:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Tuesday, December 28, 2010

Dakwah Tahu @ Dakwah Melulu?

Saya sempat bertanya pada Syeikh Nuruddin Al-Banjari dalam ceramah perdana yang diadakan di Surau An-Nur Bandar Baru Bangi beberapa hari lepas. Beliau membicarakan sepotong doa yang sentiasa diulangi oleh Baginda Rasulullah S.A.W, yang memohon daripada Allah supaya hidup manusia diterangi nur pada pendengaran, penglihatan, atas dan bawah, kiri dan kanan serta di dalam hati. Beliau menekankan aspek peri-pentingnya nur tersebut menaungi kehidupan umat akhir zaman, lagi dan lagi. Justeru di sesi soal jawab, saya mengambil peluang bertanya, apakah nur yang baginda maksudkan? Beliau menjawab, taqwa, ilmu dan iman. Apabila ditanya lanjut, apa pula nur yang paling ampuh melahirkan ikhlas dan meruntuhkan ta'ajub dalam berdakwah, beliau menjawab pasti, laluannya ialah dengan ilmu.

Justeru saya berasa penasaran, melihatkan budaya ilmu yang seakan-akan sudah tidak subur di dalam kehidupan insan mengaku dai'e pada hari ini. Datangkanlah alasan apa sekalipun, sibuk, tidak punya masa, malas atau tiada bahan, saya optimis segala kemungkinan bisa diatasi kalau hati berkata mahu. Apa beza Ali bermain bola di padang kampungnya dan Park Ji Sung bermain di Old Trafford? Apa beza Mak Leha menjual nasi lemak di Batu Sapi dan Donald Trump menjual hartanah di New York? Apa pula beza penulis picisan di blog ini dengan penulis-penulis hebat seperti Stephen Covey dan Buya Hamka? Selain pengalaman dan kemahuan yang tinggi, bezanya tentu sekali ilmu!

Dakwah bukan medan menyalurkan apa yang
kita dapat kepada orang seterusnya.

Pelik bagaimana kita mampu membentangkan hujah dan menghambur fikrah kepada madhu'u tanpa terlebih dahulu membedah intipati dakwah yang disampaikan, atau sekurangnya melakukan keduanya secara beriringan. Persisnya seperti Ji Sung yang mengajar orang bermain bola tanpa mengetahui cara mengambil sepakan sudut. Hairan bagaimana kita mengomel tidak punya bahan, tetapi untuk menggali khazanah cinta, sanggup meminta rakan menerbangkan buku Bercinta Sampai Ke Syurga dan Tentang Cinta jauh dari seberang. Ibarat Mak Leha yang mengadu tidak punya santan tapi mengimport daun pisang dari Samarinda. Musykil kabir bagaimana kita mengeluh tidak punya masa, tapi berkesempatan membelek DSLR sendiri atau DSLR rakan berjam-jam dan belajar menggunakannya. Tidak ubah seperti penulis blog yang mengambil masa berjam-jam menghias dan mencantikkan blog, tanpa mengorbankan masa untuk belajar bagaimana memperbaiki tulisannya.

Saya berpendirian proses menyelami dan membetulkan hati-hati manusia merupakan tugas paling sukar di dunia. Maka sekiranya memasak nasi lemak, menyepak bola dan menulis blog pun perlukan pengorbanan masa dan perburuan ilmu, berdakwah apatah lagi. Jangan saja menguasai maksud dan praktikal simplistik Islam, malah kaji dan terokai perkembangannya zaman ke zaman. Jangan saja cakap berdegar-degar hendak mengembalikan semula khalifah, malah selidiki bentuk dan idealisme mendirikannya semula pada abad ini, jangan hanya bercakap sini dan sana menjanjikan syurga, tapi ambillah ruang menyelami psikologi hati dan pemikiran manusia, lantas mendampinginya dan mengembalikannya langsung kepada fitrah kejadiannya.

Lebih daripada itu, dakwah bukan medan membodohkan
orang lain dengan benda yang kita tidak tahu!

Saya tertarik dengan cerita Ustaz Hasrizal dalam kuliahnya minggu lepas, berkenaan sebuah kuiz yang diadakan di kuliahnya di UIA. Pensyarahnya memberikan para pelajar sebuah peta Timur Tengah untuk dilabel, dan terbukti sebahagian besar pelajar mendapat kosong untuk kuiz itu. Saya mengambil peluang melakukan yang sama. Soalan saya mudah, wahai yang mengaku pembela dan pencinta syuhada di Palestin, yang tiap kali mengambil ibrah dari pertumpahan darah di sana dan menayangkan video-video intifadha...di manakah Palestin? 1-10?

Jika anda melabelkan mana-mana tempat di antara 1-10 sebagai Palestin, nah, selak semula omong-omongmu berhubung Palestin. Atau kalau itu terlalu sukar, cuba pula tunjukkan, di mana kedudukan Makkah dan Madinah dari sirah Madinah yang dipetik sehari-harian dan dibentangkan kepada madhu'u, malah tempat berdiri kiblat yang dihadap setiap lima kali sehari?

Tepuk dada, dan penuhi ia dengan ilmu dakwah yang berguna...

(Saya merendah diri memohon pembaca mencadangkan buku-buku dan bahan bacaan yang perlu untuk setiap dai'e, selain buku-buku konvensional yang sering diterokai. Untuk permulaan, saya mencadangkan buku warisan turun-temurun, 'How To Win Friends and Influence People' - Dale Carnegie.)

Monday, December 6, 2010

Masjid dalam Masjid

Sahabat-sahabat dari Pusat Dakwah Serantau (PDS)
Yayasan Amal yang gigih membantu.

Antara sahabat lama Kak Nada yang hadir. Yang berbaju biru
di tengah berdarah panas,menunggu masa.

Saya tidak pasti samada ia budaya yang telah lama dibuat di tempat-tempat lain, atau perkahwinan kakanda Qatr al-Nada dan Tariq tanggal 20 November yang lepas menjadi trendsetter atau sekurang-kurangnya trend kick-off. Apapun, saya kira mengadakan kenduri kahwin di dalam masjid banyak manfaatnya yang tersendiri. Selain mengimarah dan memulihkan fungsi masjid sebagai pusat kehidupan umat Islam, ia turut 'memaksa' hadirin menjaga tingkahlaku dan adab sopan kerana berada di rumah Allah. Hadirin yang menutup aurat, langsung tidak berlaku percampuran lelaki dan perempuan, beriktikaf sambil menjamah hidangan, solat tepat pada waktunya secara berjamaah setiap kali azan dilaungkan dan kawalan automatik terhadap tahap keligatan 'deejay' bertugas, selain menjimatkan ribuan wang sewa khemah, kerusi dan meja cukup untuk menjadi justifikasi.

Timbalan Presiden PAS antara tetamu yang hadir.

Jemputan duduk bersila di atas lantai,
menjamu hidangan dengan selesa.

Tetapi dua perkara yang secara peribadi saya paling suka, pertamanya ialah bilamana jemputan yang hadir dapat makan dan beramahmesra sesama mereka dalam suasana sangat selesa, duduk dengan aman dan nyaman sambil bercerita dalam halaqah. Malah ramai yang tidak segan-segan untuk bangun semula menjamu selera untuk pusingan kedua kerana lapar semula setelah terlalu asyik bercerita. Yang keduanya ialah bagaimana majlis sebegini membuka ruang kepada rakan-rakan bukan Islam mendekati masjid tanpa berasa janggal dan takut, melahirkan persepsi yang sepatutnya terhadap masjid dan fungsi masjid, serta kemurnian Islam sebagai rahmat sekalian alam. Jom benar-benar membina masjid di dalam masjid!

Barangkali keluarga Cina ini pertama kali menjejakkan kaki di dalam masjid.
Alhamdulillah, Islam Untuk Semua.

p/s : Terima kasih pada semua sahabat yang hadir. Ada rezki ketemu lagi.

Tuesday, November 30, 2010

Kem Briged Amal 2010


Tanggal 5-7 November yang lepas, Jabatan Amal Negeri Sabah sekali lagi mencipta sejarah apabila 32 orang remaja daripada pantai barat Sabah berkampung di Tambunan selama 3 hari bagi menjayakan Kem Briged Amal yang pertama sepertinya di Zon Pantai Barat. Remaja-remaja tersebut merangkumi peserta daripada Tuaran, Kota Kinabalu dan Tambunan sendiri memulakan perkhemahan di Masjid Tambunan pada Jumaat malam dengan menyantuni masyarakat sekitar pekan Tambunan. Dengan semangat dan tekad 'Beramal Kerana Allah', peserta mengunjungi restoran, stesyen minyak dan rumah penduduk untuk menawarkan khidmat percuma dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Keesokannya, disiplin para peserta dibentuk dengan latihan kawad kaki sebelum didedahkan dengan asas seni mempertahankan diri oleh jurulatih jemputan. Seterusnya mereka berjalan kaki sejauh 16km sambil menyiapkan tugasan yang telah diberikan untuk sampai ke tapak perkhemahan di Kampung Kaingaran. Kemampuan peserta berjalan sebegitu jauh mendaki bukit dan meredah jalan kampung wajar dipuji.

Kira-kira jam 11 pagi, para peserta yang telah tiba di tapak kem diarahkan mendirikan khemah masing-masing selain diagihkan tugasan memasak, menghantar envoy kepada penduduk kampung, mendirikan khemah utama, tandas dan menara kawalan. Khidmat 2 orang ahli pengakap Tambunan yang diketuai saudara Zul membolehkan para peserta mempelajari beberapa teknik ikatan dan kaedah mendirikan menara kawalan secara tidak langsung sepanjang perkhemahan.


Petang itu, peserta diajar menghasilkan gajet sebelum dibawa mengikuti aktiviti larian komando, dan mempersembahkan bakat berkumpulan di dalam Malam Kesenian pada sebelah malamnya. Hujan lebat yang turun menyebabkan sebahagian peserta mula sakit, walaupun masing-masing masih bertahan dan enggan meninggalkan tapak persembahan. Keesokannya, peserta melakukan aktiviti 'masak survivor', di mana mereka memasak tepung dan sardin,selain beberapa bahan mentah lain dengan menggunakan buluh dan kayu api. Aktiviti berakhir dengan 'war game' di mana ahli Amal diberi taklimat tentang penggunaan kompas dan asas navigasi, dan dilepaskan untuk mencari jalan masing-masing hingga sampai ke medan peperangan.


Majlis penutupan dan pentauliahan 32 ahli baru Briged Amal Zon Pantai Barat telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Amal Sabah, Saudara Saifuddin Ahmad dan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Jabatan Amal, Saudara Sabarullah Ishak. Ahli-ahli Briged Amal menyatakan azam dan berikrar untuk berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara pada bila-bila masa mereka dikerah dan dipanggil untuk 'Beramal Kerana Allah'.


*(Lagi gambar program di sini)

Monday, October 25, 2010

Bila Khatan Jadi Beban


"Kalau masuk Islam,kena potong tu bawah!" lawak yang sering dibuat oleh penceramah yang bercakap tentang pendekatan dakwah kepada bukan Islam, khususnya yang baru mahu memeluk Islam, dan biasanya diiringi dengan tegahan membuat kenyataan sedemikian, agar madhu'u tidak lari. Selama ini saya hanya memikirkan ia sebagai suatu gurauan, tetapi minggu lepas, terbukti ia bukan sekadar itu.

Kami sedang duduk di hadapan pegawai JHEAINS yang agak berumur. Semua dokumen telah tersedia untuk mengislamkan Christopher, seorang kenalan dari kampung Log Poring. Bersama saya ketika itu ialah abangnya yang sudah memeluk Islam 12 tahun lepas, beserta Timbalan Pengerusi ISEUMS, Saudara Asyraf yang menemani. Ustaz di hadapan telahpun memberikan sedikit pengenalan, bertanyakan tujuan menganut Islam dan sebagainya. Christopher membetulkan duduk, bersedia untuk melafazkan akad memeluk agam Islam. Tak semena-mena, ustaz JHEAINS tersebut membuat lawak terakhir sebelum mengajarkan dua kalimah syahadah,

"Kalau masuk Islam ni tu kepala bawah kena potong tau, bagi dia berbentuk-bentuk sikit."

Saya, Asyraf dan abang kepada Christopher, James ketawa berderai, cuba meringankan suasana. Tapi Christopher kelihatan kaget. Daripada kaget bertukar cemas. Setelah diam beberapa ketika dia memandang saya.

"Sunat tu wajib ke Ustaz?"

"Ya," saya menjawab ringkas. Christopher mula tak senang duduk. Dia memandang ke kiri dan kanan. Ustaz JHEAINS pun kelihatan terpinga-pinga. Tak sangka lawaknya akan meninggalkan kesan sebegitu kepada saudara yang baru hendak memeluk Islam. Christopher memandang saya semula.

"Ustaz, saya rasa kena bagi masa dengan saya seminggu dulu untuk berfikir."

Astaghfirullahala'azim. Kami beristighfar panjang.

"Takkan gara-gara itu saja kamu mahu tangguhkan masuk Islam? Sunat tu tak sakit pun, macam kena gigit semut ja," ustaz JHEAINS memujuk.

"Potong tu untuk kesihatan juga, kulit bahagian depan ja, bukan potong semua sampai habis," Asyraf meningkah.

"Kamu masuklah Islam dulu, kalau bertangguh nanti mati, tak sempat masuk Islam, macam mana?" saya berhujah.

"Nokuro ko? Au oku ngarati kau ti. Kada begitu!" abangnya memangkah.

Tetapi puas kami memujuk, Christopher tetap dengan pendiriannya. Dia tetap tidak mahu mengucapkan dua kalimah syahadah. Daripada satu alsan muncul alasan yang lain, sehinggalah akhirnya kami terpaksa akur dengan kehendaknya. Pulang dengan agak kecewa.

Mudah-mudahan hatinya akan terbuka juga nanti, dan mudah-mudahan para pendakwah akan lebih menjaga apa yang keluar daripada mulut kita!

Teringat Ustaz Nasaruddin Hassan bercerita perihal pendekatan dakwah penceramah tersohor Terengganu, Ustaz Azhar Idrus, bila dia ditanya oleh seorang mat rempit, adakah boleh dia membawa makwanya naik motor, merempit bersama-sama dengannya. Ustaz Azhar menjawab boleh, lalu seluruh audiens tercengang, kecuali mat rempit tersebut yang tersenyum lebar. Lalu Ustaz Azhar menambah,

"Tapi ada satu syarat. Syaratnya, bapak makwa kamu kena letak kat tengah-tengah seat tu, antara kamu dengan dia!" Audiens ketawa, termasuk mat rempit tersebut. Ustaz Nasaruddin mengulas,

Skil mengajar yang halus, mencapai matlamat dan dapat diterima semua pihak. Sebab tu, kuliah dia ribuan orang datang. Dan sebab tu juga, Facebook Ustaz Azhar lagi ramai fans dari saya!

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan