:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Sunday, August 31, 2008

Perutusan Pengerusi ISEUMS

Perutusan Pengerusi ISEUMS; Menyambut Roh Kemerdekaan dan Ramadhan Dalam Satu Nafas


Tidak lama lagi akan bertemu dua tarikh yang penting buat umat.Tarikh yang mungkin menandakan pusat cetusan taufan perubahan buat mahasiswa. Pertemuan yang diharap menghasilkan gelombang pada paksi yang selari dan sejajar supaya natijahnya ialah gelombang membina, dan bukan pada satah positif dan negatif yang menghasilkan gelombang memusnah, mendatar dan kosong. Penghayatan jiwa kemerdekaan dan roh Ramadhan harus diadun dalam satu denyut nadi, dirasai dalam setiap tarikan nafas, dan dizahirkan dalam setiap gerak laku dan tindakan. Perubahan lazimnya tidak disukai oleh manusia, tetapi hakikatnya perubahan yang membentuk peradaban, perubahan yang membina ketamadunan dan perubahan yang menghasilkan manusia yang lebih berkualiti, rohani dan sosial, intelek dan moral, dunia dan akhirat.

Dengan kesedaran dan semangat ini maka wajib tanpa ragu kita menggunakan medan Ramadhan ini sebagai medan perubahan, dalam suasana kita memaksa diri menahan diri daripada sebarang bentuk maksiat zahir dan batin, dalam usaha kita menegah rakyat yang diamanahkan sebagai pinjaman kepada kita yang berupa anggota tangan, lidah, kaki, kemaluan, perut, mata dan kaki daripada tergelincir melakukan larangan, dan dalam suasana kita cuba melatih diri meningkatkan ibadah dan kualiti ibadah, menghayati erti pengabdian pada Sang Pencipta yang Maha Berkuasa menggerakkan perubahan dalam diri kita. Jika medan ini bukan medan pilihan untuk kita berubah, maka tidak akan datang medan yang lebih baik, dan jika di sini bukan peluang yang kita ambil untuk memperbaiki diri, jangan mimpi diri akan terbaiki.

Maka jika sudah subur keyakinan yang akar-umbinya menggapai hati yang kudus dan fikiran yang bersih untuk mula melangkah, suka saya mencantas semak-samun kekusutan bagi menerangkan laluan yang harus ditempuh. Saya meletakkan empat sasaran untuk kita capai dalam bulan tarbiyyah dan maghfirah ini;

  1. Kemerdekaan hakiki daripada ajaran thaghut
  2. Pembebasan total daripada puak oportunis
  3. Menghayati konsep setiap orang adalah madhu’u
  4. Menggali kekuatan daripada qiam dan quran

Suka saya menjelaskan halatuju yang digariskan satu demi satu;

1. Kemerdekaan hakiki daripada ajaran taghut

Mutakhir ini masyarakat sering dibingungkan oleh propaganda musuh yang disajikan dalam bentuk ilmiah. Kalau suatu masa dahulu Islam ditentang dengan melabelkan ia sebagai ekstrimis, teroris dan sebagainya, tetapi hari ini ia dipijak dengan langkah yang lebih halus, sehingga umat Islam turut sama menginjak agamanya tanpa disedari. Wabak baru ini hadir dalam bentuk ideologi-ideologi buatan manusia, isme-isme yang menjadi barah meracuni pemikiran yang kabur dengan agamanya sendiri. Antara ideologi yang kritikal dan ketara menimbulkan cacamarba ialah sekularisme, pluralisme dan liberalisme. Fahaman bahawa urusan dunia dan akhirat adalah asing, mencampur-aduk ajaran Islam dengan ajaran-ajaran lain dan menganggap bahawa kedudukan agama Islam adalah sama dan setara dengan agama-agama lain. Ideologi-ideologi ini harus dinyahkan daripada mengkontaminasi minda mahasiswa melalui pembentukan aqidah yang sahih, pembacaan bahan agama dan merujuk pada guru yang mursyid dan haraki. Minda yang dicemari akan terzahir melalui tindak-tanduk, dengan sukarnya kita menerima kebenaran, gemarnya pada maksiat dan perkara yang sia-sia, serta usaha menghalang dan menjatuhkan golongan yang mendokong panji-panji syiar Islam.

2. Pembebasan total daripada puak oportunis

Mahasiswa merupakan aset paling penting dalam sesebuah negara. Ini didasarkan atas sifat mereka yang dinamik, berpengetahuan, rasional, bersemangat waja dan berdarah muda. Keadaan ini mendorong puak yang bersifat oportunis cuba menggunakan mahasiswa untuk kepentingan peribadi atau pihak tertentu. Cengkaman ke atas mahasiswa cuba dilakukan melalui pelbagai cara, antaranya melalui doktrinisasi pemikiran, melahirkan suasana malas berfikir, pantauan 24 jam terhadap aktiviti kemahasiswaan, ugutan-ugutan kosong dan penyerapan anasir-anasir berbaur perkauman atau kepartian kepada mahasiswa. Mahasiswa perlu menyedari dan jelas bahawa idealisme mahasiswa adalah berpaksikan perjuangan untuk mahasiswa sendiri, bukan perjuangan mendokong politik kepartian tetapi merupakan perjuangan menjunjung politik nilai, atas dasar kasih pada agama dan negara. Kita mengorak langkah maju kehadapan bukan untuk memenuhi citarasa mana-mana pihak, kita meletakkan pendirian bukan untuk menyokong mana-mana puak, dan kita mengatur dan mencatur corak masa depan negara bukan untuk kepentingan kelompok tertentu, jauh sekali untuk kepentingan diri sendiri. Justeru mahasiswa perlu utuh dan teguh, menjadi sebahagian daripada gerakan revolusi ini, melewati saluran yang betul yang digariskan agama dan undang-undang, memobilisasi dan menggerakkan massa, ke arah menuju redha dan kejayaan yang kekal abadi.

3. Menghayati konsep setiap orang adalah madhu’u

Martabat dan nilai ilmu yang ada pada mahasiswa meletakkan mereka sebagai golongan yang berada di atas, golongan superior yang seharusnya mendidik dan bukan dididik, membentuk dan bukan dibentuk, merubah dan bukan terubah, penyelesai masalah dan bukan penyebab masalah, dai’e dan bukannya madhu’u. Mahasiswa seharusnya mula memandang keluar, berhenti mengharapkan empati untuk diri sendiri, menguis tepi permasalahan peribadi seperti masalah PTPTN, kolej kediaman dan kafe, dan tidak meletakkannya sebagai fokus atau tumpuan utama, malah menyerahkan urusan tersebut pada pihak yang bertanggungjawab, lalu membuka ruang pada diri untuk menyelami jerih-pedih dan sakit rakyat, mengesat airmata marhaen yang kadangkala mengharapkan tidak lebih daripada motivasi dan perhatian, bahu yang ikhlas buat tumpang menangis. Mahasiswa seterusnya perlu menjadi barisan paling hadapan dalam agenda membantu rakyat dan membangunkan umat, mencerna idea dan melontarkan saranan-saranan yang mampu memulihkan kepincangan yang berlaku, baik daripada aspek keagamaan, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.


"Barangsiapa tidak mengambil tahu hal ehwal saudara seIslamnya, maka dia bukan dari golonganku." -Hadis

4. Menggali kekuatan daripada qiam dan quran

Untuk mencapai semua hasrat yang digariskan di atas, mahasiswa memerlukan kekuatan dan keberanian yang tak bisa dipadamkan oleh gerimis perjuangan, membujur lalu, melintang patah. Teras dan sumber kekuatan ini tidak ada lain melainkan hadir daripada hati yang sentiasa khusyuk dan tawadhu’ menjunjung suruhan Allah, keberanian yang dilahirkan daripada hamasah para rasul, sahabat dan tabi’in mendukung agamaNya. Maka mahasiswa hendaklah bermujahadah melakukan qiamullail, kerana tidak ada suara yang lebih didengari oleh Pencipta selain suara yang merintih sayu di kala makhluq yang lain sedang leka tidur, meratap dan memohon diberi kekuatan menentang musuh-musuhNya. Motivasi dan penawar duka tatkala terpijak duri di jalanan tidak ada yang lebih baik daripada ayat-ayat suci Al-Quran. Mahasiswa tidak boleh menjadi seperti tin kosong, berbunyi kuat tetapi mudah kemek apabila dipijak. Mahasiswa juga tidak boleh menjadikan manusia sebagai sumber kekuatan, kerana manusia bisa lari, tidak mengerah kekuatan daripada rasa marah dan semangat membuta tuli, kerana marah dan semangat bisa terpadam.

Akhir sekali, saya menyeru sahabat-sahabat mahasiswa agar kita memperkasakan langkah, mengembalikan gah dan izzah perjuangan ini dalam usaha menghayati erti kemerdekaan dan madrasah tarbiyyah Ramadhan yang sebenar. Ayuh, melangkah!

Andai langkah cuba kugagahi,

Kelak kan sampai pada destinasi.

Andai alasan yang ku cari-cari,

Mungkin ajal menjemput pergi.

Wednesday, August 27, 2008

Kemenangan Anwar Kemenangan Untuk Islam?

Kemenangan Anwar Kemenangan Untuk Islam?


Keputusan Rasmi PRK P44 Permatang Pauh
1.Datuk Seri Anwar Ibrahim (KeADILan) 31,195 undi.

2.Hanafi Mamat (AKIM) 92 undi.
3.Datuk Arif Shah Omar Shah (BN)15,524 undi.

Seluruh marhaen melakukan sujud syukur bila suara rakyat sekali lagi menghantar mesej jelas bahawa mereka tidak lagi boleh diperkotak-katikkan dengan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Rakyat sedang menanti impian yang sebelum ini hanya berani diletakkan jauh di sudut hati. Impian untuk melihat pertukaran pimpinan negara seterusnya pelaksanaan manifesto dan janji-janji manis yang telah lama didendangkan. Cita-cita untuk melihat negara dipimpin oleh pemimpin paling versatil dan tidak boleh dijangka-pemimpin yang pernah beraksi dalam jamaah Islam seperti ABIM, seterusnya bergelumang dalam UMNO untuk 'membetulkannya dari dalam' dan akhirnya memilih medan atau platform parti yang ditubuhkan dengan beliau sendiri sebagai 'de facto' penubuhan - Parti Keadilan Rakyat.

Rakyat sedang menghitung hari-hari mahligai Putrajaya bertukar tangan, masanya harga barang dan minyak akan turun dan ketikanya negara dibebaskan daripada anasir nepotisme, kronisme dan lain-lain isme. Semua itu ditunggu oleh rakyat. Rakyat yang hanya memikirkan masa depan dan periuk nasi anak-anak. Bagi rakyat yang lebih matang dan memahami selok-belok perjuangan Anwar, yang mungkin timbul di dalam benak ialah kegusaran dan kebimbangan. Kerana sebelum harga minyak dan tepung boleh diturunkan, sebelum mahligai 200 juta menjadi kediaman rasmi Anwar dan sebelum amalan-amalan buruk yang telah sebati dengan sebahagian pimpinan negara dapat dihentikan secara total, satu lagi lembaran sejarah harus dicoret. Lembaran yang menyaksikan adegan lompat-melompat dari satu parti ke parti satu lagi. Istilah yang suka digunakan media ialah 'katak-katak'.

Kalau 'katak-katak' yang melompat itu semua yang bersaksikan Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai Pesuruhnya nescaya rakyat yang prihatin akan menarik nafas lega dan bersama dengan rakyat 'periuk nasi keluarga' menunggu terbentuknya Malaysia yang lebih bahagia. Tetapi jika yang melompat itu bukan yang mengenal kalimah tauhid, lebih-lebih lagi mereka ini berasal daripada lubuk yang tidak baik, berkepentingan, dan mereka ini pula mendominasi parlimen di dalam negara yang menjunjung demokrasi berparlimen ini maka mungkin Negara ini lebih baik ditadbir oleh anak ulama' itu dan angkatannya. Atau mungkin Anwar belum habis lagi mengeluarkan udang-udang yang 'ditapuk' di balik sepinggan rojak politiknya. Yang pasti, sekiranya situasi yang disebutkan berlaku, Pakatan Rakyat akan kehilangan teman perjuangannya, Parti Islam Semalaysia (PAS) yang telah mengeluarkan kenyataan rasmi akan meninggalkan PR seandainya yang terpaksa dipertaruhkan ialah Islam dan Negara Islam. Kita tunggu dan lihat..sambil tidak putus-putus berdoa..

Monday, August 25, 2008

Tamu Gadang - Lawatan Kedua

Kali kedua ke tapak Tamu Gadang, 23 Ogos 2008 beriring pengetahuan bahawa malam ini adalah malam pertandingan Battle of The Band. Bersama saya pada kali ini ialah Abg Renifezri, yang membawa Irham, pelajar Sekolah Menengah Sains Sabah berjalan-jalan ke sana. Destinasi pertama – patung Nexus. Nah, patung tersebut telah dipindahkan ke bawah dari takhta mulianya di atas meja. Satu usaha, saya difahamkan kemudian, yang dilakukan oleh jawatankuasa program sendiri. Tahniah kepada jawatankuasa yang mengambil inisiatif menjaga maruah patung tersebut dengan menapuk auratnya di balik meja supaya tidak dilihat oleh umum. Seterusnya kami bergerak pula ke Dataran Dewan Canselor. Gamatnya dataran tidak perlu digambarkan. Macam pasar malam, bezanya setiap peniaga diberikan mikrofon dan disuruh mempromosi cinta agung dan kasih suci berbanding ikan hanyir dan sayur segar. Ruginya tak dapat datang majlis penutupan semalam kerana ada program lain. Malam Mesra Extravaganza. Pastinya lebih hangat dan menyeronokkan!


Sunday, August 24, 2008

Tamu Gadang - Lawatan Pertama

Setelah beberapa lama menyimpan hasrat untuk melawat tapak Pesta Tamu Gadang, akhirnya kelmarin kakiku berjaya juga dijejakkan ke sana dengan bertemankan Fadhil, Pengerusi Surau Al-’Irfaan Kolej Matrikulasi Labuan yang kebetulan menyinggah ke bumi UMS. Suasana seperti tahun-tahun sebelumnya, meriah dengan hiruk-pikuk manusia yang cuba mengisi ruang-ruang waktu dengan sesuatu yang bermanfaat. Mungkin ada sebahagian yang berjaya, dan mungkin tak kurang juga yang hanya mampu berputar-putar tanpa halatuju. Mata ligat mencari sesuatu yang mungkin dapat merangsang nafsu membeli atau mengetuk selera makan. Belum sempat melangkah jauh sayup-sayup kedengaran nyanyian merdu dari hujung sana pesta. Bait-bait yang dapat ditangkap oleh telinga hanyalah ’syurga’ dan ’tangga syurga’. Nyanyian qasidah dan zikir taubat barangkali. Tapi makin lama menghampiri arah datangnya suara husnuzzon tercabar. La..perempuan rupanya yang menyanyi. Bingit pembesar suara membuatkan telinga tidak dapat menangkap samada penyanyi sedang merayu kepada tuhan untuk dimasukkan ke syurga atau sedang meluahkan ragu-ragu dapat masuk ke syurga ataupun tidak. Atau sedang menimbang untuk menunggu kekasihnya di pintu syurga atau di tangga. Taktau pula syurga ada tangga. Dahsyat kasyaf penulis lirik lagu tu.



Lagi satu perkara yang memukau perhatian saya ialah patung di booth Nexus Karambunai Resorts. Patungnya bukan sahaja berbogel, malah sedang bercium! Malangnya booth tersebut tidak berjaga. Maka tidak ada peluang untuk saya bertanya samada saya perlu membayar atau tidak untuk bergambar dengan patung tersebut. Subhanallah. Apalah motif patung tersebut dipacakkan di situ. Imej apakah yang cuba dibawa oleh Resort tersebut? Bahawa ia adalah pusat perciuman antarabangsa? Entahlah. Saya sempat bertanya tentang makhluk perosak itu kepada Nadia, sahabat MPP saya dan ternyata pihak beliau telah beberapa kali menyuruh pihak Nexus mengalih patung tersebut, tetapi tidak diendahkan oleh mereka. Sabar jela Yaya..



Maka kami pun pergilah makan bagi mengubat jiwa yang tersentuh dek bejatnya rasa hormat pada Universiti kami ini..

Cuba teka...



Las Vegas? Genting? One Borneo daa..

Thursday, August 21, 2008

Dilema Anak Pendakwah

Dilema Anak Pendakwah (Untuk ibubapa..satu pandangan terpencil tetapi berlaku..)


“Aku pelikla,” seorang teman memulakan bicara “kenapa ramai orang yang bapanya bergelar Ustaz, malah tersohor sebagai pendakwah dan aktif dalam gerakan dakwah ramai yang rosak, malah tercicir daripada gerakan dakwah,”


“Huh. Orang semua ingat asal anak pendakwah je wajib baik,” aku yang kebetulan termasuk dalam kelompok yang sedang dibincangkan menjawab.


“Takla juga. Aku tau iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa. Ia tak dapat dijual beli, ia tidak dari tepian pantai...” tiba-tiba temanku mendendangkan lagu terkenal Raihan, ‘Iman Adalah Mutiara’.


Banyak faktor yang sering dibincangkan dan diutarakan sebagai punca kepada permasalahan ini. Tetapi hari ini mungkin ada baiknya kita merungkai persoalan tersebut daripada aspek pandangan seorang anak yang berdakwah yang mempunyai keluarga pendakwah tetapi tetap tergolong di dalam golongan yang hampir dan sentiasa terdedah kepada keciciran di jalan dakwah.


Gugurnya Di Puncak Kematangan
Keadaan yang sentiasa melanda anak-anak para pendakwah ialah apabila mereka menerima didikan tetapi dilepaskan bebas ke angkasa raya dakwah sebelum mereka benar-benar masak. Pernah kedengaran desas-desus daripada seorang sahabat,

“ Tarbiyyah ni macam dah jadi sebahagian daripada hidup aku sebab aku memang dibesarkan dengan tarbiyyah, sampai aku pun tak tau bila aku berhenti ditarbiyyah. Sampailah aku dah jauh melencong, baru ibubapaku bising mencari di mana silapnya..

Ibubapa sebenarnya perlu sangat-sangat bijak dalam menilai saat dan ketikanya anak-anak sudah cukup teguh untuk dilepaskan berjuang dengan haluan dan rentak sendiri. Jangan cukup dengan melihat anak remajanya sudah petah berkata-kata, berkhutbah di sini-sana, mampu mengurus program dan menjadi naqib usrah, ibubapa menganggap bahawa anaknya sudah masak dengan dakwah dan boleh dibiarkan. Hakikatnya durian gugur tatkala ia sudah benar-benar matang. Begitu juga dengan cempedak. Dan nangka. Dan juga boleh berlaku kepada manusia, sang anak pendakwah. Jangan dinilai pada apa yang dilihat di luar, tetapi belajarlah menyelami kehidupan dan perjalanan dakwah anak-anak yang pastinya penuh beronak duri, dan bantulah menguis duri-duri tersebut ke tepi jalan. Don’t judge a son by his doing’s, but judge him by understanding.


Tak Cukup Masak
Mendidik anak-anak ini ibarat memasak biskut hari raya. Tidak cukup disediakan bahan-bahannya kemudian diadun gula, tepung, putih telur dan marjerin tersebut, tetapi perlu diuli. Tidak cukup diuli dan digentel tetapi perlu dimasukkan dalam acuan. Tidak cukup dimasukkan dalam acuan tetapi perlu ditaruh ke dalam oven. Tidak cukup dengan itu, biskut perlu diperhatikan dari masa ke semasa, dan apabila sudah masak, barulah dikeluarkan dan dihidangkan. Nescaya meriahlah hari raya pada tahun itu.

Begitu juga perihalnya dengan anak-anak. Tidak memadai sekadar menyediakan Quran di rumah, buku-buku agama dan contoh teladan yang baik. Tetapi anak-anak perlu disebatikan dengan akhlaq baik tersebut, dibiasakan membaca Quran dan dilatih menelaah buku-buku ilmiah. Kemudiannya anak-anak perlu ditentukan perjalanan hidup mengikut acuan Islam, disusun dan diatur daripada aspek tarbiahnya, pendidikannya, hubungan sosialnya dan lain-lain aspek. Barulah anak-anak, para dai’e dan jundullah yang terlatih ini sedia untuk dilepaskan dalam keadaan masak dan sempurna.

Tetapi belum lagi! Sebelum benar-benar masak, anak-anak sentiasa perlu diberi perhatian, diintai keadaannya dan dipastikan berada dalam kondisi terbaik. Barulah anak-anak dilepaskan dalam keadaan sempurna. Nescaya bahagialah keluarga yang menjadi mata rantai perjuangan dakwah itu. Masalahnya ramai ibubapa berhenti setakat memasukkan anak-anak dalam acuan. Kemudian sekadar bertanya khabar sebulan sekali untuk memastikan anaknya masih hidup. Atau berhenti setakat memasukkan anak-anak ke dalam oven lalu lupa diperhatikan lalu anak-anak menjadi rosak dan tidak berguna lagi kepada sesiapapun. Nescaya putuslah mata rantai perjuangan.


‘Ibubapaku Milik Masyarakat’
Marcapada ini budak remaja yang rosak sering dikaitkan dengan ibubapa yang tidak dapat memberi perhatian kepada anaknya dek terlalu mengejar material. Pagi keluar bekerja sampai ke petang, malam buat OT, sedar-sedar anak dah sama besar dengan anak gajah. Tak pun perut anak sama besar dengan perut anak gajah baru nak melatah. Golongan ini tidak silap dipanggil golongan dahriyyun. Golongan yang mengejar kebendaan.

Tetapi ada lagi satu kelompok ibubapa yang nak dikatakan mengejar dunia tidak juga. Malah kelompok ini mungkin boleh dikatakan golongan yang songsang sisi daripada golongan di atas ini. Golongan ini boleh disebut golongan dakwahiyyun atau ukhrawiyyun. Golongan ini pagi keluar bekerja, petang balik, lepas maghrib keluar ke usrah, dan malam pergi mesyuarat. Sabtu menguruskan program Bersama Masyarakat, dan Ahad berceramah di mana-mana tempat yang menjemput. Dan begitulah rutin hidupnya. Natijahnya? Tetap sama. Anak-anak mereka juga menjadi mangkukiyyun dan sampah masyarakatiyyun. Atau mungin yang sempat dimasukkan ke dalam oven akan menjadi golongan pendakwah muda yang sentiasa terdedah kepada keciciran. Maka terdengarlah rintihan kalbu,

“Aku ini ada ibubapa tetapi aku seolah-olah anak yatim, kerana ibubapaku bukan milikku tetapi milik masyarakat. Dengkinya aku melihat kawan-kawanku, yang kerana ibubapa mereka tidak aktif di dalam dakwah, mereka mendapat perhatian dan kasih-sayang, mereka ada tempat bergantung dan berkongsi masalah..”

Duhai ibubapa yang mulia, penggerak dan perobah minda, janganlah mengharapkan dengan hebatnya anda, anak-anak akan mendapat tempiasnya. Janganlah mengharapkan mereka ‘memahami’, kerana hakikatnya mereka juga insan-insan yang memerlukan anda!! Iman, sememangnya tak dapat diwarisi..(",)

(artikel nukilan nurilhakim, dipindahkan dari blog iseums)

Wednesday, August 20, 2008

Dosa yang bertali-arus..

Belakangan ini saya banyak menerima mesej-mesej daripada individu-individu yang samada menyokong atau menolak agenda yang diperjuangkan oleh organisasi yang saya pimpin. Antara yang terbaru datangnya daripada seorang sahabat yang menggelarkan dirinya 'x-kml'. 'x-kml' memuji Gema Inspirasi yang diterbitkan ISEUMS dan mengharapkan supaya isu-isu di kampus dapat dikupas dengan lebih baik dan berani. Beliau juga memohon ISEUMS terus melakukan pantauan berhubung isu hiburan yang menular dalam kampus, khusunya isu Anuar Zain yang lepas. Saya sempat membalas mesej beliau dan menyatakan bahawa tindakan-tindakan yang telah dilakukan ISEUMS dan MPP seolah-olah tidak mendatangkan kesan kepada pentadbiran dalam usaha mengawal hiburan. Beliau lantas memujuk supaya perjuangan tidak boleh dihentikan, dan keksalan yang timbul sedikit sebanyak terubat. Terima kasih 'x-kml', dan sahabat-sahabat lain yang memberikan motivasi dan semangat untuk kaki terus melangkah. Jadi mari kita lihat kronologi dosa yang berlaku dalam UMS yang telah meninggalkan kegusaran di hati banyak pihak..

1. Konsert Anuar Zain - 26 Julai 2008, Dewan Canselor

Konsert anjuran dcBorneo mencetuskan isu ini. Diluluskan oleh NC lama ketika proses transaksi NC, Anuar Zain dan Hajah Deja Moss mencemar duli dan mencemar 'kesucian' Dewan Canselor dengan mengadakan konsert di sana. Pihak MPP melakukan perbincangan dengan dcBorneo. dan garis panduan pelaksanaan konsert telah dipersetujui. Malangnya, beberapa garis panduan penting diabaikan, janji-janji manis yang dimeterai oleh pihak dcBorneo diketepikan. Kita ditipu!
Secara keseluruhannya, konsert tersebut gagal menarik perhatian mahasiswa bilamana ia terpaksa dibuka secara percuma untuk menjaga airmuka penganjur akibat kehadiran yang terlalu sedikit berbanding sasaran yang berlipatkali ganda besarnya ( 451 daripada kapasiti 5000 orang )


2. Konsert Hujan - 9 Ogos 2008, Dewan Canselor

Sekali lagi konsert diadakan di Dewan Canselor dan maklumat berhubungnya diketahui oleh pihak MPP setelah ia diluluskan, promosi telah dijalankan dan tiket telah mula dijual. Kali ini ia diluluskan oleh TNC HEP dengan komen supaya 'sebarang perbincangan yang dilakukan dengan pihak Hujan hendaklah melibatkan HEP'. Mini konsert ini diadakan sempena majlis penutupan Karnival Makanan yang dianjurkan SSMP. Sekali lagi MPP duduk berbincang dengan pihak terbabit dan garispanduan penganjuran konsert dipersetujui. Natijahnya? Majlis penutupan berjalan dengan baik tetapi semasa persembahan kumpulan Hujan, suasana sekali lagi tidak dapat dikawal. Kehadiran? 700 / 5000. MPP menghantar memorandum membantah konsert yang merosakkan intelek mahasiswa dan mencemarkan budaya keilmuan, dengan melihat kepada kesan konsert Anuar Zain.

3. Pesta Pra-Konvo Digi - 10 Ogos 2008, Anjung Siswa

Kalau sebelumnya Pesta Tamu Gadang hanya dicemari oleh konsert dan seumpamanya semasa Tamu Gadang berjalan, kali ini ia di'mukaddimah'kan oleh pra-pesta dan pra-konsert dan pra-maksiat pula. Konsert ini dianjurkan oleh Digi dan dimeriahkan oleh Dina, Gangstarz dll. Sambutan oleh pelajar masih tidak hangat, cuma dihangatkan oleh pelajar lelaki dan perempuan yang mengambil peluang menari di tempat kejadian. Digi ternyata lebih berpengalaman dalam penganjuran konsert sebegini di tempat ia tidak dialu-alukan apabila turut menawarkan pelan Digi yang menarik dan barang-barang percuma keluaran khas Digi. MPP turut 'dirasuah' dengan buku nota, keychain dan hosting web percuma.


4. Pesta Konvokesyen Tamu Gadang?
Janji manis tiada penglibatan artis dari luar didendangkan lagi. Tetapi keterpaksaan untuk menjemput mereka pada kali ini adalah kerana ia merupakan harapan dan hasrat TYT sendiri, yang pada saat akhir memaklumkan beliau tidak dapat hadir pun pada majlis pembukaan pada 19 Ogos 2008, yang diserikan oleh Adam dan Stacy. Alasan sama yang digunakan untuk tidak membatalkan konsert Anuar Zain - sebab TYT nak datang. Imej dan reputasi kena jaga. Dosa dengan Allah boleh taubat kemudian.
Baru satu konsert..siapa lagi bakal mewarnai Pesta Konvokesyen pada tahun ini? Tunggu...


Kesimpulan dan Pandangan:
1. Kegilaan yang melanda Universiti semakin ditentang semakin menjadi-jadi. Kalau dahulunya tidak ada yang menentang, penganjuran konsert tidak seteruk ini. Tetapi makin ditentang makin seronok menganjurkan program seumpama ini. Mencabarkah ini? Siapa yang dicabar? Pihak yang menentang atau Allah?

2. Semua konsert yang dianjurkan dan melibatkan perbincangan dengan pihak MPP sebelumnya tidak mengikut garis panduan yang telah dipersetujui. Suatu bukti yang jelas bahawa sesuatu yang tidak baik tidak mungkin dapat diacu menjadi baik. Najis kalau dibentukkan menjadi jemput-jemput tetap tidak akan terasa pisang dan tetap akan berbau. Jadi perbincangan harus dihentikan dan konsert DIHENTIKAN. Tiada jalan lain.

3. Kehadiran ke semua program sebegini adalah tidak memuaskan. Bererti mahasiswa samada sudah celik dan tidak lagi gilakan hiburan atau telahpun mula sedar akan buruknya kesan program sebegini kepada keberkatan pembelajaran, budaya ilmu Universiti dan lain-lain.

4. Adakah perubahan pentadbiran Universiti daripada yang agak ketat kepada yang lebih bebas dan longgar (baca: longgar, bukan lemah) menyebabkan ramai pihak yang oportunis mengambil peluang menghidupkan kampus dengan kemeriahan (baca: kemeriahan, bukan kemaksiatan) dan keseronokan?

5. Akhir sekali, siapakah yang menanggung beban dosa yang bertali arus ini? Pihak pentadbiran yang membenarkan? Ustaz-ustaz yang tidak bersuara lantang? MPP yang hanya berbincang? Pelajar yang menghadiri? Penganjur yang melaksanakan? Mahasiswa yang tidak bersuara? Atau dosanya dibahagi dengan adil dan sama rata kepada semua?

*Sebahagian gambar ihsan nabilapress.blogspot.com. Penulis tidak mampu menghadiri semua majlis yang dianjurkan lantaran ditakuti rembesan dosa merambat ke dalam jiwa.

Jalan Ini

Di jalan ini
Aku bergelumang dengan najis dan lumpur
Mencari redha dan mencari Tuhan
Dengan kudrat dan harapan

Di hujung jalan ini
Kadang terlihat sinar yang terang
Lalu aku mula berlari

Tapi kadang jalan menjadi gelap
Sinar menjadi kelam
Pudar dan muram
Lalu aku terduduk membungkam

Dan kadang
Sinar langsung hilang
Langkahku goyang
Pendirianku goncang
Dan aku jatuh terbungkang

Dari luar ku ditekan yang buta agama dan perjuangan
Dari dlm ku dihimpit yang tidak menghias malam dengan munajat dan esak tangis pada Tuhan

Lali teringat aku pada suatu pesan
'Yang terbentuk dibawah adalah cerminan yang berada di atas'
Dan kini ku tahu betapa pesan itu benar dan bernas

Maafkan aku generasi baru
Kerana kalian terdidik di zaman aku
Maafkan aku Adik
Kerana kau terbentuk di bawah kasih-sayangku

Ya Allah
Hanya Engkau tempat aku memohon
Kerana Engkau Maha Mengetahui dan Maha Sempurna

Kalau ku pinta padamu kesenangan
Kau berikanlah padaku kesukaran
Tapi kau iringilah ia dengan teman-teman yang setia

Kalau ku pinta padamu kemewahan
Kau berikanlah padaku kepapaan
Tapi kau iringilah ia dengan murah rezeki

Kalau ku pinta padamu kemenangan
Kau berikanlah padaku kekalahan
Tapi kau iringilah ia dengan hayat untuk terus berjuang

Dan kalau ku pinta padamu kematian
Kau berikanlah ia padaku andai itu yang terbaik untukku
Tapi kau iringilah ia dengan khusnul khotimah..

Sunday, August 17, 2008

Seharian berprogram cukup menyeronokkan. Letih terubat bila melihat hati-hati yang berubah dan jiwa-jiwa yang mula terbentuk. Pembacaan awal terhadap masyarakat Sabah tidak meleset. Malah menyusur sampai ke generasi muda. Biarpun mereka ini tidak tahu, tapi mereka ini sungguh-sungguh jiwa yang mahu. Berikut sedikit sebanyak apa yang berlaku semalam;


Peserta Kem Remaja Cemerlang mengangkat
ikrar menjadi pelajar dan Muslim cemerlang.



Peserta Kem Remaja Islam SMK Tebobon menitiskan
airmata keinsafan dalam slot muhasabah.



Lagi SMK Tebobon. Yang kelihatan ialah kegelapan dewan
tetapi di baliknya hati-hati menerima pencerahan..

Terkilan tidak sempat merakam kenangan untuk program Kem Ibadah di Shan Tao dan Festival Nasyid dan Tilawah di Kolej Kediaman AB..

Ya Allah berikan Aku kekuatan untuk kekal seronok menginfaqkan diri untuk Islam..

Saturday, August 16, 2008

Nadir BABI!!


Di sebelah adalah chatbox daripada blog peribadi YDP Kolej Kediaman E, saudara Hairul Anuar (putra-alkahfi.blogspot.com). Beliau menulis artikel berhubung pendirian yang dipegang oleh JAKMAS di bawah kepimpinan beliau melibatkan isu hiburan, kebajikan dan sebagainya. Saya gatal tangan memberikan sokongan melalui chatbox di blog tersebut, dan bebrapa hari kemudian, telah dikecam oleh insan misteri (dan penakut?) 'hhhh'.
Mula-mula baca respon beliau memang tergelak dibuatnya. Marah betul dia bila saya menolak Islam Hadhari tapi masih gunakan PTPTN. Lalu saya berhujah;
1. PTPTN tu kena bayar balik bukan free
2. Kalau bukan Islam Hadhari memerintah bukan setakat dapat
pinjaman, dapat biasiswa lagi.
3. Mendapat pendidikan tu tanggungjawab sosial kerajaan, lebih-lebih
lagi dalam 'Negara Islam' macam Malaysia.
(baca:TANGGUNGJAWAB). Bukan setakat bagi pinjaman yang kena
bayar balik dengan faedah(baca:dengan faedah!).

dan akhir sekali...

4. Aku anak Selangor! Islam Hadhari dah diharamkan kat sana..haha..Yeaahh!!

Thursday, August 14, 2008

Allah Biarkan Kita Sakit?


Explanations of Why ALLAH Allows Pain and Suffering! :)

Ada seorang lelaki pergi ke kedai gunting rambut untuk menggunting rambut dan janggutnya. Apabila barber itu memulakan tugasnya, mereka pun berborak dan bercakap mengenai pelbagai perkara. Tapi bila mereka mula berbicara mengenai Tuhan, barber itu pun berkata “Saya tak percaya Tuhan itu wujud.”

''Kenapa awak kata camtu?” kata si customer.

''Cuba kamu keluar di tengah jalan itu dan tunjukkan pada saya bahawa Tuhan itu wujud. Kalau benar Tuhan wujud, kenapa ramai sangat orang sakit di luar sana? Kenapa masih ada kanak-kanak yang terbiar kebuluran? Kalau benar Tuhan wujud, sudah tentu tiada kesakitan dan keperitan hidup di dalam dunia ini. Saya tidak dapat bayangkan Tuhan yang dikatakan Maha Penyayang itu boleh membenarkan semua ini berlaku.”

Si customer itu pun berfikir sejenak. Dia tidak memberi sebarang jawapan kerana tidak mahu memulakan pertengkaran. Selepas barber itu menghabiskan tugasnya, si customer pun memulakan langkah pulang. Selepas beberapa langkan, si customer tadi ternampak seorang lelaki berambut panjang, kusut-masai, selekeh, kotor beserta janggut dan misai yang tidak terurus.

Si customer tadi pun berpatah balik dan pergi semula ke kedai gunting rambut tadi lalu berkata “Awak tahu tak yang sebenarnya barber juga tidak wujud?. "Huh? Kenapa awak cakap camtu? Sedangkan saya baru sahaja gunting rambut awak tadi“,kata si barber.

''Tidakkk!”,Kata si customer tadi. “ Kalau benar barber wujud, sudah tentu tidak ada orang yang berambut panjang tidak terurus serta janggut dan misai yang panjang dan kotor macam lelaki di tepi jalan itu.” Kata si customer sambil menunding jari kearah orang yang dimaksudkan.

''Ah! Barber memang wujud! Lelaki tu jadi begitu sebab dia tidak datang pada saya untuk diguntingkan rambutnye!”; kata si barber.

''Tepat sekali!“, kata si customer.

''Seee! That’s the point! Tuhan juga wujud, itulah yang terjadi (keperitan & penderitaan) jika manusia tidak mengingatinya dan kembali padanya untuk memohon pertolongan.

^^

The conlusion from this is:>

If Allah brings you to it,
He will bring you through it,
In Happy moments, praise Allah,
In Difficult moments, seek Allah,
In Quiet moments, worship Allah,
In Painful moments, trust Allah,
In Every moment, thank Allah.

This is such a bless!

Diambil drpda thelightofintelligent.blogspot.com

Tuesday, August 12, 2008

Hidupku Nelayan Moden..

Bermula 9 Ogos 2008 yang lepas, semua mahasiswa jurusan Sains Marin tahun 3 telah mengikuti amali untuk kursus Sains Perikanan. Praktikal tersebut melibatkan aktiviti merawai, membuang bubu, memancing, memukat dan mengoperasi pukat tunda. Sedih jerih pedih ( dipinjam daripada Aku Diri Hidup ) yang dilalui oleh seorang nelayan cukup terasa, bagaimana payahnya membuat rawai tetapi tidak mendapat hasil, cara membuat bubu yang akhirnya dirosakkan oleh jerung, dan mengoperasi pukat tunda yang perlu dilepas dan ditarik setiap 4 jam, 24 jam sehari, seminggu berturut-turut sebelum dibenarkan pulang ke daratan..berapa lama? Satu hari sahaja! Dan daripada jumlah hasil tangkapan yang boleh mencecah RM40 000 sebulan, mereka diberikan RM 600 sebulan. Jadi selepas ini jika anda ke pasar, tataplah wajah ikan-ikan di sana, dan ingatlah perihnya kehidupan sang nelayan, dan bersyukurlah perjuangan anda tidaklah berturutan 24 jam sehari tanpa rehat, menggadai nyawa di tengah samudera dan meninggalkan keluarga tercinta..












Friday, August 8, 2008

Kunjungan Hormat Institut Pertanian Bogor, Indonesia


Tanggal 6hb Ogos yang lepas, kami telah menerima kunjungan daripada pelajar-pelajar Indonesia. Mereka merupakan mahasiswa daripada Institut Pertanian Bogor. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Sdra. Presiden MPP, seterusnya ucapan daripada ketua rombongan, yang bernama Sdra. Amal. Seterusnya pihak IPB menyampaikan persembahan slideshow berkisar gerakan kemahasiswaan di Institut mereka. Puluhan organisasi yang diperkenalkan membuktikan betapa gerakan kemahasiswaan di sana cukup subur, serta membuka ruang seluasnya kepada mahasiswa berorganisasi, selain membuktikan jiwa kepimpinan yang wujud di dalam darah mahasiswa Indonesia; berlumba-lumba menjadi sebahagian daripada gerakan kemahasiswaan. Berbeza dengan budaya di UMS; hendak dilantik tanpa bertanding untuk menjadi pimpinan pelajar pun separuh mati mencari. Apabila Saudara Presiden melontarkan berhubung mindsetting yang wujud di dalam pemikiran rata-rata mahasiswa bahawa mahasiswa Indonesia adalah agresif, dikaitkan dengan demonstrasi yang menyebabkan huru-hara dan sebagainya, mereka dengan tegas mempertahankan bahawa perkara tersebut adalah mainan media dan hanya melibatkan segolongan pelajar yang subversif, sedangkan majoriti mahasiswa mampu meluahkan perasaan, mengunjuk rasa, berdemonstran dan sebagainya dalam keadaan yang cukup aman dan baik. Jelas sekali bahawa mereka mampu mengungguli peranan sebagai pemimpin dan pembela rakyat jelata. Malah, apabila ditanyakan peranan Badan Kerohanian Islam Mahasiswa di sana, merka menjawab "untuk memastikan kerajaan menjalankan syariat.."! Di akhir persembahan mereka disampaikan kata-kata semangat yang didukung oleh mereka, dan seterusnya ditutup dengan laungan 'Hidup Mahasiswa!' oleh pembentang, dan disambut oleh mahasiswa IPB yang lain. Kata-kata semangat yang mereka persembahkan cukup menyentuh dan menyentap jiwa, menusuk tanpa disangka-sangka, dan datang tepat pada waktunya;

Persembahan Kami
"Kami menyadari, bahwa perenungan saja tidak cukup, kesedihan berkepanjangan tidak berguna, bahkan jerit tangis sia-sia. Ia membutuhkan gerakan dan kontribusi yang nyata, tidak hanya sekedar retorika belaka. Maka kami bergerak, sepenuh hati untuk memberikan kontribusi, tanpa peduli seberapa besar hasilnya. Karena yang kami inginkan hanyalah berusaha, bekerja, dan memberikan yang terbaik yang kami bisa.
Kami mengetahui, bahwa jalan ini sangat panjang, bahkan menembus rentang usia dan waktu yang kami punya. Di dalamnya ada banyak cobaan dan godaan yang mampu menyakitkan dan memalingkan hati, melelahkan fisik kami yang penuh keterbatasan, bahkan berkali-kali membuat air mata kami mengalir. Karenanya kami bersatu dalam ikatan persaudaraan. Kami bersaudara untuk saling mengingatkan, menguatkan, dan meneguhkan.
Kami meyakini, bahwa dunia hanyalah sementara. Popularitas, pujian, harta benda, bukanlah harga yang pantas bagi perjuangan kami. Perjuangan ini tidak layak dikotori oleh keinginan dan ambisi pribadi. Oleh karena itu, kami mengikhlaskan hati, hanya untuk Ridho Ilahi.
Kami menginsafi, bahwa perjuangan tak bisa dilaksanakan dengan setengah hati, setengah tenaga, setengah perhatian. Ia membutuhkan komitmen, konsistensi, dan kesetiaan. Oleh karenanya, kami menanamkan dalam hati, untuk totalitas dalam berjuang.
Kepada Tuhan, bangsa, negara, pertanian, dan tanah air yang kami cintai.
Kami Persembahkan."

Hidup Mahasiswa!!







Sambutan Hari Lahir Nasir Morni dan Faiz Kasim

Sambutan Ulangtahun Kelahiran Sdra. Nasir Morni ( Ketua Lajnah Penerbitan dan Informasi ISEUMS ) dan Sdra. Faiz Kasim ( Ketua Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan ISEUMS )



Dalam sedu ada sendawa
Dalam duka ada tawa
Dalam sepi ada hiba
Dalam sedih ada bahagia
Dalam apa jua ada Yang Esa
Terima kasih semua yang bersama-sama mencatat nostalgia.

Anjing vs Hiburan

Nicole Queen; From Club Addict to Total Muslim


Usah bersedih pada merindu
Usah difikir pada berpisah
Biar jauh beribu batu
Biar bertahun tak menatap wajah
Di jalan dakwah pasti bersatu
Di syurga Allah kita bertamu


Selembut Hembusan Kasih
Saya ini dikurniakan Allah jiwa yang lembut. Jiwa yang lembut ini mendorong saya memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling. Memaksa saya berkongsi penderitaan dan kesakitan yang dihadapi oleh orang lain. Meransang saya mengambil tahu hingga ke tahap kadangkala tidak disenangi oleh orang lain. Apakan daya.

Jangan hairan jika saya sibuk bertanya itu dan ini tentang kehidupan seseorang. Sedangkan penduduk Kampung Suluk yang langsung tidak saya kenali pun jiwa lembut ini menyuruh membantu. Jangan sangsi kalau saya menasihati tentang itu dan ini. Budak-budak kecil yang tidak pernah saya tatap wajah mereka pun saya panggil dan hamburkan dengan kata-kata nasihat, dan berusaha mengadakan kelas-kelas percuma untuk mereka. Jangan terkejut kalau saya mengalirkan airmata untuk seseorang. Dalam permusafiran yang panjang ke mana-mana destinasi kelibat anak-anak kecil yang berkeliaran di tepi-tepi jalan atau dipaksa bekerja dek kesempitan hidup tatkala anak-anak seumur dengan mereka bersekolah atau bermain bersama rakan sebaya pun mampu menimbulkan sebak dan mengalirkan airmata. Menangis tidak salah. Menangis itu terapi. Nabi Muhammad S.A.W menangis ketika anaknya Ibrahim meninggal dunia.

Malah Abu Bakar digelar oleh Aisyah sebagai Rojulun Bakiy (Lelaki yang selalu menangis.) Menangis kerana ingatkan Allah. Jiwa lembut ini jika mampu membuatkan saya istiqamah menyahut seruan hadis Nabi, “Jadilah kamu orang yang cakna terhadap keadaan masyarakat,” maka saya menerima seadanya, malah mensyukurinya.

Sifat peka dan prihatin ini sememangnya sifat yang harus ada pada pemimpin. Sifat peka membuatkan mata terbuka memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling, menilai dan menganalisa isu. Pasca pilihanraya ke-12, mahasiswa dilihat lebih terbuka dan cakna terhadap perkembangan semasa. Lihat sahaja soalan-soalan yang dilontarkan oleh generasi pemikir baru di dalam sesi soal jawab bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini. Soalan yang dilemparkan berkisar kepincangan sistem pendidikan negara. Perkara yang dibangkitkan berhubung pendaulatan Bahasa Melayu sebagai lingua franca dunia. Tiada lagi isu remeh berhubung PTPTN. Tiada lagi pertikaian harga makanan di kafe yang mahal. Kalau ada pun tidak sampai mendominasi ruang perbincangan. Kalau ada pun mungkin datang daripada generasi terdahulu yang pemikiran mereka terbentuk dalam suasana terdahulu.

Tetapi malangnya jiwa lembut yang melahirkan kepekaan dan kecaknaan ini turut melahirkan sifat mudah resah. Mudah kecewa. Mudah tertekan. Sensitif. Maka di kala itulah serabut di hati meronta-ronta mencari jalan keluar. Celaru di otak mencari tempat melepak dan berehat. Di saat itulah diri mencanak mencari hiburan..


Hiburan Yang Melata
Mahasiswa UMS ini merupakan mahasiswa yang paling beruntung. Tidak perlu melangkah jauh untuk mendapatkan hiburan. Boleh menikmati hiburan di dalam suasana kondusif dan selesa di dalam kampus sendiri. Kerana ruang berhibur di dalam kampus pun sudah berlambak. Beli sahaja tiket-tiket ke konsert-konsert yang dijual di foyer perpustakaan. Atau kalau nak jimat tunggu sahaja saat akhir dan penganjur mengisytiharkan bahawa pelajar UMS boleh masuk percuma. Jangan lupa membawa kad matrik. Anuar Zain? Hajah Deja Moss? Beres. Right at your doorstep. Yeah!!!


Mengundur Bertapak-Tapak
Ramai orang yang menganut agama Islam kerana merasakan ada kekosongan yang perlu diisi di dalam hidup. Cat Stevens, seorang lelaki berbangsa Amerika yang berhijrah ke United Kingdom merupakan artis paling masyhur era 60 dan 70an.
Suatu hari pada tahun 1977, ketika sedang menyampaikan persembahan di hadapan ribuan peminat, beliau tiba-tiba menamatkan persembahannya dan meninggalkan tempat konsert. “ Saya disaman jumlah yang besar ketika itu tetapi ia memuaskan perasaan saya. Saya ingin bebas. Saya ingin berhenti,” katanya. “Sehingga saya tahu lebih banyak, sehingga saya tahu bagaimana muzik boleh digunakan dalam semua ini, atau bagaimana saya boleh mengekspresikan diri saya dalam bentuk yang baru, mungkin lebih baik saya berehat.”

Dalam pencarian penuh dugaan untuk mencari identitinya yang sebenar, beliau bukan sahaja telah mengubah irama, penampilan, malah juga namanya. Dalam satu siri pengembaraannya Cat Steven pernah hampir mati lemas di Malibu. Perasaan takut pada kematian melanda saya dan tiba-tiba saya memegang diri saya dan saya berkata “Wahai Tuhan, jika Kau selamatkan aku, aku akan beramal untukMu.”

“Waktu itu saya sangat bersyukur kerana masih hidup. Kerana saya adalah pencinta kehidupan, dan saya masih tidak tahu bagaimana untuk melakukannya, dan sekarang saya telah diberikan peluang. Peluang yang kedua.”

Selama hampir setahun beliau menunggu untuk satu petunjuk. Ia datang dalam bentuk sebuah hadiah daripada abangnya David, yang memberikannya sebuah kitab Al-Quran kerana merasakan ‛ada sesuatu yang sangat istimewa di dalam agama Islam tersebut’.

Beliau mengkaji Al-Quran dan diinspirasikan daripada Al-Quran, Cat Stevens beransur-ansur menuju ke pegangan Islam. Dan akhirnya beliau puas kerana merasakan bahwa hidupnya bermatlamat dan mempunyai arah untuk dituju. Dan beliau menukar namanya kepada Yusuf Islam.

Begitu juga perihalnya dengan seoarang warga Amerika bernama Nicole Queen yang tinggal di Dallas. Setelah bertahun-tahun bekerja di kelab malam, berfoya-foya dan bersosial, beliau akhirnya merasakan suatu keperluan lain di dalam hidup. Dengan cadangan daripada rakan-rakan, beliau mulai berjinak dengan agama Islam melalui video-video di dalam Youtube. “Saya mendapati kebanyakan orang yang memeluk Islam mengalami situasi yang betul-betul sama dengan saya. Mereka merasakan bahawa ada satu kerompangan di dalam hidup, dan hidup ini lebih daripada sekadar bersuka-ria. Akhirnya saya menemui jawapannya, iaitu dengan mengenali Islam dan Allah.”

Banyak lagi kisah yang sedemikian. Apa yang cuba disampaikan ialah, tatkala orang lain berlumba-lumba mencari ketenangan hakiki dan damai abadi dengan meninggalkan kehidupan dan hiburan yang sia-sia, kita semakin mengorak langkah ke belakang mencari ketenangan melalui konsert-konsert dan program-program yang tidak akademik dan menepati tuntutan Islam.


Antara Anjing vs Konsert
Lebih menyedihkan apabila ada mahasiswa yang mempersoalkan ISEUMS apabila banyak berbincang dan membawa ke hadapan isu-isu berhubung hiburan berbanding isu kebajikan mahasiswa seperti anjing yang berkeliaran. “Kenapa ISEUMS sibuk tentang isu konsert sedangkan anjing-anjing masih berkeliaran di dalam Universiti? Nanti seluruh Universiti kena samak baru tau! ”, “Isu bahan untuk P & P tak cukup taknak bawa, sibuk pasal Anuar Zain,” dan “Benda tak perlu nak diperbesarkan, harga makanan di kafeteria mahal suruh bersyukur,” adalah antara kata-kata yang sampai ke meja ISEUMS. Suka kami menjelaskan, kenapa kami mengutarakan persoalan-persoalan sebegini. Pertama sekali di dalam satu organisasi yang baik akan berlaku pembahagian kerja yang efisien. Exco 3P menguruskan tembakan anjing yang telah diadakan banyak kali dengan kerjasama DBKK di waktu malam dan sedang melobi pengurusan untuk membaiki pagar Universiti yang berlubang, Exco Keusahawanan dan Kepenggunaan telahpun mengadakan perbincangan berkali-kali dengan pihak kafeteria dan harga siling untuk makanan telah dipersetujui antara kedua-dua pihak, malah telah dilaksanakan, dan Exco Akademik dan Kerjaya telahpun mengadakan inventori peralatan mengajar yang rosak dan tidak lengkap di semua dewan kuliah dan lain-lain tempat.

Maka Exco Kerohanian dan Sahsiah, berusaha melaksanakan tugas utama kami, yakni membentuk sahsiah pelajar. Tetapi perkara paling utama yang membuatkan kami menitikberatkan isu hiburan ini adalah kerana ia melibatkan soal aqidah. Budaya hiburan yang tidak terkawal dan melampau, percampuran lelaki dan perempuan, pemujaan artis secara berlebihan. Itu semua menjejaskan aqidah. Selagi mana anjing tidak mengajak meninggalkan Islam, selagi mana harga makanan tidak melambung tinggi sehingga mahasiswa terpaksa mengemis kepada misionari, dan selagi alatan P & P memadai dan tidak memaksa mahasiswa membakar dewan kuliah tanda protes, isu kesahsiahan akan tetap terus menjadi tumpuan utama kami. Kami tidak berkata bahawa kami menolak isu kebajikan, tetapi dasar dan prinsip perjuangan utama kami adalah jelas. Mungkin mahasiswa perlu belajar mengenali dan menganalisa sasaran sebelum melancarkan peluru.


Kayu Ukur Hiburan dalam Islam
Islam tidak sesekali menolak hiburan. Malah masyarakat Arab di zaman Nabi Muhammad S.A.W adalah masyarakat yang suka kepada hiburan. Mereka bergurindam dan bersyair tentang alam, tentang Tuhan dan tentang sejarah nenek moyang mereka. Sememangnya berhibur tidak salah selagi menepati garis panduan yang Islam letakkan. Jadi apa kayu ukurnya? Saya pernah ditanya oleh seorang sahabat Majlis Perwakilan Pelajar apabila dilihat kurang senang dengan tindakan mereka berkaraoke, bersuka ria dan bergelak ketawa di dalam bas sewaktu dalam perjalanan ke suatu destinasi. Tanya beliau,

“Aku keliru sikit la. Engkau ni berhibur sikit tak boleh. Ini tak boleh, itu tak boleh. Macam mana sebenarnya engkau definisikan hiburan yang dibenarkan di dalam Islam?”

Lalu saya menjawab,

“Nak letak kayu ukur untuk hiburan yang dibenarkan ni senang. Yang pertama bila kita berhibur kita tidak lupa kepada Allah walaupun seketika. Maknanya hiburan itu tidak membuatkan kita lalai daripada mengingati Allah. Yang kedua, kalau kita mati di dalam keadaan kita sedang berhibur tu, kita tidak menyesal. Maknanya kita redha mati dalam keadaan sedang berhibur tu.”

Beliau Alhamdulillah dapat menerima penjelasan saya.


Berzikir Menenangkan Jiwa
Seperti yang disebutkan awal tadi tujuan manusia mencari hiburan adalah untuk mendamaikan jiwa yang resah. Firman Allah Ta’ala di dalm Surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud,

“Ingatlah, dengan mengingati Allah ( berzikir ) itu jiwa akan tenang,”

Firmannya lagi di dalam Surah Al-Baqarah ayat 152,

“Ingatlah akan Aku, Aku akan mengingatimu,”

Orang Islam harus melatih dirinya mencari ketenangan dengan berzikir. Dan sebaik-baik zikir ialah membaca Al-Quran. Di kala hati resah mencari pedoman, berwudhu’lah, dan selaklah lembaran-lembaran ayat-ayat Allah. Kembalilah kepada fitrah...

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan