:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, August 27, 2011

Lailatul Qadar Berdarah

Imej serangan ke atas Jami' Rifai'e usai qiamullail pagi tadi, daripada Al-Jazeera.net


Kisah ini bukan rekaan. Fokusnya ialah krisis iman. Dalam diri saya, dan dalam diri kamu umat Islam.

Zaman-zaman jadi motivator dulu saya suka sampaikan satu cerita kepada peserta. Cerita tentang seekor beruk, yang tinggal di atas sebatang dahan. Beruk tersebut kerjanya menggenggam erat dahan tersebut, takut-takut jatuh. Lagi kuat badai yang datang, lagi kemas genggamannya. Begitulah dia bertahan sampai suatu hari, angin tidak bertiup kencang, tapi menghembus lembut, sepoi-sepoi bahasa. Si Beruk menutup mata, melayan sapaan manja angin di pipinya, terhuyung-hayang mengikut tiupan angin, lalu genggamannya di dahan terlepas. Si beruk jatuh terhempas ke bumi, otaknya pecah lalu tamatlah riwayatnya.

Kehadiran saya sejam setengah lebih awal daripada sepatutnya disambut sekitar 6000 orang jemaah. Jami’ Rifaie memang juara dalam menghimpunkan jemaah pada malam 27 Ramadhan. Dihidupkan suatu masa dahulu oleh allahyarham Syeikh Karim Rifai’e dan diteruskan oleh anaknya Syeikh Usamah Rifai’e, kedua-duanya terkenal thabat menentang kezaliman dan kebobrokan rejim hafiz al- assad, ayah kepada presiden sekarang, bashar al-assad.

Program yang dimulakan dengan bacaan Hizib Nasr, lalu diteruskan dengan Hizib Nawawi, menggetarkan jiwa bagi yang menghayati makna bacaannya, lalu esak tangis dan rintihan merayu bantuan Allah berlanjutan ke solat sunat tahajjud dan qunut nazilah. Tangisnya ada melodi, naik ketika imam mendoakan kesejahteraan rakyat dan bumi Syam yang telah didoakan sebelumnya oleh Nabi, dan semakin naik apabila didoakan kebinasaan ke atas musuh-musuh Syam dan Islam.

Usai solat, makanan sahur diedarkan. Beberapa sahabat lain yang terlihat kelibat saya menghampiri, lalu kami duduk di balik tiang jami’, membancuh minuman dan mula menjamah.

Baru segelas air dihabiskan, laungan takbir dan slogan-slogan anti-kerajaan tiba-tiba memecah kesunyian. Keadaan mula menjadi hiruk-pikuk. Yang berani berlari ke belakang jami’, menyertai demonstrasi yang telah tercetus. Yang terkejut berlari ke arah syeikh, berharap-harap mungkin mendapat perlindungan. Yang tenang meneruskan menjamah sahur. Memang demontrasi telah dijangka. Sebab itu Syeikh menamatkan qiamullail awal dan melarang jemaah menunggu hingga ke Subuh. Selepas sahur, terus balik, pesannya. Mereka menamakan malam ini Lail Suqutul bashar – Malam Kejatuhan bashar. Anjing kerajaan pun beratus-ratus ekor sudah menunggu di luar sejak tarawih lagi.

Saya berpesan kepada beberapa orang sahabat untuk menjaga beg saya, sebelum saya bergerak ke belakang jami’ untuk meninjau keadaan. Belum sempat sampai, demonstran berlari masuk semula ke dalam jami’. Bunyi tembakan kedengaran. Demonstran dan anjing berbalas-balas membaling apa sahaja yang boleh dicapai tangan. Senjata paling bisa, minuman botol kaca yang disediakan sebagai santapan sahur. Keadaan makin kritikal.

Saya bergegas balik ke tempat asal untuk mendapatkan sahabat-sahabat, mahu bertanya pendapat apa yang patut dilakukan. Hampa. Beg saya duduk tersengih seorang diri di sebelah makanan yang belum terusik. Wajah Malaysia satu pun sudah tidak kelihatan.

Pertama kali momok-momok ukhuwwah melibatkan ahli seusrah dan setamrin menghantui saya ialah pada demonstrasi petroleum terakhir di KLCC tahun 2007. Ketika FRU menyerang saat itu, sahabat-sahabat yang lain lari meninggalkan diri dipijak, ditackle dan digari. Tapi sekurangnya mereka menunggu sepanjang separuh hari saya dilokap dan tak putus bertanya khabar. Episod kali ini, entah mereka tahu atau tidak saya berada dalam lokap atau sedang menulis dari alam kubur, kerana sampai sekarang mereka belum bertanya khabar. Unik.

Seorang pakcik mula menghalau saya keluar daripada jami’ untuk menyelamatkan diri. Saya bergerak ke pintu depan, tetapi tembakan yang dilepaskan memaksa kelompok kami berundur. Pakcik tadi lalu menyuruh ke pintu belakang. Di luar. berkaki ayam, tertunduk-tunduk mengelak hujan kaca, rupanya jalan tersebut tidak selamat dan turut dikepung anjing yang menghayun bebas belantan. Saya berlari menyusup di celah kepungan, lalu BAMM!! Sedas pukulan padu belantan sesat hinggap di belakang badan. Kalau terkena tulang boleh retak. Kalau terkena kepala boleh pecah. Mujur hanya badan yang menjadi mangsa.

Kelihatan seorang demonstran tersungkur di kaki sekumpulan anjing, dipukul tanpa belas kasihan, merayu-rayu dimaafkan. Saya tidak dapat membayangkan betapa azab apa yang sedang dilaluinya.

Bebas daripada kepungan, makin jauh meninggalkan jami’, saya berhenti. Memandang ke belakang. Gambarannya seolah medan perang. Jerit-pekik manusia bertakbir dalam ketakutan. Darah membasahi lantai jami'. Tembakan bertubi-tubi. Apa nasib mereka yang ditinggalkan??? Yang ditumbuk lunyai dan dipijak tendang?? Yang dihempuk kaca dan dihentam belantan? Yang diheret ke markas anjing berdekatan? FRU mula menyerang masuk jami’ dari tingkat atas- rehal, rak dan penutup bekas minuman menjadi perisai para demonstran.

Terkesima. Apakah saya sedang membelakangi medan pertempuran? Apakah nilai tangisan dalam qunut nazilah yang baru sekejap tadi diaminkan? Apakah retorik mahu syahid seperti ahli Badar di bulan Ramadhan? Apakah tahap sebenar iman?

Ampunkan saya duhai Rasulullah, kerana membiarkan umatmu ditebas dan diinjak seperti lipas. Ampunkan saya duhai ahli Syam yang hak mereka dikebas. Ampunkan saya duhai anak-anak Palestin yang tanah mereka dirampas. Ampunkan saya duhai umat Islam yang sedang tidak putus ditindas.

Bisa pukulan belantan bukan pun berbekas. Selipar yang hilang bukan dibuat daripada emas. Tapi ternyata di depan ujian yang kalian hadapi setiap hari, saya bacul dan tumpas.

Si Beruk itu menggambarkan keadaan umat Islam sekarang. Apabila diuji, mereka akan menggenggam erat-erat kepada Islam yang ada di hati mereka, memohon sungguh-sungguh kepada Allah menyelesaikan itu dan ini, beribadah khusyuk-khusyuk agar doanya makbul. Tetapi dalam keadaan nyaman di zon selesa, mereka lalai lalu culas dalam melaksanakan tuntutan agama. Maka hancur-berderailah Islam yang dilepas dan terhempas.

Kamu hanya akan mengetahui tahap iman kamu, bilamana kamu teruji. Kamu dan saya. Kerana yang tidak melaluinya, tidak akan pernah merasainya. Ya Allah, engkau telah mencampakkan bacul dan takut ke dalam hatiku. Janganlah bersamanya kau campakkan perasaan tidak peduli.

Saya menuntut kalian pembaca supaya mendoakan ahli Syam yang telah ditangkap dan kemungkinan besar sedang diseksa-siasat. Mendoakan syeikh yang terlantar di hospital. Mendoakan umat, yang kerana cintakan dunia, dan takutkan mati, sebagaimana yang saya baru rasai, takut untuk bangkit membantu saudara-saudara mereka.

Cukuplah menjadi beruk, jangan jadi beruk yang tidak ada rasa peduli.

4.00pagi,

27 Ramadhan,

Bait Setinggan, Medan, Syria.

Friday, August 26, 2011

Nur Ramadhan - Demascus

Antara lagu terindah dalam mengejar baki-baki Ramadhan..

Lagu: Nur Ramadhan
Artis: Demascus

Edry
Rap
Rindukan rahmat tuhan
Harap belas kasihan
Terungkap kata
Hati bersuara
Rintih luahan insan
Semalam berlalu pergi
Terlalu sepi
Tak dapat di nafi
Hati terus mencari
Damai yang pernah
Singgah pelengkap
Tahun melengkap jauh
Jauh ke sudut kalbu
Tersusur harapan
Menanti ramadhan
Mengharap butir ampun

Miff
Verse 1
Terasa begitu cepat
detik waktu berlari
dan musim pun berganti

Miff
Verse 2
Tak sempat ku merenungi
dalam wadah maknawi
Nur Ramadhan yang pergi

Amal
Pre Chorus
Aku mengunyah butir debu-debu
Yang garing di kebun tamarMu

Iki
Chorus
Terlalu mudah aku melepaskan Ramadhan berlalu
Tanpa walau secubit rasa kerinduan berbekas di kalbu

Fa
Bridge
Musafir yang damba Ramadhan
Menanti dengan getar rindu tertahan
Menyambutnya penuh kesyukuran
Menatang rahmat iman di lembar al-Quran

Omitted Words
(Di siang yang menyala
Berlapar dan dahaga
Sedikit tak terdera hanya rasa cinta
Di cermin bahagia

Kalimah yang diutus
Mengalir tak terputus
Di malam nan berkabus doa-doa kudus
Mengisi tafakur)

Edry
Rap
Pernah kutinggalkan kau
Tanpa beralas syukur
Lalu lebur peluang terkubur
Rindu kemudian subur
Pernah ku abai nikmat
Damai yang hadir hinggap
Kini kusingkap tirai dan tingkap
Perbetul tiap silap
kan kupastikan ramadhan
Berlalu dengan makna
Tarbiyah taqwa tersisip
ke tiap inci nyawa
Ku bimbang tiada esok
Untuk ku sambut lagi
Bulan tercinta pendamai jiwa
Limpah rahmat Ilahi

Debar Lailatul Qadar MALAM INI!

Ramadhan - 3 HARI LAGI!

Thursday, August 25, 2011

Di Sana Aku Mampu

Menunggu mengantuk datang, fikiranku mula jauh melayang, memikirkan hal masa dan peristiwa, sakit dan dunia derita, mempersoal diriku di mana berguna.

Somalia sedang berdepan masalah kebuluran terburuk sejak tahun 1992,dengan 3.7 juta rakyat diancam kebuluran, selain terdedah kepada masalah perang saudara.

Aku berangan berada di Somalia, menyuap rezki ke mulut dahaga, mengusap kepala dan tubuh rangka mangsa suasana, memujuk dan meyakinkan mereka, hari esok masih ada.

Letupan bom dan pembunuhan 77 rakyat Norway, khususnya remaja pada 22 Julai lepas asalnya disalahkan ke atas orang Islam sebelum terbukti dilakukan oleh Anders Breivik, ahli parti haluan kiri.

Aku bermimpi menapak di Norway, menjenguk kesan letupan durjana, menziarahi mangsa di balik pintu gereja, mengetuk hati yang diracun bisa, bahawa Islam mengajar mulia, bukan membunuh dan menyeksa, seperti selama ini disangka.

Hamzah Al-Khateeb, antara kanak-kanak yang syahid di tangan rejim Bashar.
Beliau disiksa dan kemaluannya dipotong sebelum dibunuh.

Aku berkhayal berjalan di Hama, Homs, Dara'a, Palestin, Iraq dan Libya, memerhati zalim angkara penguasa, mengumpul marhaen yang mencari merdeka, mengajar membina harapan baru di atas runtuhan batu dan jiwa.

Pengisian Ramadhan di Kampung Ragkam, Tambunan tahun 2010.

Lalu Aku termangu, betapa jika aku di SANA aku mampu, mampu menyuap makanan ke mulut yang memerlukan, mampu memberi kefahaman pada yang kekeliruan, mampu membina harapan atas zalim tangan kerajaan. Di bawah bayu, aku dan kamu, mampu melakukan semua itu. Semoga disaratkan hati aku dan kamu, untuk terus mahu.

Tahniah, dan terus berjuang, mereka yang gigih bekerja di Ramadhan ini. Pemuda, PSS dll.

5 HARI LAGI!

Monday, August 22, 2011

Pecutan Lari Daripada Neraka




Jemputan fastabiqul khairat, berlumba mengejar kebaikan tidak mengira usia.

Panasnya terasa membahang. Suasana akhir zaman memang mengundang itu. Jemputan ke neraka lebih banyak daripada laluan menuju syurga. Muslim dan mukmin menyiapkan diri untuk pecutan saat akhir. Pecutan menuju garis penamat taqwa, dan menjauhi bahang neraka. Kelihatan telah ada pelumba yang jauh di hadapan. Tak kurang yang telah kepenatan, menyerah nasib kepada takdir untuk dijilat api neraka. Pit-stop kali ini menandakan sepertiga terakhir perlumbaan.

Ustaz Hafizullah Muda dalam perkongsiannya bersempena Program Ihya’ Ramadhan Persatuan Pelajar Malaysia Syria membawa pendengar membeli-belah di Madrasah Ramadhan. Di kiri kanan kelihatan pelbagai promosi, ada yang telah expired, sedang sebahagian masih valid. Promosi ibadah habis-habisan untuk mendapat rahmat Allah di sepertiga pertama sudah tamat. Promosi keampunan dosa di sepertiga kedua pun telah tamat. Yang melepas memang rugi.

Tapi dahsyatnya makin ke penghujung, promosinya semakin hebat. Yang tidak mendapat rahmat, yang keciciran keampunan, rupanya ditawarkan pakej akhir, bebas daripada api neraka!

Ya Allah jauhkan kami daripada mengejar promosi
yang salah di malam-malam akhir Ramadhan.

Lalu butir hikmah daripada Ustaz Hafizullah menegaskan, biarpun promosinya banyak, tapi bukan promosi yang mahu dikejar. Yang mahu dikejar, ialah produk yang dipromosikan. Kalau yang dikejar ialah promosi, maka tamat tempoh promosi, tamatlah keghairahan mendapatkan produk. Sedangkan mesej Ramadhan melahirkan insan taqwa, memerlukan istiqamah yang melangkau expiry date promosi! Kun Rabbaniyyan, Wa La Takun Ramadhaniyyan, tema Ihya' Ramadhan 1432H berbunyi. Kita mengejar untuk menjadi hamba Allah yang sempurna, bukan menjadi hamba Ramadhan!

Rupanya dalam sibuk muslim dan mukmin lain berlumba menjauhi bahang, di garisan penamat sudah ada yang menunggu. Hairannya yang menunggu itu seperti masih mahu berlari. Tali ikatan di pinggangnya diketatkan. Malah anak isterinya digamit untuk berlari bersama. Anak-anak dikendong, isteri dipimpin. Lalu lariannya tiada henti, tiada lelah dan tiada jemu, walaupun di wajahnya ada tanda lesu dan kakinya sudah bengkak-bengkak biru . Siapakah gerangan pelari itu?

Disebutkan di dalam hadis riwayat Aisyah, bagaimana Rasulullah S.A.W pada 10 hari terakhir Ramadhan, akan mengetatkan tali ikatan kainnya (mengurangkan makan), mengejutkan ahli keluarga untuk beribadah malam dengannya dan jarang sekali meninggalkan masjid kecuali dengan keperluan. Peliknya, kenapa yang sudah confirm menang dan berjaya, yang sudah sampai garisan penamat, masih berlari tak henti, sedangkan yang baru mahu bermula masih terhegeh mencari rentak?

On your marks, get set, GO!! Prriiiit! Wisel telah berbunyi! Jom mulakan larian!

Tips meraih kejayaan membebaskan diri daripada api neraka :

1. Pastikan amalan fardhu dilaksanakan secara sehabis sempurna, khususnya solat. Melewatkan panggilan azan setelah mendengarnya seolah berkata kepada Allah “Lepak la dulu, tak nampak ke aku sibuk ni?”. Berusaha sedayanya untuk solat di saf pertama, kerana Rasulullah bersabda yang mafhumnya, kalau manusia tahu kelebihan orang yang solat di saf pertama, nescaya mereka akan bergaduh untuk mendapatkannya.

2. Santuni sunnah Rasulullah S.A.W untuk menjiwai larian baginda di penghujung Ramadhan. Biasakan memakai jubah putih, siapakan kayu sugi untuk digunakan setiap kali sebelum solat, gunakan minyak wangi sebelum ke masjid, kurangkan makan, kurangkan makan, kurangkan makan.

3. Campakkan diri keluar daripada kebiasaan. Pindah ke rumah kawan jika perlu. Ubah tempat tidur daripada atas katil ke atas lantai. Senyum dan bagi salam pada semua orang. Botakkan kepala sebagai simbolik mencukur dosa semalam. Buat apa sahaja untuk mengingatkan diri, aku sedang dalam perlumbaan!

4. Lipatganda amalan sunat. Perbanyakkan mentadabbur Al-Quran di setiap waktu dan tempat, dengan berbekalkan Al-Quran tafsir. Basahkan lidah dengan zikir tanpa henti, dengan berbekalkan tasbih di tangan, menggantikan telefon bimbit. Bersedekahlah walaupun dengan sebiji tamar.

5. Bina diri untuk tidak berhenti berlari setelah Ramadhan selesai dengan memasakkan amalan asas harian sebagai kebiasaan yang berterusan.

Saya terbaca kisah seorang lelaki yang langsung tidak beribadah melainkan pada malam 27 Ramadhan, dengan keyakinan dia mendapat ganjaran malam Lailatul Qadr, dan itu cukup untuk menghapus dosanya yang lalu, lalu menjanjikannya syurga. Pandangan itu jelas batil, tetapi sekurangnya membaca kisah tersebut, membuahkan keazaman. Azam saya, untuk menjadikan 10 malam terakhir ini lebih terisi oleh tadabbur, sedekah, qiam, zikir dan amalan sunat daripada 20 malam sebelumnya! Al-Fatihah.

Kerana botak itu indah.

8 HARI LAGI!!

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan