songsang. Perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita tidak lagi mengikut fitrah kejadian yang sebenar. Yang kecik tidak lagi di bawah dan yang kuat tidak semestinya di atas. Malah, baru-baru ini kita digemparkan dengan dua peristiwa yang sangat menghairankan dan memeranjatkan seluruh umat manusia. Peristiwa tersebut ialah....' saya menghela nafas panjang bagi menimbulkan suasana dramatik, 'kekalahan 'Brazil kepada Belanda 2-1 dan kekalahan Argentina 4-0 kepada Jerman'. Ketawa audiens berderai. Kemudian saya menyambung, 'Mujur sahaja ego Jerman dapat ditundukkan oleh Sepanyol yang pasti akan menjadi juara Piala Dunia pada tahun ini.' Deklarasi yang tidak di'syura'kan bahawa Persatuan Siswazah Sabah menyokong pasukan Sepanyol di pusingan akhir.

Tujuan saya bukan itu. Perkongsian saya sebenarnya dipimpin ke arah keajaiban yang lebih besar yang berlaku pada bulan Rejab, bulan Piala Dunia ini iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj. Saya biasanya hanya menyebut sekilas peristiwa-peristiwa yang berlaku, daripada Rasulullah S.A.W dibawa ke Masjidil Haram, dibedah dan dibersihkan hatinya, sampailah baginda ke Masjidil Aqsa mengimamkan sekalian anbiya' dan mursalin di sana seterusnya diangkat ke Sidratul Muntaha bertemu dengan Allah dan diamanahkan dengan ibadah solat.

I'brah haraki yang terkandung dalam peristiwa Isra' Mi'raj meruntun penggerak-penggerak dakwah menilai intipati tersirat di sebalik peristiwa tersebut:

1. Pensyariatan solat secara terus oleh Allah kepada Nabi Muhammad menggambarkan betapa besar ibadah tersebut sebagai amalan tunjang yang menjadi kayu ukur keimanan dan benteng kekuatan umat Islam. Justeru sebagai da'ie solat tidak boleh dilengahkan dan pemahaman terhadap solat haruslah dipupuk dengan bersungguh-sungguh agar mesej besar di sebalik solat dapat disampaikan kepada madhu'u.

2. Tujuan Isra' Mi'raj antaranya ialah mengubat hati Rasulullah S.A.W yang berdukacita selepas kewafatan isterinya Khadijah Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib, dua orang yang paling gigih mendukung perjuangan baginda, selain kegagalan usaha dakwah yang dibawa ke Taif. Ia meyakinkan kita bahawa setiap kesusahan dan kerumitan yang dilanda oleh penggerak dakwah, pasti akan dituruti dengan kesenangan dan kegembiraan. Persoalannya bila? Tentu sekali apabila kita sudah cukup berusaha. Malangnya kita pada hari ini, belum pun berhadapan kematian orang-orang tersayang secara berturutan, belum pun berdarah-darah dilontar batu oleh penentang, sudah mengeluh dan mengadu susah berjuang.

3. Rasulullah tetap menyampaikan kebenaran peristiwa yang dialaminya walaupun baginda tahu bahawa mustahil untuk kafir Quraisy menerima berita tersebut dengan rasional akal. Hari ini pendokong dakwah merasa goyah dan takut-takut dengan apa yang mahu disampaikan. Susah bercakap meyakinkan orang dengan hukum hudud yang kalau mengikut logik akal sukar diterima, susah menasihatkan orang terdekat dan ahli keluarga yang jelas melakukan maksiat membuka aurat dan tidak bersolat, berkira-kira untuk mempamerkan akhlaq yang baik kerana takut dituduh 'temberang' dan sebagainya.

Kita optimis sebagaimana tumpasnya pasukan gergasi Brazil dan Argentina oleh pasukan 'underdog', gergasi nifaq, syirik dan batil turut akan rebah mengikut putaran alam, selagi mana usaha-usaha 'underdog' duta-duta kecil Islam daripada kalangan ahli KRU dan PSS khususnya, tidak mengenal erti jemu dan putus asa.

Selamat berjaya Sepanyol.

Tuesday, June 15, 2010

Jemaah Perikanan

Menghabiskan tempoh Latihan Industri di Bahagian Sosioekonomi Jabatan Pertanian Sabah ibarat menyertai jemaah baru. Jemaah Perikanan. Setiap masa kerja dan usaha kelompok ini adalah untuk memulihkan ekonomi masyarakat miskin tegar Sabah khususnya masyarakat nelayan. Malah usaha mereka kadangkala lebih hebat daripada kelompok ahli jemaah yang mendapat tarbiyyah formal. Kerja tanpa henti, merantau ke seluruh Sabah dan bekerja dengan gaji minima menjadi kebiasaan mereka, tanpa banyak merungut dan mengeluh. Hampir setiap hari dalam 4 minggu terawal bersama mereka dihabiskan dengan memproses borang untuk Program Peningkatan Pendapatan Nelayan di seluruh daerah Sabah. Menyedihkan dengan fakta yang menunjukkan betapa masih ramai penduduk bumiputra yang hidup jauh di bawah paras kemiskinan, terutamanya di daerah Beluran dan lain-lain daerah pantai barat, sedang 98% daripada mereka beragama Islam.

Beberapa minggu seterusnya akan dihabiskan bermula di Semporna-Kunak-Tawau-Lahad Datu sebelum bermatautin seketika di Pulau Omadal, Semporna. Mudah-mudahan ada manfaatnya kepada diri dan kepada penduduk di sana. Jemaah perikanan, selamat maju jaya. Kalaulah kalian dapat bersolat setiap waktu tentu kalian jauh lebih mulia daripada sebahagian besar mereka..

Pulau Omadal, menanti dan dinanti..(gambar hiasan, kredit kepada tukang ambil)..


Thursday, June 10, 2010

KRU - 'Hidup Tanpa Cahaya'


Persatuan Siswazah Sabah merasa terkilan apabila mendapat maklumat bahawa sesetengah ahli Kelab Remaja Ukhuwwah masih hidup 'di dalam kegelapan dan kesempitan'. Dalam kesibukan persatuan memulih kehidupan masyarakat kurang bernasib baik di serata pelosok negeri, tidak disangka-sangka bahawa kemahuan ahli keluarga persatuan sendiri menuju hidup baru yang diterangi oleh cahaya ilmu dan iman terhalang dek tidak mampu mengulangkaji pelajaran dan menelaah ilmu pada waktu malam. Malah, sebahagian ahli KRU terpaksa menghabiskan waktu cuti sekolah dengan menoreh getah dan bekerja demi membolehkan mereka meneruskan pengajian.

Menemui salah seorang ahli KRU yang hidup dalam serba kedhaifan, beliau menyatakan bahawa beliau terpaksa turun ke ladang getah sejak dihalau keluar oleh keluarga setelah memeluk agama Islam. Walaupun hubungan dengan keluarganya yang masih beragama Islam beransur pulih, beliau mengakui bahawa bapanya masih enggan menampung kos persekolahannya. Ditanya bagaimana beliau membiayai kos pembayaran yuran sekolah dan membeli buku, beliau tanpa segan menjawab, 'buku tulis tahun lepas masih banyak kosong di bahagian belakang'. Beliau juga membeli peralatan sekolah di awal tahun dengan menggunakan gaji sebanyak RM200 hasil bekerja di sebuah kedai makan selama sebulan pada penghujung tahun lepas.

Persatuan Siswazah Sabah menggesa ahli-ahli persatuan, khususnya ahli-ahli Kelab Remaja Ukhuwwah melancarkan kutipan sumbangan secara individu dan berkumpulan bagi membantu sahabat-sahabat ini atas dasar ukhuwwah, kebersamaan dan kasih-sayang yang selalu dilaung-laungkan. Persatuan Siswazah Sabah turut melancarkan Kempen 'Sinar 4 Sahabat' dengan sasaran menyelesaikan 2 kes di Tuaran dan 1 di Penampang yang dikesan setakat ini menjelang hujung cuti sekolah. Senarai PIC untuk kempen akan dipaparkan tidak lama lagi.

Hubungi saudara Nadir - 0198110964 untuk maklumat lanjut atau salurkan sumbangan terus ke :

Bank Islam : 10016010043186 (Persatuan Siswazah Sabah)

CIMB : 12180099132527
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman)

Maybank : 162263156276
(Muhammad Ruslan Bin Azahari)

Monday, May 17, 2010

Sayonara, Jijul..

Penulis mengenali Saudara Azizul Julirin sejak diperkenalkan oleh Saudara Burhanuddin di Masjid UMS. Ketika itu dia diperkenalkan kepada penulis sebagai bekas Pengerusi Surau Al-Irfa'an Kolej Matrikulasi Labuan; posisi yang turun-temurun dipegang oleh pimpinan yang hebat dan berwawasan. Ketika itu penulis bersungguh-sungguh memujuknya mengikuti kursus Sains Marin, berbanding kursus Akuakultur yang menjadi idamannya. Tetapi pendirian beliau sukar dilunturkan. Tekad menjadi Tokei Ikan Bertaqwa (ToIB) dipasang sejak awal, justeru perjalanan hidup telah sedia diatur langkah demi langkah.

Azizul menjadi Setiausaha Kerja kepada penulis ketika dilantik sebagai Pengerusi Ikatan Sahabat EKSAH (ISEUMS) yang pertama. Kekuatannya ialah memotivasikan mereka yang berada di sekelilingnya, khususnya melalui perkongsian daripada hasil bacaan di laman SaifulIslam.Com, yang menjadi salah seoarang role modelnya. Kemudiannya Azizul meneruskan langkah kepimpinan sebagai Exco Kepimpinan dan Latihan MPP sesi 2009/2010, dan berjaya melakukan beberapa perubahan yang agak drastik khususnya di dalam cara pengendalian Minggu Suai Mesra (MSM), di mana beliau menjadi Ketua Pengarahnya. Disiplin masa membolehkan Azizul bukan sahaja diiktiraf sebagai salah seoarang ahli MPP yang terampil di zamannya, malah pada masa sama beliau banyak menyumbang dalam agenda pembangunan dakwah di UMS khususnya, dan Sabah amnya melalui penglibatan dengan Kelab Remaja Ukhuwwah dan Persatuan Siswazah Sabah.

13hb Mei yang lepas, Azizul berlepas ke Osaka bagi menjalani Latihan Industri selama 3 bulan; suatu pencapaian yang hampir mustahil bila ditimbang-timbang tahap kesibukannya. Apapun, ia mengukuhkan nilai yang penulis amati pada Azizul-'kalau aku kata ya, maka aku pasti akan mendapatkannya!'

Jijul di lapangan terbang sebelum berlepas ke Osaka, Jepun.

Semoga Jijul selamat pulang ke tanahair. Kami menantimu..

Monday, April 26, 2010

Pelancaran Kempen Penggerak Tabung Harapan



PSS mengambil peluang melancarkan Kempen Penggerak Tabung Harapan kepada khalayak ahli-ahli baru KRU Tuaran yang mengikuti Kem Remaja Islam Tuaran pada 23-25 April 2010 yang lepas. Tabung Harapan yang membiayai persekolahan beberapa individu, membantu golongan miskin dan muallaf selain digunakan untuk menjalankan program kebajikan seperti Lawatan Kasih ke Hospital dan Kempen Satu Keluarga Satu Kampit Beras, sebelumnya hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai. Selepas ini, dengan pertambahan lebih kurang 80 Penggerak Tabung Harapan yang mendaftar di KRIS Tuaran, diharapkan usaha kebajikan yang dilaksanakan oleh PSS khususnya untuk membantu ahlinya sendiri semakin maju.

Tabung yang diedarkan dengan sumbangan mula RM1, beroperasi dalam bentuk simpanan wang lebihan penggerak tabung dan ahli keluarga. Setiap kali mengikuti program qiamullail bulanan, penggerak akan membawa tabung untuk diserahkan hasil kutipannya kepada ahli PSS atau KRU yang terlibat. Walaupun Tabung Harapan dikendalikan di peringkat pusat, ahli-ahli PSS dan KRU digalakkan untuk memohon sumbangan bagi menyelesaikan kes-kes kemiskinan khususnya yang mengancam aqidah di tempat masing-masing. Penyelaras PSS dan KRU di setiap kawasan diminta melancarkan Kempen Penggerak Tabung Harapan di tempat masing-masing ketika KRIS dijalankan. Kempen akan mempertandingkan:

1. Jumlah penggerak paling ramai (kategori kawasan)
2. Jumlah kutipan bulanan paling banyak (kategori kawasan)
3. Jumlah kutipan bulanan paling banyak (kategori individu)

Setakat ini Tabung Harapan membiayai persekolahan dan kehidupan beberapa orang muallaf di daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Tambunan dan Sepanggar.

Untuk maklumat lanjut hubungi Timbalan Presiden PSS di 0198110964.

Monday, April 19, 2010

Afiq dan Afieqah

Selesai program Study Group dan Sambutan Hari Lahir KRU Penampang (KRUP), PSS meneruskan perjalanan menziarahi keluarga adik Afiq dan Afieqah di Kampung Kivatu. Ziarah tersebut adalah hasrat Cikgu Jamil, bekas setiausaha Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Urusetia Sabah yang pernah menguruskan kes keluarga Afiq. Turut serta ialah beberapa orang ahli KRUP, wakil Jawatankuasa KRU KK, Saudara Hannafi Muktah dan Haji Ahmad, orang lama Kampung Kivatu yang banyak membantu menghubungkan keluarga Afiq dengan pihak PUM sebelumnya. Adik Afiq tinggal bersama ibu, adik perempuan, datuk serta neneknya sejak ibunya diceraikan oleh bapa beliau pada tahun 2002. Ibunya, Puan Ruzana Abdullah@Rowena Chin, berbangsa Sino Kadazan, memeluk Islam sejak tahun 1996 apabila berkahwin dengan suaminya, seorang Muslim berbangsa Brunei.

Ahli KRU Penampang yang baru pertama kali dibawa menyelami
susah-payah kehidupan masyarakat di sekeliling mereka.

Tindakan suaminya melepaskan tanggungjawab memberikan nafkah kepada keluarga menyebabkan Puan Ruzana mengambil keputusan bekerja bagi menyara Afiq dan adiknya Afieqah, sehinggalah beliau disahkan menghidap penyakit Giant Cell Tumor pada tahun 2004. Pada tahun sama, beliau terpaksa diterbangkan ke Kuching bagi menjalani pembedahan di kaki kiri, sebelum kaki kirinya dipotong pada tahun 2006 kerana gagal diselamatkan.

Kini Puan Ruzana dan dua anaknya tinggal bersama-sama ibu dan bapanya yang beragama Kristian, dan bergantung kepada keduanya untuk menyara kehidupan mereka bertiga. Kedua ibubapanya yang telah uzur membanting tulang empat kerat mencari rezeki bagi memastikan mereka mendapat sesuap nasi setiap hari. Bekas suaminya yang dipercayai berada di Labuan, tidak dapat dihubungi sehingga kini. Dalam pertemuan ringkas tersebut, PSS sempat menyampaikan sedikit sumbangan untuk keluarga Puan Ruzana. Lebih mengharukan, Puan Ruzana sempat meluahkan hasrat supaya Afiq dan Afiqah dibawa mengikuti program keagamaan yang dianjurkan PSS, selain diajarkan cara solat dan membaca Al-Quran.

Puan Ruzana, Afiq dan Afiqah menerima sedikit sumbangan
yang disampaikan Saudara Hannafi Muktah.

Nenek Afiq (paling kanan) tumpang gembira dengan sumbangan yang disampaikan.
Beliau yang kini terpaksa bekerja menyara mereka semua.
"Ini anak bongsu saya," ujar beliau tidak mahu melepaskan tangan Saudara Hannafi.

Ini adalah kes kedua seumpamanya diuruskan PSS, di mana lelaki Muslim yang tidak bertanggungjawab mengambil isteri daripada kalangan non-Muslim, dibawa menganut Islam tetapi ditinggalkan di pertengahan jalan tanpa bimbingan dan rasa bersalah. PSS mendoakan supaya golongan ini dibuka pintu hatinya untuk kembali bertaubat, sebelum menemui pengadilan dan azab Allah di hari akhirat kelak. PSS mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan untuk keluarga Afiq dan ibunya yang sedang mencari biaya untuk kaki palsu berharga RM20,000.oo, dan mendoakan agar Puan Ruzana sekeluarga kekal di dalam agama Islam walaupun terpaksa bergantung harap kepada ahli keluarga yang belum beragama Islam , dan hidup dalam suasana bukan Islam demi meneruskan kehidupan.

Saturday, April 17, 2010

Study Group + Sambutan Hari Lahir KRU Penampang




Alhamdulillah usaha PSS membangunkan akademik adik-adik KRU Penampang (KRUP) sejajar dengan pembangunan akhlak dirintis melalui pelaksanaan program Study Group KRU Penampang di Perpustakaan Awam Penampang pada 17 April, jam 8.30pagi -12.30 tengahari tadi. Program diteruskan dengan sambutan hari lahir ahli KRUP di Restoran rasmi KRUP, Restoran Mazuin di Pekan Penampang. Tahniah kepada adik-adik yang hadir, dan terima kasih kepada abang-abang dan kakak-kakak yang datang membantu!

Lagi gambar dan maklumat di [link]

Risalah : Tips Study Last Minute


Wednesday, April 14, 2010

'Kg. Bakau - Sejarah Kg. Suluk Berulang Lagi'

Penulis bersama-sama beberapa orang rakan pernah turun menyantuni masyarakat Kg. Suluk di Likas kira-kira dua tahun dahulu apabila rumah mereka dirobohkan. Ketika itu penulis menjadi Exco Kerohanian dan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar UMS, sekaligus Pengerusi Ikatan Sahabat EKSAH UMS. Asalnya tinjauan yang dilakukan bertujuan untuk bertemu orang kampung dan bertanyakan khabar mereka, memandangkan 'kemusnahan' secara tiba-tiba terhadap tempat tinggal mereka dapat dilihat dengan jelas bilamana penulis melepasi bulatan Yayasan Sabah ke Kota Kinabalu. Tetapi apabila melihat keadaan penduduk yang terbiar, dan tiada pilihan selain bertahan di balik runtuhan rumah masing-masing untuk berlindung daripada panas dan hujan, penulis tidak sampai hati membiarkan mereka bersendirian. Justeru meskipun tanpa restu pihak universiti yang bimbangkan keselamatan kami, bantuan dan sumbangan dikumpulkan melalui semua saluran yang ada, dan syukur alhamdulillah, penduduk di sana sekurang-kurangnya mendapat bekalan makanan dan pakaian untuk beberapa hari.

Sejarah Kg. Suluk berulang lagi. Sejak 12hb April 2010, perobohan rumah penduduk bermula pula di Kg. Bakau. Penulis difahamkan tujuannya ialah untuk menghapuskan perumahan setinggan PTI dan imej kampung tersebut yang kotor, tetapi pelik bunyinya kerana majoriti penduduk merupakan pengundi berdaftar, dan merupakan pengundi tegar BN. Lebih pelik lagi, kampung tersebut pernah memenangi pertandingan Kampung Terbersih anjuran DBKK sendiri sebanyak beberapa kali. Maka barangkali benar apa yang dikatakan seorang pemimpin masyarakat tempatan, bahawa keadaan kampung sekarang berpunca daripada pihak kerajaan , yang dengan tindakan mereka mengancam sejak dahulu untuk merobohkan kawasan tersebut, menyebabkan penduduk mahu tidak mahu menjaga keselesaan dan kecantikan tempat mereka sendiri.

Apapun isunya, penulis tegas berpendapat tidak ada manusia yang layak dibiarkan hidup bergelandangan. Tidak ada kanak-kanak yang sepatutnya terpaksa berteduh dibawah runtuhan rumah sendiri. Tidak ada perut yang boleh dibiarkan berlapar semata-mata kerana dapur mereka telah diranapkan. Penduduk Kg. Bakau tidak diberikan pampasan, dan rumah sewa yang ditawarkan kepada mereka di Telipok Ria, walaupun sudah dibayar sewa dan kos membaiki kerosakan, rata-ratanya tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. Malah, tandas di rumah flat kos murah itu bocor di tingkat sebelah atas, menyebabkan apabila jiran membuang air besar, penghuni di bawah terpaksa menadah hasilnya!

Beberapa penduduk yang sempat ditemubual mengakui kecewa dengan sikap kerajaan yang menghalalkan cara dan membelakangkan perikemanusiaan untuk mencapai matlamat, termasuklah Adun Karambunai, Datuk Jainab Ahmad yang hanya menabur janji manis tetapi langsung tidak kelihatan sepanjang operasi perobohan. Mereka mengakui diri mereka hanyalah semut-semut yang tidak mampu bangkit melawan 'kegajahan' kerajaan.

Malangnya buat pihak yang berkuasa, bukan semua rakyat berasa kecut dan rendah diri untuk berhadapan dengan pihak kerajaan. PSS bersama rakan-rakan NGO akan terus tetap membela nasib marhaen yang terhimpit, dan menyeru pihak lain mengambil tindakan sewajarnya bagi menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang tertindas. PSS mengalu-alukan sebarang bantuan dalam bentuk kewangan dan lain-lain bagi meringankan beban penduduk Kg. Bakau.

Keadaan Kg. Bakau yang dirobohkan.

Adik Ian, salah seorang mangsa perobohan yang sudah tidak nampak
halatuju masa depannya. Sebelum ini dia mengikuti kelas Al-Quran di bawah PSS.

Penduduk kampung hanya mampu berteleku memikirkan hari esok.

Masjid Nurul Huda di Kg. Bakau, tidak lama lagi hanya akan tinggal kenangan.

Ibu tua ini mengadu nasib 6 orang anak-anaknya yang masih bersekolah,
selain anak bongsu berusia 9 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Anggota RELA yang tidak bersalah. "Kami hanya menurut arahan."

Sumbangan anda sangat diperlukan. Salurkan ke akaun :

Bank Islam PSS - 10016010043186
CIMB Timb. Presiden PSS - 12180099132527

Penulis ialah Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah.

Sunday, April 11, 2010

Syukran Abi, Che di Bawah Bayu

Syukran kepada parents yang sudi menjengah anak yang jauh di perantauan, walaupun hasrat asal berjumpa dengan supervisor untuk bertanyakan perihal anak yang tak pandai-pandai habis belajar dan pulang ke tempat asal tidak kesampaian kerana cuti Good Friday. Kehadiranmu dihargai, kepulanganmu diratapi, ketiadaanmu menghantui.

Jika orang lain lebih gemar bersantai dan membuang masa, seorang ibu (bertudung biru) lebih selesa dibawa menyelami gelora roh dakwah di Sabah dan kehidupan masyarakat tempatan.


Bergambar kenangan di SMK Pulau Gaya.

Fawaz, sepupu yang tinggal di Kinarut juga dibawa menjejaki perjuangan sedari kecil.

Ku nukilkan serangkap pantun untuk ayah bonda, jauh dari sudut hati terus ke pentas realiti;

Keras dan teguh kayu gaharu,
Sungguh sesuai dibuat perahu.
Biar di dunia kita merindu,
Asalkan di syurga kita bertemu.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan