:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Sunday, February 20, 2011

Harga Sepatah Kalimah (Siri 2)

Seorang kanak-kanak kecil menjerit-jerit di tengah souq. Saya tidak dapat menangkap butir bicaranya, tetapi dengan sebuah alat penimbang di depannya, saya yakin dia sedang memanggil orang ramai untuk ditawarkan khidmat menimbang berat badan. Sesekali dia berlari berpusing-pusing, bertawaf mengelilingi 'senjata mencari rezkinya', cuba melawan sejuk yang mencucuk. Umurnya tidak lebih lapan tahun, dan kanak-kanak seusianya barangkali sedang menonton Teletubbies atau The Simpsons di rumah. Tidak jauh dari tempatnya, dua orang beradik menghampar alas plastik dan riuh mempromosikan yo-yo, anak patung dan pelbagai alat mainan yang lain, cuba mencari sedikit habuan bagi membantu ibubapa masing-masing mengupayakan hidup. Persis di Sabah, bezanya ibubapa mereka di sini barangkali terdidik dengan agama, justeru tidak ada kanak-kanak yang menjual rokok dan kertas judi. Mereka inilah teman saya bercerita, dan daripada mereka saya memecahkan benteng malu berbahasa arab, bercakap merangkak-rangkak dan memerah otak memahamkan mereka apa yang cuba disampaikan dengan kosa kata yang terbatas. Ada yang bertanya kenapa saya gemar mendampingi kanak-kanak, jawapan saya mudah. Mereka saluran kepada dakwah yang paling mudah. Melalui kanak-kanak kami berjaya mengadakan majlis ringan-ringan untuk penduduk setempat sempena maulidurrasul, melalui mereka kami mengenal waqi' dan budaya tanpa takut melukakan mana-mana pihak, dan melalui mereka kami berjaya pula mengenali sang bapa dan ibu untuk diluaskan lingkar kebaikan, untuk mereka dan untuk kami lebih-lebih lagi.

Paling penting, servis mereka murah. Cukup dengan sebiji syawarma atau sepotong halawiyyat. malah selalunya majjaanan. Lebih-lebih lagi bila imbal baliknya begitu besar. Saya merasakan betapa banyak kesilapan dan kebaikan dibalas tunai di sini. Yang terlalu banyak bercakap mengeji ilmu dan ilmuwan di'bisukan' dengan batuk, yang membuka aurat di'gatalkan', malah handset saya sendiri 'lesap separuh' mungkin sebagai balasan suka mengata sang sahabat yang asyik berleter mahu membeli handset baru setiap kali melewati kedai handset. Lebih dari itu, tabarru' atau derma kecil-kecilan yang disumbangkan samada kepada peminta ihsan atau kanak-kanak, telah beberapa kali dibalas lumayan oleh Allah. Mudah-mudah sahaja ahli bait kami dihulurkan wang tabarru' yang kadang-kadang mencecah 500 lira (sekitar RM50) semata-mata untuk menaiki teksi ke tempat talaqqi Al-Quran yang tak berapa jauh dari rumah setiap pagi.

Mudahnya, sekali lagi kami di sini dipaksa melatih diri untuk belajar dari persekitaran. Mengambil iktibar dari sunnatullah dan alam. Bercakap ketika perlu. Bermurah tangan dan hati untuk memberi. Menadah ilmu dengan gelas kosong. Kullu syai' faminallah. Setiap sesuatu itu datangnya daripada Allah. Yakin dan pasti.

Teman bercerita, peniaga-peniaga cilik. Abdul Jabbar, Abdullah dan Abdul Azim.

Kanak-kanak menjual tisu, kain lap lantai dan mop meja di Souq Halawiyyat.
Tiada yang menjual rokok dan nombor ekor.

Bergambar bersama Syeikh Talaqqi Quran, Syeikh Abassam (berkopiah putih).

Ziarah maqam Saidina Bilal di Bab Soghir, di tengah-tengah kota Dimashq.

Pemandangan yang menyenangkan. Remaja antara ribuan yang hadir di
talaqqi mingguan Syeikh Jabir Din di Jami' Abu Nur.

Tabarru' paling berharga daripada syeikh quran Syeikh Abassam-tasbih miliknya,
setelah menghadiahkannya baju batik yang dihadiahkan kepada saya oleh Abi
setelah dihadiahkan oleh anak murid Abi kepadanya. Panjang salasilah pahala baju batik tu.

Sebentar tadi sempat bercerita dengan salah seorang mentor di sekolah menengah, Teacher Norkiah. Dia bertanya tentang masa depan saya, adakah belum pasti apa yang mahu dibuat dan bagaimana mahu dihabiskan usia, kerana masih di perantauan mencari 'sesuatu' yang mungkin belum ditemui setelah merantau di Sabah selama beberapa ketika. Saya menjawab, bukan tidak tahu apa yang mahu dibuat, tetapi terlalu banyak yang mahu dan perlu dibuat, sehingga tidak mampu disusun secara pasti oleh akal. yang pasti, sekarang masih masa untuk mempersiapkan diri untuk masa depan yang akan dipenuhi segala perlu dan mahu. Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan.

5 comments:

SG said...

Masya ALLAH.....

nurilhakim said...

Alhamdulillah :)

Anonymous said...

2 situasi yg hampir sama, tapi dibezakan dgn Islam yg mendidik.

Teruskan mendidik kami dgn tulisanmu bro.

Unknown said...

1. Nak gak tgk abg nadir komen link ni...
2. Ingat tak time p tgk budak2 gelandangan di Kg Air?
3. x paham la title image yg terakhir tu...

nurilhakim said...

Sedih kan bro ink.ksian anak2 dunia.ada yg miskin harta, ada yg miskin agama, ada yg miskin dua2.enta pun trus mendidik dgn pena dan tenaga.mudah2an sampai masanya ada saham utk kita. :(

asrarqulub,
1.dah komen dh link tu.kne ada yg trus dilatih utk takeover posisi2 anak2 smenanjng yg kian dikosongkn.

2.ingat.lma dh bertangguh utk buat post tu.mungkin nanti abg blh upload gmbr2 utk tgk beza dua benua.

3.gni alkisahnya.dlu2 msa kat malaysia anak murid ayah abg bg baju batik kat dia.ayah abg bg kat abg.abg bwa p sni n bg kat syeikh quran abg.dia xtau nak bg apa lalu kluarkn tasbih dia n bg abg.berharga,sbb masyaikh ni tak pernah stop berzikir dan meratib pakai tasbih tu.moga abg dpt ikut tabiat tu.amin :)

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan