MELAKA, 24 Dis (Hrkh) - Isu babi di Masjid Tanah yang pernah mengemparkan negara sebelum ini cuba ditimbulkan semula oleh pihak yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan buruk kepada sensiviti kaum di negara ini adalah merupakan satu sandiwara sahaja.
Sebelum ini tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mengantung kepala babi di pagar rumah seorang Ahli Jawatankuasa Pemantau Babi dan di kain rentang Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) di Masjid Tanah, baru-baru ini, mengemparkan pelbagai pihak.
Berikutan itu, kira-kira 600 orang yang terdiri daripada beberapa NGO diketuai Timbalan Pewaris Pusat, Rahimuddin Md Harun mengadakan demonstrasi bantahan dan menghantar memorandum kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pengeluaran Babi, Dato' Wira Abu Seman Yusop serta turut membakar replika lima ekor babi sebagai simbolik agar ladang ternakan babi di Melaka ditutup.
Isu babi telah lama dibangkitakan dan masih lagi menjadi permainan politik murahan sebahagian pihak berkepentingan. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka yang kononnya memperjuangkan isu ini nampak bahawa ia sesuatu yang sangat teruk dan menjijikkan, memandangkan pada hakikatnya ia adalah usaha terancang untuk mengelakkan komplikasi yang berlaku sebelum ini.
Analogi yang suka saya kemukan cukup mudah- Anda mempunyai 20 orang anak yang suka membuang air besar di segenap penjuru rumah. Tidak kira siang dan malam, di tempat terbuka yang tiada sistem kumbahan yang berkesan, menimbulkan bau dan susasana yang cukup tidak selesa. Datang Pegawai Kumbahan Resources (PKR) mengusulkan bahawa akan diwujudkan sistem berpusat untuk semua anak-anak anda membuang air besar, menggantikan sistem Berak Nasional sebelum ini dan sistem ini akan memastikan tidak ada bau yang terhasil, tidak ada wap beracun terbebas dan risiko penyakit merbahaya sangat berkurang. Malah, lebih daripada itu, najis yang dihasilkan oleh anak anda boleh dijual secara komersial dan anda mendapat untung daripadanya! Yang manakah yang akan anda pilih? Sistem yang dicadangkan oleh Pegawai Kumbahan Resources, atau kekal dengan sistem BN?
Lagu Aku Bukan Musuh Harta, dengan lirik ditulis oleh Dr Asri dan dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa dalm album terbaru mereka, Yang Benar Tetap Benar, telah diharamkan oleh RTM 1 atas sebab 'liriknya yang tidak sesuai dan kasar'. Ulasan Dr Asri berhubung isu ini boleh dilayari di laman webnya [link].
Nenek, atau panggilan mesra kami untuk beliau, Jaddah, yang bermaksud nenek di dalam Bahasa Arab sudah lama terlantar di hosipital. Masuk dan keluar hospital menjadi kebiasaan. Awalnya didiagnosis dengan penyakit misteri, sebelum disahkan menghidap kanser darah, yang tidak lama kemudian melepasi penjara sumsum tulang, memasuki darah dan bergerak ke otak. 7 atau 10 hari maksimum, kata Doktor. Bergilir-gilir lapan beradik, cucu, cicit, tok-tok saudara dan lain-lain kerabat menjaga beliau. Ayah yang merupakan anak sulung, dan ana sebagai cucu lelaki sulung, memainkan peranan setakat terdaya. Sehingga akhirnya Jaddah tidak lagi mengenali individu-individu yang berada di sekeliling. Yang tinggal dalam memori ialah,
“Yoh, ambil kangkung belakang rumah, celur. Jangan bagi Ani ambik, dia kecik lagi.”
“Gi kedai tepi pantai tu, beli ikan nak masak singgang.”
“Jangan lupa tempah rencah hilal satu kotak.”
Menu-menu masakan yang digunakan buat membesarkan anak-anak satu era terdahulu di dalam kehidupannya. Malah omong-omongnya kadangkala meruntun jiwa apabila kasihnya pada anak-cucu ditonjolkan dengan meminta air dibancuhkan untuk kami yang disangkanya ‘bertandang ke rumah’. Teringat wafatnya Rasulullah, memanggil-manggil yang paling dikasihinya walaupun sedang berdepan dengan sakaratulmaut. Kadang-kadang tangan Jaddah menyapu-nyapu udara, sebelum dilekapkan tangannya ke muka, digosok-gosok tangan sampai ke lengan dan disentuh sedikit telinga. Subhanallah. Jaddah dalam keadaan separa sedar sedang berwudhu’ sebelum tangan mengangkat takbir. Walaupun pergerakan solatnya melompat dari takbiratul ihram kepada tahiyat akhir dan salam, kami yakin Allah mengetahui hasratnya menghabiskan usia dengan menjadi hamba yang berterusan merendahkan diri serendah-rendahnya di hadapan Pencipta. Selesai solat dipanggil suami ke sisi. Suami yang berada jauh di rumah.
“Abi, Abi..mari sini Abi. Mana Abi? Suruh Abi angkat Jaddah ni”..
Sebelum bertukar menjadi;
“Tolong pergi rumah Tok Ma Milah, ambik air mawar, kapur barus dengan batik lepas..”
Ujianku Atasku Juga Untukmu
Biasanya berita tentang orang sakit dan orang mati jarang memberi kesan mendalam pada manusia. Ambil sahaja contoh yang mudah, iaitu apabila kita mendapat berita tentang kematian melalui sms. Habis baik pun kita akan mengirimkan ucapan takziah dan bertafakur sejenak membacakan al-fatihah. Atau jika berita adalah berita orang sakit, kita akan menghantar mesej motivasi yang diforwardkan dari ‘saved messages’ handset masing-masing. Bertuah sangatlah kalau peringatan-peringatan yang datang mampu membuatkan diri beristighfar panjang, terduduk insaf atau mengucap mengingati ajal yang boleh bertandang bila-bila masa. Kecualilah, kecualilah, jika mesej yang terpampang berbunyi, ‘Ayah enta meninggal kemalangan baru sekejap tadi’ atau ‘abang, kakak masuk hospital kena denggi’. Realitinya, ikatan antara orang Islam terlalu longgar untuk membolehkan mati-sakit orang lain yang tidak dikenali sama-sama dikongsi. Cubit peha kanan, peha kiri takde perasaan pun!
Ana seorang yang banyak bermaksiat. Dan seperti orang lain, ujian dalam apa bentuk pun mampu membuatkan ana berhenti bermaksiat untuk seketika. Ya, untuk seketika. Kemudian setelah efek ujian tersebut berlalu, diri akan kembali bermaksiat. Astaghfirullah. Malangnya tidak cukup ujian yang Allah berikan untuk memastikan diri sentiasa berada dalam keadaan insaf dan sedar. Kerana dengan peringatan yang berulang itu baru diri akan tertambat pada aqidah dan syariah. Dari situ ana mula berfikir yang pengajaran untuk orang lain juga dimaksudkan untuk ana. Lebih-lebih lagi ujian yang diri sendiri pernah rasakan. Penghidap gastrik akan lebih terkesan bila berdepan dengan orang yang mengadu gastrik kerana dia sahaja yang tahu pedihnya bila perut meragam. Orang yang ibunya mempunyai penyakit barah akan lebih terkesan bila mendengar berita orang sakit barah. Orang yang pernah menderita kemalangan patah kaki akan lebih bersimpati terhadap orang lain yang kemalangan patah kaki. Semuanya kerana selain aspek akhlaq yang mengajar diri bersimpati secara automatic dengan kesusahan orang lain, wujud elemen penghayatan yang mengkesan hati dan membolehkan diri relate dengan kepedihan orang, kerana perkara sama pernah dilalui dan sakitnya, turut sama dapat dirasai. Penghayatan terhadap kesusahan saudara seIslam, kenal atau tidak, jauh atau dekat, itu yang sepatutnya turut mampu mengekalkan iman dalam keadaan yazid, atau sekurang-kurangnya statik.
Maafkan ana wahai sahabat-sahabat, sekiranya kesusahan yang antum pernah rasakan tidak dapat ana kongsi perit-pedihnya. InsyaAllah, kita berubah..
I’brah Akhlaq Nabi
Ana meyakini bahawa ini sebahagian jawapan kepada titik noktah maksiat dalam hidup ana bila mengimbau sirah Rasulullah. Selain kurniaan direct daripada Allah, apa sebab lain Rasulullah menjadi orang yang paling kasih kepada orang miskin? Sebabnya baginda juga hidup dalam kekurangan. Kenapa Rasulullah orang yang paling sayang kepada anak yatim? Kerana bapanya, ibunya, malah pakcik dan datuknya sekali ditarik nyawa mereka ketika baginda masih kecil.
Ya Allah, bukakan jalan untukku mencari titik-titik noktah yang lain..
Jaddahku..
Jaddah mula tercungap-cungap. Tepat jam 1.17pagi, 15 Disember, Jaddah kembali ke pangkuan Kekasihnya dengan senyuman terukir di bibir. Jaddah disolatkan oleh Tuan Guru Nik Aziz, dan meninggalkan seorang suami, 8 orang anak dan 44 orang cucu. Semoga rohnya dicucuri rahmat..Amin.
1.Haji dahulunya merupakan satu muktamar thanawi atau kongres tahunan yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin dunia Islam untuk membincangkan masalah umat. Hari ini ia menjadi tidak lebih daripada lawatan bekerja selama seminggu
2.Tarbiyah tidak boleh dijalankan secara ritual, haji itu bukan satu ritual tetapi suatu perjalanan rohani dan bukan fizikal.
3.Kebesaran ka’abah itu bukan pada kiswahnya atau hajarul aswad, akan tetapi kebesaran ka’abah itu pada tuannya.
4.Ibadah qurban berasal dari perkataan qaraba-dekat, dan qurban membawa maksud sesuatu yang mendekat atau menghampirkan diri kepada Allah.
5.Jumlah qurban pada setiap tahun dimenangi oleh Kampung Baru. Tahun ini juga sama dengan 40 ekor. Akan tetapi bukan ekornya yang dikira, akan tetapi yang sampai kepada Allah ialah taqwa. Seperti firman Allah yang bermaksud – “Tidak sampai kepada Allah darah dan daging qurban, akan tetapi yang sampai ialah taqwa.”
6.Ibrah wajib diambil daripada peristiwa Ibrahim menyembelih anaknya Ismail, yang mana watak diaminkan oleh tiga orang; Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar, yang mana ketiga-tiganya mempunyai satu persamaa – aqidah yang tidak berbelah-bahagi dan meletakkan Allah sentiasa di tempat pertama. Persoalan yang harus ditimbulkan ialah – Bagaimana mewujudkan watak-watak ini dalam realiti kehidupan pada hari ini?
7.Siti Hajar membenarkan Ismail disembelih, tetapi yang menghalang siapa? Penasihat yang paling baik – Iblis, yang melontarkan kata-kata saying dan penyesalan kepada Ibrahim supaya Ismail tidak disembelih.
8.Hari ini Allah diletakkan sebagai nombor berapa di hati? Hari ini yang pertama di hati ialah harta dan dunia. Bukan isteri yang ‘kualitinya’ akan jatuh. Malah anak diletakkan di kedudukan yang sangat jauh, misalnya kisah seorang anak berumur 1-2 tahun yang dibelasah oleh bapanya kerana menconteng kereta yang baru dibelinya. Esoknya, tangan anak terpaksa dipotong. Setelah anak melihat tangannya yang sudah tiada, si anak menangis dan berkata kepada emaknya, “Emak, mana tangan adik? Adik nak tangan adik semula. Adik janji tak conteng kereta lagi!”
9.Bagaimana kualiti hubungan suami-isteri setelah lama mendirikan rumahtangga? Bukan kualiti ‘badan’ yang dipersoal tapi kualiti hubungan dan akhlaq. Bagaimana pula kualiti anak setelah semakin lama semakin pandai dengan ilmu yang bertambah?
10.Punca kerosakan pada hari ini berpunca daripada system pendidikan yang tidak menekankan persoalan akhlaq dan adab. Peningkatan jumlah pelajar mendapat 5A hanya usaha sesetengah pihak menutup kelemahan dalam sistem pendidikan seperti pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Bukan pelajar di bandar sahaja mendapat A dalam Matematik dan Sains, malah pelajar luar bandar juga!
11.Grade A,B and C is just a game. Kualiti pendidikan yang sebenar dapat dilihat contohnya pada tahun 1995-1997 di Kuliyyah Undang-Undang, UIA, di mana penuntut jurusan tersebut ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian lagi. Punca mudahnya adalah kualiti pensyarah yang baik, di mana tidak berlaku politiking, pijak-memijak dan hasad dengki. Malah, pensyarah berkumpul setiap minggu bersama menjalankan usrah, menganjurkan hari keluarga tahunan dan lain-lain. Ketika itu Presiden UIA adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Malangnya selepas beliau dipecat dan Dato’ Seri Najib naik menggantikan beliau, berlaku politiking, ampu-mengampu dan pijak-memijak yang sangat dahsyat. Dr. Badrul Amin mengambil keputusan meninggalkan UIA, lalu terus disumbat ke ISA!
12.Sistem pendidikan pada hari ini mengenepikan soal adab dan akhlaq. 3M yang diterap oleh sistem pendidikan Negara tidak mencukupi, dengan sebab itu kerajaan Selangor menambah dua M lagi,yakni mengamal dan memikir, menjadi 5M.
Komen ana;
Bila disebut tentang haji ramai yang tidak berminat untuk membaca dengan lebih lanjut. Kerana hakikatnya haji adalah perkara yang sangat jauh dari ibadat seharian orang Islam. Selagi belum bekerja, belum agak-agak tua, tentunya ibadah solat dan puasa yang lebih banyak dibincangkan.
Pada ana, konteks perjalanan ruhiyyah ini perlu dilihat dengan lebih luas. Bukan sahaja perjalanan ke Makkah menjadi suatu agenda tarbiyah ruh, tetapi setiap perjalanan yang ditempuh makhluq harus dipandang sedemikian. Perjalanan ke Pulau Gaya dengan menaiki bot harus digunakan untuk merenung hebatnya alam lautan Tuhan, justeru minda dirangsang berfikir dan hati berzikir, bukan gelak-tawa sahaja yang pecah-berderai menjadikan perjalanan bermakna. Begitu juga perjalanan ke Simpang Mengayau, Ranau, Labuan dan ke mana sekalipun. Perjalanan adalah perjalanan hati yang gunanya adalah melihat dan mentafsir. Sayang sekali apabila kita dilahirkan sebagai bayi dahulu dan di usia kanak-kanak kita tertarik dengan setiap pergerakan, setiap warna, setiap makhluq yang dicipta Tuhan, tetapi di usia sekarang nikmat tersebut termasuk di dalam kategori nikmat-nikmat ‘biasa sampai dah tak terasa dan bermakna’. Kerana itu ana lebih selesa bermusafir dengan mempertimbangkan sesiapa yang bakal menjadi teman perjalanan. Ingin bermusafir? Muhasabah dahulu sejauh mana permusafiran dapat membawa kepada mengingat Tuhan dan bukan melalaikan.
Tentang kisah pengorbanan pula, nyata contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Allah Ibrahim menyuruh kita mengorbankan segala yang ada untuk Islam, sekalipun darah daging dan orang yang paling disayangi. Masa, harta, tenaga, pakwe/makwe, keluarga dan tentu sekali nyawa, adalah hak Allah dan kepadanya dipulangkan semula. Sedih sekali apabila penilaian yang dibuat membuktikan bahawa ada penggerak-penggerak jihad yang hanya sanggup mengorbankan masa, atau tenaga sahaja untuk agama. Jauh sekali mengorbankan nyawa. Maka kembalilah merenung ayat-ayat Allah dari Surah At-Taubah, As-Soff dan sebagainya, bagi memuhasabah, setakat mana pengorbanan yang Allah hendakkan daripada hamba-hambaNya yang mengaku bergelar pejuang.
Ana tidak berhasrat mengupas isu pendidikan dalam Negara yang ternyata lemah dan melemahkan.
Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.
Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.
Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.