:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, August 27, 2011

Lailatul Qadar Berdarah

Imej serangan ke atas Jami' Rifai'e usai qiamullail pagi tadi, daripada Al-Jazeera.net


Kisah ini bukan rekaan. Fokusnya ialah krisis iman. Dalam diri saya, dan dalam diri kamu umat Islam.

Zaman-zaman jadi motivator dulu saya suka sampaikan satu cerita kepada peserta. Cerita tentang seekor beruk, yang tinggal di atas sebatang dahan. Beruk tersebut kerjanya menggenggam erat dahan tersebut, takut-takut jatuh. Lagi kuat badai yang datang, lagi kemas genggamannya. Begitulah dia bertahan sampai suatu hari, angin tidak bertiup kencang, tapi menghembus lembut, sepoi-sepoi bahasa. Si Beruk menutup mata, melayan sapaan manja angin di pipinya, terhuyung-hayang mengikut tiupan angin, lalu genggamannya di dahan terlepas. Si beruk jatuh terhempas ke bumi, otaknya pecah lalu tamatlah riwayatnya.

Kehadiran saya sejam setengah lebih awal daripada sepatutnya disambut sekitar 6000 orang jemaah. Jami’ Rifaie memang juara dalam menghimpunkan jemaah pada malam 27 Ramadhan. Dihidupkan suatu masa dahulu oleh allahyarham Syeikh Karim Rifai’e dan diteruskan oleh anaknya Syeikh Usamah Rifai’e, kedua-duanya terkenal thabat menentang kezaliman dan kebobrokan rejim hafiz al- assad, ayah kepada presiden sekarang, bashar al-assad.

Program yang dimulakan dengan bacaan Hizib Nasr, lalu diteruskan dengan Hizib Nawawi, menggetarkan jiwa bagi yang menghayati makna bacaannya, lalu esak tangis dan rintihan merayu bantuan Allah berlanjutan ke solat sunat tahajjud dan qunut nazilah. Tangisnya ada melodi, naik ketika imam mendoakan kesejahteraan rakyat dan bumi Syam yang telah didoakan sebelumnya oleh Nabi, dan semakin naik apabila didoakan kebinasaan ke atas musuh-musuh Syam dan Islam.

Usai solat, makanan sahur diedarkan. Beberapa sahabat lain yang terlihat kelibat saya menghampiri, lalu kami duduk di balik tiang jami’, membancuh minuman dan mula menjamah.

Baru segelas air dihabiskan, laungan takbir dan slogan-slogan anti-kerajaan tiba-tiba memecah kesunyian. Keadaan mula menjadi hiruk-pikuk. Yang berani berlari ke belakang jami’, menyertai demonstrasi yang telah tercetus. Yang terkejut berlari ke arah syeikh, berharap-harap mungkin mendapat perlindungan. Yang tenang meneruskan menjamah sahur. Memang demontrasi telah dijangka. Sebab itu Syeikh menamatkan qiamullail awal dan melarang jemaah menunggu hingga ke Subuh. Selepas sahur, terus balik, pesannya. Mereka menamakan malam ini Lail Suqutul bashar – Malam Kejatuhan bashar. Anjing kerajaan pun beratus-ratus ekor sudah menunggu di luar sejak tarawih lagi.

Saya berpesan kepada beberapa orang sahabat untuk menjaga beg saya, sebelum saya bergerak ke belakang jami’ untuk meninjau keadaan. Belum sempat sampai, demonstran berlari masuk semula ke dalam jami’. Bunyi tembakan kedengaran. Demonstran dan anjing berbalas-balas membaling apa sahaja yang boleh dicapai tangan. Senjata paling bisa, minuman botol kaca yang disediakan sebagai santapan sahur. Keadaan makin kritikal.

Saya bergegas balik ke tempat asal untuk mendapatkan sahabat-sahabat, mahu bertanya pendapat apa yang patut dilakukan. Hampa. Beg saya duduk tersengih seorang diri di sebelah makanan yang belum terusik. Wajah Malaysia satu pun sudah tidak kelihatan.

Pertama kali momok-momok ukhuwwah melibatkan ahli seusrah dan setamrin menghantui saya ialah pada demonstrasi petroleum terakhir di KLCC tahun 2007. Ketika FRU menyerang saat itu, sahabat-sahabat yang lain lari meninggalkan diri dipijak, ditackle dan digari. Tapi sekurangnya mereka menunggu sepanjang separuh hari saya dilokap dan tak putus bertanya khabar. Episod kali ini, entah mereka tahu atau tidak saya berada dalam lokap atau sedang menulis dari alam kubur, kerana sampai sekarang mereka belum bertanya khabar. Unik.

Seorang pakcik mula menghalau saya keluar daripada jami’ untuk menyelamatkan diri. Saya bergerak ke pintu depan, tetapi tembakan yang dilepaskan memaksa kelompok kami berundur. Pakcik tadi lalu menyuruh ke pintu belakang. Di luar. berkaki ayam, tertunduk-tunduk mengelak hujan kaca, rupanya jalan tersebut tidak selamat dan turut dikepung anjing yang menghayun bebas belantan. Saya berlari menyusup di celah kepungan, lalu BAMM!! Sedas pukulan padu belantan sesat hinggap di belakang badan. Kalau terkena tulang boleh retak. Kalau terkena kepala boleh pecah. Mujur hanya badan yang menjadi mangsa.

Kelihatan seorang demonstran tersungkur di kaki sekumpulan anjing, dipukul tanpa belas kasihan, merayu-rayu dimaafkan. Saya tidak dapat membayangkan betapa azab apa yang sedang dilaluinya.

Bebas daripada kepungan, makin jauh meninggalkan jami’, saya berhenti. Memandang ke belakang. Gambarannya seolah medan perang. Jerit-pekik manusia bertakbir dalam ketakutan. Darah membasahi lantai jami'. Tembakan bertubi-tubi. Apa nasib mereka yang ditinggalkan??? Yang ditumbuk lunyai dan dipijak tendang?? Yang dihempuk kaca dan dihentam belantan? Yang diheret ke markas anjing berdekatan? FRU mula menyerang masuk jami’ dari tingkat atas- rehal, rak dan penutup bekas minuman menjadi perisai para demonstran.

Terkesima. Apakah saya sedang membelakangi medan pertempuran? Apakah nilai tangisan dalam qunut nazilah yang baru sekejap tadi diaminkan? Apakah retorik mahu syahid seperti ahli Badar di bulan Ramadhan? Apakah tahap sebenar iman?

Ampunkan saya duhai Rasulullah, kerana membiarkan umatmu ditebas dan diinjak seperti lipas. Ampunkan saya duhai ahli Syam yang hak mereka dikebas. Ampunkan saya duhai anak-anak Palestin yang tanah mereka dirampas. Ampunkan saya duhai umat Islam yang sedang tidak putus ditindas.

Bisa pukulan belantan bukan pun berbekas. Selipar yang hilang bukan dibuat daripada emas. Tapi ternyata di depan ujian yang kalian hadapi setiap hari, saya bacul dan tumpas.

Si Beruk itu menggambarkan keadaan umat Islam sekarang. Apabila diuji, mereka akan menggenggam erat-erat kepada Islam yang ada di hati mereka, memohon sungguh-sungguh kepada Allah menyelesaikan itu dan ini, beribadah khusyuk-khusyuk agar doanya makbul. Tetapi dalam keadaan nyaman di zon selesa, mereka lalai lalu culas dalam melaksanakan tuntutan agama. Maka hancur-berderailah Islam yang dilepas dan terhempas.

Kamu hanya akan mengetahui tahap iman kamu, bilamana kamu teruji. Kamu dan saya. Kerana yang tidak melaluinya, tidak akan pernah merasainya. Ya Allah, engkau telah mencampakkan bacul dan takut ke dalam hatiku. Janganlah bersamanya kau campakkan perasaan tidak peduli.

Saya menuntut kalian pembaca supaya mendoakan ahli Syam yang telah ditangkap dan kemungkinan besar sedang diseksa-siasat. Mendoakan syeikh yang terlantar di hospital. Mendoakan umat, yang kerana cintakan dunia, dan takutkan mati, sebagaimana yang saya baru rasai, takut untuk bangkit membantu saudara-saudara mereka.

Cukuplah menjadi beruk, jangan jadi beruk yang tidak ada rasa peduli.

4.00pagi,

27 Ramadhan,

Bait Setinggan, Medan, Syria.

Friday, August 26, 2011

Nur Ramadhan - Demascus

Antara lagu terindah dalam mengejar baki-baki Ramadhan..

Lagu: Nur Ramadhan
Artis: Demascus

Edry
Rap
Rindukan rahmat tuhan
Harap belas kasihan
Terungkap kata
Hati bersuara
Rintih luahan insan
Semalam berlalu pergi
Terlalu sepi
Tak dapat di nafi
Hati terus mencari
Damai yang pernah
Singgah pelengkap
Tahun melengkap jauh
Jauh ke sudut kalbu
Tersusur harapan
Menanti ramadhan
Mengharap butir ampun

Miff
Verse 1
Terasa begitu cepat
detik waktu berlari
dan musim pun berganti

Miff
Verse 2
Tak sempat ku merenungi
dalam wadah maknawi
Nur Ramadhan yang pergi

Amal
Pre Chorus
Aku mengunyah butir debu-debu
Yang garing di kebun tamarMu

Iki
Chorus
Terlalu mudah aku melepaskan Ramadhan berlalu
Tanpa walau secubit rasa kerinduan berbekas di kalbu

Fa
Bridge
Musafir yang damba Ramadhan
Menanti dengan getar rindu tertahan
Menyambutnya penuh kesyukuran
Menatang rahmat iman di lembar al-Quran

Omitted Words
(Di siang yang menyala
Berlapar dan dahaga
Sedikit tak terdera hanya rasa cinta
Di cermin bahagia

Kalimah yang diutus
Mengalir tak terputus
Di malam nan berkabus doa-doa kudus
Mengisi tafakur)

Edry
Rap
Pernah kutinggalkan kau
Tanpa beralas syukur
Lalu lebur peluang terkubur
Rindu kemudian subur
Pernah ku abai nikmat
Damai yang hadir hinggap
Kini kusingkap tirai dan tingkap
Perbetul tiap silap
kan kupastikan ramadhan
Berlalu dengan makna
Tarbiyah taqwa tersisip
ke tiap inci nyawa
Ku bimbang tiada esok
Untuk ku sambut lagi
Bulan tercinta pendamai jiwa
Limpah rahmat Ilahi

Debar Lailatul Qadar MALAM INI!

Ramadhan - 3 HARI LAGI!

Thursday, August 25, 2011

Di Sana Aku Mampu

Menunggu mengantuk datang, fikiranku mula jauh melayang, memikirkan hal masa dan peristiwa, sakit dan dunia derita, mempersoal diriku di mana berguna.

Somalia sedang berdepan masalah kebuluran terburuk sejak tahun 1992,dengan 3.7 juta rakyat diancam kebuluran, selain terdedah kepada masalah perang saudara.

Aku berangan berada di Somalia, menyuap rezki ke mulut dahaga, mengusap kepala dan tubuh rangka mangsa suasana, memujuk dan meyakinkan mereka, hari esok masih ada.

Letupan bom dan pembunuhan 77 rakyat Norway, khususnya remaja pada 22 Julai lepas asalnya disalahkan ke atas orang Islam sebelum terbukti dilakukan oleh Anders Breivik, ahli parti haluan kiri.

Aku bermimpi menapak di Norway, menjenguk kesan letupan durjana, menziarahi mangsa di balik pintu gereja, mengetuk hati yang diracun bisa, bahawa Islam mengajar mulia, bukan membunuh dan menyeksa, seperti selama ini disangka.

Hamzah Al-Khateeb, antara kanak-kanak yang syahid di tangan rejim Bashar.
Beliau disiksa dan kemaluannya dipotong sebelum dibunuh.

Aku berkhayal berjalan di Hama, Homs, Dara'a, Palestin, Iraq dan Libya, memerhati zalim angkara penguasa, mengumpul marhaen yang mencari merdeka, mengajar membina harapan baru di atas runtuhan batu dan jiwa.

Pengisian Ramadhan di Kampung Ragkam, Tambunan tahun 2010.

Lalu Aku termangu, betapa jika aku di SANA aku mampu, mampu menyuap makanan ke mulut yang memerlukan, mampu memberi kefahaman pada yang kekeliruan, mampu membina harapan atas zalim tangan kerajaan. Di bawah bayu, aku dan kamu, mampu melakukan semua itu. Semoga disaratkan hati aku dan kamu, untuk terus mahu.

Tahniah, dan terus berjuang, mereka yang gigih bekerja di Ramadhan ini. Pemuda, PSS dll.

5 HARI LAGI!

Monday, August 22, 2011

Pecutan Lari Daripada Neraka




Jemputan fastabiqul khairat, berlumba mengejar kebaikan tidak mengira usia.

Panasnya terasa membahang. Suasana akhir zaman memang mengundang itu. Jemputan ke neraka lebih banyak daripada laluan menuju syurga. Muslim dan mukmin menyiapkan diri untuk pecutan saat akhir. Pecutan menuju garis penamat taqwa, dan menjauhi bahang neraka. Kelihatan telah ada pelumba yang jauh di hadapan. Tak kurang yang telah kepenatan, menyerah nasib kepada takdir untuk dijilat api neraka. Pit-stop kali ini menandakan sepertiga terakhir perlumbaan.

Ustaz Hafizullah Muda dalam perkongsiannya bersempena Program Ihya’ Ramadhan Persatuan Pelajar Malaysia Syria membawa pendengar membeli-belah di Madrasah Ramadhan. Di kiri kanan kelihatan pelbagai promosi, ada yang telah expired, sedang sebahagian masih valid. Promosi ibadah habis-habisan untuk mendapat rahmat Allah di sepertiga pertama sudah tamat. Promosi keampunan dosa di sepertiga kedua pun telah tamat. Yang melepas memang rugi.

Tapi dahsyatnya makin ke penghujung, promosinya semakin hebat. Yang tidak mendapat rahmat, yang keciciran keampunan, rupanya ditawarkan pakej akhir, bebas daripada api neraka!

Ya Allah jauhkan kami daripada mengejar promosi
yang salah di malam-malam akhir Ramadhan.

Lalu butir hikmah daripada Ustaz Hafizullah menegaskan, biarpun promosinya banyak, tapi bukan promosi yang mahu dikejar. Yang mahu dikejar, ialah produk yang dipromosikan. Kalau yang dikejar ialah promosi, maka tamat tempoh promosi, tamatlah keghairahan mendapatkan produk. Sedangkan mesej Ramadhan melahirkan insan taqwa, memerlukan istiqamah yang melangkau expiry date promosi! Kun Rabbaniyyan, Wa La Takun Ramadhaniyyan, tema Ihya' Ramadhan 1432H berbunyi. Kita mengejar untuk menjadi hamba Allah yang sempurna, bukan menjadi hamba Ramadhan!

Rupanya dalam sibuk muslim dan mukmin lain berlumba menjauhi bahang, di garisan penamat sudah ada yang menunggu. Hairannya yang menunggu itu seperti masih mahu berlari. Tali ikatan di pinggangnya diketatkan. Malah anak isterinya digamit untuk berlari bersama. Anak-anak dikendong, isteri dipimpin. Lalu lariannya tiada henti, tiada lelah dan tiada jemu, walaupun di wajahnya ada tanda lesu dan kakinya sudah bengkak-bengkak biru . Siapakah gerangan pelari itu?

Disebutkan di dalam hadis riwayat Aisyah, bagaimana Rasulullah S.A.W pada 10 hari terakhir Ramadhan, akan mengetatkan tali ikatan kainnya (mengurangkan makan), mengejutkan ahli keluarga untuk beribadah malam dengannya dan jarang sekali meninggalkan masjid kecuali dengan keperluan. Peliknya, kenapa yang sudah confirm menang dan berjaya, yang sudah sampai garisan penamat, masih berlari tak henti, sedangkan yang baru mahu bermula masih terhegeh mencari rentak?

On your marks, get set, GO!! Prriiiit! Wisel telah berbunyi! Jom mulakan larian!

Tips meraih kejayaan membebaskan diri daripada api neraka :

1. Pastikan amalan fardhu dilaksanakan secara sehabis sempurna, khususnya solat. Melewatkan panggilan azan setelah mendengarnya seolah berkata kepada Allah “Lepak la dulu, tak nampak ke aku sibuk ni?”. Berusaha sedayanya untuk solat di saf pertama, kerana Rasulullah bersabda yang mafhumnya, kalau manusia tahu kelebihan orang yang solat di saf pertama, nescaya mereka akan bergaduh untuk mendapatkannya.

2. Santuni sunnah Rasulullah S.A.W untuk menjiwai larian baginda di penghujung Ramadhan. Biasakan memakai jubah putih, siapakan kayu sugi untuk digunakan setiap kali sebelum solat, gunakan minyak wangi sebelum ke masjid, kurangkan makan, kurangkan makan, kurangkan makan.

3. Campakkan diri keluar daripada kebiasaan. Pindah ke rumah kawan jika perlu. Ubah tempat tidur daripada atas katil ke atas lantai. Senyum dan bagi salam pada semua orang. Botakkan kepala sebagai simbolik mencukur dosa semalam. Buat apa sahaja untuk mengingatkan diri, aku sedang dalam perlumbaan!

4. Lipatganda amalan sunat. Perbanyakkan mentadabbur Al-Quran di setiap waktu dan tempat, dengan berbekalkan Al-Quran tafsir. Basahkan lidah dengan zikir tanpa henti, dengan berbekalkan tasbih di tangan, menggantikan telefon bimbit. Bersedekahlah walaupun dengan sebiji tamar.

5. Bina diri untuk tidak berhenti berlari setelah Ramadhan selesai dengan memasakkan amalan asas harian sebagai kebiasaan yang berterusan.

Saya terbaca kisah seorang lelaki yang langsung tidak beribadah melainkan pada malam 27 Ramadhan, dengan keyakinan dia mendapat ganjaran malam Lailatul Qadr, dan itu cukup untuk menghapus dosanya yang lalu, lalu menjanjikannya syurga. Pandangan itu jelas batil, tetapi sekurangnya membaca kisah tersebut, membuahkan keazaman. Azam saya, untuk menjadikan 10 malam terakhir ini lebih terisi oleh tadabbur, sedekah, qiam, zikir dan amalan sunat daripada 20 malam sebelumnya! Al-Fatihah.

Kerana botak itu indah.

8 HARI LAGI!!

Sunday, August 14, 2011

Peristiwa Ramadhan dan Relevansi Semasa


Intipati Kuliah Subuh Ihya' Ramadhan PPMS 2011

Penceramah : Ustaz Khalidi

Tokok Tambah : JK Pengisian Ihya' Ramadhan PPMS 2011

1. Saya tidak hadir ke sahur jamai’e kerana Nabi tak sebut sahur nasi lemak tapi Nabi sebut sahur dengan tamar.

2. Puasa tiga jenis (imam ghazali) – awam(hanya lapar dan dahaga),khawas (menahan semua benda dari benda yang membatalkan puasa), khawasul khawas (puasa para Nabi dan Rasul)

3. Nuzul Quran


- Bulan Ramadhan satu-satu bulan yang disebut dalam Al-Quran, dan adalah maklum bahawa apa yang disebutkan secara khusus di dalam Al-Quran mempunyai keistimewaan yang besar.


- Disebut juga diturunkan di bulan ini Al-Quran. Masyhur disebut Al-Quran diturunkan pada 17 Ramadhan (Nuzul Quran).


- Antara tanda Qiamat – Quran ditarik dari bumi.


- Matlamat membaca Al-Quran ialah penghayatan melalui tadabbur, bukan berlumba siapa paling banyak khatam.


- Quran diturunkan kepada Nabi secara berperingkat selama 23 tahun sedangkan Taurat, Injil dan Zabur diturunkan sekaligus. Tujuannya ialah supaya dapat diperhatikan apa yang telah turun sedikit demi sedikit. Adapun ayat yang melibatkan tingkahlaku individu, perlu cuba untuk diamalkan.


- Kemenangan umat terdahulu walaupun kuat berdepan mehnah, adalah berpunca kerana kuatnya berpegang kepada Al-Quran.


- Lalu usaha menjatuhkan umat ialah dengan menjauhkan orang Islam daripada Quran melalui Ghuzwatul Fikr (5S – Sex, Smoke, Screen, Sports dan Songs)


- Semua perkara disebutkan di dalam Al-Quran, sebagaimana kisah Tok Guru yang menjawab persoalan anak muridnya yang bertanya adakah diajarkan cara membuat roti canai di dalam Al-Quran, dengan menjawab ya dan membacakan ayat,




‘Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.’ (Al-Anbiyaa’ : 7)

4. Ghuzwah Badar Kubra


- Di dalam Surah Ali-Imran disebut peristiwa Badar. Diceritakan bagaimana Allah menolong ahli Badar. Dalam Al-Quran juga disebut ‘berapa banyak kaum yang sedikit mengalahkan kaum yang ramai’.


" Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 249)


- Kerana itu setiap kejayaan jangan lupa disandarkan kepada Allah. Surah Al-Anfal juga antara surah banyak memberi semangat jihad. Jadi sila bacalah.

5. Fathu Makkah


- Peristiwa yang diatur rapi strateginya oleh Nabi, sehinggakan para sahabat termasuk Abu Bakar dan Aisyah pun tidak mengetahuinya. Juga dalam peristiwa ini disebutkan kisah Hatib bin Abi Balta’ah yang membongkar rahsia negara dengan mengutus surat kepada ahli keluarganya di Mekah.


- Rasulullah s.a.w mendapat wahyu tentang pengkhianatan Hatib bin Abi Balta’ah, lalu mengutus Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam untuk bertanyakan kepada Hatib bin Abi Balta’ah tentang berita tersebut.


- Setelah Hatib bin Abi Balta’ah menceritakan perkara sebenar kepada Rasulullah s.a.w, lalu Umar bin al-Khattab meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk membunuh Hatib bin Abi Balta’ah.


- Maka Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Allah telah mengampunkan dosa-dosa orang yang menyertai perang Badar.


- Kerana itu dalam perjuangan perlu berhati-hati (hazar) kerana tujuan manusia berjuang macam-macam.


- Dalam peristiwa ini juga Abu Sufyan,sepupu Nabi memeluk Islam.

Wednesday, August 10, 2011

Semoga Engkau Kami Kenang

Petang tadi saya menangis dalam mimpi. Saya menangis bersama beberapa orang sahabat ketika sedang membaca Al-Quran, tetapi dukacita bukan kerana membaca Al-Quran. Kami sedang duduk di ruang solat sebuah masjid, sebelum bersetuju untuk berpindah masuk ke bilik rehat di masjid tersebut memandangkan tangisan kami menarik perhatian jamaah lain.

Masuk ke bilik tersebut, suasana yang tadinya hening tiba-tiba menjadi gamat. Dia dan dia bermain dan gelak ketawa, bergurau-senda entah kenapa. Saya menjadi bingung, lalu terjaga.

Mimpi itu bermain-main seketika di dalam pemikiran, lalu saya menangkap, ia terjemah daripada apa yang sedang saya fikirkan sebelum terlelap.

Berita pemergian sahabat usrah, Saudara Zahid bin Syafie Zuhur tadi dalam kemalangan jalan raya pagi tadi di Terengganu cukup mengejutkan. Beliau meninggal di tempat kejadian. Walaupun baru seketika mengenalinya, dan jarang sekali bertemu di luar daripada usrah, saya cukup ingat sosok tubuh kecil itu. Saya ingat beliau, khususnya pada perkongsian kisah-kisah pejuang agama yang berkorban dan syahid di jalanNya. Lontaran perkongsiannya keras dan bersemangat, mengenangkan yang mendengar bahawa beliau anak didik Tuan Guru Haji Abdul Hadi, lepasan Darul Quran Rusila. Akhirnya beliau mengikut jejak tokoh-tokoh yang selalu diceritakannya.

Yang mengejutkan saya juga, betapa berita itu zahirnya diterima oleh semua. Masih ramai yang bertanya apa menu berbuka. Masih ramai yang menghantar lawak jenaka. Masih ramai yang mengajak bercerita dan berkongsi kisah alpa. Berita ini bukan berita puluhan Arab yang mati dalam demonstrasi ditembak tentera kerajaan sendiri setiap hari. Berita ini berita kematian seorang sahabat yang telah berjanji setia dengan darah dan aqidah untuk hidup dan mati di jalan dan hadaf yang sama. Betul kata orang, banyak sangat berlaku kepelikan dan kematian di akhir zaman, menjadikan ia biasa, menumpulkan deria dan rasa.

Saya ingat ketika di sekolah dulu, setiap malam Jumaat saya akan memberi amaran kepada penghuni asrama yang malas-malas untuk duduk bersama membaca Yaasin di surau sekolah. Saya sebutkan "Kalau kamu malas membaca Yaasin pada hari ini, nanti orang lain akan malas membacakan Yaasin untuk kamu ketika kamu mati esok lusa. Allah Maha Adil". Hari ini, saya takut jika saya menerima berita kematian dengan bersahaja, mati saya kelak juga sekadar angin lalu. Pilunya tidak sempat meninggalkan bekas berparut pada hati yang mendengar. Khabarnya tidak memberi nafas segar pada jiwa yang berjuang.

Kalaupun yang pergi tidak dirasai sebagai adik dan abang kita, sekurangnya ambillah iktibar daripada kisah Nabi berdukacita atas pemergian Khadijah dan Abu Talib. Sedih baginda bukan kerana mereka isteri dan pakcik tercinta, tetapi sedih baginda kerana hilang dua permata berharga dalam jalan dakwahnya yang masih panjang.

Dan pemergian engkau wahai adikku Zahid, juga adalah kehilangan permata berharga. Doakan hati kami dibuka untuk merasainya. Al-Fatihah.

Kalau dapat diputarkan masa, saya akan mengambil semula gambar ini dengan sempurna. Gambar kabur+separuh Zahid (paling kiri, berbaju merah) di dalam program ifthar jamai'e usrah kami pertengahan tahun ini.

Saturday, August 6, 2011

Fizik Menjawab Kemelut Terbesar Ramadhan

Ramadhan telah tiba. Bulan Perubahan ini, sesetengah menanam tekad menjadi lebih warak daripada sebelumnya. Sekelompok memasakkan azam menambahkan satu dua amalan yang tidak dilakukan pada tahun lepas, dan sekelumit meyakini, inilah titik perubahan seluruh hidupku.

Gumpalan hasratnya satu, menjadikan Ramadhan ini lebih baik daripada Ramadhan lalu. Tetapi tidak semua punya upaya menggagahi syaitan terbesar yang terperuk di dalam diri, tidak diikat dan tidak ditali.

Saya sendiri, memulakan Ramadhan tidak sebagaimana yang diharapkan.

Hari pertama berpuasa, menolak jemputan berbuka oleh muwajjih (pendaftar di maahad), kemudian jemputan oleh teman usrah, semata-mata untuk merasai seronok berbuka bersama ahli bait. Sampai di rumah, kosong. Ifthar hari pertama, membelek sebiji dua kurma seorang diri, dan meneguk susu. Keluar rumah, bau masakan harum daripada rumah jiran dan suara keluarga ketawa ria berbuka bersama.

Selesai Maghrib, turun menunggu bas untuk ke lembah, menunaikan janji bersolat tarawih di Jami’ Bab Musolla bersama teman usrah. Setengah jam menunggu, bas tidak sampai hingga ke azan Isya’. Kecewa, solat di Jami’ Nablusi berdekatan. Terhimpit di celah remaja yang balik-balik sendawa mengeluarkan bau syawarma di kiri, dan pakcik mulut berbau rokok di kanan. Imam membaca dua muka setiap rakaat tarawih sehingga terketar-ketar lutut. Pulang, bercerita dengan sahabat-sahabat di tanahair yang sibuk mengatur program Jelajah Ramadhan tanpa saya seperti tahun-tahun sebelumnya. Dan seterusnya.

Hati-hati remaja Pitas yang disentuh Ramadhan lepas.
Mereka dilatih menjadi YB di kawasan sendiri.

Bukan sebaik permulaan, lebih buruk lagi macam-macam perasaan yang bergayut dan bergeyantangan lama selepas itu dan ini berlalu.

Kebanyakan manusia, sukar untuk mengubah gaya hidup di bulan mulia ini, melainkan selangkah dua kecil perbezaan yang akan ditinggalkan sebaik sahaja anak bulan Syawal kelihatan. Tidak dapat meninggalkan dosa, hati resah gelisah dan terjebak kepada perkara sia-sia, perkara biasa. Lalu saya cuba mencadangkan beberapa penyelesaian melalui fizik, meraikan anak-anak generasi sains tulin.

  1. Hati yang kosong, tidak boleh tidak akan tetap terisi, menepati konsep fizik, zarah mengisi ruang. Justeru hati yang tidak dipaksa isi oleh Al- Quran dan zikir, sunat tarawikh dan qiamullail khusus di bulan Ramadhan, akan automatik terisi oleh zarah malas, keinginan melakukan maksiat, buruk sangka terhadap Allah dan resah gelisah. Begitu juga ruang masa yang dibiarkan kosong, akan terisi dengan perkara yang cuba dielakkan. An idle mind, is the devil’s workshop.

Isi hati dan masa di bulan Ramadhan, Bulan Al-Quran dengan membaca dan mentadabbur ayat Quran, selain memperbanyakkan amalan sunat lain.

روى الإمام أحمد والطبراني (( الصيام والقرآن يشَفِّعان للعبد يوم القيامة، يقول الصيام: أي ربِّ منعته الطَّعام والشّهوة فشفَّعني فيه، ويقول القرآن: منعته النوم بالّيل فشفّعني فيه، قال :فيُشفِّعان))

“Puasa dan Quran adalah syafaat untuk hamba di Hari Qiamat, berkata Puasa : Wahai Tuhan, Engkau menegahnya (hamba) daripada makan dan syahwat, maka berikanku syafaat untuknya, dan berkata Quran : Wahai Tuhan, Engkau menegah nya (hamba) daripada tidur di waktu malam (untuk bersahur dan qiamullail), maka berikanku syafaat untuknya. Maka Allah berkata : Aku berikan syafaat kepada kedua-duanya.”

Budaya membaca Quran hidup di Syam termasuk di kalangan kanak-kanak.
(gambar curi dari Google)

  1. Konsep interferens memusnah menyebutkan, untuk setiap gelombang membina yang bertemu gelombang memusnah pada satah yang sama, ia akan terhapus. Begitu diajarkan kepada kita oleh Nabi dalam hadisnya :

روى التِّرْمِذِيُّ : عنْ أَبِي ذَرٍّ جُنْدُبِ بْنِ جُنَادَة، وأَبِي عَبْدِ الرَّحْمنِ مُعَاِذ بْن جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَن رَسُولِ اللهِ صلّى الله عليهِ وسلَّم قالَ : (( اتَّقِ اللهَ حَيثُمَا كُنْتَ، وأَتْبِعِ السَّيّئةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وخالقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ ))

‘Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah keburukan dengan kebaikan menghapuskannya, dan berakhlaqlah sesama manusia dengan akhlaq yang baik.’

Taqwa adalah guard pertama, tetapi bila terlajak, iringkan setiap dosa tersebut dengan taubat dan kebaikan bagi menghapuskannya.

Dosa (kecik) + Pahala = Suci

  1. Ramadhan di Syam, sinonim dengan istilah memukat. Memukat membawa maksud ‘solat tarawih dengan khusyuk dan ikhlas lalu menerima tabarru’ daripada pakcik-pakcik yang berdekatan.’ Kegiatan ini dilakukan di beberapa jami’ (masjid) terpilih, dan skil-skil mendapat ‘tangkapan’ yang banyak..tidak dikongsikan di sini. Dukacita akhir-akhir ini, kenaikan harga barang dan ketakutan rakyat untuk berhimpun menyebabkan hasil tangkapan pelajar Malaysia makin berkurangan. Keyakinan saya berhubung isu ini merujuk hukum gerakan Newton ketiga yang menyebutkan, bagi setiap objek yang bertindak ke atas sesuatu objek, akan ada daya yang sama bergerak menentangnya tetapi berlawanan arah. What you give, is what you get back. Ramadhan, bulan memberi, bukan bulan menerima!
Ceklat dan kurma untuk budak-budak di bulan Ramadhan.

Jom ubah Ramadhan kita, kerana iman akan sentiasa berada dalam keadaan pegun, atau bergerak (meningkat) dengan halaju malar, melainkan wujudnya daya yang bertindak ke atasnya! Siapa tahu, hukum Newton ke berapa tu??

Disclaimer : Penulisan ini belum ditahqiq oleh pakar fizik Dr. Syazwan Adzhar yang tidak kelihatan di radar.

Hadiah untuk bakal calon SPM, himpunan konsep dan teori fizik di sini. Bacaan umum tentang Islam dan Fizik di sini.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan